Politik Antarabangsa

Kepulauan Natuna: Milik Indonesia, tapi berdialekkan Terengganu

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 20 Jun 2018

UPDATE 10/1/2020: Presiden Indonesia, Jokowi dah pun melakukan lawatan kepulauan Natuna. Ini adalah respons terhadap ketegangan antara kapal perang Indonesia dengan kapal pengawal pantai China di kawasan yang terletak antara Malaysia dan Borneo.


Mesti ada di antara korang yang pernah pergi ke pulau-pulau sekitar Nusantara ni. Tak kisahlah kat Malaysia atau pun kat Indonesia. Kalau ikut laporan, dekat Malaysia ni ada lebih kurang 878 pulau. Tapi dalam masa sama, lebih dari 200 pulau tersebut masih lagi tak ada nama.

Tapi kalau nak dibandingkan dengan Indonesia, jumlahnya lebih besar. Sebabnya, dianggarkan ada 17,504 pulau kat Indonesia. Dari jumlah yang berbelas ribu tu, 16,056 pulau tersebut dah pun diiktiraf oleh PBB.

Keindahan Pulau Wayag, Indonesia. Imej dari Pinterest.

Tapi dalam banyak-banyak pulau tu, pernah tak korang dengar pasal Kepulauan Natuna? Kalau tak pernah dengar, Kepulauan Natuna ni terletak kat tengah-tengah Laut China Selatan yang memisahkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah – Sarawak. Walaupun kedudukannya terpencil, ia sebenarnya terletak kat laluan utama perdagangan antara Asia Timur dengan Asia Barat.

Kalau nak dibandingkan jarak antara kepulauan ni dengan Indonesia dan Malaysia. Ia sebenarnya lebih dekat dengan Malaysia. Tapi kenapa pulak ia diletakkan kat bawah kedaulatan Indonesia? Itulah persoalan yang berlegar kat pemikiran kita semua.

Pulau Natuna. Imej dari tipsjalan.com

Untuk menjawab persoalan-persoalan ni, kita kenalah berbalik kepada sejarah. Tapi sebelum tu, ada satu lagi yang menarik. Sebabnya…

Walaupun berada di bawah Indonesia, masyarakat kat pulau ni menggunakan dialek Terengganu!

Kepulauan Natuna ni terdiri dari 272 pulau, dan pulau terbesar yang ada kat sini dikenali sebagai Pulau Serindit atau Pulau Bunguran (nama lainnya). Tapi untuk dunia antarabangsa, Pulau Bunguran ni dipanggil sebagai ‘Natuna’.

Sampai tahun 2010, dianggarkan terdapat lebih 69,000 penduduk di Natuna dengan menyaksikan golongan lelaki melebihi golongan perempuan. Selain tu, 85.27% penduduk kat sini adalah berketurunan Melayu dan selebihnya berketurunan Jawa, Sumatera dan Cina.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Seperti yang header kata, pulau ni sangat unik sebab walaupun ia di bawah kedaulatan Indonesia, masyarakat kat sini menggunakan diaelek Terengganu dalam pertuturan! Dianggarkan terdapat lebih 60 ribu penduduk kat kepulauan ni dan majoritinya beragama Islam.

Walaupun macam tu, dengan jumlah penduduk yang semakin bertambah, Natuna kini berdepan dengan masalah penyediaan kerja kepada masyarakatnya. Kebanyakan masyarakat kat sini masih lagi terlibat dalam aktiviti perikanan dan nelayan. Tapi dengan keindahan yang ada kat Natuna, dijangkakan sektor pelancongan akan terus berkembang kat sana.

Kebiruan laut Natuna. Imej dari suryamalang.tribunnews

Untuk nak tahu dengan lebih mendalam pasal asal usul masyarakat kat sini, maka patutlah kita merujuk kembali pada sejarah. Tanpa sejarah, siapalah kita kan?

