- 622Share sekarang!
- Email17
- Facebook605
- Share
(This article has been translated from our sister’s website, Cilisos)
Biasanya bila guna mesin ATM, mesti korang akan nampak pelbagai mesej yang tertera dekat skrin sebelum nak masukkan kad bank dan nombor PIN kan? Kadang-kadang skrin tu akan paparkan sama ada pemberitahuan pasal mesin tu offline, promosi, dan ada juga amaran dari bank untuk tak bagi butiran peribadi korang melalui telefon.
Korang mungkin akan terfikir, “Aku tak la bodoh sangat sampai boleh tertipu”. Tapi kalau korang dapat panggilan daripada wakil Hong Leong Bank, lepas tu siap dirujuk lagi dengan polis berpangkat Sarjan yang call korang daripada nombor telefon Balai Polis Pulau Pinang sebenar, korang pun boleh terkena punya la!
Salah sorang mangsa scam ni ialah kawan kepada editor Cilisos sendiri. Mangsa iaitu Davina, boleh dikatakan seorang yang bijak. Tapi disebabkan penipuan tu terlampau meyakinkan, dia pun hampir terkena.
Kitorang sempat berbual dengan Davina untuk tahu lebih lanjut lagi tentang pengalaman menakutkan dia.
Panggilan pertama datang daripada “Hong Leong Bank”
Sebelum tu, ada nombor yang tak dikenali telefon Davina, tapi dia tak sempat angkat. Kali kedua nombor tu telefon lagi, suami dia yang angkat dan bagi telefon tu kat dia.
” Masa saya jawab telefon, ‘Pemungut Hutang’ tu cakap saya dah lambat bayar balik pinjaman RM50,000 yang saya pernah mohon di Hong Leong Bank di Pulau Pinang, dan caj akan dibuat kalau saya tak bayar dalam masa 2 jam.” – Davina
Masalahnya, Davina takde akaun bank tu pun. Malah, dia tinggal kat Kuala Lumpur. Jadi bila diorang kata yang dia pernah buat pinjaman kat Pulau Pinang, dia dah mula rasa curiga. Tapi dia terkejut bila pemungut hutang tu baca balik butiran akaun untuk rujukan (macam mana dia boleh tahu?) dan terus buat sambungan kepada balai polis di Pulau Pinang untuk buat laporan.
“Dorang memang buat research gile bab* untuk memastikan semua aspek diambil kira” – Diterjemah secara kasar daripada Davina
Seorang ‘Sarjan’ kemudiannya mengambil butiran peribadi Davina dan cakap yang ketua atau orang atasan dia akan telefon balik untuk merekodkan laporan melalui telefon.
Eh… boleh buat laporan menerusi telefon je?
Bagi yang tertanya-tanya, jawapannya adalah, tak boleh buat laporan polis melalui telefon. Tapi korang boleh buat laporan polis secara atas talian (online) untuk kes-kes yang tak perlukan penyiasatan macam kehilangan MyKad. Dalam kes Davina, scammer tu bukan tipu cara cikai-cikai je sebab bila scammer tu telefon balik, dia guna nombor Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang yang betul punya!
“Apa yang dia buat masa tu adalah satu taktik untuk menakutkan je, tapi saya terpengaruh. Penglibatan polis daripada nombor telefon yang sah tu la yang buatkan saya percaya“- Davina
Malah, salah satu benda pertama yang ‘Sarjan’ tu bagitahu adalah, dia suruh Davina periksa balik sama ada nombor yang telefon tu betul ke tak. Macam mana scammer boleh guna nombor telefon polis yang betul? Mungkin tak ramai yang tahu benda ni, tapi ‘call spoofing’ ni boleh ‘menyamar’ sebagai nombor telefon yang lain. Malah tak lama dulu pun pelanggan Maybank pernah kena benda yang sama banyak kali. Sebab tu la Maybank buat satu halaman khas untuk bagi amaran kepada pelanggan diorang pasal hal tersebut.
Sarjan yang telefon Davina kemudiannya suruh dia pergi tempat lain jauh daripada orang supaya diorang boleh bercakap secara privasi. Davina pun tinggalkan suami dia untuk pergi ke bilik yang lain. Suami dia tak ambik serius pun masa Davina masuk bilik, dia fikir yang isteri dia nak masa dan privasi.
“Perasaan saya masa tu sangat teruk. Rasa takut tapi tak boleh nak bagitahu sesiapa.”- Davina
‘Butiran’ Davina kemudiannya disemak melalui walkie-talkie untuk mengesahkan latar belakangnya, dan tak semena-mena…
“Sarjan tu kemudiannya bagitau yang nama saya terlibat dan dikaitkan dengan pengedar dadah terbesar yang baru je ditangkap dengan 16kg meth. Malah lebih setengah juta ringgit dihasilkan dengan separuh daripadanya masih tak dapat dikesan.”- Davina
Macam mana pula nama dia terlibat? Scammer berpangkat ‘Sarjan’ tadi bagitau, pengedar dadah tu bagi nama Davina sebagai rakan subahat. Lepas tu, dia kata yang Davina jual IC dengan butiran akaun bank untuk imbuhan daripada keuntungan dadah yang dijual. Pelbagai bukti lain lagi yang pengedar dadah tu bagi, sampai Sarjan tu pulak tuduh Davina sembunyikan sesuatu.
Drama polis la sikit, baru nampak real
Untuk membuktikan yang Davina tak bersalah, dia diminta untuk mengisytiharkan baki semasa kesemua akaun bank yang dia ada masa tu juga melalui telefon, dan jangan sembunyikan apa-apa. Kalau ada maklumat yang tertinggal, benda tu boleh digunakan terhadapnya di mahkamah. Jadi Davina pun cari la statement bank yang dia ada dan senaraikan kesemuanya.
Lakonan Sarjan tu memang macam polis betul bila dia siap bagitau Davina supaya tak dedahkan butiran peribadi macam kata laluan walaupun dekat dia. Sarjan tu kata, pihak berkuasa macam dia pun tak ada hak untuk tanya. Lepas tu Sarjan pesan lagi jangan bagitahu sesiapa pun pasal hal tu.
“Sarjan tersebut tak bagi saya bagitahu sesiapa pasal kes ni sebab masih banyak suspek yang belum ditangkap. Dan mungkin salah seorang daripada mereka adalah orang sekeliling saya sendiri.”
Lepas semua butiran dikumpul, Davina disambungkan pula kepada ketua kepada Sarjan tersebut yang merupakan seorang Inspektor untuk menerangkan pasal kes dia. Inspektor tu pun sama juga pandai berlakon. Dia siap kritik lagi Davina sebab tak boleh cakap bahasa Melayu, lepas tu terus putuskan talian, acah-acah marah kononnya tegas.
Sarjan tu cuba untuk memainkan watak polis yang baik dengan menelefon Inspektor tadi dan menerangkan kepada Inspektor tu yang Davina bukanlah rakan subahat, dan dia cuma nak tolong kes siasatan.
Dan akhirnya, tembelang pecah
Lepas Sarjan yang berlakon jadi polis baik tu bercakap dengan Inspektor yang garang tu, Sarjan akhirnya bagi Davina dua pilihan. Sama ada nak bekerjasama dengan penyiasatan secara rahsia, atau ditangkap di bawah waran selama sekurang-kurangnya 45 hari di Ibu Pejabat Polis di Pulau Pinang. Kalau dia bersetuju untuk bekerjasama, Sarjan tu akan berusaha sebaik mungkin untuk buktikan yang Davina tak bersalah. Dia juga menakut-nakutkan Davina, bagitahu yang kegiatan pengedaran dadah kat Malaysia boleh dibawa ke tali gantung.
Davina akhirnya bersetuju untuk bekerjasama, dan Sarjan tersebut cakap Davina kena bertindak secepat mungkin sebab bank nak buat tindakan saman dalam masa satu jam. Dia juga diberitahu yang mahkamah majistret akan melakukan audit terhadap semua akaun banknya, jadi dia kena pergi setiap bank yang dia ada dan pindahkan semua duit hasil pendapatannya ke dalam akaun mahkamah. Sarjan juga yakinkan Davina yang dia akan terus dibimbing dari panggilan tu.
“Masa ni la saya bagitahu dia, “Sarjan, saya tak percayakan awak“, dan terus putuskan talian melalui panggilan yang berdurasi 2.5 JAM!
Masa tu Davina rasa kecewa dan marah sangat sampai dia menangis teruk, menyebabkan suami dia yang tak tahu apa-apa pasal hal tu datang dan pujuk. Lepas tu diorang pergi ke balai polis berdekatan dan buat laporan sebenar.
Kes penipuan ni semakin terperinci, jadi tak salah untuk curiga lebih
Rupa-rupanya, bukan Davina sorang je yang pernah kena penipuan dalam talian ni. Awal minggu ni, polis berjaya mendedahkan dan melumpuhkan sindiket penipuan Macau dengan prosedur yang sama:
- Menyamar sebagai pegawai bank dan polis, dan bagitahu mangsa yang akaun bank diorang dah disalahgunakan oleh sindiket jenayah.
- Menggunakan talian Hotline Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang, iaitu 04-2221 522.
- Meminta mangsa untuk memindahkan sejumlah wang sebelum akaun dibekukan.
- Berjanji yang wang diorang akan dikembalikan apabila ‘siasatan’ selesai.
Davina dah pergi balai polis dan telefon Hong Leong Bank untuk melaporkan kes tu. Tapi kejadianscam tu dah bagi tekanan emosi yang mendalam dekat dia.
“Saya rasa sangat marah sebab dah batalkan beberapa rancangan penting, dan kesal betapa mudahnya saya tertipu. Saya sedih macam mana orang boleh berusaha sejauh tu dengan penipuan yang sangat hebat, padahal diorang boleh habiskan masa dan usaha untuk buat sesuatu yang lebih berfaedah”
“Yang paling penting, saya bimbang sebab orang yang selalu berjaga-jaga dan bijak pun boleh jatuh dalam perangkap tersebut. Maknanya, ramai lagi orang kurang bernasib baik yang dah berikan wang simpanan mereka, kemudiannya dilarikan”
Walaupun bank dah banyak keluarkan pelbagai amaran yang untuk tak melayan segala jenis panggilan telefon, transfer duit atau bagi butiran peribadi dekat orang yang dikenali, sampai sekarang ni pun masih ramai yang kena tipu. Malah Davina sendiri mengaku, masa Sarjan tu suruh dia transfer semua duit kat akaun mahkamah tu, dia percaya benda tu betul disebabkan taktik menakut-nakutkan mangsa yang scammer tu guna menjadi.
Jadi, peringatan untuk kita semua. Kalau korang dapat panggilan daripada bank yang cakap korang punya akaun ada masalah (tapi korang takde pun akaun bank tu), buat je laporan polis atau putuskan talian secepat mungkin. Lepas tu telefon sendiri bank tu untuk double check. Tak salah pun kalau kita ambik langkah berjaga-jaga.
Kitorang dalam masa yang sama nak berterima kasih dekat Davina sebab berani kehadapan dan berkongsi pengalaman dia yang menakutkan tu, supaya orang lain tak rasa benda yang sama. Kalau ada antara korang pernah kena, cerita la kat ruangan komen supaya kita semua dapat belajar dari kesilapan :)
P/S : Korang pun boleh klik kat artikel yang berkaitan dengan scammer seperti skim cepat kaya, MLM , ‘catfishing‘ dan si pencuri satu sen.
- 622Share sekarang!
- Email17
- Facebook605
- Share