Pendidikan & Kesihatan

Ada subjek Ulum? Kenapa jam belajar agama di sekolah rendah bertambah?

Lepas Dr Maszlee Malik letak jawatan daripada Menteri Pendidikan, Dr Mahathir pulak yang jadi pemangku jawatan tu buat seketika sementara nak tunggu menteri pendidikan baru yang akan pikul tugas tu. Dan kita semua sedia maklum yang Tun M sebelum ni memang pernah jadi menteri pendidikan, dan kawan kami kat CILISOS ada tulis pasal cerita tu.

Dalam artikel tu ada terangkan waktu pentadbiran Tun M sebagai menteri pendidikan sebelum ni. Tapi baru-baru ni ada kenyataan akhbar mengenai sistem persekolahan yang nampak macam tak seimbang dari segi pembahagian subjeknya. Selain itu, dikatakan sistem penjadualan kat sekolah banyak dipenuhi dengan ritual keagamaan untuk pelajar-pelajar sekolah kat Malaysia ni.

Sistem penjadualan yang membebankan murid sekolah rendah

Bila cakap pasal sesi persekolahan ni, apa yang kita boleh perasan banyak perubahan dari segi pembelajaran dan teknologi semasa yang digunakan untuk memudahkan sistem pengajaran yang semuanya makin canggih.

Kitaorang pun tak rasa benda ni dik. Kalau datang lambat kena denda cuci tandas :( Imej dari thetrendingnow

Tapi sebenarnya, bila kita perhatikan situasi persekolahan ni, ia sebenarnya sama je waktu zaman kita sekolah dulu. Kenapa pulak sama? Macam ni, dulu dengan sekarang berdasarkan apa yang kita boleh nampak, jadual pembelajaran sentiasa padat, pelajar kurang rehat, beg sekolah berat, kerusi meja selalu rosak, kekurangan buku teks, buku teks tebal-tebal dan tak update dan apa yang sewaktu dengannya.

Bila sebut pasal jadual pembelajaran padat ni, ia sememangnya tak tercapai dek akal macam mana kita boleh tempuhi zaman tu waktu kecik-kecik. Para pelajar terpaksa berdepan dengan pelbagai aktiviti dari pagi hinggalah ke malam, kadang-kadang ada yang tak sempat rehat. Dan situasi tu tetap berlaku sampailah ke hari ini.

Menurut psikologi, hal ni jugak secara tak langsung bagi kesan negatif pada pembesaran anak-anak tu. Ia dilihat yang jadual kelas harian yang padat dan membebankan membelenggu para pelajar seawal usia tujuh tahun lagi. Ditambah dengan terpaksa memikul bebanan buku untuk subjek tertentu. Kadang-kadang satu subjek ada lebih daripada tiga buah buku yang berlainan.

Kita dulu pun macam ni sebab tu lah tak tinggi :(
Imej dari budaktrolak.blogspot

Walaupun ada sesetengah penjaga yang tak berpuas hati dengan sistem penjadualan ni, namun ada jugak sesetengah ibu bapa yang lebih suka dengan situasi begitu, sebab ia merupakan fasa perkembangan otak buat anak-anak. Jadi mereka boleh terokai dan merasai macam-macam bentuk aktiviti dan bidang pembelajaran. Secara tak langsung, ibu bapa boleh perasan kecenderungan anak-anak mereka.

“Jangan biarkan anak merugikan masa walaupun seminit tetapi isikan dengan aktiviti berfaedah memandangkan fasa ini terlalu ‘berharga’,” – Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheik Mustapha, sumber dari FMT.

Walau bagaimanapun, ada ibu bapa yang menyuarakan kebimbangan mereka apabila perasan yang sistem penjadualan kat sekolah kebangsaan terutamanya adalah tak seimbang… Iaitu tak seimbang dari segi pembahagian waktu subjek …

Bila jadual padat sangat, datang sekolah pagi-pagi dah macam gini. Imej dari mysumber

Jadual tak seimbang, lepas jQAF ada KAFA pulak

Baru-baru ni ada kenyataan daripada penjaga mengenai aktiviti keagamaan yang makan masa agak lama dan kecoh jugak kat media sosial mengenai jadual harian pelajar yang dipenuhi dengan subjek agama melebihi waktu jam subjek yang lain.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Ada beberapa subjek keagamaan yang diperkenalkan untuk murid sekolah kebangsaan yang dimasukkan dalam jadual waktu pembelajaran mereka. Antaranya Tasmik, Ulum, Bahasa Arab dan Quran. Ia adalah subjek yang dipecahkan melalui silibus dalam subjek Pendidikan Islam yang sememangnya subjek teras seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pendidikan 1996. 

Antara objektif jQAF. Imej dari slideshare

Ia dikatakan subjek tersebut diletakkan di bawah program pendidikan j-QAF (Jawi, al-Quran, Arab dan Fardhu Ain yang merangkumi Ulum Syar’iyyah, Aqidah, Akhlaq, ibadah, sirah selain Bestari Solat menjadi teras utama).

Program j-QAF ni merupakan pendekatan pembelajaran agama kat sekolah kebangsaan (rendah) kat Malaysia. Ia dicetuskan oleh Pak Lah pada tahun 2004 untuk memperkasa sistem pengajaran pendidikan Islam kat sekolah dari peringkat rendah lagi. Dan ia dilaksanakan pada tahun 2005 dan bertujuan untuk memperkasakan subjek Pendidikan Islam yang kebanyakan pelajar Islam tak berupaya untuk menguasainya. 

“Ibu bapa sekarang (banyak yang) sibuk dengan kerjaya, jadi dia mahu anak-anak di sekolah rendah mesti ada fokus kepada nilai-nilai murni. Nilai murni paling banyak (diajar) dalam bidang moral dan keagamaan.” – Kamarozaman Abd Razak, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), sumber dari MalaysiaKini.

Melalui pelaksanaan program ni, ia mensasarkan supaya murid sekolah rendah dapat khatam al-Quran pada usia 12 tahun ataupun darjah enam sebelum mereka pergi ke peringkat menengah ataupun pada usia yang lebih awal lagi. Selain tu, ia jugak diharapkan supaya murid-murid dapat berkomunikasi dalam Bahasa Arab dalam bentuk komunikasi yang mudah dalam aktiviti seharian.

Kandungan dalam buku Bahasa Arab darjah 2. Perkataan Bahasa Arab yang kitaorang tahu cuma ana anta je. Imej dari arabicstudentforlife

Kaedah pembelajaran tu adalah menggunakan dan mengikut model yang ditetapkan dan secara berperingkat. Ia dimasukkan sekali dalam sesi pembelajaran (jadual waktu) sebab tak nak sesi persekolahan murid sekolah rendah terpaksa menempuh sesi persekolahan terlebih masa.

Dan program jQAF ni dah dijadikan kurikulum wajib untuk sekolah rendah. Apa yang tak seimbangnya bila murid-murid dikehendaki mempelajari jQAF dan pada masa yang sama, subjek kurikulum teras sejak dulu lagi adalah Pendidikan Islam yang mereka kena belajar jugak. Namun begitu, konteks yang dipelajarinya adalah berlainan. Tapi situasi sekarang ni, Pendidikan Islam dah tak diajar dan ia dipecahkan kepada subjek Al-Quran, Ulum, Tasmik, Bahasa Arab dan Jawi.

Dan lepas habis sesi persekolahan kebangsaan, kebanyakan pelajar dihantar ke kelas KAFA pada sesi petang. KAFA dan jQAF dikendalikan oleh bahagian yang berasingan. KAFA kat bawah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Negeri, dan jQAF pulak memang tertakluk kat bawah Kementerian Pendidikan.

KAFA ni pulak lebih mengkhusus pada penekanan kepada aspek Sirah, Fiqh, Tajwid, Khat, Al-Qur’an, Akhlaq, Bahasa Arab dan Tauhid yang memang takde penambahan subjek asas yang lain. Kiranya ia memang menjurus pada aspek ilmu agama je.

Uniform KAFA untuk pelajar sekolah rendah. Imej dari Naqia.net

Walaubagaimanapun, ia diperhatikan yang budak sekolah rendah sekarang ni dah macam berada dalam sesi persekolahan berkonsepkan agama (sekolah agama). Dari awal lagi mereka ‘dipaksa’ untuk mempelajari berbagai subjek yang pada masa yang sama buatkan mereka susah nak kuasai subjek tertentu secara berperingkat.

Sebab semuanya ‘disumbat’ dalam satu masa yang sama. Dan ada antaranya yang tak faham apa yang diajar dan apa yang mereka belajar, sebab mereka diberikan tekanan untuk menguasainya sebelum masuk sekolah menengah. 

“Sekolah kebangsaan hari ini seperti sekolah agama. Semua belajar tentang Islam dan tidak ada yang lain. Akibatnya, lepasan sekolah kurang mengetahui mata pelajaran yang berguna untuk pekerjaan, tetapi boleh jadi ‘ulama’.” – Tun Dr Mahathir, sumber dari FMT.

Secara umumnya, masa minimum subjek agama dan moral (untuk SJK) untuk pelajar tahap satu sekolah kebangsaan adalah 96 jam setahun (termasuk subjek jQAF iaitu selama 32 jam). Untuk sekolah jenis kebangsaan (SJK) adalah 64 jam bagi subjek moral untuk setahun. Dan sama jugak bagi pelajar tahap dua SK, tapi bagi SJK, 80 jam diperuntukkan untuk subjek moral.

Dan hal ni terbukti bila ada beberapa orang ibu bapa yang kongsikan jadual waktu pembelajaran anak mereka kat laman media sosial baru-baru ni.

Sungguhpun begitu, subjek keagamaan ni dikatakan hanya tambahan dan ilmu dampingan untuk murid sekolah rendah sebagai bekalan untuk mereka yang jugak kebanyakannya kadar literasi pendidikan agama agak kurang. 

“Masa yang digunakan untuk PI hanyalah 96 jam setahun daripada 752 jam keseluruhan mata pelajaran, iaitu kurang daripada 13 peratus setahun.” – Mohamad Raimi, presiden ABIM, sumber dari MalaysiaKini.

Dalam Penyata Mahathir wajib tekankan pendidikan kerohanian

Disebabkan hal ni yang dilihat sebagai salah satu sebab pada ketidakupayaan pelajar menguasai subjek tertentu, ia membimbangkan ibu bapa. Dan ada di antaranya yang memilih untuk hantar anak mereka kat sekolah antarabangsa sebab kurikulum yang dipelajari tak membebankan macam apa yang diajar kat sekolah kebangsaan.

Waktu ni benda yang paling ketara je lah boleh dapat tangkap. Imej dari FB Cikgu Muna Praktis Matematik UPSR

Sebelum ni, ada kenyataan daripada Tun M dan pihak kementerian yang kurikulum sekolah akan dirombak dan kurikulum baru dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2020 ataupun pada 2021. Kurukilum baru yang akan diperkenalkan ni dikatakan akan tumpukan pada subjek yang lebih bersesuaian dan berguna untuk digunakan pada pelajar yang bukan saja hanya pada aspek agama.

“Kita akan tetap belajar agama tetapi bukan pada setiap waktu dalam sehari (persekolahan), mungkin satu atau dua waktu.

“Kita perlu kuasai semua mata pelajaran lain kerana jika mahu maju, rakyat Malaysia bukan perlu ada pendidikan baik dalam baca doa (soal agama) saja.” – Tun Dr Mahathir, sumber dari MalaysiaKini. 

Dalam pada itu, disebabkan kurikulum yang menumpukan pada aspek pendidikan agama je, ia boleh jadi penyebab kepada murid sekolah akan ketinggalan daripada pelajar negara lain dari aspek pembangunan dan penguasaan semasa secara menyeluruh.

Ada jugak yang berpendapat subjek agama ni boleh diketengahkan melalui subjek-subjek asas yang lain. Sebab kanak-kanak diperingkat umur rendah ni perlu diberi pendedahan yang tak terlalu berat dan banyak untuk mereka. Selain tu, ibu bapa pun perlulah pantau perkembangan pembelajaran anak mereka dan jangan hanya serahkan tanggungjawab tu pada cikgu je. Dan luangkan masa untuk menyertai kelas agama bersama anak-anak.

Selain tu, ia juga dilihat subjek keagamaan ni mendedahkan kepada aspek memecahbelahkan masyarakat dari peringkat rendah lagi selain daripada ada terdapat cikgu yang mengajar subjek agama tak betul-betul terlatih dan mencurigakan ibu bapa. 

Kalau tengok sistem pendidikan sekolah swasta ataupun antarabangsa dan kat luar negara, pelajar peringkat rendah ni diberikan kebebasan untuk belajar sambil bermain dan dititikberatkan dengan literasi bahasa supaya diaorang dapat menguasai penggunaan bahasa dengan lebih baik dan berkesan.

Waktu Tun M jadi Menteri Pendidikan (Menteri Pelajaran) dulu, dia ada perkenalkan Penyata Mahathir 1979 yang bertujuan untuk pastikan yang sistem pendidikan dapat penuhi matlamat negara untuk lahirkan masyarakat yang bersatu, berdisiplin dan terlatih.

Klik imej untuk baca artikel apa yang Tun M buat waktu dia jadi menteri pendidikan dulu. Imej dari CILISOS

Waktu penyata ni diperkenalkan, antara tumpuan yang diberi penekanan adalah subjek keagamaan yang diwajibkan bagi para pelajar peringkat menengah untuk lulus subjek tu sebagai syarat lulus SPM. Walaupun tumpuan diberikan pada pendidikan kerohanian waktu tu, pelajar pada peringkat rendah tak ditekankan dengan subjek keagamaan yang lebih meluas. Dan korang boleh klik sini untuk tahu dengan lebih mendalam.

Buat kajian terperinci sebelum ubah sistem

Pendidikan kat Malaysia ni bukan je beri tekanan pada pelajar, malah ia jugak bagi tekanan pada guru-guru. Semua bebanan diberikan secara 100% pada cikgu, ditambah dengan perangai ibu bapa lagi; sampaikan anak ketinggalan pun salahkan cikgu. Dalam hal ini, ibu bapa kenalah mainkan peranan yang penting jugak. Jangan serahkan semuanya kat cikgu. Cari inisiatif untuk kurangkan bebanan dan tekanan anak-anak

Dalam hal pengubahsuaian kurikulum jugak, kajian dengan lebih terperinci dan menyeluruh perlu dilakukan supaya pelajar tak dijadikan bahan kajian untuk sistem tertentu. Di samping, ia perlu berselaras dengan menghasilkan keseimbangan dalam pembelajaran anak-anak sekali gus membantu negara untuk mencapai status negara maju.

“Asas kajian semula kurikulum dan dasar pendidikan secara keseluruhan perlu melihat kepentingan dalam pendidikan membentuk watak bangsa Malaysia,” – Mohamad Raimi, presiden ABIM, sumber dari MalaysiaKini.

kurikulum baru dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2020, tapi kenapa masih sama?

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend