Pendidikan & Kesihatan

Pensyarah Malaysia ini dah 4 kali berturut-turut dilantik jadi Prof Pelawat di Rusia

Baru-baru ni chef selebriti, Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuwan Ismail dilantik menjadi Professor Adjung di Universiti Utara Malaysia (UUM). Pelantikan ni dibuat berdasarkan pengalaman dan kepakarannya dalam bidang masakan. Lagipun siapa yang tak kenal Chef Wan kan?

Tapi pada masa yang sama, korang tahu tak yang kita jugak ada seorang anak Malaysia yang dilantik jadi Profesor Pelawat kat salah satu universiti terkemuka di Rusia. Beliau jugak adalah pensyarah dari Asia Tenggara pertama yang dilantik di universiti tu.

Imej dari Giphy.

Orang yang kami maksudkan adalah Dr. Mohd Hazmi bin Mohd Rusli, pensyarah kanan dari Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau jugak adalah antara pakar rujuk kami kat SOSCILI ni. Beliau dah dijemput oleh Far Eastern Federal University (FEFU), Rusia sebagai Professor pelawat di sana. Pencapaian yang dicapai ini sebenarnya sangat membanggakan kita semua sebagai rakyat Malaysia. Oleh itu, jom kita kenali beliau dengan lebih lanjut.

Dr Hazmi jadi satu-satunya pensyarah Asia ke persidangan Maritim AS

Dr Hazmi berasal dari Kuala Lumpur dan dilahirkan pada 20 Julai 1982. Beliau mendapat pendidikan di peringkat Degree dan Masters di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Manakala mendapat PHD dalam bidang Undang-undang laut dari University of Wollongong, Australia. Sekarang beliau berkhidmat sebagai pensyarah kanan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Kepakaran beliau adalah dalam bidang Undang-undang Laut, Undang-undang Alam Sekitar dan Biodiversiti serta Undang-undang Awam Antarabangsa. Disebabkan kepakarannya itu, beliau jadi satu-satunya pensyarah dari Asia yang dijemput ke persidangan pertama Agensi Penguatkuasaan Maritim Amerika Syarikat (AS) pada tahun lepas. Kos ke seminar tu jugak ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan AS.

Dr Hazmi masa sampaikan ucapan kat Kolej Bowdoin Brunwsick di Maine, AS. Imej dari Universiti Sains Islam Malaysia.

Masa kat sana, beliau sampaikan ceramah berkaitan alam sekitar marin di laluan dagangan utama yang sibuk, seperti Selat Melaka yang jugak jadi laluan perkapalan artik merentasi Rusia, Kanada dan AS

“Ini adalah suatu pengiktirafan besar bukan sahaja untuk saya sendiri, tetapi juga untuk USIM sebagai pusat rujukan pengajian undang-undang laut antarabangsa dan juga untuk Malaysia, sebagai sebuah negara yang sudah mengorak langkah dalam bidang ini.

Ini membuktikan pakar-pakar tempatan sudah diiktiraf dan diakui di peringkat antarabangsa oleh negara-negara maritim utama seperti Rusia, Amerika Syarikat dan Jepun.” – Dr Mohd Hazmi Rusli, dipetik dari Universiti Sains Islam Malaysia.

Antara panel yang dijemput ke seminar itu. Imej dari Dr Hazmi Rusli & Astro Awani.

Menurut beliau lagi, AS jugak sangat kagum dengan Malaysia yang dapat kawal aktiviti perkapalan yang melibatkan laluan lebih 80,000 kapal perdagangan, sedangkan kat Artik hanya libatkan seribu kapal perdagangan je. Disebabkan perkara ni jugak, AS ada rancang nak bagi peruntukan kepada Malaysia untuk lakukan lagi banyak kajian melibatkan laluan dagangan yang sibuk.

Beliau juga pernah dilantik jadi pensyarah pelawat di Timor Leste

Dr Hazmi masa jadi pensyarah pelawat di Timor Leste. Imej dari Universiti Sains Islam Malaysia.

Untuk maklumat, Dr Hazmi juga pernah dijemput sebagai pensyarah pelawat di Universidade Nacional Timor Lorosa’e (UNTL), Dili Timor Leste. Beliau jugak adalah pensyarah pelawat asing pertama yang dilantik di Jabatan Pengajian Antarabangsa kat universiti tersebut. Pensyarah/Professor Pelawat selalunya dilantik untuk mengajar di universiti lain (selalunya di luar negara) dalam tempoh masa tertentu.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Timor sebenarnya adalah sebuah pulau kat Indonesia. Pulau ni pernah dijajah Portugis sebelum terbahagi kepada dua iaitu Timor Timur (Timor Leste) dan Timor Barat. Walaupun Indonesia jatuh ke tangan Belanda, tapi Timor Leste tetap diperintah Portugis sampailah berlakunya Perang Dunia Kedua. Lepas tu berlaku banyak konflik antara Indonesia dan Timor Leste, bila Indonesia mula menceroboh Timor Leste. Walaupun begitu, pada 2002 Timor Leste berjaya mendapat kemerdekaan atas sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Setiausaha Agung PBB (Ban Ki-moon) disambut oleh PM Timor Leste ( Xanana Gusmão) pada 2007. Imej dari temposemanaltimor.blogspot

“Kemudahan infrastruktur UNTL adalah serba sederhana membuatkan penulis (Dr Hazmi) berasa kagum dengan para pelajarnya yang gigih menuntut ilmu untuk membina Timor-Leste yang lebih teguh dan maju ke hadapan. Sebahagian pelajarnya adalah pelajar matang yang tidak berkesempatan menuntut ilmu ketika meletusnya peperangan di era 90an.” – Dr Hazmi Rusli, dipetik dari mStar.

Masa kat sana, Dr Hazmi juga diminta mengajar dalam beberapa kuliah untuk program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang. Seperti biasa, beliau mengajar subjek undang-undang laut antarabangsa. Disebabkan kebanyakan pelajar kat sana masih kurang fasih berbahasa Inggeris, jadinya beliau gunakan Bahasa Inggeris yang mudah difaham dengan dicampur Bahasa Indonesia.

“Anak-anak Timor mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Selain daripada kuliah yang penulis (Dr Hazmi) sampaikan itu, mereka juga banyak bertanya dalam sesi soal jawab. Daripada soal sistem perundangan ke sistem ekonomi Malaysia, penulis dihujani dengan pelbagai jenis soalan.” – Dr Hazmi Rusli, dipetik dari mStar.

Selain tu, Dr Hazmi jugak sampaikan kuliah akademik bertajuk ‘The Law of the Sea Convention (LOSC) and ‘Its Implication on Southeast Asia: With Special Reference to Timor Leste’. Kuliah ni bukan je dihadiri oleh para pelajar, tapi jugak staf akademik dari Jabatan Pengajian Sains Sosial, UNTL. Lepas tu, beliau juga jadi pensyarah pelawat kat  Universidade Da Paz (UNPAZ) iaitu universiti swasta pertama di Timor Leste.

Para pelajar UNPAZ. Imej dari mStar.

“Pihak UNTL meminta saya agar menyampaikan syarahan yang memfokuskan kepada hak pelayaran dan navigasi menerusi Selat bagi pelayaran antarabangsa, undang-undang pelayaran menerusi laut kepulauan (laut kepulauan Indonesia) dan untuk mengulas permasalahan sempadan maritim di antara Timor-Leste dengan Indonesia serta Timor-Leste dengan Australia.” – Dr Hazmi Rusli, dipetik dari Universiti Sains Islam Malaysia.

Walaupun Timor Leste boleh dikatakan sebagai sebuah ‘negara baru’ yang masih mengejar kemajuan. Tapi bila kita lihat dari usaha mereka ini, nampaknya mereka berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan mereka. Menurut Dr Hazmi lagi, Timor Leste masih lagi mengekalkan ciri-ciri Indonesia dalam kehidupan mereka.

“…orang Timor masih lagi selesa bertutur dalam bahasa Indonesia, mendengar dan menonton filem-filem Indonesia, malah anak-anak kecil Timor juga terhibur melihat keletah Upin Ipin, siri kartun Malaysia yang terkenal seantero Indonesia, di siaran televisyen nasionalnya. Ciri-ciri Indonesianya yang kental membuatkan sesiapa sahaja terasa yang mereka bukan berada di sebuah negara asing yang bukan sebahagian daripada Indonesia.” – Dr Hazmi Rusli, dipetik dari mStar.

Dr Hazmi kat bangunan Kedutaan Malaysia di Timor Leste. Imej dari mStar.

Dilantik 3 kali 4 kali berturut-turut sebagai professor pelawat di universiti Rusia

UPDATE 2 Mac 2018:  Pada tahun ini, Dr Hazmi sekali lagi dilantik sebagai Prof Pelawat kat universiti Rusia. Maknanya sekarang bukan tiga kali lagi, tapi dah empat kali berturut-turut Dr Hazmi dilantik sebagai Prof Pelawat.

__________________________________________________________________

Haaa… inilah yang kitorang nak cerita. Seperti yang dibagitau sejak awal tadi, Dr Hazmi adalah pensyarah Malaysia yang diundang menjadi professor pelawat kat Fakulti Undang-undang, Far Eastern Federal University (FEFU),Vladivostok, Russia. Menurut FEFU, selama ni professor pelawat yang datang ke fakulti tu adalah dari Korea Selatan, Jepun, Mexico dan Amerika Syarikat. Jadinya, dengan pelantikan Dr Hazmi, menjadikan beliau sebagai orang Asia Tenggara pertama yang dilantik sebagai professor pelawat kat fakulti tu.

Populasi Kota Vladivostok adalah sekitar 600,000 orang. Imej dari Dr Hazmi Rusli.

Sebenarnya dah tiga kali beliau dilantik jadi Professor Pelawat kat sana, pertamanya pada tahun 2014, kedua pada 2015 dan ketiga pada tahun ini (jangan main-main!). Untuk maklumat korang, sebenarnya Fakulti Undang-undang FEFU adalah yang ketiga terbaik kat seluruh Rusia, manakala kampus FEFU pulak adalah kampus universiti termoden dan terbesar kat negara tersebut. Kampus ini jugak digunakan masa Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada tahun 2012.

“Undangan tiga kali berturut-turut ini menunjukkan keyakinan FEFU terhadap kebolehan ahli akademik Malaysia untuk sama-sama menaikkan nama FEFU di mata dunia.” – Dr Hazmi Rusli, katanya kepada SOSCILI.

Untuk tahun ni, Dr Hazmi ada kat FEFU selama sembilan hari iaitu dari 15 Mac 2017 sampai 24 Mac 2017. Segala kos pergi balik dan penginapan masa kat sana jugak ditanggung sepenuhnya oleh pihak universiti. Seperti biasa, Dr Hazmi sampaikan syarahan berkaitan undang-undang antarabangsa, terutamanya tentang hak pelayaran dan navigasi Selat khususnya kat Selat Melaka.

“Sesi syarahan ini dihadiri oleh pelajar-pelajar dan juga professor-profesor dari FEFU sendiri. Memandangkan bahasa medium di FEFU adalah bahasa Rusia, hanya pelajar-pelajar yang mahir berbahasa Inggeris sahaja yang menyertai syarahan-syarahan ini.” – Dr Hazmi Rusli, katanya kepada SOSCILI.

Dr Hazmi sedang beri ceramah kepada para pelajar FEFU. Imej dari Dr Hazmi Rusli.

Menurut Dr Hazmi, walaupun kebanyakan pelajar kat sana tak fasih berbahasa Inggeris, tapi diorang tetap jugak cuba tanya macam-macam soalan, dari isu undang-undang laut antarabangsa sampailah kes Kim Jong Nam yang mati dibunuh kat Malaysia. Antara syarahan yang Dr Hazmi sampaikan adalah:

  1. The History of the Legal Status of Straits under the Law of the Sea Convention
    1982;
  2. The South China Sea Arbitration 2016: How Does it Affect Southeast Asia?
  3. Human Trafficking in Southeast Asia: An Unending Dillema?

“Mereka sekarang sedang membuka Laluan Artik Rusia, yang juga merupakan laluan perkapalan yang penting seperti Selat Melaka…jadi mereka ingin saya berkongsi pengetahuan mengenai undang-undang pelayaran di Selat Melaka untuk mereka bandingkan denga Laluan Artik mereka.” – Dr Hazmi Rusli, katanya kepada SOSCILI.

Dr Hazmi bersama para pelajar FEFU. Imej dari Dr Hazmi Rusli.

Selain dari mengajar kat FEFU, Dr Hazmi jugak diminta untuk buat penyelidikan dan terbitkan artikel di jurnal yang ditanggung kosnya oleh FEFU sendiri. Untuk tahun ni, penyelidikan yang tengah dijalankan adalah pasal penjagaan alam sekitar kat laluan perkapalan di kawasan Artik di Rusia. Masa kat sana jugak, Dr Hazmi ambil kesempatan untuk promosikan industri pelancongan Malaysia pada pelajar-pelajar dan kakitangan kat sana.

Pencapaian Dr Hazmi adalah kejayaan dan kebanggaan untuk Malaysia

Selain menjadi profesor pelawat kat FEFU, Dr Hazmi jugak dilantik dalam beberapa jawatan akademik seperti Penyelidik Bersekutu, Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia
Terengganu (2013 – 2017), Penyelidik Bersekutu Pasca-kedoktoran Kehormat, Australian National Centre for Ocean Resources and Security, University of Wollongong, Australia (2014) dan Penyelidik Bersekutu, Asia Africa Legal Consultative Organization (AALCO), New Delhi, India (2014-2016).

Imej dari Giphy.

Kejayaannya ini diteruskan lagi dengan pelantikan beliau sebagai profesor pelawat kat FEFU. Lebih-lebih lagi, bila pihak FEFU kata yang mana-mana Profesor Pelawat yang dijemput ke universiti tu hanyalah adalah orang-orang yang terpilih je.

Dr Hazmi di depan kampus FEFU. Imej dari Dr Hazmi Rusli.

Oleh itu kejayaan Dr Hazmi, adalah satu perkara yang patut dibanggakan oleh kita semua. Hal ni jugak menunjukkan yang kepakaran para ahli akademik dan kualiti pendidikan pengajian tinggi kita diakui di peringkat antarabangsa.

“Pengiktirafan ini adalah hasil daripada polisi pendidikan Malaysia yang memberansangkan. Orang Malaysia perlu berbangga menjadi rakyat Malaysia dengan tidak memburukkan negara di luar. Sebagai graduan tempatan, kita patut mengambil peluang untuk mempamerkan kemampuan kita di mata dunia.” – Dr Hazmi Rusli, katanya kepada SOSCILI.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend