Kamera badan pada pegawai boleh hapuskan rasuah. Kalau kena godam macam mana?

Dalam setiap negara, mesti kena ada anggota penguatkuasa yang mengawal ketenteraman dan keselamatan sesebuah negara tu. Sama jugak macam negara kita yang dilengkapi dengan adanya pasukan keselamatan dan anggota penguatkuasa yang terdiri daripada anggota polis, imigresen dan jugak kastam.

Disebabkan adanya penguatkuasa yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga keamanan negara kita, Malaysia berjaya mendapat kedudukan ke-25 negara paling aman di dunia menerusi laporan Indeks Keamanan Global (GPI) 2018.

“Pengiktirafan itu secara tidak langsung dapat meningkatkan rasa selamat dan mengurangkan kadar ketakutan jenayah dalam kalangan pelancong ke negara ini,” – Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, bekas Ketua Polis Negara, sumber dari Harian Metro.

Kebocoran hasil negara lebih RM3 bilion punca kamera badan nak diperkenalkan

Baru-baru ni ada berita dan pengumuman yang diumumkan oleh Tun M mengenai persetujuan kerajaan untuk meletakkan kamera badan kat semua anggota penguatkuasa kat Malaysia ni. Antara yang terlibat adalah anggota polis, imigresen, dan kastam. Ia berikutan pengenalan inisiatif tersebut yang diperkenalkan oleh SPRM merupakan sebagai salah satu cara untuk membendung salah guna kuasa oleh pegawai-pegawai penguatkuasa kat Malaysia. 

Ni lah contoh spesifikasi kamera tu. Imej dari Theskop

Sekarang ni kalau kita perhatikan, semuanya perlukan bukti yang kukuh, orang awam pun lebih cenderung dengan kamera dan rakaman video, lepas tu jadi viral. Dengan adanya penggunaan kamera badan kat pegawai penguatkuasa ni, ia merupakan langkah serius untuk keadilan sesetengah pihak dan jadikan kerja penguatkuasa lebih telus dan jujur. Kalau ada kamera dah tak boleh tipu kan?

Korang sendiri boleh nilai, kalau kita pertahankan sesuatu melalui hujah tanpa bukti yang kukuh, susah orang lain nak percaya. Tapi dengan adanya bukti macam gambar dan rakaman suara, ia serta merta dapat pengaruh orang untuk percaya perkara tu. Kalau main cakap je tanpa bukti, sesuatu fakta tu lagi senang untuk diputarbelitkan. 

“Kita perlu ada kamera untuk menjadi lebih telus. Ia adalah langkah pertama dalam mengurangkan salah guna kuasa malah ia berkesan sebagai alat perlindungan bukan sahaja kepada pihak berkuasa tetapi juga mangsa sekiranya berlaku tohmahan atau fitnah.

“Tanpa kamera, siapa kita akan percayai kerana sesiapa sahaja boleh mereka cerita. Setiap orang akan bagi versi masing-masing tetapi kamera akan bagi versi indipenden yang adil untuk kedua-dua pihak,” – Latheefa Koya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, sumber dari Utusan Online. 

Kegunaan kamera badan tu. Imej dari BH Online

Sejajar dengan kemajuan negara, alat yang berteknologi tinggi ni sememangnya wajar digunakan untuk tangani isu-isu keselamatan negara supaya ia dapat diselesaikan secepat mungkin. 

Penggunaan kamera badan ni sebenarnya bertujuan untuk elakkan salah guna kuasa oleh pegawai penguatkuasa yang ada je berlaku sekitar Malaysia. Tapi tak dapat nak dikenalpasti sebab takde bukti yang kukuh. Jadi melalui alat ni, ia dapat menjamin ketelusan sesuatu kes yang berlaku dan pada masa yang sama dapat tingkatkan integriti pegawai penguatkuasa.

“Kita mahu tahu apa yang berlaku antara anggota terbabit dengan pihak yang mereka berurusan seperti cara melaksanakan tugas apabila ada insiden berbangkit,” – Tun M, sumber dari Harian Metro. 

Selain tu, pengenalan inisiatif ni ekoran daripada negara menghadapi masalah kebocoran hasil bernilai lebih RM3 bilion kat pintu keluar masuk dalam masa setahun disebabkan masalah integriti pegawai dan jugak kurangnya peralatan teknologi yang digunakan.

Mungkin lepas ni diaorang jugak boleh jadi paparazi artis? Imej dari Utusan Online

Jadi, dengan adanya penggunaan alat teknologi yang mampu mengawasi gerak geri setiap orang, ia sekali gus dapat memperkasakan kecekapan dan ketelusan pihak penguatkuasa terutamanya. Dan pihak pengurusan lain pun boleh mendapat akses melalui teknologi tersebut. 

Dalam pada itu, orang ramai dan pihak yang lain jugak menyokong hasrat kerajaan dengan pelaksanaan sistem teknologi kamera badan ni. Ia berikutan alat yang akan dibekalkan ni dapat memudahkan kerja pegawai penguatkuasa serta dapat menjadi bukti untuk mengelakkan fitnah yang berlaku kat diaorang.

Kamera badan bukan fungsi untuk ambik gambar badan ye. GIF dari Giphy

Tapi, sebenarnya, tak semua orang setuju dengan pengenalan alat yang akan digunakan ni. Ia dianggap macam melanggar prinsip hak asasi pegawai penguatkuasa tu sendiri. Sebab penggunaan alat tu kat pegawai penguatkuasa macam memalukan anggota tu sendiri yang sememangnya profesion diaorang ni sangat bermaruah dan berintegriti tinggi. Ia jugak dianggap macam diaorang ni tak boleh dipercayai kalau kamera badan tu dilaksanakan. ?

“Perdana menteri dan seluruh anggota kabinet kerajaan PH perlu insaf bahawa anggota polis, imigresen dan kastam adalah manusia bermaruah dan ada harga diri.” – Hassan Abdul Karim, MP Pasir Gudang, sumber dari Malaysia Kini. 

Haa jaga-jaga ye. Imej dari Berita Harian.Sg

Walau bagaimanapun, pelaksanaan tu akan diadakan kemudian hari sebab ia melibatkan kos kepada kerajaan dan perlu diteliti dengan lebih mendalam. Tapi bila cakap pasal kos ni, kitaorang cuba bandingkan dan kira penggunaan kamera badan ni kat US dengan kadar kos yang diperlukan untuk pegawai penguatkuasa kat Malaysia…

Banyak negeri kat US dah sekat penggunaan kamera badan sebab kos yang tinggi

Walaupun penggunaan kamera badan ni mempromosikan keselamatan pegawai penguatkuasa dan menggalakkan interaksi positif dengan orang awam yang lain serta sangat efektif, tapi ia sebenarnya melibatkan kos yang tinggi. Jom buat matematik sikit.

Okay, bincangkan… ?

Walaupun penggunaan kamera badan sebenarnya dah banyak digunakan negara-negara maju yang lain, tapi sebenarnya ada banyak negara jugak dah menyekat dan melarang penggunaan kamera badan ni. Ia disebabkan kos penyelenggaraan dan penyediaan kamera badan yang sangat tinggi. 

Kat Malaysia, belum ada lagi anggaran kos kamera badan yang dinyatakan, tapi kitaorang semak kos yang melibatkan kamera badan kat negara lain yang dianggap alat ni sebagai bebanan kat diaorang. Jadi, kitaorang kira kos kamera badan untuk seorang pegawai penguatkuasa dengan bandingkan kos tersebut dengan kat US.

Contohnya macam kat Chicago, program pelaksanaan kamera badan ni dibatalkan sebab kos tahunan yang diperlukan untuk kamera badan dan penyimpanan video tu je dah bernilai $20,000 USD. Kos tu hanya merangkumi untuk satu balai polis yang ada 17 orang pegawai.

Agak-agak polis boleh selfie tak dengan kamera tu? Imej dari Malaysia Kini

Jadi kitaorang kira jumlah keseluruhannya dengan kat Malaysia:

$1 = RM4.17

$20,000 = RM83,400

RM83,400/17 = RM4,905++ seorang

Okay tu kos yang diperlukan untuk seorang pegawai penguatkuasa untuk setahun. Kami tak jumpa jumlah tepat pegawai penguatkuasa, cuma yang ada jumlah pegawai keseluruhan polis. Kita guna jumlah ni untuk kira kos yang diperlukan untuk sektor polis.

Sehingga tahun 2017, jumlah pegawai polis kat Malaysia dah mencecah hampir 117,929 orang.  Jadi, kitaorang kira dan cuba anggarkan kos yang diperlukan dan kos yang bakal dibelanjakan dengan gunakan perbandingan kos kat US.

117,929 orang  X  RM4,905 = RM578,441,745

Jadi tu lah jumlahnya untuk pegawai polis je, belum kira lagi pegawai penguatkuasa yang lain.

“Kamera badan sangat bagus untuk memenangi kepercayaan orang ramai, tapi ianya mahal.” – George Carpenter, pegawai polis Chicago, sumber dari Washington Post. 

Kita kalau nak merasa ada kamera badan, bolehlah buat macam tu jugak. Imej dari tokopedia

Walaupun kamera ni dah digunakan secara meluas, tapi rata-rata balai polis kat negeri dan daerah sekitar US dah tak gunakan lagi kamera badan ni. Banyak jabatan terutamanya jabatan yang terdiri daripada skala kecil dan di kawasan luar bandar, diaorang dapati ia terlalu mahal untuk menyimpan data dan menguruskan rakaman dan jugak ambil masa sangat lama untuk proses tu.

Kat daerah Wahoo, Nebraska, US pulak, kos kamera badan untuk seorang pegawai polis dah menelan belanja sebanyak $3,000 (RM12,510). Dan kat Arlington County Virginia pulak, pegawai polis kat sana buat keputusan untuk tak nak gunakan kamera badan ni lepas diaorang jalankan projek perintis penggunaannya; yang anggaran kos tahunan sebanyak $300,000 (RM1,251,000) yang diperlukan. 

“Aspek yang paling mudah adalah membeli kamera badan dan mengarahkan pegawai menggunakannya. Ia tidak begitu mahal. Tetapi menyimpan semua data yang mereka kumpulkan – kos itu luar biasa. Semakin kecil sesebuah jabatan, semakin sukar bagi mereka.” – Jim Pasco, pengarah eksekutif National Fraternal Order of Police, sumber dari Washington Post. 

Tempat pengecasan kamera badan tu. Kena cas dulu sebelum guna ye. Imej dari The Washington Post

Walaubagaimanapun, Tun M sendiri ada bagitahu yang penggunaan kamera badan ni tak diberikan kat semua pegawai penguatkuasa, memandangkan jumlah keseluruhan diaorang lebih kurang 1.7 juta, dan tentunya ia perlukan belanja yang banyak.

“Mungkin kita boleh tukarkan beberapa orang yang sudah bekerja untuk tugas yang lebih penting kerana kita tak boleh tambah terlalu banyak memandangkan kita tak mempunyai wang yang cukup,” – Tun M, sumber dari Malaysia Kini. 

Penggunaan kamera badan boleh ancam keselamatan? ?

Di samping kos kamera badan yang tinggi, ia jugak sebenarnya boleh ancam keselamatan kedua belah pihak iaitu sama ada orang awam mahupun pegawai penguatkuasa sendiri. Walaupun pihak penguatkuasa dah mempunyai kuasa tertentu dalam negara ni, tapi kalau penggunaan tu disalah guna, ia secara tak langsung akan membahayakan diaorang sendiri. 

Kalau mak ayah korang guna kamera ni, mungkin korang dah tak boleh tipu diaorang? Imej dari Techcruch

Walaupun ia dilihat boleh berikan kelebihan untuk menjamin keselamatan, tapi masih ada lagi aspek yang perlu diambil kira sebelum melaksanakannya. Kebimbangan berlaku kalau video yang dirakam menerusi kamera tersebut disalahgunakan oleh pegawai-pegawai tertentu

Selain aspek tersebut, kelemahan dalam pengaplikasian alat teknologi tersebut jugak perlu diambil kira sebab ia melibatkan kos yang menyeluruh dan juga data privasi pihak penguatkuasa. Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) ada cadangkan supaya ia dilaksanakan secara perintis. Jadi, melalui itu, ia dapat dilihat keberkesanannya dan jugak aspek lain yang perlu diambil kira.

“Kami bimbang cips yang ada dalam kamera badan disalahguna oleh pihak tertentu untuk mengesan di mana penguatkuasa kita berada dan ini boleh membahayakan anggota kita,” – Azih Muda, Presiden Cuepacs, sumber dari Malaysia Kini. 

Takut jugak kalau video tu diedit jadi macam tu dan terus dimuatnaik dalam TikTok. Imej dari YouTube

Selain tu, ia jugak boleh membahayakan jika rakaman tu tak didedahkan kat orang awam. Ia dikhuatiri akan jadi tak ada ketelusan antara pihak penguatkuasa dan orang awam sendiri. Dan jugak membahayakan orang awam kalau orang awam tak tahu mengenai sesuatu jenayah yang berlaku kalau rakaman tu tak disebarkan.

Di samping itu, jika rakaman tersebut mengandungi imej pelaku jenayah, aktivis berpendapat supaya rakaman imej tersebut dikaburkan sebagai salah satu cara untuk melindungi privasi individu tersebut. 

 

Kalau nak sebarkan rakaman tu, kena kaburkan jadi macam tu. GIF dari Giphy

Walaubagaimanapun, penggunaan alat tersebut tak ada kaitan dengan hak asasi sebelah pihak je sebab ia melibatkan ketelusan yang menyeluruh. Dan, perlaksanaan kamera badan tu akan dilaksanakan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tidak melebihkan mana-mana pihak.

“Bagaimanapun, ia perlu dilaksanakan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan anggota terlibat boleh dikenakan tindakan sekiranya mereka sengaja menutup kamera tersebut,” – Latheefa Koya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, sumber dari Utusan Online. 

Kamera badan mampu jadikan Malaysia negara berintegriti tinggi

Perancangan kamera badan tu sebenarnya merupakan salah satu janji kerajaan untuk menjadikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pasukan penguatkuasa yang dihormati dan disegani. Bukan PDRM je, tapi juga pihak-pihak penguatkuasa yang lain.

Ia juga merupakan salah satu inisiatif dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) untuk pastikan hasrat dan usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang berintegriti tinggi dan untuk mengamalkan pengurusan governans yang baik dapat dilaksanakan.

In case korang terlepas pandang. Imej dari Penerangan.gov

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)