Agama

Cham Bani, percampuran agama antara Islam dan Hindu di Kemboja

Kalau sebut pasal Islam, kita sedia tahu yang agama ni dah tersebar ke seluruh dunia, bahkan di Tanah Melayu seawal abad ke tujuh masihi, bila pedagang Arab datang ke Melaka. Malah, ada juga bukti lain iaitu dengan penemuan Batu Bersurat di Terengganu.

Batu Bersurat Terengganu yang berusia lebih kurang 700 tahun yang lalu. Imej dari wikipedia

Malah di seluruh dunia, di mana wujudnya perkampungan Islam di negara-negara yang majoritinya bukanlah beragama Islam. Contohnya macam Islam di China, India, Afrika, malah antara yang terkenal ialah Melayu Islam Champa di Vietnam. 

Tapi Islam Champa ni pula ada pecahan tersendiri di mana wujudnya satu golongan yang dipanggil Cham Kram Kan Imam San, atau Cham Bani.

Cham Bani, salah satu pecahan Islam Cham yang berada di utara Vietnam

Menurut kajian, orang Champa sendiri adalah penduduk asal Vietnam, negeri Melayu tertua di dunia yang kemudiannya lari disebabkan berlakunya perang saudara Viet selama beberapa dekad.

Kebanyakan orang Champa ni sendiri adalah Muslim Cham, salah sebuah daripada 54 kumpulan etnik tersebut. Ada juga yang wujud dari keturunan hasil perkahwinan campuran antara orang Vietnam tempatan dengan para pedagang Muslim yang lain.

Penempatan asal orang Champa. Imej dari vietnam.ttu.edu

Dalam konteks Melayu Cham di Vietnam sekarang, nampaknya, mereka ni dah terdiri daripada 3 kelompok:

1. Cham Islam –  membentuk hampir 80-85% daripada keseluruhan bangsa Cham,  dan majoritinya adalah Islam Sunni (macam kita di Malaysia)
2. Cham Balamon [Jat] penganut Hinduisme [Shaiva] dan Buddhisme [Mahayana] – membentuk 15-20% daripada penduduk Cham, dan
2. Cham Bani pula nampaknya mempunyai kepercayaan tersendiri yang akan kita ceritakan lebih lanjut nanti.

Solat sebulan atau seminggu sekali, hanya pada hari Jumaat

Walaupun mengaku beragama Islam, tapi nampaknya cara Cham Bani menunaikan solat adalah berbeza dengan mana-mana umat Islam Sunni di seluruh dunia.

Sebelum tu, korang juga kena tahu yang dalam agama Cham Bani ni, mereka ada hierarki tersendiri. Hierarki tertinggi ni lah dikatakan sebagai pembesar-pembesar atau wakil-wakil agama, yang dikenali sebagai Atchar/Acar di mana hierarki teratas akan pakai baju putih dan merah, iaitu baju seakan jubah, dengan serban yang mempunyai rambu-ramba warna merah. Ini yang membezakan Atchar dan penganut Cham Bani yang lain.

Ahli Cham Bani yang merupakan wakil tuhan untuk masyarakat Cham Bani. Baca tulisan jawi kat belah kiri tu

Warna pakaian mereka ni pula sebenarnya diinspirasikan oleh para rahib Brahmanis. Wakil tuhan ni lah yang menjadi ‘perantara’ masyarakat Cham Bani dan Allah yang disebut Po Allah, Po Alwah, Po Aluah, atau Po Luah.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Atchar yang wujud dalam Cham Bani ni adalah seorang ahli keluarga dari setiap keluarga yang menyediakan seorang untuk dilatih dalam urusan agama.

Baju putih seakan jubah yang dipakai juga dilengkapkan dengan tiga beg kecil yang melambangkan Allah, Muhammad dan Nabi Ibrahim, berlainan macam Islam yang kita pelajari di Malaysia, malah di kebanyakan negara.

Kalau Kristian percayakan Holy Trinity, Cham Bani juga sama, cuma berlainan watak. Imej dari YouTube

Menurut agama Islam, solat fardu lima waktu adalah perkara kedua dalam Rukun Islam. Tapi nampaknya, mereka percaya yang solat tak perlu dilakukan lima kali setiap hari, tetapi sebulan atau seminggu sekali iaitu pada hari Jumaat yang mana mengikut kepercayaan mereka, sudah memadai.

Kalau kita rujuk balik Rukun Islam lagi, solat lima waktu sehari semalam merupakan tanggungjawab setiap individu yang beragama Islam. Tapi nampaknya solat hanya dilakukan oleh wakil tuhan saja, iaitu Atchar tu tadi, manakala orang biasa hanya perlu mengaminkan saja.

Yang bertopi (Atchar) akan sembahyang di sebuah ruang tertentu, dan yang lain cuma tunggu doa lepas tu. Bagaimanapun, ritual sembahyang ni dikatakan lebih kepada cara ibadah orang Tibet. Bukan setakat mengaminkan, malah golongan Cham Bani juga akan buat penyembahan kepada nenek moyang sendiri walaupun sebenarnya, Islam melarang keras perbuatan menyembah orang apatah lagi yang sudah meninggal dunia.

Dan walaupun bunyi sangat menyimpang, tapi nampaknya acara keagamaan terbesar mereka adalah Ramuwan, atau bulan Ramadhan yang selalunya disambut meriah.

Puasa yang hanya dilakukan oleh Atchar, wakil agama untuk seluruh kampung

Bulan Ramadhan nampaknya bulan yang paling ditunggu-tunggu oleh Cham Bani, malah merupakan perayaan yang paling penting dalam kehidupan budaya dan rohani umat Islam Cham Bani berbanding Aidilfitri yang meriah disambut oleh mereka terutamanya yang puasa tak penuh (k gurau je)

Adegan biasa bulan puasa. P/S: Jangan lakukan aksi ini di rumah atau dalam semak

Macam kita umat Islam yang lain, masa bulan Ramadhan juga digunakan sebaik-baiknya oleh masyarakat Cham Bani bagi mendidik generasi muda mereka, terutamanya dalam melindungi nilai-nilai budaya tradisional orang Cham. Pada bulan ni jugalah masjid akan dipenuhi dengan masyarakat Cham Bani yang datang untuk berdoa di masjid.

Doa, doa juga, tapi… wujudnya upacara yang membuatkan ia bertambah pelik bila ada persembahan beras, upacara pembersihan badan, malah menghiasi kubur nenek moyang dan menyembah mereka yang dah mati.

Imej dari www.magzter.com

Sedang umat Islam di seluruh dunia berpuasa sebulan pada bulan Ramadhan, nampaknya Ramadhan ni sebenarnya tak ubah macam sebuah upacara semata bagi golongan Cham Bani. Sama macam upacara sembahyang, nampaknya Atchar saja yang akan berpuasa bagi pihak masyarakat, dan Atchar juga yang akan memohon kemaafan untuk komuniti mereka, semacam satu Fardhu Kifayah pula.

Bagi Atchar yang berpuasa pula, mereka akan duduk di satu bilik beramai-ramai (macam orang tidur masjid), sambil-sambil menunggu waktu berbuka. Berpuasa bagi mereka adalah menahan lapar sahaja, tapi merokok pula dibenarkan.

Dan nampaknya, Atchar tadi bukanlah berbuka puasa pada waktu maghrib, tapi waktu yang ditetapkan wakil agama mereka. Bila masuk waktu buka puasa, seorang yang ditugaskan akan mengetuk gong khas mereka.

Gong yang akan dibunyikan semasa berbuka puasa… waktu mereka. Imej dari YouTube

Seterusnya, langsir akan ditutup bagi menggelapkan ruang, yang mana simbolik sebagai waktu  malam, dan akan makan dalam keadaan gelap gelita. Masa ni, takde sesiapa dibenarkan tengok kesemua Atchar ni makan dalam gelap. Upacara berpuasa bagaimanapun hanyalah berlangsung selama 3 hari pertama sahaja. 

Buka puasa di mana penduduk kampung akan menyediakan hidangan, dan Atchar sentuh sikit je dan selebihnya dimakan orang kampung bersama kelaurga. Lilin dinyalakan supaya roh jahat takkan usik kesemua makanan tu.  Imej dari YouTube

Nampaknya selain solat, berpuasa, malah bersunat merupakan simbolik semata-mata bagi masyarakat Cham Bani. Mereka mengaku yang lelaki bersunat, malah beserta upacara. Buluh runcing dan pisau semuanya dah siap sedia, di mana akan ada upacara. Mereka berjampi, dan bila tiba masa bersunat tu, nampaknya ia takkan dipotong kerana cumalah sebuah simbolik.

Kalau korang terfikir, macam mana boleh wujudnya Cham Sunni, dan Cham Bani yang jauh beza ni? Ini membawa kita ke point seterusnya, iaitu macam mana ia bermula…

Cham Bani yang asalnya dari percantuman Islam dan Hinduisme yang diperkenalkan Raja Champa

Dengan kesemua bentuk penyembahan yang dilakukan, kita dapat nampak yang agama Islam Cham Bani ni mempunyai pertembungan bukan budaya semata-mata, tapi melibatkan agama lain.

Cham Bani di depan kuil

Ia membawa kita kepada sejarah asal usul Cham Bani ni, ia dikatakan merupakan percantuman Islam dan Brahmanism, tradisi keagamaan India kuno yang muncul dari agama Veda yang terdahulu oleh raja pada zaman tu, King Po Rome.

King Po Rome (1627-1651) telah mencantumkan Islam dan Brahmanism untuk menyatukan rakyatnya yang mempunyai perbezaan dan tak boleh toleransi sesama sendiri pada masa tu, dan dikatakan mampu membawa bahaya kepada keselamatan negara.

Disebabkan pertembungan dua agama ni juga, wujudnya sejarah yang dikatakan dari diraja Cham di mana Allah merupakan raja pertama di Champa. Datang dari langit untuk memerintah Cham selama 37 tahun. Mereka dalam masa yang sama mengasimilasikan dewa-dewa Brahmanis macam dewa ibu Po Nagar.

Po Nagar yang disembah Cham Bani juga merupakan Dewi Hindu Bhagavati. Imej dari detechter.com

Walaupun Cham Bani mengaku yang mereka menyembah Allah sebagai Tuhan mereka, tapi mereka tak menafikan yang mereka juga menyembah Po Nagar untuk memberikan mereka hujan. Po Nagar dipercayai sebagai ibu tuhan bagi kedua-dua Brahmanis dan Cham Bani. Malah, Cham Bani mengakui yang Po Nagar mempunyai kedudukan yang sama dengan Allah. 

Selain sembahyang kepada Allah untuk rezeki zuriat, Cham Bani juga menyembah Po Nagar untuk kemewahan tanaman.

Disebabkan tu jugalah halal haram bagi mereka adalah kurang jelas, di mana walaupun daging khinzir adalah haram dimakan, tapi pemakannya perlu makan senyap-senyap dan tak memberitahu yang lain. Malah minum arak juga dibenarkan, cumanya mereka tak boleh ikut serta mana mana upacara Islam jika mabuk.

Sehingga ke hari ni, Cham Bani dan Cham Jat percaya yang mereka memerlukan satu sama lain. Brahmanis melambangkan kebapaan, manakala Cham Bani melambangkan keibuan yang membawa prinsip tersendiri dan memerlukan satu sama lain dalam tradisi hidup Cham. Malah, Cham Bani akan datang ke kuil Brahmin dan sebaliknya untuk membantu upacara mereka. Jadi, tak hairanlah ritual mereka hanya simbolik semata-mata.

Kalau Cham Sunni kebanyakannya tinggal di sekitar Kemboja dan Vietnam, Cham Bani pula  tinggal di beberapa wilayah terpencil, antaranya di Kampong Chhnang, Pursat dan Battam Bang. Mereka yang berasal dari Champa purba memilih untuk hidup secara berasingan dengan komuniti Cham Sunni selepas ditekan Dai Viet, menjadikan Melayu Champa golongan pelarian dan berpindah ke Kemboja semasa perang saudara meletus.

Kawasan tersebut dipercayai merupakan lokasi penempatan pertama Cham di sana selepas lari daripada kekejaman Dai Viet. Dan korang mesti terfikir, takkanlah takde yang tegur? Ada, Cham Sunni selalu je tegur Cham Bani di mana mereka dah banyak menyimpang dari Islam yang asal. Malah disebabkan jauhnya menyimpang dengan ajaran Islam…

Difatwakan haram, tapi tetap melawan dan mempunyai mufti sendiri dalam kalangan mereka

Tak macam Cham Sunni yang mengikut ajaran Islam melalui kitab dan hadis macam kita di Malaysia, Cham Bani pula mengamalkan Islam tanpa merujuk kepada mana-mana mazhab, tapi kitab lama yang diperturunkan secara turun-temurun, dikatakan sejak abad ke-16. Segala rukun Islam diubah mereka mengikut adat resam dan budaya Cham.

Masyarakat Cham Bani dan Brahmanis di sebuah upacara menghormati King Po Klung Garai

Masyarakat Melayu Cham Bani masih kelihatan dipengaruhi animisme, dinamisme dan paganisme yang nampaknya dikategorikan sebagai kelompok Melayu Cham Islam pada asalnya, tapi dah menyeleweng daripada Islam.

Bukanlah Islam Cham tak pernah datang dan tegur yang cara anutan mereka ni salah, tapi mereka nampaknya berkeras untuk tetap amalkan ajaran Islam mengikut cara mereka sendiri. Malah pada 2015, Cham Bani dah pun difatwakan sesat oleh Mufti Besar Kemboja, Sous Kamry.

Tapi nampaknya… ini pula balasan jurucakap Cham Bani kepada Kemboja,

“Sungguh sedih masyarakat kita telah difitnah oleh Mufti, yang pastinya bukan pemimpin kita,” – Yousos Tum, jurucakap untuk ahli-ahli mazhab di Masyarakat Islam Kan Imam San dari Kemboja,

Jurucakap Cham, yang marah digelar sesat oleh Mufti Besar Kemboja. Imej dari khmertimeskh.com

Malah, Cham Bani adalah satu-satunya mazhab yang tak mengiktiraf Mufti Besar Kemboja, Sous Kamry sebagai Mufti Besar Kemboja, sebab mereka mengakui mempunyai pimpinan tinggi tersendiri,

“Pemimpin kami adalah Okhna Khnour Kay Toam, dan perkataan Khnour, dalam bahasa Cham yang asal, bermakna ‘Mufti Besar atau Pemimpin Agama. Okhna Khnour Kay Toam adalah generasi lapan mazhab mulia kami, dan lebih dari mazhab lain” – Yousos Tum, jurucakap ahli mazhab Cham Bani dari Kemboja.

Belajar biarlah berguru dengan yang benar

Kalau nak diikutkan, Cham Bani memang dah terlampau jauh menyimpang dari ajaran Islam, di mana kita perlu rujuk kepada Rukun Islam dan Rukun Iman saja. Lagipun, Cham Bani mengakui yang mereka hanya mengikuti apa yang dipelajari dari nenek moyang mereka saja, tanpa memahami maksud tulisan tersebut. 

Sebab itulah penting untuk kita belajar secara berguru, dan belajar dari orang yang lebih berilmu. Tapi, kemungkinannya sudut kewangan yang mungkin tak mengizinkan mereka berbuat demikian.

Selain Al-Quran, kita juga perlu memahami al-Sunnah, di mana Rasulullah SAW pernah mengungkapkannya dengan makna wahyu yang selain daripada al-Qur’an. Baginda SAW bersabda:

Maksudnya“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan buat kamu (dua perkara) selagimana kamu berpegang dengannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan sunnah Nabi-Nya.” –Riwayat al-Baihaqi (20123)

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend