Sejarah & Politik

Diminta senyum: Kisah Tunku mencarut depan Soekarno & wartawan di Tokyo

Seperti mana yang kita semua tahu, pada tahun ni kita akan menyambut ulang tahun Hari Malaysia yang ke-57. Idea dan cadangan pembentukan Malaysia hasil gabungan antara Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura (tersingkir pada 1965) ni pertama kalinya diungkapkan oleh Tunku Abdul Rahman adalah pada 27 Mei 1961 ketika berucap di Adephi Hotel, Singapura.

Tunku ketika berucapa kepada wartawan asing di Adephi Hotel, Singapura. Imej dari Astro Awani.

Bagaimanapun, cadangan Tunku tu dah mendapat pelbagai reaksi dari negara-negara jiran khususnya Indonesia dan Filipina. Bagi Indonesia yang ketika itu di bawah pimpinan Soekarno – pembentukan Malaysia hanyalah imperialisme Barat dan neokolonialisme (kawal politik secara tidak langsung). Filipina pula beranggapan cadangan tu akan merampas Sabah yang didakwa sebahagian daripada wilayah Filipina.

Maka, terjadilah Konfrontasi Indonesia-Malaysia, sehinggakan munculnya slogan “Ganyang Malaysia”. Tapi, ada beberapa kisah di sebalik konfrontasi ini yang mungkin kita tak tahu. Antaranya adalah…

Dari perang mulut ke serangan bersenjata oleh Indonesia

Soekarno terkenal sebagai seorang pemidato yang hebat. Imej dari National Geographic.

Akibat penentangan terhadap pembentukan Malaysia, dah terjadinya perang mulut antara dua negara ini apabila adanya ucapan saling tuduh menuduh dan perli. Salah satunya adalah apabila Soekarno dilaporkan berkata yang rakyat Tanah Melayu masa tu tengah hidup sengsara seperti makan jagung, tikus dan sebagainya.

Bagaimanapun, Tunku menjawab balik tuduhan Soekarno ni dengan…

“Kata Tunku, Soekarno mengatakan rakyat saya sedang sengsara, makan jagung, tikus dan sebagainya tetapi sebenarnya mereka sedang menari, berjudi, minum-minum dan berpoya-poya.” – Dipetik dari buku Mahathir bukan kawan saya, Zainuddin Maidin.

Selain itu, pada April 1963 – rombangan wartawan Malaysia yang menghadiri Persidangan Wartawan Afro-Asia di Jakarta dilaporkan dah disambut dengan sepanduk Ganyang Malaysia. Malah, pada satu majlis meraikan wartawan di persidangan itu – dikatakan yang Soekarno ada menghina lagu Negaraku apabila menyanyikan lagu Negaraku sebagai lagu Terang Bulan. Rombangan wartawan Malaysia yang diketuai oleh Rosedin Yaacob kemudiannya bertindak keluar dari majlis berkenaan.

Tunku menaiki kapal terbang untuk ke Singapura sebelum ke London untuk menandatangani perjanjian pembentukan Malaysia. Imej dari Astro Awani.

Di Malaysia pun tak kurang caranya, bila dah berlaku banyak tunjuk perasaan menentang Indonesia dengan pelbagai cara seperti patung-patung Soekarno dan Subandrio (Menteri Luar Indonesia) dibakar dan disebat. Konfrontasi dan hubungan antara dua negara ni semakin serius selepas berlakunya serangan terhadap Malaysia oleh Indonesia. Antara negeri yang menjadi sasaran adalah di Sarawak, Sabah dan Johor.

Bagaimanapun, masih ada usaha nak mendamaikan antara dua negara ini dengan diadakan rundingan. Tapi, ada cerita menarik di sebalik rundingan ni – sebabnya ada satu masa tu…

Tunku mencarut depan Soekarnao dan wartawan selepas diminta untuk senyum

Presiden Soekarno (Indonesia), President Macapagal (Filipina) dan PM Tunku Abdul Rahman (Malaysia) menandatangani dokumen pembentukan Maphilindo di Manila, pada 5 Agustus 1963. Imej dari National Library of the Philippines.

Secara umumnya dah berlaku empat rundingan antara Malaysia – Indonesia dari tahun 1963 hingga 1964. Bagaimanapun, semua rundingan ni gagal bila Tunku dan Soekarno tak dapat memberikan sebarang kata putus bagi menghentikan konfrontasi.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Salah satunya adalah ketika berlangsungnya rundingan antara dua negara di Tokyo, Jepun pada 1963. Rundingan tu tak mendatangkan sebarang hasil, walaupun ada gambar Tunku dan Soekarno gelak besar. Rupa-rupanya ada kisah di sebalik gambar tu.

Diceritakan oleh Tokoh Wartawan, Tan Sri Zainuddin Maidin (allahyarham) – apabila Tunku dan Soekarno keluar dari persidangan, mereka dah diserbu oleh para wartawan dan jurugambar asing yang nak tahu perkembangan rundingan. Jadinya, jurugambar pun minta Tunku dan Soekarno senyum, sebab kedua-dua tokoh ni tak tunjukkan wajah gembira. Boleh kata banyak kali jugalah jurugambar minta mereka senyum sambil cakap perkataan cheese.

“Apabila didesak berkali-kali, Tunku akhirnya mencarut dengan perkataan Melayu yang terkenal dengan empat huruf menyebabkan Soekarno meletus ketawa dan Tunku sendiri ketawa. Bukan lagi tersenyum.

___

Ketawa semakin hebat apabila seorang wartwan bertanya is that cheese, Tunku? Tunku jawab, ya, ya, something smell like cheese.” – Dipetik dari buku Hari Itu Sudah Berlalu, Zainuddin Maidin.

Itulah kisah di sebalik gambar gelak besar antara Tunku dan Soekarno ni.

Di sebalik gelak tawa besar dua tokoh ini, ada cerita di sebaliknya. Imej dari Hari Itu Sudah Berlalu (Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd).

Hubungan Malaysia – Indonesia kembali baik selepas kejatuhan Soekarno

Menurut Zainuddin, cerita Tunku mencarut depan Soekarno dan wartawan tu tak disiarkan di mana-mana akhbar masa tu – tapi dah diketahui oleh semua wartawan sebab cerita tu cepat tersebar. Akan tetapi, hubungan Malaysia dan Indonesia masih belum baik sehinggalah selepas Soeharto memimpin Indonesia selepas kejatuhan Soekarno.

Tun Razak dan Menteri Luar Indonesia, Adam Malik menandatangi perjanjian damai pada 1967. Imej dari NST.

Pelbagai dasar baru diperkenalkan oleh Soeharto dan antaranya termasuklah menjalinkan kembali hubungan diplomatik dengan Malaysia. Pada 28 Mei 1966, rundingan dilakukan di Bangkok antara Tun Razak dan Menteri Luar Indonesia Adam Malik. Hubungan Malaysia-Indonesia beransur baik menjelang tahun 1967 dan konfrontasi pun ditamatkan.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend