Sebelum Macau Scam, dulu Pak Man Telo dah tipu lebih 50 ribu rakyat Malaysia

*Pada asalnya artikel ini disiarkan pada 16 Jun 2017

Mesti ramai antara korang yang pernah kena approach dengan budak MLM kan? Kalau ada kawan-kawan sekolah yang dah 10 tahun tak jumpa tiba-tiba kata nak belanja korang milo ais, kami nasihatkan supaya berhati-hati sebabnya pasti akan ada udang di sebalik milo ais.

Bila member bersembang tapi korang takut nak mencelah.

Kami kat SOSCILI pun tak pasti sebenarnya apa yang membuatkan terlalu ramai orang dekat Malaysia ini join MLM haram. Lebih mengejutkan, kebiasaanya golongan bijak pandai macam budak-budak kat universiti adalah antara yang paling banyak kena tipu dengan scammer macam ni. Mungkinkah sebab tamak, taksub, mainan duit, brainwash ataupun cakap berapi-api daripada budak MLM yang telah memperdayakan dorang?

Macam mana Multi-Level Marketing boleh mula-mula bertapak kat Malaysia? Hari ni SOSCILI nak kupas kembali kisah scammer terhebat Malaya suatu ketika dahulu sampaikan lebih daripada 50 ribu rakyat Malaysia kena tipu dengan mamat ini.

Osman Hamzah, antara pengasas skim cepat kaya pertama kat Malaysia

Inilah rupa Pak Man Telo. Sumber dari scamsinmalaysia.blogspot

Pak Man Telo atau nama sebenarnya Osman Hamzah merupakan bekas wartawan di akhbar Warta Negara pada 1960-an. Insan yang berasal dari Taiping Perak ini kemudianya menyertai Bernama sebagai wartawan sambilan beberapa tahun kemudian.

Walaupun bermula sebagai seorang wartawan, Pak Man boleh dianggap sebagai seorang yang mempunyai cita-cita besar untuk menjadi seorang jutawan. Dengan berbekalkan semangat yang tinggi, dia telah menubuhkan sebuah syarikat dan menjalankan skim cepat kaya yang diberi nama Skim Pestama Berhad pada akhir 1970-an.

Imej daripada phongphongbakes.blogspot.com

Pada tahun 70-an dan 80-an, skim cepat kaya atau MLM dekat Malaysia ini adalah benda yang rare dan pendedahan dalam kalangan masyarakat pada time itu sangatlah kurang.  Jadi pada waktu itu Pak Man bolehlah dikatakan antara pengasas terawal skim MLM atau skim cepat kaya di Malaysia.

Mungkin sebab itu jugalah Pak Man berjaya mengambil kesempatan dengan menjalankan penipuan sampaikan lebih daripada 50 ribu rakyat Malaysia kena tipu pada masa tersebut dengan jumlah kerugian rasmi dianggarkan sebanyak RM99 juta.

Ada juga yang cakap kerugian sebenarnya jauh lebih besar dan mungkin mencapai angka ratusan juta disebabkan masih ramai orang yang join game ini tak nak tampil memberikan maklumat sebab terus mengharap yang dorang akan dapat duit dorang balik.

Apa yang hebat sangat dengan skim Pak Man Telo?

Skim Pak Man ini mula popular pada akhir tahun 70-an apabila peserta-peserta awalnya berjaya jadi jutawan. Mana tak nya, dengan pulangan yang tinggi dalam masa yang singkat memang ramailah orang berebut-rebut nak masuk.

Keratan Akhbar tempatan tentang Pak Man Telo semasa zaman kegemilanganya. Sumber dari arkibnegara.blogspot

Walaupun ramai yang tahu skim Pak Man ini tak ada business model atau apa-apa perniagaan yang memulangkan hasil, tapi dia masih boleh dianggap hebat jugaklah kerana dapat bagi keuntungan setiap bulan sampai 10%-12% tanpa miss kepada setiap peserta semasa tahun-tahun awal penubuhanya. Mungkin disebabkan perkara ini, makin ramai yang yakin dan join skim dia dengan meletakan modal yang besar.

Gambar daripada Know Your Meme.

Siapa yang tak rambang mata kalau dengar keuntungan 10%-12% setiap bulan kan. Kalau 10 bulan korang join dah jadi double duit yang korang laburkan masa mula-mula masuk dulu. Unit pelaburan gergasi macam KWSP, PNB, Tabung Haji dan Public Mutual pun tak dapat nak kasi korang pulangan yang banyak macam itu.

Tapi yang dorang ini semua lupa, sebenarya duit dividen yang peserta dapat tiap-tiap bulan ini tadi datangnya daripada peserta baru yang join skim ini tadi. Kiranya Pak Man tak buat apa sangat pun dan dia hanya rotate je balik duit-duit yang peserta laburkan tadi.

Lepas Bank Negara buat serbuan, makin ramai yang join skim ini

Kemuncak kejayaan Pak Man adalah disekitar tahun 1990 apabila popularitinya meningkat dan skim yang dijalankan terus menarik lebih ramai orang yang nak jadi kaya. Sebenarnya ketika tempoh emas ini juga, skim dia telah disiasat oleh Bank Negara (BNM).

Bukan takat kena siasat, pada 11 Januari 1990 pihak BNM sendiri menyerbu rumahnya dan merampas duit tunai sebanyak RM 1.7 juta yang dipercayai hasil kutipan daripada orang ramai. Dia, isteri dan anak lelakinya akhirnya didakwa kerana melakukan kutipan deposit secara haram daripada orang ramai sebanyak RM20 juta.

Bukan setakat haram, Pak Man sebenarnya tak ada lesen yang sah pun nak kutip duit orang seperti yang dikehendaki oleh Akta Bank dan Institusi Kewangan.

Sumber dari orangperak.com

Pada permulaan kes ini tadi, Pak Man tak mengaku bersalah dan telah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1 juta (rileks je dia bayar cash). Tapi bila di hari perbicaraan lain pulak ceritanya, Pak Man sendiri akhirnya mengaku bersalah dan dikenakan lagi denda dan kali ini sebanyak 250 ribu ringgit pula.

Walaubagaimanapun, BNM telah diarahkan memulangkan semula 1.7 juta yang dorang rampas kerana menurut makahmah, pihak Bank Negara tidak mempunyai kuasa untuk merampas duit tersebut dari Pak Man.

Yang peliknya ketika keputusan ini dibacakan, para penyokong Pak Man tetap bersorak gembira walaupun beliau telah didapati bersalah. Tambah pelik lagi, tindakan BNM mengheretkan Pak Man ke makahmah tidak langsung memberikan pengajaran kepada orang ramai, malahan dia dan skimnya menjadi lebih popular dan berjaya menarik lebih ramai pelabur.

Para penyokong Pak Man meraikan beliau walaupun mahkamah memutuskanya bersalah. Sumber dari malaysianewsss.blogspot

50,000 orang kena tipu dan akhirnya dia ke penjara

Untuk pengetahuan korang, skim Pak Man Telo sebenarnya tidaklah sehebat mana seperti yang telah digembar-gemburkan. Pada bulan September 1990 skim ini mula mengalami masalah apabila Pak Man gagal mengkreditkan keuntungan bulanan ke dalam akaun pelanggan seperti kebiasaanya.

Mungkin sebab game yang dia cipta ini dah tepu dan berserabut, akhirnya dia sendiri mengakui tidak lagi mampu membayar pulangan pelaburan sehingga 12% sebulan dan menurunkanya menjadi 5% sahaja dengan alasan kemelesetan ekonomi global akibat berlakunya Perang Teluk pada tahun tersebut.

Tak cukup dengan itu, dia juga mendakwa bahawa ejen-ejen yang telah dilantik untuk mengutip duit tadi telah menyeleweng dan mengakibatkan pembayaran dividen terjejas. Tapi itu semua sebenarnya hanyalah helah Pak Man untuk mengelak daripada membayar kepada downline dia yang dah sampai berpuluh ribu orang.

Keadaan bertambah teruk pada tahun 1991 apabila Pak Man masih gagal melunaskan janjinya kepada pelabur. Pada masa ini orang-orang yang join game dia dah mula cuak sampaikan dorang ramai-ramai pergi menyerbu ke rumah Pak Man untuk menuntut kembali duit pelaburan.

MANA PAK MAN~~~~

Mungkin disebabkan terdesak dan rasa ditipu, akhirnya ada dalam kalangan peserta ini tadi nekad pergi menculik anak lelaki Pak Man dan kurung dia dekat Hotel Tropicana Kuala Lumpur untuk dorang jadikan tebusan. Tapi yang sedihnya, dorang tak dapat balik pun duitnya malahan kena tangkap pulak dengan polis kerana kesalahan menculik.

Walaupun anak Pak Man akhirnya dibebaskan, nasib malang terus menghantuinya apabila satu laporan polis telah dibuat oleh salah seorang peserta pada 5 April 1991 yang membawa kepada penangkapanya.

Bila dah kena tangkap mestilah pergi bicarakan. Setelah perbicaraan selesai, Pak Man Telo yang ketika itu dah berumur 65 tahun telah didapati bersalah buat kali kedua, dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun dengan denda RM500 ribu.

Waktu tu, Pak Man sendiri mengakui bahawa dia tidak pernah tahu jumlah sebenar duit yang telah dikutip oleh syarikatnya dan tak ada siapa pun yang tahu kerana rekod simpan tidak pernah wujud.

Pak Man Telo ketika di bawa ke Mahkamah untuk dibicarakan. Sumber dari syahrilkadir.com

Pada mulanya, Pak Man hanya kena penjara selama setahun je. Tapi mungkin sebab dah takde duit, dia gagal membayar denda sebanyak RM500 ribu dan akhirnya hukuman penjara tadi telah ditambah menjadi 2 tahun.

Last yang kami dengar, Pak Man menetap di Terengganu dan menghabiskan sisa hayatnya di sana sebelum meninggal dunia dan dikebumikan di Hulu Terengganu pada 1997. Yang sedihnya, lebih 50 ribu orang rakyat Malaysia telah ditipu dan berputih mata apabila duit dorang tak dapat balik dan hilang macam itu sahaja.

Apa yang boleh korang lakukan bila kena tipu?

Sumber dari Utusan Malaysia

Tak tahulah kalau dorang ni dah kena mandrem ke apa, tapi tiap kali ada orang bagitahu budak-budak MLM yang skim dorang ini menipu mesti orang yang bagi nasihat tu kena cop sebagai busuk hati, dengki, tak boleh tengok orang senang, Melayu nak jatuhkan Melayu dan banyak lagilah sebenarnya.

Bila berdebat pulak, dorang akan bermati-matian mempertahankan MLM dorang dan yang lagi keji apabila ada dalam kalangan mereka yang gunakan agama dan suruh orang lain tipu mak ayah untuk mintak duit semata-mata nak ajak join skim MLM dorang.

Inilah salah satu perbualan yang kami jumpa. Sumber dari Mynewshub

Walaupun kes Pak Man Telo ini dah hampir 30 tahun berlaku, tapi apa yang kami perasan masih ramai lagi sebenarnya rakyat Malaysia yang kena tipu dengan scammer macam ini. Kalau korang kena tipu, ini 6 tempat di mana korang boleh buat aduan:

  1. Lapor ke polis: Biasanya kes macam ni akan disiasat di bawak Akta jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993. Pastikan korang sediakan nama pihak yang menipu korang tadi dan lagi cun kalau korang dapat sertakan no telefon, alamat, kad pengenalan dia.
  2. Lapor ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK): Samada di pejabat ataupun kat page FB..
  3. Tribunal Tuntutan Pengguna: Samada di pejabat ataupun secara online.
  4. Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA): Dorang boleh bagi legal service dan ajar korang macam mana nak selesaikan krisis penipuan yang korang hadapi. Korang boleh hantar aduan secara online di sini.
  5. Bank Negara Malaysia (BNM): Kalau MLM tu melibatkan deposit tanpa lesen macam kes Pak Man Telo tadi, boleh laporkan ke BNM. Pastikan korang ada bukti yang kukuh!
  6. Biro Pengaduan Awam (Jabatan Perdana Menteri): Buat aduan secara online kat sini.

Bukanlah semua jenis MLM ini teruk sebenarnya, ada jugak yang okay macam Avon dan Tupperware dan SOSCILI pernah ceritakan macam mana nak bezakan kedua-duanya. Moga cerita Pak Man Telo ini dapat memberikan pengajaran kepada kita semua agar tak tamak, rajin berusaha dan janganlah berharap duit akan jatuh ke riba.