Bumi sebenarnya ada dua bulan? 7 penemuan menakjubkan tentang angkasa lepas

Korang pernah terfikir tak setiap kali tengok langit waktu malam yang dipenuhi bintang dan bulan, apa lagi yang ada di luar sana? Kalau tak pernah, boleh cuba tengok dan nikmati keindahan langit malam yang sebenarnya menyimpan banyak rahsia alam.

Indah kan pemandangan langit malam di Kudat, Sabah ni. Sumber dari The Star.

Sejak berzaman-zaman lagi manusia dah buat kajian astronomi tentang misteri yang berlaku di angkasa lepas. Baru-baru ini, NASA mengumumkan 7 planet baru yang dijumpai mengorbit TRAPPIST-1, terletak jauhnya 40 tahun cahaya dari Bumi. Tiga daripada tujuh planet tu dikategorikan dalam “zon boleh didiami“, di mana kemungkinan ada sumber air boleh membenarkan kewujudan hidupan kat sana. NASA pun dah mintak pandangan orang ramai untuk bagi nama pada planet-planet baru ni, kalau korang nak cuba.

Ilustrasi 7 planet baru yang mengorbit TRAPPIST-1. Sumber dari NASA

Tetapi bukan itu sahaja pencapaian manusia dalam penerokaan angkasa lepas, SOSCILI senaraikan 6 penemuan menakjubkan alam semesta yang dilakukan manusia.

1. Bumi sebenarnya ada dua biji bulan?

Korang tahu tak yang bumi ada dua bulan? Ya, dua! Selain bulan yang kita tengok tiap-tiap hari tu yang merupakan satu-satunya satelit semulajadi bumi, saintis jumpa satu lagi objek yang mengorbit bumi. Objek ni sebenarnya ialah asteroid yang dikenali sebagai 2016 HO3.

Asteroid ni sebenarnya mengorbit matahari, tapi laluannya tu sangat dekat dengan Bumi dan secara tak langsung asteroid ni mengorbit Bumi jugak. So saintis gelar asteroid ni “satelit-palsu” atau lebih kurang bulan kedua jugaklah. NASA kata asteroid ni berukuran lebih daripada 120 kaki dan lebarnya tak lebih daripada 300 kaki. Bulan kedua ni dah mengorbit bumi lebih kurang seabad lamanya dan akan terus mengorbit dalam beberapa kurun lagi.

2. Manusia bakal jelajah Marikh menjelang 2030?

Kewujudannya Planet Marikh diketahui sejak 400 Sebelum Masihi lagi oleh orang Babylon yang menggelarkannya sebagai Nergal yang bermaksud Raja Konflik. Waktu tu diorang hanya nampak bintang terang warna merah yang kadang-kadang bergerak pelik. Bila teleskop yang dicipta sekitar 1600, macam-macam teori dan pemerhatian ditemui. 

Bila ilmu astronomi makin advance pada 1880 pulak, saintis mengesan kewujudan kawah di Marikh, so diorang conclude yang Marikh mungkin ada makhluk asing. Kepercayaan wujudnya alien ni punyalah mendalam sampaikan bila Orson Welles buat prank drama radio “War of Worlds” pada 1938 konon-kononnya bumi sedang diserang mahkluk asing dari Marikh, kelam kabut penduduk Amerika yang percaya prank ni betul-betul berlaku. (Tapi ada jugak yang mendakwa, panik ni tak wujud pun tapi hanya disensasikan surat khabar sebab nak burukkan radio waktu tu.)

Ada yang kata panik ni betul, ada yang kata tak wujud pun panik ni. Sumber dari The Telegraph

Kita mula serius nak teroka Marikh dengan melancarkan banyak satelit untuk menangkap gambar permukaan planet tu, mengorbit dengan lebih lama sampailah kita mendarat di sana. Penerokaan ni sampai ke kemuncaknya bila NASA  berjaya mendaratkan 2 robot penerokaan di sana yang diberi nama Spirit dan Opportunity. Dua robot ni menghantar lebih 100,000 keping gambar resolusi tinggi tentang permukaan Marikh, batu-batu dan tanah di sana sampai berjaya menolong saintis untuk membuktikan yang Marikh pernah ada permukaan berair sebelum jadi keadaan tandus seperti sekarang.

Spirit sambut ulang tahun setahun di Marikh mengikut kalendar Marikh pada 20 November 2005. Kalau setahun di bumi ada 365 hari, setahun di Marikh pula bersamaan dengan 687 hari.  Malangnya penggembaran Spirit tamat pada March 2010 bila robot tu jatuh dalam pasir jerlus. Opportunity pula masih lagi berfungsi dan pada 2015 dah berjalan sejauh 42.195 kilometer.

Kalau korang nak tahu lebih lanjut pasal misi teroka Marikh especially pasal Spirit dan Opportunity boleh tengok video ni.

NASA jugak lancarkan misi nak hantar manusia ke Marikh menjelang 2030. Misi ni terbahagi kepada 3 fasa utama. Fasa pertama, “Earth Reliant” ialah untuk faham bagaimana dan apa kesannya jika manusia hidup dan bekerja dalam tempoh yang lama di angkasa lepas. Eksperimen ni akan dilakukan di International Space Station. Fasa ni berjalan dari sekarang sampailah tahun 2024 nanti.

Fasa kedua pula, “Proving Ground”  akan berjalan dari 2018-2030. Fasa ini akan dijalankan di kawasan sekitar bulan dikenali sebagai “cislunar space”. Misi ni penting untuk uji sejauh mana kita bersedia nak hantar manusia ke Marikh, yelah kalau kemampuan nak hidup dan bekerja di bulan pun terbatas, jangan berangan la nak ke Marikh yang lagi jauh tu.

Fasa terakhir ialah “Earth Independent” yang sudahpun berjalan dengan penghantaran robot dan satelit untuk mengorbit Marikh. Dan eksperimen ni akan berlangsung sampailah pelan nak hantar manusia ke sana pada 2030 nanti jadi kenyataan. Kesungguhan NASA nak hantar manusia ke Marikh ni pun disokong kuat oleh bekas Presiden Amerika Barack Obama dalam ucapan dia ni.

Selain NASA, ada jugak pihak lain yang tengah berlumba nak hantar manusia ke Marikh. Salah satunya ialah Mars One yang merancang nak hantar orang pada 2031. Menariknya, diorang siap bagi peluang kepada sesiapa nak sertai misi ni. Calon akan dipilih, diberi latihan dan dipilih secara demokratik untuk dihantar ke Marikh bila sampai masanya nanti. So, kalau korang terasa nak apply sebab dah bosan hidup di bumi boleh klik sini untuk tahu bila permohonan baru akan dibuka, sebab diorang dah tutup permohonan pusingan pertama pada 2013. Dalam pusingan pertama tu 100 calon telah disenarai pendek, dan Top 10 calon dari seluruh dunia didedahkan oleh penganjur berdasarkan kemampuan dan kelayakan diorang.

Selain tu eksperimen psikologi pun dah dijalankan untuk kita faham kesan kalau kita hidup di Marikh. So, agak-agak berjaya ke manusia dihantar ke Marikh nanti?

Forever alone di Marikh? Sumber dari vice.com

3. Kita pernah berjaya landing kat atas komet pada tahun 2014!

Komet dah lama jadi mitos dan lagenda dalam sejarah manusia. Malah, komet juga dikatakan pernah jatuh ke bumi 65 juta tahun dulu sampai menyebabkan hampir 70% spesis di dunia pupus termasuklah dinosaur! Komet ni sebenarnya ialah kepulan gas beku, batu dan debu yang saiznya lebih kurang bandar kecik. Keadaan ni saintis percaya paling hampir dengan keadaan waktu mula-mula matahari dan sistem suria kita ni terbentuk, jadi memahami komet ni boleh tingkatkan pemahaman kita tentang asal usul sistem planet.

Pada 1993, European Science Agengy meluluskan International Rosetta Mission. Sejak tu saintis pelbagai bidang bekerjasama untuk memastikan manusia boleh mengorbit dan mendarat di komet. Rosetta berjaya dilancarkan pada 2004, dan habiskan masa sepuluh tahun di angkasa lepas dan melepasi dua komet pada 2008 dan 2010 tapi tak berjaya mendarat.

Pada tahun 2014, Rosetta akhirnya sampai kat komet 67P/Churyumov-Gerasimenko dan ikut komet tu mengorbit matahari. Pada November 2014 Rosetta lancarkan Philae, sebuah probe untuk mendarat di komet tu. Philae berjaya kumpul data selama tiga hari di atas permukaan komet sebelum baterinya habis dan komunikasi dengan bumi terputus.  Antara kejayaan penting Philae dan Misi Rosetta ni ialah data yang berjaya dikumpulkan membuktikan yang ada bahan organik di komet tu sekaligus meningkatkan harapan yang wujud kehidupan lain di alam semesta ni.

Tapak landing Philae di komet. Sumber dari ESA.

