Apa nasib ustaz selebriti yang bertanding? Dan 5 lagi rekod PRU-14

Sehingga ke hari ni nampaknya kehangatan PRU-14 masih lagi belum reda. Dengan konflik yang jadi kat Sabah dan Perak, nampaknya masih ada pihak saling tarik tali dalam menentukan siapa yang akan menerajui pentadbiran.

Kat peringkat persekutuan pulak, kerajaan dah pun dibentuk yang menyaksikan Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri buat kali kedua. Pelbagai usaha dan cabaran akan menanti kerajaan baru ni di masa akan datang.

Walaupun begitu, kita juga dikhabarkan dengan pelbagai berita dan maklumat menarik sepanjang terjadinya PRU-14 ni. Malah rekod juga dicatatkan apabila…

1. Jatuhnya, pemerintahan parti yang dah berkuasa selama lebih 60 tahun!

Semua orang dah tahu yang kemenangan Pakatan Harapan (PH) ni adalah tanda berakhirnya pemerintahan Barisan Nasional (BN) sejak merdeka. Sebenarnya, pilihan raya pertama dah diadakan dua tahun sebelum merdeka iaitu pada tahun 1955.

Pilihan Raya Umum 1955. Imej dari Kosmo.

Dan itulah kali pertama Perikatan (hasil kerjasama UMNO, MCA dan MIC) menang dalam PRU. Pada tahun 1973, Perikatan dah tukar nama kepada Barisan Nasional (BN) yang kita kenal sampai hari ni. Tapi apa yang pasti, sejak PRU pertama sampailah ke PRU-13, BN tak pernah kalah! 

Tapi nampaknya, kemenangan PH ni dah membuktikan yang pemerintahan parti selama lebih 60 tahun pun boleh dijatuhkan dengan kuasa rakyat. Hal ni sebenarnya bukan perkara pelik, sebab perkara yang sama juga pernah jadi kat Jepun dulu. Ini kerana, Parti Liberal Demokratik (LDP) yang tak boleh dikalahkan dari tahun 1945 sampai tahun 1991, akhirnya kalah pada tahun 1992.

Shinzo Abe – Perdana Menteri Jepun yang memimpin LDP sekarang. Imej dari The Japan Times.

Selepas tu, LDP tak lagi dapat bentuk kerajaan yang kukuh kat Jepun, malah pada tahun 2009 – parti tu cuma dapat 119 kerusi dari 480 kerusi Parlimen. Jadinya, apa yang jadi kat Malaysia ni bukanlah satu perkara yang memelikkan.

2) Ahli Parlimen termuda dan tertua ada di dalam dewan rakyat pada penggal yang sama

Sebelum bermulanya PRU-14, Tun M sudah disebut sebagai calon ahli Parlimen paling tua yang pernah bertanding pada usia 93 tahun. Untuk PRU kali ni dia memang paling tua, sebelum ni, ada yang lagi tua iaitu Maimun Yusof (Tok Mun) berumur 94 tahun yang bertanding sebagai calon bebas di Kuala Terengganu pada PRU 13.

Hai. Mencecey. Mencecey. Mencecey…Imej dari Ibnu Hasyim.

Tapi, waktu itu Tok Mun tak menang. Untuk PRU14 dia pun tak dapat bertanding atas sebab,

“Memang Tok kecewa sebab tak boleh bertanding tahun ni sebab takdok pitih (tak ade duit), tapi sekarang Tok dah mula kumpul (duit) untuk persediaan pilihan raya akan datang. Itu pun kalau diizinkan Tuhan dan kesihatan Tok baik.”- Petikan dari HMetro

Selepas kita semua mengundi dan mendapat keputusan, Parlimen Langkawi juga menjadi perhatian. Akhirnya,Tun M menang dengan mudah macam kat bawah ni:

a) Tun Mahathir: 18,954 undi
b) Ir Nawawi Ahmad: 10,061 undi
c) Zubir Ahmad: 5,512 undi

Nak kira sweet tak ni? Imej dari Page Mannin Mainthan Malaysia – MMM.

Kemenangan ni dah jadikan dia Ahli Parlimen paling tua yang pernah berada di dewan rakyat. Macam tu jugak, lepas dia angkat sumpah, dia Perdana Menteri tertua yang pernah tercatat dalam sejarah. Apa yang menarik, dalam masa yang sama, kali ni juga ada ahli parlimen termuda yang pernah tercatat dalam sejarah.

Sebelum ni, orang paling muda yang pernah masuk ke Dewan Rakyat adalah bekas PM kita, Najib Tun Razak ketika berumur 23 tahun pada tahun 1976. Tapi, kali ni nampaknya ada seorang calon muda yang menang dengan bergaya serta masuk ke dewan rakyat.

Waktu PRU-14, di Parlimen Batu ada berlaku kecoh sikit, apabila penyandang Ahli Parlimen sana iaitu Tian Chua tak dibenarkan bertanding kerana kes mahkamah yang dilaporkan belum setel. Jadinya, pertandingan di Parlimen Batu bertukar dari 5 penjuru kepada 4 penjuru antara orang-orang bawah ni.

Ni namanya kunci keadilan. Imej dari The Sun Daily.

Apa yang menarik, Tian Chua menyatakan yang PKR akan bagi full support kepada Prabakaran seorang graduan pelajar undang-undang yang berusi 22 tahun untuk membantu dalam PRU nanti. Lagi pun, Prabakaran memang anggap yang Tian Chua ni mentor dia. Akhirnya, di hari keputusan

a. P. Prabakaran (Bebas): 38,125

b. Dr Dominic Lau Hoe (BN): 13,687

c. Azhar Yahya (PAS): 10,610

d. V. M. Panjamothy (Bebas): 383

Kemenangan ni dah menjadikan dia orang paling muda ke dewan rakyat bersama ahli parlimen tertua (Tun M) dalam penggal yang sama.

 

3) Dr Mahathir dua kali jadi Perdana Menteri dan anaknya pula dua kali jadi Menteri Besar

Seperti mana yang kita tahu, ini adalah kali ke-2 Dr Mahathir dilantik jadi Perdana Menteri. Tapi dalam masa sama, anaknya juga – Mukhriz Mahathir jadi Menteri Besar Kedah untuk kali kedua. Mukhriz jadi MB Kedah lepas PRU-13, tapi lepas tu diganti dengan Ahmad Bashah akibat konflik dalaman UMNO.

Mukhriz terima watikah pelantikan dari Sultan Kedan – Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah. Imej dari BH Online.

Tapi nampaknya, dua beranak ni kembali semula mewarnai Malaysia bila diorang dilantik untuk jawatan PM dan MB untuk kali kedua. Sebenarnya, perkara ni bukan perkara baru sebab ada juga individu yang jadi Perdana Menteri dua kali – macam apa yang jadi kat United Kingdom.

Winston Churchill jadi PM UK dari tahun 1940 sampai tahun 1945.  Tapi lepas tu partinya kalah dan Churchill terpaksa letak jawatan. Bagaimanapun, pada tahun 1951 partinya menang semula dan Churchill sekali lagi dilantik jadi Perdana Menteri.

Churchill: V untuk “Victory”. Imej dari ibtimes.co.uk

4) Timbalan Perdana Malaysia Pertama dari kalangan wanita

Dalam sejarah politik Asia Tenggara, wanita juga pernah dipilih berkhidmat menjadi kepimpinan tinggi negara. Paling terdekat adalah negara jiran kita iaitu Megawati Sukarnoputri yang dipilih oleh rakyat menjadi Presiden ke-5 Indonesia pada tahun 2001 hingga 2004. Kalau pergi atas sikit, di Filipina, rakyat Filipina pernah memilih seorang wanita Gloria Macapagal Arroyo sebagai Presiden mereka dari tahun 2001 hingga 2010.

Megawati (kiri) dan Arroyo (kanan) berjalan bersama sebagai presiden. Imej dari BBC.

Kuasa wanita dalam kepimpinan tertinggi negara nampaknya sudah sampai di negara kita. Ianya bermula apabila Pakatan Harapan memilih, Presiden PKR, Dr. Wan Azizah dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan memenangi PRU-14.

Pada PRU-14, Dr. Wan Azizah tidak lagi bertanding di Permatang Pauh macam sebelum ni. Dia dipilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Pandan, tempat Rafizi Ramli bertanding dulu. Pertandingan lima penjuru berlaku apabila ada seorang calon BN, PAS, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan bebas. Akhirnya, pertembungan itu berkesudahan dengan kemenangan kepada Dr. Wan Azizah yang memenangi majoriti 64,733 undi.

PM dan TPM baru Malaysia. Imej dari The Star.

Kemenangan Pakatan Harapan yang berjaya majoriti mudah untuk membentuk kerajaan telah disempurnakan dengan majlis angkat sumpah Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-7 di istana negara. Dalam ucapan Tun M setelah dilantik menjadi PM,

“Saya sudah dilantik perdana menteri dan sudah tentu timbalan perdana menteri juga sudah dinamakan, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah dan ada lagi 10 kementerian akan dinamakan esok (12 Mei 2018),”- Petikan dari Selangor Kini.

Ini menjadikan, Malaysia akan mempunyai wanita pertama yang memegang posisi Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

4) 4 Ustaz selebriti kalah dalam PRU kali ni

Pada PRU-13, kita ada nampak beberapa selebriti yang jadi calon. Antaranya macam penyanyi veteran Herman Tino (bebas) kat Parlimen Tanjung Karang, Dayangku Intan (PKR – Parlimen Penggerang) dan Aishah (Pas – Jempol). Tapi nampaknya, diorang semua ni kalah.

Untuk PRU-14 ni pulak, kita nampak empat orang ustaz selebriti yang bertanding. Tiga orang dari PAS dan sorang dari BN. Diorang adalah Ustaz Ahmad Dasuki (DUN Kota Anggerik), Ustaz Mohd Zamri (DUN Sungai Burong), Ustaz Nushi Mahfodz (Parlimen Bangi) dan Ustaz Syamsul Debat (DUN Sikamat).

Dari kiri: Dusuki, Syamsul, Nushi & Zamri. Imej dari deenamik.com, mynewshub.cc, berita.pas.org & anizyn.blogspot.

Bagaimanapun, nasib tak menyebelahi diorang, bila semuanya kalah dalam PRU kali ni. Hal ni dah menunjukkan yang pengaruh ustaz selebriti juga tak berapa menjadi untuk menarik undi.

5) Tewasnya 8 menteri dan 19 timbalan menteri

Selain tu, PRU kali ni jugak dah mengejutkan banyak pihak bila ramai nama-nama besar kalah. Siapa sangka tiga presiden parti BN kalah?

  1. Presiden MCA, Liow Tiong Lai kalah kat Parlimen Bentong (majoriti 2,032 undi).
  2. Presiden MIC, S. Subramaniam kalah kat Parlimen Segamat (majoriti 5,476 undi).
  3. Presiden GERAKAN, Mah Siew Keong kalah kat Parlimen Telok Intan (majoriti 11,179 undi)
Tiga presiden parti yang kecundang. Imej dari Berita Daily.

Selain tu, ada juga nama besar lain yang kalah macam:

  1. Salleh Said Keruak (Menteri Komunikasi & Multimedia) kalah kat Parlimen Kota Belud (majoriti 4,262).
  2. Rahman Dahlan (Menteri Jabatan PM) kalah kat Parlimen Sepanggar (majoriti 12,984).
  3. Johari Abdul Ghani (Menteri Kewangan II) kalah kat Parlimen Titiwangsa (majoriti 4,139)
  4. Shabery Cheek (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) kalah kat Parlimen Kemaman (majoriti 2,163)
  5. Mohamed Khaled Nordin (Menteri Besar Johor) kalah kat Parlimen Pasir Gudang (majoriti 24,726) dan DUN Permas (majoriti 8,746).
Laporan media.

Selain dari mereka yang disenaraikan ni, ada lagi 19 timbalan menteri yang kalah dalam PRU kali ni. Apa yang pasti, hal ni jadi disebabkan tsunami rakyat yang tak tertahan lagi.

BN tenggelam akibat dari hentaman kuat tsunami rakyat

Dari apa yang kita dapat ni, maka jelaslah yang buat kali pertamanya undi rakyat menjadi penentu akhir dalam memilih sesuatu kerajaan. Jika dalam PRU-12 dan PRU-13 dulu kita dikenalkan dengan tsunami Cina, tapi nampaknya untuk PRU kali ni tsunami rakyat mengambil tempat.

“Dari Perlis sampai ke Sabah, isyarat yang diberikan pengundi adalah rakyat menjadi penentu siapa atau parti mana yang layak memerintah. Barisan Nasional (BN) tewas selepas memerintah selama 61 tahun.” – Zaini Kamaruzzaman, Pengarang Eksekutif Berita Harian. Dipetik dari BH Online.

Jangan terlalu leka. Imej dari gifimgs.com

Kita juga sebagai rakyat Malaysia harus bersyukur apabila peralihan kuasa ni berlaku dengan aman tenteram. Jika ada negara yang terpaksa melalui revolusi dan pertumpahan jiwa, semata-mata untuk menukar sebuah kerajaan. Rakyat Malaysia berjaya melakukannya hanya melalui pangkahan di kertas undi.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.