Tiga tokoh besar Sabah dan Sarawak yang terlibat dalam pembentukan “Malaysia”

Semasa Tanah Melayu menyambut kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Sarawak dan Sabah bukanlah sebahagian daripadanya. Jadi, disebabkan Sabah dan Sarawak bergabung dengan Semenanjung enam tahun lepas tu, iaitu pada 16 September 1963, kita sekarang ni bukan sahaja menyambut hari kemerdekaan Malaysia, tapi juga Hari Malaysia.

Selamat Hari Malaysia, Soscili ucapkan! Imej dari Restoran Bumbu Desa

Korang boleh rujuk dalam dokumen MA63, dan kawan kitorang dari AskLegal pun dah terangkan secara mudah.

 “Borneo Utara dan Sarawak dan negara Singapura akan digabungkan dengan negeri-negeri yang sedia ada dalam Persekutuan Tanah Melayu membentuk suatu kesatuan yang dinamakan Malaysia berikutan dari perjanjian yang termeterai”- Artikel 1, Perjanjian Malaysia 1963 (diterjemah)

Jadi sempena Hari Malaysia pada 16 September ni, kitorang nak cerita sikit pasal tokoh di Sabah dan Sarawak yang banyak membantu merealisasikan penubuhan Malaysia pada hari ini. Korang mesti biasa dengar nama-nama tokoh ni, cuma mungkin tak ingat sangat apa sumbangan dia pada negara.

Kalau korang nak tahu, ketiga-tiga tokoh ni adalah antara orang penting yang terlibat dalam pembentukan Malaysia dan mereka adalah…

Tun Fuad Stephens, seorang pemimpin rakyat dan penulis yang membongkar kepincangan pentadbiran British

Imej dari wikipedia

Tun Fuad Stephens, atau nama sebenarnya Tun Haji Mohammad Fuad Stephens berasal dari Kota Kinabalu. Pada asalnya, dia dilahirkan sebagai Donald Aloysius Marmaduke Stephens, dan kemudiannya menganut agama Islam pada tahun 1971.

Sebelum terlibat dalam politik, Tun Fuad merupakan penulis yang memperjuangkan masyarakat setempatnya. Dia tahu yang seluruh masyarakat peribumi Sabah memerlukan pembelaan sewajarnya. Melalui tulisan dalam ‘North Borneo’ dia dengan beraninya telah membongkar kepincangan pentadbiran British di Sabah dan dasar-dasar yang dianggap menindas masyarakat peribumi.

Dia juga pernah menubuhkan akhbar sendiri iaitu The Sabah Times dan menjadikan akhbarnya sebagai suara perjuangan bagi menyedarkan masyarakat anak bangsanya, sekaligus mendapat kepercayaan rakyat setempat bila dia beralih arah ke dalam bidang politik.

The Sabah Times masih wujud sampai hari ni. Imej dari suriagroup.com
Bila Tun Fuad masuk dalam bidang politik pula, dia juga antara salah seorang yang menandatangani Perjanjian Pembentukan Malaysia di London. Sebaik saja Pembentukan Malaysia diluluskan, Sabah menganggotai Malaysia dan Tun Fuad Stephen dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah yang pertama dan kemudiannya yang kelima.

Tun Fuad Stephens juga merupakan Yang di-Pertua Negeri Sabah ketiga. Dia menjadi Pengerusi Pertubuhan Kadazan Bersatu (UNKO) dan memainkan peranan besar di dalam penubuhan Parti Perikatan Sabah pada tahun 1962 dalam memperjuangkan kemerdekaan. Tapi banyak cabaran yang dilalui Tun sebelum tertubuhnya Malaysia sekarang.

Sebelum Sabah nak sertai Malaysia, negeri di bawah bayu pada masa tu ada beberapa pilihan iaitu:

  1. Bergabung dengan Sarawak dan Brunei
  2. Bergabung dengan Malaya (Semenanjung)
  3. Bergabung dengan Filipina
  4. Bergabung dengan Indonesia (kalau Sabah jadi bergabung dengan Indonesia, jadi namanya Indonesia Raya)

Antara pilihan yang Sabah ada ialah untuk bergabung dengan Sarawak dan Brunei sebab diorang bukan wilayah Indonesia. Tapi masalahnya masa tu, Indonesia pun ada perancangan nak buat Indonesia Raya yang nak masukkan Borneo Utara (sekarang ni Sabah) dan Sarawak untuk sertai Indonesia Raya ni. 

Pada masa tu juga, British tak nak hilang pengaruh dia dalam Sabah, Sarawak dan Brunei sebab kekayaan hasil bumi yang negeri-negeri ni adaTun Fuad sebenarnya risau dengan keselamatan Sabah yang berdekatan dengan Kalimantan (wilayah Indonesia), yang masa tu di bawah pemerintahan Soekarno.

Jadi, Tun Fuad sendiri fikir kalau Sabah sertai Sarawak dan Brunei je, mungkin lagi senang kena serang. Sebabnya, ketiga-tiga negeri ni belum merdeka lagi. Satu lagi masalah adalah sebab Filipina ada suarakan niat untuk ambil Sabah sebab dia anggap Sabah hanya disewa kepada British, bukan diduduki.

Jadi masa tahun 1962 lagi, Indonesia dan Filipina ni memang dah nak gila dekat Sabah. Tapi Tun Fuad fikir panjang untuk rakyat dia, dan apa yang terbaik. Bila dia fikir dalam-dalam, antara Filipina ataupun Indonesia, kedua-duanya pun bukanlah jalan terbaik untuk Sabah.

Kalau negeri-negeri ni adalah orang. Imej dari 9gag

Lepas bertahun-tahun fikirkan pilihan yang ada untuk Sabah, apa yang penting sekarang adalah keselamatan negeri tu. Tun Fuad akhirnya nampak gambaran yang lebih besar, iaitu lebih baik dia bergabung dengan Malaya.

Jadi, Sabah pun akhirnya bergabung dengan Tanah Melayu sebab Tanah Melayu ni pun ada latar belakang bawah jajahan British. Filipina dijajah Sepanyol, manakala Indonesia pula pernah dijajah Belanda dan kemudiannya terpengaruh dengan fahaman komunis.

Pada pandangan Tun Fuad,

“Sabah akan menyertai Malaysia sebagai rakan kongsi yang sejajar dengan nukleus, Tanah Melayu”- Tun Fuad Stephens

Dato Donald Stephens menerima bendera Malaysia daripada Tun Abdul Razak semasa Olimpik di Tokyo. Imej dari mypressmalaysia

Jadi, Sabah kemudiannya bersetuju untuk sertai Malaysia sebab dia fikir yang Sabah akan ada hak yang sama rata dengan Tanah Melayu (Malaysia sekarang) dan bukannya ditekan kalau dia sertai Filipina mahupun Indonesia.

Disebabkan perkara ni jugalah, pihak Indonesia mengisytiharkan konfrontasi terhadap Malaysia. Presiden Soekarno pula perkenalkan slogan ‘Ganyang Malaysia’ sebab Indonesia dakwa Sabah dan Sarawak tu diorang punya. Manakala Filipina pula dakwa yang Sabah tu milik diorang.

Tun Fuad Stephens bersama Tun Mustapha dan Lee Kuan Yew. Imej dari Sayang Sabah

Tapi ada juga konflik kecil berlaku lepas tu. Sebenarnya, semasa Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965, Sabah dan Sarawak pun sebenarnya nak keluar. Tapi bila fikir balik kemungkinan buruk yang boleh terjadi, Sabah akhirnya terus berada dalam Malaysia. 11 hari lepas Singapura keluar, Tun Fuad pun lepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri Sabah, lepas dia main golf satu pusingan dengan Tunku Abdul Rahman.

Tapi, umurnya Tun Fuad Stephens tak panjang. Sebelum berlakunya kes-kes pesawat Malaysia yang terhempas macam MH643, MH370, MH17, dan sebagainya, ada sebuah kisah lain yang berlaku, yang dipanggil Tragedi Double Six. Tragedi tersebut berlaku pada 6 Jun 1976, di mana pesawat kecil jenis GAF Nomad buatan Australia yang dinaiki Tun Fuad terhempas dalam keadaan menjunam, berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Keratan akhbar insiden Double Six. Imej dari wikisabah

Pesawat tu juga dikendalikan oleh Sabah Air dari Lapangan Terbang Labuan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, mengorbankan 10 lagi yang lain termasuklah anak kapal. Senarai mereka yang terkorban dalam Peristiwa Double Six adalah:

1.Ketua Menteri Sabah,Tun Mohd Fuad Stephens
2.Menteri Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Peter Mojuntin
3.Menteri Perhubungan dan Kerja Raya, Datuk Chong Tahin Vun
4.Menteri Kewangan Negeri, Datuk Salleh Sulong
5.Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri, Darius Binion
6.Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Wahid Peter Andau
7.Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah , Dr Syed Hussein Wafa
8.Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia Tengku Razaleigh Hamzah, Ishak Atan
9.Pengawal peribadi kepada Tun Fuad, Koperal Said Mohammad
10.Juruterbang, Gandhi J Nathan
11.Johari Tun Fuad Stephens, anak Tun Fuad Stephens
 
Tugu peringatan yang dibina untuk mengingati kejadian Double Six. Imej dari www.aviation.my

Laporan daripada siasatan kemalangan dikatakan sebab pesawat Nomad tu terlebih muatan. Sebenarnya, had muatan cumalah enam penumpang, tapi yang naik masa tu adalah 11 orang. Disebabkan perkara ni, juruterbang gagal menaikkan sayap pesawat untuk diselaraskan dengan tekanan minyak. Sejak tu jugalah, kerajaan tak menggalakkan VIP menaiki pesawat yang sama pada waktu serentak terutama membabitkan jumlah yang ramai.

Tun Datu Mustapha, Bapa Kemerdekaan Sabah

Tun Datu Mustapha, Bapa Kemerdekaan Sabah. Imej dari dusunbukit.wordpress

Kalau di seluruh Malaysia, Tunku Abdul Rahman dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan Malaysia. Tapi di negeri Sabah sendiri pun ada bapa kemerdekaan diorang sendiri iaitu Tun Datu Mustapha.

Tun Datu Mustapha Datu Harun, iaitu pengasas parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). Selepas Sabah mencapai kemerdekaan bersama Malaysia pada tahun 1963, dia seterusnya dilantik menjadi gabenor negeri Sabah yang pertama (Yang Dipertua Negeri) dan Tun Fuad Stephens sebagai ketua menteri pertama.

Sebelum wujudnya Persekutuan Malaysia, Tun Datu Mustapha adalah Ketua Anak Negeri yang menggantikan ayah dia. Dia juga terlibat dengan gerakan pembebasan Borneo Utara (Sabah) dengan menentang kekejaman Jepun terhadap penduduk Sabah pada masa tu.

Pendudukan Jepun kat Tanah Melayu dan Borneo banyak meninggalkan kesan pahit bagi rakyat Malaysia. Imej dari Wikiwand
Korang juga boleh baca pasal Kawad Maut Sandakan kat sini. Klik pada gambar.

Tokoh ni juga merupakan salah seorang pemimpin yang bawa Sabah untuk sertai gagasan Persekutuan Malaysia, sebab nak bebaskan Sabah daripada Jepun pada masa tu. Selain daripada gelaran “Bapa Kemerdekaan Sabah”, dia juga dikenali sebagai “Bapa Pembangunan Sabah” oleh rakyat dia disebabkan perkara ni. Sekaligus, menjadikan dia Yang di-Pertua Negeri Sabah yang pertama.

Sama macam tokoh Sarawak iaitu Temenggung Jugah, Tun Datu Mustapha juga pada mulanya memang menentang untuk bergabung dengan Malaysia sebab dia takut

  1. Kedudukan istimewa penduduk Sabah akan tergugat
  2. Ekonomi Sabah dikaut kerajaan pusat

Punyalah tokoh ni sayang dengan rakyat diorang, Tun Datu Mustapha dan Tun Fuad Stephens kemudiannya menekankan hal ‘Tuntutan 20 perkara’, yang terdiri daripada agama, bahasa, tarif, pendidikan, hak istimewa penduduk pri-bumi, kewangan, keselamatan perlembagaan, dan lain-lain.

Tuntutan 20 Perkara

  1. Agama: Tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia.
  2.  Bahasa: Bahasa Melayu harus dijadikan Bahasa Kebangsaan Persekutuan.
  3. Perlembagaan: Perlembagaan Persekutuan Malaya diterima sebagai asas untuk membentuk Perlembagaan Malaysia.
  4.  Ketua (Yang Di Pertua Negara) Borneo Utara tidak layak untuk dipilih sebagai Ketua Persekutuan.
  5. Nama Persekutuan: “Malaysia”
  6. Imigresen: Kawalan ke atas penghijrahan dari luar ke Borneo Utara sepatutnya memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri.
  7. Hak Menarik Diri: Hak untuk memisah atau menarik diri dari Persekutuan seharusnya tidak ada.
  8. Borneonisasi: Proses untuk melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan awam negeri Borneo Utara seharusnya diwujudkan secepat mungkin.
  9. Pegawai-pegawai British: Segala usaha harus dibuat untuk menggalakkan pegawai-pegawai Birtish untuk meneruskan perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam sehingga tempat mereka boleh diganti dengan orang tempatan yang berkelayakan.
  10. Kewarganegaraan: Tertakluk kepada pindaan berikut, Perenggan 148(k) cadangan dalam Laporan Cobbold seharusnya menentukan hak kewarganegaraan penduduk Borneo Utara di dalam Persekutuan.
  11. Cukai dan kewangan: Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa ke atas kewangan, tabung pembangunan, dan cukai sendiri.
  12. Kedudukan khas bangsa asli/Bumiputera Borneo Utara: Pada prinsipnya bangsa asli Borneo Utara seharusnya menikmati hak keistimewaan seperti yang diberikan kepada bangsa Melayu di Malaya.
  13. Kerajaan Negeri: Ketua Menteri harus dipilih oleh ahli-ahli tidak rasmi Majlis Perundangan. Borneo Utara seharusnya mempunyai suatu sistem kementerian yang sesuai.
  14. Jangkamasa Peralihan: Sepatutnya tujuh tahun dan dalam masa ini kuasa perundangan mesti diberikan kepada Kerajaan Borneo Utara mengikut Perlembagaan dan tidak dipengaruhi oleh Kerajaan Persekutuan.
  15.  Pelajaran: Sistem pelajaran Borneo Utara yang wujud sekarang harus diteruskan dan dengan itu ia harus diletakkan di bawah kawalan kerajaan negeri.
  16. Perlindungan kepada Perlembagaan: Tidak ada sebarang pindaan, perubahan atau pembatalan dapat dilakukan oleh Kerajaan Pusat kepada perlindungan-perlindungan yang diberikan khas kepada Borneo Utara tanpa persetujuan kerajaan Borneo Utara.
  17. Perwakilan dalam parlimen persekutuan: Ini hendaklah mengambil kira bukan sahaja jumlah penduduk Borneo Utara tetapi juga saiz dan potensinya dan dalam apa keadaan pun tidak harus kurang daripada Singapura.
  18. Nama Ketua Negeri: Yang di-Pertua Negeri Sabah
  19. Nama Negeri: Sabah
  20. Tanah, hutan, kerajaan tempatan dan lain-lain: Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa Majlis Tanah Persekutuan tidak harus membabitkan Borneo Utara.
Tuntutan 20 perkara dari Sabah, klik untuk baca. Imej dari seademon.me

Tuntutan ni dibuat untuk menjaga kebajikan rakyat Sabah daripada ditindas di kemudian hari, dengan memastikan kepentingan rakyat di Sabah terjamin bila Sabah menyertai gagasan Persekutuan Malaysia.

Sumbangan Tun yang lain juga adalah bila dia dorong Yayasan Sabah untuk menubuhkan institut pengajian tinggi yang masa tu dikenali sebagai YS-ITM pada tahum 1973. Dia nak Sabah ada sebuah universiti sebab pelajaran lah yang akan membawa seseorang tu pergi lebih jauh. Hasrat dia tercapai bila setahun lepas tu, Sabah pun menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia Kampus Sabah (UKMS) sebelum Tun Datu Mustapha meninggal pada 1995, meninggalkan legasinya.

Temenggung Jugah Anak Barieng, tokoh Sarawak yang dipanggil “Jambatan ke Malaysia”

Temenggung Jugah Anak Barieng. Imej dari FMT

Temenggung Jugah dilahirkan di Ulu Kapit, Sarawak pada 1903. Dia merupakan Ketua Tertinggi orang Iban selama lebih daripada 55 tahun. Orang-orang Sarawak juga memanggilnya “Apai” yang bermaksud “bapa” dalam bahasa Iban.

Kalau korang nak tahu, Temenggung Jugah ni dulu bukanlah orang yang terpelajar kalau nak dibandingkan dengan tokoh-tokoh lain. Seperti kebanyakan Iban pada zamannya, Tun Jugah tak pandai membaca., malah, dia juga dikatakan tak sekolah pun. Jadi disebabkan dia buta huruf, dia cuma akan gunakan cap ibu jari menggantikan tandatangannya.

Tun Jugah yang bangga dengan pakaian suku kaumnya yang bercorak pua kumbu. Tun bersama dengan Tun Abdul Razak. Imej dari zamkata.blogspot.my

Sebenarnya sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia terjadi, Tun Jugah tak setuju pun nak bergabung dengan Tanah Melayu, sebabnya:

  1. Temenggung Jugah risau sumber ekonomi Sarawak akan dikuasai kerajaan pusat (kerajaan Malaysia sekarang)
  2. Tapi dia lagi risau diorang akan kehilangan identiti sebab rakyat Sarawak mungkin dikuasai orang Melayu

Malah, Tun Jugah pernah bagi amaran yang selalu dia sebut sebelum pembentukan Malaysia,

“Anang baka tebu, manis ba pun tang tabar ba ujung,” yang bermaksud

“Jangan jadi macam tebu, mula-mula manis tapi penghujungnya tawar”

Tapi lepas dia sertai Persidangan Persatuan Parlimen Komanwel yang diadakan di Singapura pada Julai 1961, akhirnya dia bersetuju untuk bergabung dengan Tanah Melayu. Terkenal sebagai seorang pemimpin yang berani dan berpengaruh, dia berjaya meyakinkan rakyat Sarawak untuk sama-sama memajukan negeri tu.

Untuk memastikan usaha pembentukan Malaysia jadi kenyataan, Tun Jugah sendiri ambil inisiatif untuk berjumpa dengan 51 daripada 54 orang penghulu dan Pegawai Daerah di Kapit walaupun sebelum tu dia pernah gagal pujuk diorang. Dalam pertemuan tu, Temenggung Jugah menegaskan TIGA perkara penting iaitu

  1. Tak nak kaum Iban ‘karam’ dua kali
  2. Rancangan Malaysia mesti ada sokongan yang luas
  3. Kalau penggabungan dengan Tanah Melayu tak jadi pun, diorang masih takkan sokong komunisme

Melalui perjumpaan tu juga, 51 penghulu tu akhirnya bersetuju dengan penggabungan Sarawak-Tanah Melayu, tetapi dengan Tuntutan 13 Perkara.

  1. Ketua negeri Sarawak adalah penduduk asli Sarawak
  2. Ketua setiap negeri di Persekutuan Malaysia untuk layak menjadi ketua Persekutuan Malaysia
  3. ADAT lama berada di bawah kawalan kerajaan
  4. TANAH berada di bawah kawalan negeri
  5. BAHASA INGGERIS menjadi bahasa rasmi negeri Sarawak dan terus menjadi salah satu bahasa rasmi Malaysia
  6. Kebebasan beragama
  7. Wakil daripada Sarawak dalam Kerajaan Persekutuan mestilah mencukupi
  8. Pegawai BRITISH digantikan oleh orang tempatan yang layak dan ada bahagian yang sama rata untuk kerja kerajaan
  9. Orang pribumi Sarawak dapat status dan keistimewaan yang sama seperti orang Melayu di Tanah Melayu
  10. PENDIDIKAN menjadi subjek persekutuan dan sama di seluruh Malaysia secepat mungkin. Orang asli Sarawak ada hak dan bahagian yang sama untuk biasiswa luar negara
  11. IMIGRASI kekal di bawah kawalan Negeri Sarawak
  12. Kuasa yang diperuntukkan dalam perlembagaan sesuatu negara tidak boleh diubah tanpa persetujuan negara
  13. PEMBANGUNAN di Sarawak akan dipercepatkan
Tun Jugah sempat berjumpa dengan Prince Philip, Duke of Edinburgh (datuk kepada Prince William dan Prince Harry). Imej dari ibancutoms

Sarawak yang sebelum tu merupakan jajahan British, kemudiannya diberikan kemerdekaan pada 22 Julai 1963. Tun Abdul Rahman Yaakup yang merupakan Ketua Menteri ketiga Sarawak pernah berkata yang, Tun Jugah adalah “jambatan ke Malaysia,” sebab selain daripada mengumpulkan sokongan rakyat Sarawak, Tun juga adalah salah seorang wakil Sarawak yang menandatangani Perjanjian Penubuhan Malaysia di London pada 9 Julai 1963.

Tun Jugah merupakan orang Iban pertama yang menjadi Menteri Hal Ehwal Sarawak dalam Kabinet Malaysia, dan dipilih sebagai ahli Parlimen semasa pilihan raya pertama Malaysia pada tahun 1963.

Perjanjian Malaysia ditandatangani oleh (dari kedua kiri) Dato Abang Haji Openg, Tun Jugah, Dato Bandar Abang Mustapa, dan P.E.H. Pike (tiada dalam gambar) di London pada 12 Julai 1963. Imej dari The Borneo Post

Tokoh negarawan itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 8 Julai 1981 ketika berumur 78 tahun. Walaupun dah lama meninggal dunia, Tun Jugah diingati sebagai kekuatan dan inspirasi semasa tahun-tahun awal penubuhan Malaysia.

Dia mungkin tak belajar tinggi, tapi dia tahu macam mana nak mentadbir negeri dia, dan tahu apa yang terbaik untuk negeri Sarawak. Dia membuktikan yang dia layak jadi pemimpin disebabkan pandangan jauh dan bermatlamat. Seorang ahli politik yang bijak, dia juga banyak membantu membentuk nasib rakyatnya, negeri dan negara dengan memberi sokongan penuh terhadap konsep Malaysia.

Temenggung Jugah ketika menjadi menteri kabinet untuk hal ehwal Sarawak. Imej Sustainablelivinginstitute blogspot

Hari Malaysia bukan saja disambut, tapi perlu dihayati sebaiknya

Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 bukan saja sebagai satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi, tapi pembentukan sebuah negara. Penyatuan ni dalam masa yang sama bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis yang boleh menggugat kestabilan politik serantau pada masa tu.

Berdasarkan apa yang kita pelajari daripada ketiga-tiga tokoh ni, pengorbanan yang mereka lakukan untuk rakyat Sabah dan Sarawak bukanlah mudah. Mereka sendiri bergolok-gadai demi mencari jalan memerdekakan bukan saja negeri, tapi juga pemikiran rakyat daripada tunduk dengan penjajah.

Kepimpinan yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga tokoh ni patut dicontohi oleh semua pemimpin, iaitu mempunyai pendirian sendiri. Yang paling penting sekali, mereka tahu apa yang mereka mahukan iaitu berjuang demi kebaikan negeri dan rakyat, bukan kepentingan diri semata-mata.

Salah seorang tokoh tersebut, iaitu Temenggung Jugah sendiri tak berpelajaran tinggi tapi mempunyai semangat dan kepimpinan yang luar biasa. Malah Vinson H Sutlive Jr dalam bukunya ‘Tun Jugah Of Sarawak: Colonialisme and Iban Response’ mendedahkan falsafah Jugah sendiri,

“Idup ka nyawa dulu. Udah urat tegap, baru kitai ulih bejaku”, yang bermaksud

“Kita mesti kena tahu macam mana untuk hidup terlebih dahulu. Setelah asas kita kukuh, barulah kita boleh bercakap dan bertindak”- Temenggung Jugah anak Barieng