- 1.0KShare sekarang!
- Email124
- Facebook898
- Share
*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 1 Julai 2018
Sekalipun negara dalam keadaan pandemik dan ekonomi yang tidak stabil. Dan di kala orang ramai dibuang kerja dan mencari jalan untuk menampung kehidupan keluarga masing-masing. Masih ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang sanggup menghabiskan RM25,000, semata-mata mahu menjadikan artis Fizo Omar sebagai peneman satu malam.
Memang tak dinafikan, kos sara hidup yang tinggi dan ekonomi diri atau keluarga yang kurang stabil membuatkan sebilangan orang sanggup membuat kerja sambilan untuk membayar sewa rumah dan juga duit minyak.
Tapi malangnya, berita-berita sebelum ini ada yang mengambil jalan pintas dengan menjadi sugar baby untuk melangsaikan hutang mereka di samping untuk merasa hidup mewah.
Ada yang samakan diorang ni dengan pelacur 5 bintang sebab memberikan khidmat seks kepada orang dan dibayar dengan wang yang lumayan. Tapi apa asal-usul sugar baby ni? Macam mana boleh masuk ke dalam Malaysia? Meh sini SOSCILI terangkan!
Istilah sugar baby dipopularkan sejak tahun 50-an lagi dalam filem Hollywood
Pada tahun 50-an, terma sugar baby ni dipopularkan dalam filem-filem di Hollywood seperti Breakfast at Tiffany’s dan How to Marry a Millionaire. Masa tu, sugar dating ni berlaku semasa mereka berjumpa di kelab malam dan melalui hebahan mulut ke mulut. Tapi Malaysia kan negara majoriti orang bergama Islam, mesti tak banyak sangat orang yang ber-sugar dating ni kan? Korang silap!
R.AGE pernah interviu seorang anak ayam berusia 18 tahun yang bernama Puteri (bukan nama sebenar) dan dia dedahkan bahawa industri sugar dating ni besar kat Malaysia dan siap ada kumpulan besar untuk menemani dia pada perjumpaan pertama dengan sugar daddy-nya, dan juga untuk tolong kenankan masing-masing dengan Datuk dan Tan Sri supaya semua sekurang-kurangnya dapat 1 sugar daddy! Bersatu teguh, bercerai roboh la katakan.
Sufia (bukan nama sebenar) juga seorang anak ikan pernah mendedahkan yang industri ni sangat profesional dan siap ada prosedur yang standard (SOP) lagi. Masa perjumpaan pertama dengan sugar daddy, antara perkara yang akan dibincangkan adalah:-
- Jenis hubungan, sama ada melibatkan seks atau tidak
- Kekerapan berjumpa
- Adakah hubungan ini perlu dirahsiakan atau tidak
- Berapa banyak elaun akan diberi dan adakah akan diberikan setiap bulan atau pada setiap perjumpaan
- Bagaimana elaun akan dibayar, sama ada melalui wang tunai atau dalam talian
Kedua-dua mereka juga menekankan yang sugar dating ni sama sahaja dengan hubungan biasa cuma berbeza hanya dari segi umur. Mereka keluar tengok wayang, main bowling dan memasak untuk satu sama lain. Malah mereka juga mengatakan yang sugar dating jauh bezanya dengan pelacuran.
“Kami dibayar bukan untuk melakukan seks, tetapi untuk menemani sugar daddy kami. Hubungan kami juga long term, bukan hanya berjumpa sekali seperti pelacur.” – Puteri berkata pada R.AGE.
Aplikasi telefon dan laman web juga telah memudahkan sugar dating ni kerana diorang tak perlu lagi berjumpa di kelab malam untuk berkenalan. Dengan hanya post profil di Tinder, WeChat dan sebagainya, diorang boleh terus berhubung dengan sugar daddy yang berminat hanya di hujung jari. Tapi korang tau tak, ada laman web/aplikasi telefon yang khas untuk sugar dating ni dan ibu pejabatnya terletak di…
Orang Malaysia ni telah mencipta laman web khas untuk sugar dating dan ia digunakan di seluruh dunia!
Sebelum ni, kami pernah buat artikel tentang The Sugar Book, laman web/aplikasi telefon sugar dating terkemuka yang sebenarnya beroperasi di Malaysia! Dengan ahli melebihi 100,000 ia berfungsi sebagai platform untuk sugar baby dan sugar daddy/sugar mummy berkenalan antara satu sama lain.
Kami pun cuba mendaftar sebagai sugar baby untuk melanggan menyiasat The Sugar Book ni. Ternyata memang sah sebab semua profil dalam tu diperiksa latar belakangnya malah sugar daddy/sugar mummy yang mendaftar hendaklah mengisytiharkan simpanan mereka dalam bank dan mestilah bernilai lebih dari $100,000. USD tau bukan RM!
Bagi yang mendaftar sebagai sugar baby pula, diorang boleh minta ‘gaji’ yang akan dibayar oleh sugar daddy/sugar mummy ni. Tak sampai sehari kami mendaftar, ada beberapa sugar mummy dah mesej untuk berkenalan dengan kami. Kan dah cakap muka Beto Kushairy ni laku! Tapi bukan hanya sugar mummy, ada juga sugar baby lain yang mesej kami hanya untuk berkenalan.
Selain itu, jarak umur antara sugar baby dan sugar daddy/sugar mummy yang menggunakan laman web ni bukanlah jauh sangat macam yang kita sangka. Menurut mereka, majoriti umur ahli yang mendaftar sebagai sugar baby dan sugar daddy/sugar mummy adalah hampir, iaitu dalam julat umur 30-50 tahun. Dari segi jantina pula, perempuan lebih ramai menggunakan The Sugar Book ni.
“Nisbah pengguna perempuan kepada pengguna lelaki adalah 70:30, dan kami ada lebih ramai sugar baby dan sugar daddy daripada sugar mummy.” – The Sugar Book memberitahu CILISOS.
Tidak dinafikan menjadi sugar baby ni memang ‘masyuk’ sampai ada yang ditawarkan RM80,000 sebulan dan dimanjakan dengan hadiah seperti beg tangan dan barang kemas. Malah ada yang dapat melancong ke Eropah secara percuma apabila mengikuti sugar daddy/sugar mummy dia pergi business trip. Tapi tidak semestinya sugar baby ni perlu balas dengan memberikan khidmat seks, ada yang hanya menjadi peneman kepada sugar daddy/sugar mummy mereka ketika ke majlis dan sebagai rakan untuk berbual.
Selalunya trend kat Malaysia ni, bila sesuatu barang tu laris mesti ada orang akan ambil kesempatan dengan menciplaknya atau menipu pelanggan dengan tak bagi langsung barang tu (scam). Begitu juga dengan sugar dating ni. Kami tahulah sebab kami sendiri hampir kena!
Kami sendiri ‘ditawar’ RM8,500 semalam untuk menjadi sugar baby!
Sebenarnya kami terdetik nak buat cerita pasal sugar dating ni sebab salah seorang daripada tim SOSCILI telah dihubungi oleh seorang wanita yang bernama Ayuni, yang mengakui dirinya sebagai ejen untuk sebuah syarikat sugar dating yang bernama Asian Hookup Dating Organization. Dia menjanjikan kami pendapatan RM8,500 semalam kalau kami mendaftar. Uish siapa tak nak?!
Selepas kami bagi profil palsu kami, dia terus hantar dalam 12 gambar sugar mummy yang katanya ‘berminat’ dengan kami. Cun-cun pula tu! Kami pun pilih la sugar mummy ni yang bernama Kamilla dan dia nak jumpa malam ni juga! Tapi kena isi borang dulu dan bayar RM1,200 sebagai yuran pendaftaran. Tapi bila kami minta nombor akaun untuk pindahkan duit, sekali tengok akaun dia nama peribadi. Tadi bukan main bertegas kata syarikatnya sah dan berdaftar kan?
Kami kemudian balas untuk mengatakan yang kami tak mahu pindahkan duit tapi kami nak jumpa dia secara bersemuka dan beri sendiri duit tu pada dia. Tapi bermacamlah alasan diberi antaranya dia kata dia sibuk lah, dekat Langkawi dan bermacam lagi. Sudah terang lagi bersuluh, yang ini merupakan scam kan? Jadi kami pun grill-lah Ayuni ni sampai dia sendiri malas nak layan beritahu kami untuk GET LOST!!
Tapi katakanlah korang tak kena scam dan memang dapat jadi sugar baby. Mulanya memang rasa best, tapi macam mana kalau hubungan ni tak seperti yang disangkakan, macam bila korang beli karipap oksigen?
Seperti hubungan biasa, sugar dating ni boleh bertukar menjadi tragedi, malah ada yang sampai pernah kena kurung dengan sugar daddy mereka. R.AGE pernah menemubual Datuk Dr Andrew Mohanraj, ahli psikiatri yang pernah merawat bekas sugar baby yang menghadapai trauma.
“Ada sugar baby yang cuba minta putus dengan sugar daddy-nya. Jadi sugar daddy ni pasang grill dalam apartment untuk kurung dia, tapi dia berjaya melepaskan diri.” – Dr Andrew berkata pada R.AGE.
Menurutnya lagi, masalah sugar dating bertambah parah apabila melibatkan penderaan mental. Pernah ada pesakitnya yang cuba membunuh diri selepas ditinggalkan sugar daddy-nya. Nadiah (bukan nama sebenar) bertindak demikian apabila sugar daddy dia yang bertaraf Datuk meluahkan perasaan cinta dan mahu mengahwininya, tiba-tiba menghilangkan diri.
Selain itu, sugar daddy/sugar mummy ni selalunya merupakan golongan yang sudah berkahwin malah mempunyai anak. Jadi sugar dating ini semestinya akan mengeruhkan hubungan rumah tangga mereka. Menurut statistik, secara purata terdapat 6 kes penceraian setiap jam di Malaysia, di mana 11.8% daripadanya melibatkan kes curang seperti sugar dating ni.
Macam kitorang cakap tadi, sugar dating ni kadang-kadang melibatkan hubungan seks bebas dan boleh meningkatkan risiko untuk menghidap HIV. Ini kerana mereka tidak mengamalkan hubungan seks yang selamat dan kerap bertukar-tukar pasangan. Malah di Afrika Selatan, amalan sugar dating didapati menyebabkan perempuan di sana mempunyai 5 kali ganda risiko untuk menghidap HIV berbanding lelaki.
Jadi dengan semua risiko yang telah diterangkan tadi, masih berbaloikah kerjaya sebagai seorang sugar baby ni?
Bak kata pepatah: Ikut hati mati, ikut rasa binasa
Berbalik pada kisah Ayuni, kami merupakan antara yang bernasib baik sebab tak tertipu dengan scam ni. Malangnya, rakyat Malaysia kerap menjadi mangsa penipuan pelbagai jenis scam sehingga melibatkan kerugian jutaan ringgit kerana mudah terpedaya dan kesempitan wang.
Mengenai hubungan sugar dating ni, kami bukan Tuhan untuk menghakimi tapi mungkin ada alternatif lain seperti berniaga dalam talian. Dengan hanya menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Instagram, korang boleh berniaga dan memperoleh pendapatan sampingan sehingga RM6,000 sebulan! Selain itu, ada pekerjaan separuh masa yang fleksibel seperti memandu Grab atau Food Panda.
Jadi gais, nasihat kami adalah rezeki itu luas cuma kena pandai buat pilihan yang bijak. Lagi satu, berhati-hati apabila ditawarkan sesuatu yang nampak too good to be true, sebab selalunya memang ada udang di sebalik batu. Biar hidup sederhana asalkan rezeki itu halal!
- 1.0KShare sekarang!
- Email124
- Facebook898
- Share