Pemerintahan Natuna bermula dengan penghijrahan bangsawan dari Patani dan Johor

Sejarah mencatatkan yang pemerintahan Natuna bermula pada tahun 1597, apabila berlakunya penghijrahan kaum bangsawan dari Patani dan Johor.

Selepas kejatuhan Melaka pada kurun ke-16, kerajaan Patani dan Johor muncul sebagai kuasa baru kat rantau Tanah Melayu. Kuasa kesultanan Patani masa tu tertumpu kat negeri-negeri Terengganu, Kelantan, Narathiwat dan Yala.

“Manakala Kesultanan Johor pula menguasai kawasan selatan yang terdiri daripada negeri Pahang, sebahagian pantai timur Sumatera dan kepulauan Riau.” – Dipetik dari Astro Awani.

Kejatuhan Melaka. Imej dari orangmelaka.com

Kaitan pemerintahan Natuna dengan Patani ni mula jadi bila seorang puteri dari pemerintahan Natuna berkahwin dengan seorang kerabat di-Raja Patani. Anak diorang inilah yang jadi Datuk Kaya iaitu orang yang pegang pemerintahan Natuna.

Seorang lagi pemerintah Natuna yang terkenal adalah Wan Muhammad al-Fathani. Dia dikatakan ada hubungan yang baik dengan Inggeris, sampaikan Leftenan Kolonel Butterworth hadiahkan dia sebuah meriam pada tahun 1848. Sebenarnya, hadiah tu adalah tanda penghargaan Inggeris kepadanya kerana berjaya selamatkan sebuah kapal Inggeris yang pecah berdekatan dengan Natuna.

“Ini membuktikan wujudnya hubungan rapat antara pemerintah Natuna dengan kesultanan Melayu di semenanjung Tanah Melayu.” – Dipetik dari Astro Awani.

Terpisahnya Kepulauan Melayu, akibat dari datangnya British dan Belanda

Seperti mana yang kita tahu, bermula dengan revolusi perindustrian, maka bermula jugalah penjajahan oleh kuasa-kuasa besar dunia. Kepulauan Melayu juga nampaknya tak terlepas dari tempiasnya yang menyaksikan kedatangan British dan Belanda.

Tapi kalau nak tengok dari awal, Melaka dah pun dijajah pada tahun 1511 oleh Portugis dan kemudiannya Belanda (1641). Manakala Bengkulu, yang terletak kat Sumatra dah dikuasai British pada tahun 1685. Disebabkan kehendak nak mencari kekayaan sumber kat rantau ni, maka tak dapat dielakkan juga berlakunya persaingan antara British dan Belanda.

Revolusi Perindustrian yang bermula di antara tahun 1820 dan 1840. Imej dari searchinginhistory.blogspot

Untuk nak elakkan konflik semakin serius dan nak kekalkan kepentingan masing-masing, muncullah Perjanjian British – Belanda 1824. Kesan dari perjanjian inilah yang membuatkan Kepulauan Melayu berpecah.

“…kerajaan-kerajaan Melayu tempatan rata-ratanya masih bebas merdeka sehingga Perjanjian British-Belanda 1824 ditandatangani. Perjanjian ini dimeterai oleh kuasa-kuasa penjajah tanpa mengambil kira kesannya terhadap senario sosio-politik Dunia Melayu pada ketika itu.” – Dr Hazmi Rusli, Pakar Undang-Undang. Dipetik dari Astro Awani.

Melalui perjanjian ni, Kota Melaka diserahkan kepada British dan Belanda tak akan buat apa-apa penempatan kat Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu. Manakala, kedudukan Belanda kat Sumatera dan pulau-pulau kat selatan Singapura diiktiraf. Pemisahan takluk ni kemudiannya diterima dan jadi punca terbahaginya Malaysia dan Indonesia.

Kampung Melayu di Ipoh, Perak. Gambar lama ni dicetak kat Jerman sebelum Perang Dunia Pertama (WW1). Imej dari linyangchen.com

Kedudukan Natuna sejajar dengan Terengganu, tapi kenapa jadi milik Indonesia?

Seperti mana yang kita tahu, masa Perang Dunia ke-2, boleh dikatakan banyak negara Asia yang dikuasai Jepun. Tapi bila bom atom jatuh kat Nagasaki dan Hiroshima, Jepun terpaksa surrender dan letak senjata pada tahun 1945.

Berbeza dengan Indonesia yang lepas tu terus mengisytiharkan kemerdekaannya pada 17 Ogos 1945, Tanah Melayu berdepan dengan keganasan komunis dan kemudiannya kembali diperintah oleh British.

Nak dijadikan cerita, pada tahun 1956 setahun sebelum Tanah Melayu merdeka, Indonesia dah mengisytiharkan Kepulauan Natuna sebagai sebahagian dari wilayah Indonesia.

“Kabupaten (regency) Natuna kemudiannya telah ditubuhkan di dalam Provinsi Kepulauan Riau berdasarkan Undang-undang No. 53 Tahun 1999 yang telah dikuatkuasakan pada 12 Oktober 1999.” – Dr Hazmi Rusli, Pakar Undang-Undang. Dipetik dari mStar.

Bupati ni macam Pegawai Daerah. Imej dari terbilang.co

Namun bagi Dr Hazmi, kedudukan Kepulauan Natuna sebenarnya secara semula jadi sejajar dengan kedudukan negeri Terengganu, kalau garis lurus dilukis dari persisir Terengganu ke arah timur. Tapi disebabkan Kepulauan Natuna dah jadi milik Indonesia, sempadan Indonesia nampaknya melengkung ke atas dan bukannya dalam satu garisan lurus.

“Secara logiknya, memandangkan kepulauan Natuna masih berada di dalam wilayah lingkup kerajaan Johor saat Perjanjian 1824 ditandantangani, ianya patut berada di bawah pengaruh British, yang menjadi penaung bagi kesultanan Johor pada ketika itu.” – Dr Hazmi Rusli, Pakar Undang-Undang. Dipetik dari mStar.

Kedudukan Natuna di Kepulauan Riau. Imej dari golden-holidays.info

Walaupun macam tu, apa yang Indonesia buat pada tahun 1956, nampaknya dah mematikan langkah Malaysia. Hal ditambah lagi bila berlakunya Konfrontasi Malaysia-Indonesia 1962-1966, sampai ia berjaya mengalihkan pandangan kerajaan Malaysia dari tuntut Kepulauan Natuna kepada menamatkan konflik dengan negara jiran tu.

Tapi lepas tamatnya konfrontasi, nampaknya Malaysia tetap tak menuntut pemilikan Natuna dan ia berterusan sampailah sekarang. Dengan itu, Malaysia nampaknya mengambil langkah mengiktiraf Natuna sebagai wilayah Indonesia.

“Sehingga kini, kepulauan Natuna kekal sebagai sebuah wilayah Indonesia walaupun yang secara geografinya, kedudukan kepulauan tersebut lebih sejajar dengan kedudukan Malaysia.” – Dr Hazmi Rusli, Pakar Undang-Undang. Dipetik dari mStar.

Pemandangan Masjid Agung Natuna. Imej dari travellink-indonesia.com

Sementara kita akui Natuna milik Indonesia, masalah dengan China pula muncul

Pada tahun 2016, media Indonesia kecoh dengan tindakan Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU), yang mengusir pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Dikatakan TUDM menggunakan ruang udara berhampiran Natuna, masa nak menuju ke Labuan.

Walaupun macam tu, dakwaan ni dinafikan oleh Malaysia dengan kata – pesawat Malaysia tu tak dipintas atau diusir, tapi cuma pengenalan secara visual dilakukan oleh TNI-AU untuk mengesahkan identifikasi negara milik pesawat tersebut. Walau apapun naratifnya, tindakan Indonesia ni menampakkan ketegasan negara tersebut dalam hal kedaulatan diorang.

Pak Jokowi masa buat rondaan kat Natuna. Imej dari tribunnews.com

Hal ni termasuklah dalam kes nelayan haram kat kawasan perairan tu, yang menjadi masalah kepada Indonesia. Indonesia ada kata yang negara tu rugi USD$25 bilion setiap tahun akibat dari aktiviti haram tersebut.

Selain tu, pertikaian pun berlaku antara Indonesia dan China kat Kepulauan Natuna, apabila Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dalam jarak 200 batu nautika di perairan kepulauan tu bertindih dengan sembilan garis terputus-putus (nine-dash line) China di Laut China Selatan.

“Walaupun tidak secara terus terang mengkritik Beijing, Jakarta berasa mereka perlu melakukan sesuatu untuk mencabar tuntutan China. Beberapa kapal menangkap ikan China telah ditahan pada tahun 2013, yang menimbulkan perbalahan singkat melibatkan satu bot patrol.” – Dipetik dari RSIS Commentary.

Inilah dia nine-dash line, yang China tuntut ia berada dalam Laut wilayahnya (territorial sea). Imej dari rfa.org

Sebab itulah isu perairan bertindih ni satu perkara yang sangat sensitif untuk setiap negara. Ia bukan hanya ada kaitan dengan kegiatan ekonomi, tapi apa yang lebih besar adalah tentang kedaulatan sesebuah negara.

Walaupun begitu, Indonesia nampaknya masih lagi kekalkan kawalan tentera yang sederhana kat Kepulauan Natuna.

“Menarik pelaburan asing, terutama sekali China boleh menjadi strategi Indonesia yang lebih luas dalam memperoleh pengiktirafan dan penghormatan kedaulatan wilayahnya, dalam masa sama mengimbangi kekurangan kekuatan ketenteraannya.” – Ristian Atriandi Supriyanto, Fellow Penyelidik – Nanyang Technological University.

Keindahan Natuna. Imej dari vidio.com

Tuntutan China: Cabaran untuk ASEAN

Sebenarnya, untuk mana-mana negara yang berjiran – perselisahan faham dan pertikaian memang kadang-kadang tu tak dapat dielakkan. Buktinya, sebelum ni Malaysia – Indonesia pernah bertelagah dalam isu kedaulatan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan.

Tapi akhirnya, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan yang kedua-dua pulau ni adalah milik sah Malaysia. Begitu juga dalam isu pemilikan Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura, yang menyaksikan Singapura menang.

Klik imej atau klik sini kalau nak baca sebab kenapa kita boleh terlepas Batu Puteh.

Untuk masa sekarang pulak, ASEAN nampaknya berdepan dengan China yang nak menguatkan pengaruhnya kat Laut China Selatan. Sebab itulah muncul kebimbangan di antara negara-negara ASEAN tentang Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) masing-masing.

Seperti dah diceritakan tadi, hal ni bermula bila China membuat tuntutan berdasarkan ‘nine-dash line’ di Laut China Selatan sehingga merangkumi kawasan maritim negara-negara ASEAN.

Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China yang digariskan menerusi ‘nine-dash line’ kerana ia tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982″ – Datuk Seri Anifah Aman, bekas Menteri Luar. Dipetik dari Sinar Harian.

Indonesia dah pun tukar nama Laut China Selatan sebagai Laut Natuna Utara. Tindakan ni dah dapat bantahan dari China. Malaysia juga pernah dicadangkan untuk tukar nama Laut China Selatan sebagai ‘Laut Malaysia Raya’. Imej dari katadata.co.id

Malah, China juga sekarang giat membina pulau buatan kat Laut China Selatan. Nampaknya segala gerak geri dan langkah China kat Laut China Selatan akan terus menjadi kebimbangan di kalangan negara-negara berdekatan. Ketika inilah kekuatan, kesetiaan dan kerjasama ASEAN teruji.

Pembinaan Fiery Cross Reef oleh China kat Laut China Selatan. Imej dari Time.

[Artikel ini banyak merujuk tulisan Dr Hazmi Rusli, Dr Mohd Afandi Salleh & Dr Wan Izatul Asma Wan Talaat – yang diterbitkan di Astro Awani dan mStar.]

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend