Malaysia pasca kemerdekaan menjadi lubuk pasaran kereta import

Korang kalau tengah memandu di jalan raya mesti pernah terpandang banyak kereta old skool seperti Datsun 120Y, Toyota Celica TA 23, Toyota Corolla KE70 dan Mitsubishi Galant. Mesti pernah terfikir kan macam mana pasaran automotif Malaysia pada masa dulu terutama selepas merdeka. Ye la kan, zaman sekarang nak beli kereta import bukan main mahal sebab Dasar Automotif Negara yang dilakukan kerajaan lebih memihak pembuat kereta nasional iaitu Perodua dan Proton.

Sesekali nak juga merasa pakai kereta import tetapi apakan daya, cukai bagi setiap kereta import berkali ganda daripada harga kereta tu sendiri yang boleh buatkan korang melopong mulut je la tengok. Bukan setakat cukai import, kos maintenance yang korang terpaksa bayar untuk kereta import pun boleh tahan mahal. Perkara seperti ini yang pasti buatkan korang terfikir macam mana atok nenek korang mampu beli kereta import masa dulu.

Tempoh kolonial menjadi era kemasukkan kereta import di Tanah Melayu

Masa zaman penjajahan British, Tanah Melayu atau Malaya merupakan wilayah jajahan British yang kaya disebabkan ada sumber bijih timah yang banyak selain menjadi pengeluar getah utama ketika itu. Ditambah pula dengan lokasi strategik Tanah Melayu yang berada di tengah-tengah lokasi perdagangan utama dunia antara Lautan Hindi dan Asia Timur.

Disebabkan kemakmuran ekonomi Tanah Melayu, British membina jalan raya sepanjang 4000 batu pada tahun 1923 merentasi Semenanjung Tanah Melayu hinggakan masa tu nak naik kereta dari Singapura pergi ke Bangkok pun tak ada masalah. Disebabkan sistem jaringan jalan raya yang baik, kemasukkan kereta import ke Tanah Melayu pun bertambah 10 kali ganda dari tahun 1910 hingga 1925.

Jalan Peel di Kuala Lumpur pada tahun 1950-an. Imej: V12Gether

Tapi masa tu pasaran kereta import di Tanah Melayu ni masih kecil memandangkan pembeli kereta ni hanya dalam kalangan pegawai British dan tauke-tauke besar Cina  di bandar-bandar besar seperti Ipoh, Kuala Lumpur, Penang dan Singapura. Bandar-bandar ni merupakan bandar utama di Tanah Melayu dulu jadi tak hairan kalau pengguna kereta masa tu banyak tertumpu di situ.

Lebuhraya Persekutuan disamping bangunan KWSP pada 1962. Imej: V12Gether

Dominasi kereta import dari barat

Kemasukkan kereta import ke Tanah Melayu yang bermula pada akhir tahun 1800 ni dipelopori jenama kereta buatan Britsih, Eropah dan juga Amerika Syarikat (AS). Kereta buatan AS masa tu mencatatkan jualan tertinggi di Tanah Melayu hinggakan British berasa terancam dengan perkembangan tersebut dan membuat pelbagai sekatan termasuklah mengenakan cukai yang tinggi.

Kereta buatan British masa tu pula tak dikenakan cukai disebabkan British nak jaga kepentingan dorang kat Tanah Melayu. Walaupun kereta buatan AS dikenakan pelbagai sekatan dan cukai, tapi hasil jualan kereta dorang tetap mencatatkan angka tertinggi disebabkan kos penghasilan kereta tu jauh lebih murah berbanding kereta buatan British.


Sumber: Shakila Yacob(2008)

Ford Motor Company pada masa tu merupakan pelopor utama kereta buatan AS di Tanah Melayu. Melalui anak syarikatnya, Ford Canada telah melantik  Dodge & Seymour untuk menguruskan jualan keretanya di rantau Asia.

Tapi bila hasil jualan kereta Ford kat Tanah Melayu semakin bertambah, dorang pun cuba menguruskan sendiri jualan keretanya. Jadi pada tahun 1926 Ford Motor Company of Malaya Ltd pun ditubuhkan kat Singapura hingga lah dorang berjaya menguasai 80% pasaran kereta Tanah Melayu.

Kilang lama Ford di Bukit Timah. Imej: Visit Singapore

Antara tahun 1925 hingga 1965, Ford merupakan satu-satunya syarikat pemasangan kereta di Singapura hingga mampu mengeksport kereta ke Borneo, Siam (Thailand), Burma (Myanmar), Pakistan, India dan Brunei.

Untuk pengetahuan korang, Syarikat Ford telah menghasilkan sebanyak 150,000 buah kereta sepanjang penubuhannya di Singapura sebelum ditutup operasi pada 1980.

Ford Cortina MK1 model paling laris di Malaya pada 1964. Imej: Honest John

Pembentukkan Persekutuan Malaysia menjana industri automotif negara

Sebaik sahaja Persekutuan Malaysia dibentuk menerusi gabungan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah, kerajaan Malaya dan Singapura pada masa tu mahu melaksanakan Import Substitution Industrialisation (ISI) selaras dengan Rancangan Colombo.

Melalui rancangan tu, kerajaan Malaysia telah membuka peluang kepada syarikat asing dan tempatan untuk membuka kilang pemasangan kereta secara SKD (pemasangan separa terurai) atau CKD (pemasangan tempatan).Kerajaan mahukan kereta import dipasang siap sepenuhnya (complete-built up-CBU) dapat dikurangkan menerusi pengenalan kuota import dan juga duti import yang tinggi.

Melalui rancangan ni, kerajaan berharap lebih banyak peluang pekerjaan dapat dibuka dan pemindahan teknologi dapat dipindahkan kat Malaysia yang mana satu hari nanti Malaysia dapat menghasilkan kereta sendiri.

Volvo 144. Imej: Hemmings

Antara kilang pemasangan kereta pertama yang dibuka adalah milik Volvo  di Shah Alam dan bermula pada 1967 Volvo telah mula memasang model  Volvo 144 menjadikannya model kereta pertama yang melakukan pemasangan di Malaysia.

Tak lama lepas tu Toyota dan Tan Chong Group turut menjejak langkah Volvo melakukan pemasangan kereta di Shah Alam dan juga beberapa syarikat yang lain.

Perpisahan Singapura daripada Persekutuan Malaysia

Sejak berlaku perpisahan Singapura daripada Persekutuan Malaysia, berlaku tekanan politik antara kedua-dua negara yang mana masing-masing cuba mendapatkan sebanyak mungkin pelaburan asing dalam negara.

Pada masa tu, pasaran kereta bagi Malaysia dan Singapura merekodkan 33,000 unit kereta setahun dan 8,250 unit daripadanya ada di pasaran Singapura.

Pusat Pameran Tan Chong Motor di Jalan Ipoh. Imej: V12Gether

Pemilik kilang pemasangan kereta pada masa tu merayu kepada kerajaan Malaysia dan Singapura untuk mengabungkan industri automotif kedua-dua negara tetapi telah ditolak. Dorang pada masa tu diberi pilihan untuk memilih penempatan kilang sama ada di Malaysia atau Singapura.

Tapi kebanyakkan syarikat dari Jepun dan Barat memilih Malaysia untuk menempatkan kilang dorang berbanding Singapura.

Sumber: Newspaper SG, Google News & Motor Trader

Kebangkitan kereta buatan Jepun

Sebenarnya kereta buatan Jepun dah mula masuk ke Tanah Melayu pada pertengahan tahun 50-an iaitu semasa penjajahan Jepun tapi ianya tak dapat sambutan sangat sebab masa tu orang ramai masih bersikap anti-Jepun.

Ditambah pulak dengan kereta buatan Jepun masa tu tak cukup berkualiti kalau nak bandingkan dengan kereta buatan Barat sebab terlampau ringan dan kerangka badan yang nipis sampai digelar ‘tin milo’.

Oleh kerana orang Jepun ni tak berputus asa, dorang pun upgrade kereta dorang sampai berjaya hasilkan kereta yang cukup berkualiti, jimat minyak, tahan lasak dan berbaloi untuk dibeli sehinggalah kereta buatan dorang tu berjaya mendominasi jalan raya kat Malaysia ni pada tahun 70an.

Senarai harga kereta import tahun 1975 tanpa insurans yang pasti buat korang jealous. Imej: 1Kereta.net

Masa tu kereta brand Ford, Fiat dengan Morris je dapat bersaing dengan kereta Jepun berbanding kereta buatan negara Barat yang lain.

Masa mula-mula cuma Nissan (Datsun) je yang pelopori pasaran kat Malaysia. Tak lama lepas tu datang pulak Toyota, Mitsubishi (Colt), Mazda dan Honda cuba masuk sehingga dikenali ramai pada 70-an.


Sumber: Giphy

Penghasilan kereta jenama Malaysia

Akhirnya dominasi kereta import terutamanya dari Jepun sedikit terencat ekoran penubuhan Proton hasil aspirasi idea dari Tun Dr Mahathir pada tahun 1983.

Idea menghasilkan kereta tempatan ni tercetus apabila mendiang Presiden Mitsubishi Yohei Mimura datang melawat Malaysia dan mendorong Tun Mahathir untuk jadikan Mitusbishi sebagai rakan kerjasama strategik.

Melalui hasil penyelidikan selama 2 tahun dan kerjasama dengan Mitsubishi, maka terhasil lah kereta Proton pertama iaitu Proton Saga dan diikuti dengan pelbagai model lain seperti Iswara, Tiara, Putera, Perdana, dan Satria.

Pelancaran kereta Proton Saga oleh Mahathir. Imej: Lowyat

Bagi meningkatkan lagi tahap pasaran automotif negara, akhirnya Perodua pun turut ditubuhkan pada tahun 1993 hasil kerjasama dengan Daihatsu dan Mitsui. Produk pertama yang dikeluarkan Perodua adalah Perodua Kancil yang mula dilancarkan pada tahun 1994.

Selama 15 tahun Perodua Kancil memasuki pasaran automotif, sebanyak 722,223 unit telah dihasilkan dan 708,000 unit dijual di dalam pasaran Malaysia, menjadikannya antara produk Perodua yang paling laris.

Kereta legend, Perodua Kancil. Imej: Epalkiwi

Cukai tinggi menjadi beban kepada pembeli

Bila bercakap pasal kereta kat Malaysia ni, topik yang tak boleh tinggal dah pasti tentang cukai kereta kan. Disebabkan kerajaan cuba menjadikan Proton dan Perodua sebagai pemangkin kepada pertumbuhan automotif negara, kerajaan mengenakan cukai yang tinggi kepada kereta import CBU dari luar negara Asia Tenggara bagi memastikan kereta buatan nasional kekal berdaya saing. Cukai yang dikenakan ini meliputi duti import dan cukai tempatan yang merangkumi cukai eksais serta cukai jualan.

Sebanyak 30% duti import dikenakan kepada setiap kereta CBU yang diimport dan cukai eksais yang dikenakan mengikut kapasiti enjin kereta. Ramai yang complaint kenapa kereta tempatan iaitu Proton dan Perodua masih menjual kereta pada harga yang tak masuk akal, jawapannya adalah cukai eksais. Cukai eksais termasuk dalam kategori cukai tempatan yang mana cukai ni dikenakan kepada semua model kereta sama ada buatan tempatan atau import.

Manakala sejak perlaksanaan GST pada 2015, cukai GST sebanyak 6% dikenakan bagi setiap jualan kereta mengantikan cukai jualan sebanyak 10%.  Melalui kadar cukai yang tinggi dikenakan kepada kereta import, boleh dikatakan pembeli kereta import menanggung kos sebanyak 2 kali ganda daripada harga asal kereta tu.

Jika korang beli kereta import kapasiti enjin 1800 cc kebawah, kadar cukai yang ditanggung adalah 111% yang belum termasuk dengan cukai jalan. Senang cerita semakin tinggi kapasiti enjin, semakin tinggi beban cukai yang terpaksa ditanggung.

Kadar duti import, cukai eksais dan cukai jualan sebelum perlaksanaan GST. Imej: Rafizi Ramli

Melalui website Wake Up Malaya, sebelum Proton ditubuhkan Mahathir telah menaikan cukai eksais kereta import sebanyak 3 kali ganda sebagai perancangan awal membantu Proton bersaing dengan jenama lain dan pada tahun 1998 sekali lagi cukai ni dinaikkan. Ini secara tak langsung menjadikan harga brand kereta lain kurang kompetitif dalam pasaran akibat peningkatan harga. Pengenalan permit import (AP) juga antara usaha kerajaan mengurangkan kebanjiran kereta asing yang menyebabkan harganya bertambah mahal.

Saya masih ingat membeli kereta baru Mazda 1.5 hatchback pada harga RM16,500 pada tahun 1982 tetapi enam tahun kemudian, harga telah meningkat kepada hampir RM26,000 atau lebih kira-kira 60%  – jenama yang lain dalam julat yang sama adalah jauh lebih mahal.” Petikan tulisan P. GUNASEGARAM, bekas penulis bisnes The Star.

Harga kereta import pada tahun 1980. Sumber: Carlist.my

Menurut website Car Bay, pada tahun 2015 Malaysia berada dalam kedudukan kedua dalam senarai negara di dunia yang menjual kereta dengan harga yang paling mahal selepas Singapura.

Walaupun kos bagi memiliki sebuah kereta di sini mahal, tapi Malaysia masih mencatatkan paras pemilikan kereta ketiga tertinggi di dunia disebabkan peningkatan pendapatan isi rumah.

Tetapi perlu diingatkan juga bahawa membeli kereta menjadi punca ramai rakyat Malaysia disytihar muflis disebabkan kegagalan membayar pinjaman kereta dan majoritinya berusia 35 tahun hingga 44 tahun.

Perbandingan cukai negara pengeluar kereta

Seperti yang disebut di atas, Malaysia merupakan negara kedua termahal sekiranya nak membeli sebuah kereta kerana polisi-polisi yang dibuat bagi melindungi kepentingan Proton dan Perodua. Tapi jika nak buat perbandingan, Korea Selatan juga merupakan negara pengeluar kereta tetapi duti import yang dikenakan masih kira munasabah.

Tahun 2012 Korea Selatan telah menurunkan kadar duti import daripada 8% kepada 3.2% terhadap kereta buatan Eropah melalui perjanjian kerjasama perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU). Macam tu juga bagi kereta import dari Amerika Syarikat , duti import turut diturunkan kepada 4% daripada 8% dan hasilnya berlaku peningkatan pemilikan kereta import di Korea Selatan.

Kilang Hyundai di Alabama, Amerika Syarikat. Imej: Linked in

Kalau nak tahu, dulu Korea Selatan pun sama macam Malaysia jugak dimana kerajaan dorang telah mengambil pendekatan melarang pengimportan kereta luar bagi elakkan industri automotif dorang terjejas. Tetapi sekarang larangan tu dah pun ditarik balik.

Negara jiran kita Thailand sekarang ni menjadi hub automotif terbesar di Asia Tenggara dan negara ke-13 terbesar dunia bagi kategori pengeluar kereta. Didorong dengan polisi Thailand yang lebih mesra kepada syarikat automotif luar, syarikat dari Jepun dan Amerika Syarikat antara pelabur utama yang membuka kilang di sana.

Berdasarkan laporan daripada Kementeian Perdagangan dan Industri, pada tahun 2011 Malaysia mengeksport kereta ke Thailand bernilai RM171 juta, tetapi Malaysia mengimport kereta dari Thailand bernilai RM930 juta membayangkan perdagangan yang berat sebelah.

Senarai tempat di Thailand yang menjadi hub automotif. Imej: Thailand Board of Investment

Dasar Automotif Nasional indah khabar dari rupa

Pentadbiran Najib sebenarnya peka dengan luahan golongan marhaen dan oleh itu disebabkan mahukan sokongan lebih daripada pengundi dia berikan janji dalam manifesto BN sebelum PRU-13 bahawa harga kereta akan dikurangkan secara berperingkat sebanyak 20%-30% melalui penyemakkan semula Dasar Automotif Nasional. Dasar Automotif Nasional diperkenalkan pada tahun 2006 sebagai satu ransangan untuk memastikan industri automotif Malaysia berdaya saing dan bertaraf dunia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI),  harga kereta akan berkurangan sebaik sahaja GST dilaksanakan pada tahun 2015 kerana cukai jualan 10% berkurang kepada 6% sesuai dengan manifesto BN yang mahukan harga kereta berkurang secara berperingkat.

Imej: Tengok TV Online

Sebaik sahaja GST dilaksanakan, wujud penurunan harga kereta bagi kebanyakkan model tetapi penurunan harga kereta tu tak la begitu ketara seperti mana yang digembar-gembur sebelum ni. Dan sekarang adalah tahun 2017 yang mana Pilihan Raya Umum-14 bakal berlangsung tak lama lagi tetapi janji untuk penurunan harga kereta sebanyak 20%-30% masih belum tecapai.

Bahkan bukan setakat usaha untuk turunkan harga kereta tidak dibuat bersungguh, baru-baru ni pulak kerajaan cuba nak naikkan cukai eksais Multi-purpose Vehicle (MPV) kepada 65% daripada 60% tetapi ditarik balik disebabkan timbul bantahan orang ramai.

Menanggung beban yang tinggi untuk membeli kereta

Hati sudah tentu panaskan setiap kali terbayang nilai cukai yang terpaksa kita bayar bagi membeli sebuah kereta. Tetapi cukai dikenakan bagi sebuah kereta bukan setakat penentu harga kereta, malah nilai keuntungan yang diambil oleh pengeluar dan dealer juga perlu diambil kira memandangkan dorang juga perlu buat keuntungan untuk terus beroperasi termasuk memberi rebate pada bulan-bulan tertentu terutama pada akhir tahun.

Rakyat Malaysia telah menanggung beban yang tinggi bagi membeli kereta. Persoalannya di sini, ke mana hala tuju Perodua dan Proton selepas lebih daripada 20 tahun penubuhan dan sampai bila rakyat Malaysia perlu menanggung beban kos yang tinggi bagi membeli kereta walaupun kereta buatan tempatan sendiri?

Sudah tiba masanya kerajaan menyemak kembali penetapan kadar cukai yang dikenakan dengan lebih bersungguh berbanding memberi bantuan ‘tongkat’ kepada Proton dan Perodua sehingga memberi beban kepada pembeli. Bak kata orang putih, survival of the fittest, yang berdaya saing saja mampu terus berjuang.

Disebabkan kos yang tak masuk akal, pastikan membeli kereta mengikut kemampuan poket sendiri termasuk mengambil kira kos servis, cukai jalan, insurans dan minyak. Membeli kereta secondhand menjadi alternatif terbaik ketika keadaan ekonomi yang menjunam sekarang.