4. Pluto bukan sebuah planet yang “sejati”

Dulu waktu belajar bab sistem suria dalam subjek sains sekolah mesti kita diperkenalkan dengan 9 buah planet yang mengorbit matahari, dan Pluto adalah salah satu planet tu. Manusia jumpa Pluto pada 1930, tetapi pada 2006 status Pluto sebagai planet ditarik balik.

Kenapa? Sebab pada tahun tu, International Astronomical Union (IAU) mendefinisikan balik maksud planet, dan Pluto tak berjaya memenuhi salah satu kriteria iaitu tidak mempunyai objek lain atau lebih besar daripadanya dalam orbit. Saintis dah lama ragu-ragu tentang status Pluto ni disebabkan Pluto berada dalam kawasan yang terdapat beribu-ribu objek lain bersamanya, malah ada objek ni lebih besar saiznya dari Pluto. Kawasan ini dikenali sebagai “Kuiper Belt”. Jadi, pluto dan objek-objek lain ni dikategorikan sebagai Planet Kerdil je, pendek kata diorang ni bukan planet sejati.

Tindakan IAU ni mencetuskan banyak perbalahan dalam kalangan saintis yang mendesak definisi planet ni dibincangkan semula. Tapi, masih takda keputusan untuk ubah balik status Pluto, jadi Sistem Suria kita sekarang hanya ada lapan planet dan pencarian planet sejati kesembilan masih diteruskan lagi.

Kesian Pluto..Sumber dari conradalaskan.com

5. Gelombang radio dikesan dari angkasa lepas. Hello alien?

Pada 2001, saintis mengesan gelombang radio selama 5 milisaat dari galaksi yang terletak berbilion tahun cahaya dari Bumi. Mula-mula tu diorang tak amik kisah sangat sampailah pada 2007 bila bunyinya makin jelas, tapi saintis sebenarnya tak faham macam mana nak jelaskan gelombang radio ni. Yang diorang boleh beritahu ialah tenaga gelombang ni 500 kali ganda lebih kuat berbanding tenaga yang dipancarkan matahari. Sejak tu, kejadian gelombang radio beberapa milisaat yang berasal dari luar galaksi Milky Way dan muncul secara tiba-tiba di langit ni dikenali sebagai “fast radio burst (FRB)”.

Sampai sekarang lebih kurang 20 FRB dikesan walaupun saintis tak berapa pasti lokasi asal semua FRB tu. Satu-satunya FRB yang dikenalpasti asal usulnya ialah  FRB 121102, iaitu dari galaksi kerdil yang terletak 3 bilion tahun cahaya dari Bumi. Nak dengar FRB ni? Klik bawah.

Banyak teori asal usul FRB ni, antaranya ialah pertembungan bintang yang jadi supernova, atau boleh jugak disebabkan oleh bintang neutron bermagnetik tinggi yang dikenali sebagai magnetar, atau mungkin juga gelombang yang terhasil apabila bintang ditarik masuk ke dalam lubang hitam. Tetapi yang paling menarik perhatian tentulah pandangan yang kata gelombang ni mungkin petanda alien cuba nak berhubung dengan Bumi!

Manusia sebenarnya dah cuba hantar isyarat radio ke angkasa sejak 1974 lagi. Tapi kemampuan isyarat radio manusia hanya boleh bergerak sejauh 200 tahun cahaya sahaja, jadi kalau betul alien yang keluarkan isyarat FRB ni diorang ada tamadun yang lebih hebat daripada manusia. Tapi malangnya buat masa sekarang tak banyak lagi yang diketahui tentang FRB so kita kena tunggu dan lihat jer lah.

Adakah alien ni yang pancarkan FRB tu?. Sumber dari sideshowtoy.com

6. Lepas 100 tahun, baru kita boleh buktikan Einstein betul

Salah seorang manusia paling bijak di dunia ialah Albert Einstein, hidup dia ni penuh cabaran tapi satu sumbangan dia yang mengubah dunia ialah Teori Umum Relatif yang dikeluarkan pada 1915. Einstein keluarkan teori ni melalui pengiraan matematik, dia kata objek besar akan menyebabkan herotan dalam dimensi ruang-masa yang kita rasa sebagai graviti.

Bila pertembungan objek besar berlaku, akan wujud getaran yang dinamakan getaran graviti atau ‘gravitional waves’. John Wheeler, seorang ahli fizik Amerika pun guna teori Einstein ni untuk cadangkan konsep ‘black hole’. Tapi masa tu teknologi masih belum cukup hebat nak cari benda ni di angkasa, jadi teori Einstein ni hanyalah pengiraan matematik yang sangat kompleks.

Aku dah kira, korang cari lah bukti. Sumber dari knowyourmeme.com

Sampailah pada 14 September 2015 , saintis berjaya kesan gelombang graviti ni yang terhasil daripada black hole yang berlaku pada 1.3 bilion tahun dulu. Yang boleh buat kita bangga tumpang sekaki ialah salah seorang ahli pasukan yang kesan gelombang graviti ni ialah rakyat Malaysia, Hafizah Noor Isa yang merupakan pelajar PhD di University of Glasgow. Bukti wujudnya black hole yang terletak hanya 38 juta tahun cahaya dari Bumi pula ditemui pada 2017.  Sekali lagi kita boleh berbangga sebab ada rakyat Malaysia dalam pasukan yang temui black hole tu iaitu Nur Adlyka Ainul Annuar pelajar PhD Durham University.

7. Ada duit lebih? Apa kata pergi berjalan di bulan pulak

Pernah dengar nama Elon Musk? Bagi korang yang tak pernah dengar, dia ni ialah usahawan yang sangat inovatif dan macam-macam dia dah buat untuk jadikan dunia lebih baik. Projek terbarunya  ialah dia nak mengubah cara kita melancong ke angkasa lepas melalui syarikatnya, SpaceX.

So, baru-baru ni Elon Musk umumkan yang SpaceX akan hantar dua orang awam ke bulan. Identiti dua orang yang super kaya dan mampu bayar tiket ke bulan ni masih dirahsiakan walaupun ada beberapa spekulasi yang dibuat mengenai siapakah mereka. Jumlah perjalanan ke bulan ni sejauh 300,000 hingga 400,000 batu dan kalau projek ni berjaya ia akan jadi projek pertama manusia ke bulan selepas 45 tahun. Dijangkakan projek ni akan dilancarkan pada tahun 2018.

Kalau projek ni betul-betul berlaku, ia akan merevolusikan apa yang kita tahu pasal pelancongan angkasa lepas. Ini bukan kali pertama orang awam “melancong ke angkasa lepas” sebab sebelum ni ada sorang mamat sanggup bayar Rusia ASD20 juta untuk bawak dia ke International Space Station. Namanya ialah Dennis Tito dan dia ialah pelancong angkasa lepas pertama dunia.

Now everyone can go to space? Sumber dari The New York Times.

Kita ni kecik je, macam titik biru pudar dalam latar hitam gelap gelita

Kajian angkasa lepas ni ialah salah satu bidang sains yang kalau korang belajar di universiti dan  beritahu orang major korang, akan ada yang tanya “nanti habis belajar kerja apa?”. Nak salahkan mereka yang skeptik ni pun tak boleh jugak. Tetapi, prinsip kejar ilmu ni ialah kita tak boleh nafikan kepentingan ilmu walaupun kita masih tak nampak praktikaliti ilmu tu dalam kehidupan kita. Apatah lagi dengan situasi Bumi yang makin teruk tercemar, siapa tahu mungkin di masa depan manusia terpaksa pindah ke planet lain untuk terus hidup dan waktu tu kita dah bersedia.

Selain tu dalam agama Islam misalnya, tuntutan untuk kaji angkasa lepas supaya kita dapat tingkatkan keyakinan pada kuasa Tuhan juga banyak kali diseru dalam Al Quran. Salah satunya ialah:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, Yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan semua Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepada-Nya. – Surah Yunus: 101

Alam semesta ni tersangatlah luas yang tunggu untuk diteroka. Sumber dari BBC.

Dalam perspektif kemanusian yang lebih luas, astronomi sebenarnya mengajar kita merendah diri dan menghargai Bumi sebab kita ni terlalu kerdil dalam alam semesta yang tersangatlah luas ni. Seperti kata-kata Carl Sagan:

“Telah dikatakan yang astronomi ni pengalaman yang sangat merendah diri dan membina perwatakan kita. Mungkin tidak ada lagi bukti yang lebih jelas tentang kebebalan dan keangkuhan manusia selain daripada imej dunia kita yang diambil dari jauh yang jadi bukti betapa kita ni sangat kecil.

Bagi saya, ia petanda yang tanggungjawab sebenar manusia ialah untuk berbaik-baik sesama kita, dan menjaga serta menghargai titik biru pudar ini, satu-satunya rumah yang kita kenali” – petikan dan terjemahan kasar daripada Pale Blue Dot, Carl Sagan.