Jenayah & Undang-undang

Pengganas Daesh kini menawan bandar Filipina berdekatan Sabah. Apa yang sedang berlaku sebenarnya?

Sejak beberapa hari yang lalu, kita dikhabarkan dengan derita yang dihadapi oleh penduduk di Selatan Filipina. Semasa umat Islam dan jiran-jiran mereka di Malaysia, Brunei dan Indonesia dalam keadaan tenang dan damai berpuasa, mereka pula nampaknya terpaksa hidup dalam ketakutan dan menyelamatkan diri meninggalkan kampung halaman.

Sehingga artikel ini ditulis, pihak keselamatan Filipina masih lagi berusaha membebaskan kota Marawi yang terletak di Mindanao, Selatan Filipina dari penguasaan kumpulan pengganas. Majoriti penduduk di kota ini adalah beragama Islam. Dilaporkan 90% penduduk di kota ini juga sudah berpindah untuk menyelamatkan diri.

Salah seorang penduduk Marawi yang berjaya melarikan diri, dengan membawa barang dan ternakannya. Imej dari Manila Bulletin.

Kalau dulu kita selalu dengar nama-nama kumpulan militan seperti Jemaah Islamiah dan Abu Sayyaf. Tapi sekarang apa yang berlaku di Marawi didalangi pula oleh kumpulan Maute yang baru je ditubuhkan pada 2013. Walaupun begitu, konflik di Selatan Filipina sebenarnya dah lama berlaku, jika kita melihat kepada sejarahnya…

Konflik yang berpanjangan sejak berpuluh tahun

Mengikut sejarahnya, apabila penjajah Sepanyol datang ke rantau ini, mereka kena berdepan dengan pejuang-pejuang Islam di satu kepulauan yang sekarang ni dipanggil Filipina. Pihak Sepanyol nampaknya tak dapat nak hapuskan penentangan tu secara menyeluruh dan disebabkan tu jugak mereka panggil masyarakat ni sebagai Moro. Nama Moro tu diambil dari Moors iaitu pejuang Islam yang menentang Sepanyol di Afrika Utara.

Apabila bertambahnya penduduk di Utara Filipina, kerajaan Filipina pun galakkan rakyatnya (kebanyakan beragama Kristian) supaya berpindah ke Selatan Filipina. Bila jadi macam tu, ia tentulah bangkitkan perasaan tak puas hati di kalangan para penduduk yang majoritinya Islam di Selatan Filipina.

“Hasilnya, pada tahun 1960an, Bangsamoro menjadi bangsa minoriti di beberapa wilayah selatan Filipina. Ramai antara mereka telah kehilangan harta melalui transaksi yang sah atau melalui rampasan tanah secara haram yang kebiasanya dengan bantuan pihak polis.” – Dipetik dari jurnal Dasar ‘Memakmurkan Jiran’ dan Penglibatan Malaysia Dalam Proses Keamanan di Selatan Filipina.

Disebabkan perkara ni, Bangsamoro berjuang untuk membebaskan Mindanao untuk membina kerajaan sendiri. Mereka berjuang di bawah Pergerakan Kemerdekaan Mindanao (MIM). Pada 1971, Barisan Pembebasan Nasional Moro (Moro National Liberation Front – MNLF) pula ditubuhkan oleh Nur Misuari dan Salamat Hashim (Ustaz Hashim).

Nur Misuari dalam satu pertemuan dengan Duterte. Imej dari abs-cbn.com

Tapi perjuangan mereka tergendala bila Presiden Marcos lancarkan Undang-undang Darurat di Selatan Filipina. Pada 1976, MNLF akhirnya ambil keputusan untuk berunding dengan Kerajaan Filipina. Tapi keputusan untuk berunding tu tak dipersetujui oleh Ustaz Hashim, jadinya dia keluar dari MNLF dan tubuhkan Moro Islamic Liberation Front (MILF).

“Semenjak itu MILF dan MNLF berjalan selari dengan dua pemimpin yang mempunyai latar belakang dan hal tuju berbeza – Nur Misuari selaku mantan pensyarah politik Universiti Filipina berpendekatan sekular, manakala Ustaz Hashim mempunyai latar belakang agama yang kuat dengan pendidikan di Timur Tengah.

Satu lagi serpihan MNLF adalah kumpulan Abu Sayyaf yang dibawa keluar dari MNLF oleh sekumpulan mubaligh Islam muda pada 1991 kerana perbezaan pendapat dengan pemimpin MNLF.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Jadinya, pada 1996 berlaku sekali lagi perjanjian diantara MNLF dan kerajaan Filipina. Maka, terbentuklah Wilayah Autonomi Muslim Mindanao (Autonomous Region of Muslim Mindanao – ARMM). Nur Misuari dilantik sebagai gabenornya. Tapi nampaknya, banyak masalah mula timbul bila ARMM ni dikaitkan dengan masalah kekurangan dana, korupsi, penyelewengan kuasa dan masalah dalaman MNLF sendiri. Mindanao masih lagi belum aman.

Kedudukan ARMM. Imej dari hawaii.edu

Jawatan Misuari jugak dilucutkan pada 2001 apabila dia dituduh melancarkan pemberontakan menentang kerajaan Filipina. Jadi MILF pula ambil keputusan untuk buat rundingan dengan kerajaan Filipina dengan menjadikan Malaysia sebagai orang tengah. Akhirnya pada 2012, satu perjanjian damai dimeterai di antara kerajaan Filipina dan MILF. Tapi itu bukan penamat kepada ancaman aktiviti ekstrem di wilayah itu.

Sabah pernah jadi penyokong kuat kepada perjuangan Bangsamoro

Hubungan Malaysia-Filipina ada pasang surutnya. Kejap kawan dan kejap tak. Masa Tunku mencadangkan penubuhan Malaysia, Filipina dan Indonesia antara negara yang paling kuat menentang. Kesannya, Malaysia putuskan hubungan diplomatik dengan kedua-dua negara ini. Hal ini berlaku kerana Filipina menuntut pemilikan Sabah dari Malaysia.

Walaupun begitu, kita masih ada hubungan yang agak baik dan menyokong perjuangan Bangsamoro. Ini terbukti bila perjuangan Bangsamoro melalui MNLF mendapat sokongan yang kuat dari Tun Datu Mustapha (bekas Yang Dipertua Negeri Sabah & bekas Ketua Menteri Sabah).

Tun Datu Mustapah adalah Yang diPertua Negeri Sabah yang pertama. Imej dari Utusan Malaysia.

Antara punca kenapa Tun Datu Mustapha menyokong perjuangan Bangsamoro adalah kerana dia sendiri berketurunan Suluk dan beragama Islam, manakala kedua, faktor ekonomi (kerana kekurangan tenaga kerja di Sabah waktu itu).

“Di awal perjuangan Bangsamoro, MNLF mendapat sokongan daripada Tun Mustapha sehinggakan kebanyakan bantuan kewangan yang diberikan oleh negara-negara Timur Tengah disalurkan melalui negeri Sabah. Malahan Tun Mustapha dikatakan telah menyediakan sebuah pangkalan untuk melatih pejuang-pejuang MNLF di negeri Sabah.” – Dipetik dari jurnal Dasar ‘Memakmurkan Jiran’ dan Penglibatan Malaysia Dalam Proses Keamanan di Selatan Filipina.

Tapi bila dasar luar Malaysia mula berubah mengikut keadaan semasa, sokongan Malaysia tak lagi tertumpu sepenuhnya kepada perjuangan Bangsamoro semata-mata. Tapi ia lebih mementingkan kestabilan di rantau Asia Tenggara dan menjaga hubungan sesama negara ASEAN. Hal ni terbukti bila Malaysia sendiri terlibat dalam menangkap Nur Misuari, ketika dia cuba nak dapatkan perlindungan di Sabah pada 2001.

“Peristiwa ini menunjukkan secara jelas, sokongan Malaysia ke atas perjuangan Bangsamoro secara ketenteraan tidak lagi mendapat tempat dalam dasar luar Malaysia, sebaliknya prinsip prosper thy neighbour mula diketengahkan dalam hubungan Malaysia-Filipina berkenaan konflik di selatan Filipina.” – Dipetik dari jurnal Dasar ‘Memakmurkan Jiran’ dan Penglibatan Malaysia Dalam Proses Keamanan di Selatan Filipina.

Perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan MILF, dengan Malaysia bertindak sebagai orang tengah. Imej dari standard.co.uk

Munculnya kumpulan pengganas yang dianggotai oleh mualaf Kristian

Seperti yang dah diceritakan tadi, walaupun ada perjanjian damai antara MILF dan Filipina, tapi itu tak bermakna Selatan Filipina bebas dari ancaman. Jika sebelum ni, kita mungkin hanya dengar yang rantau Asia Tenggara menerina ancaman Jemaah Islamiah dan Abu Sayyaf, sekarang muncul pulak kumpulan yang dikenali sebagai Maute.

Sapa pulak Maute ni? Menurut laporan, kumpulan ni diasaskan oleh dua orang beradik, Omar dan Abdullah Maute. Mereka dikatakan adalah bekas anggota polis Filipina yang terlibat dengan pengedaran dadah. Mereka jugak ada kilang syabu terbesar dekat Lanao del Sur, yang terletak di Marawi.

Nak berapa kilo?

Mereka menubuhkan kumpulan ni sebab nak elakkan diri dari diburu polis dan nak menentang pihak berkuasa. Apa yang lebih mengejutkan adalah kebanyakan ahli kumpulan ni merupakan orang-orang Kristian yang memeluk Islam. Sejak ditubuhkan pada 2013, kumpulan ni terlibat dalam serangan pengeboman di Davao tahun lepas.

Culik dan bunuh orang yang tak boleh baca al-Quran

Disebabkan kumpulan Maute ni nak kukuhkan lagi kedudukan mereka, mereka pun jemput Isnilon Hapilon dari Abu Sayyaf yang diisytiharkan sebagai ketua kumpulan Daesh (ISIS) untuk Asia Tenggara. Disebabkan perkara itulah, kumpulan Maute gunakan taktik-taktik dan bendera Daesh untuk kumpulan mereka.

“Dengan manual Daesh, kumpulan ini menjadi ganas. Di Marawi itu mereka menculik dan membunuh. Mereka menahan orang tempatan dan membunuh sesiapa yang tidak boleh membaca sebarang ayat al-Quran. Mayat-mayat dicampak ke gaung. Begitulah apa yang dilaporkan. Kekejaman mereka itu dilihat sebagai kebiasaan apa yang dilakukan oleh Daesh. Iaitu tiada belas kasihan dan tidak berperikemanusiaan.” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.

Inilah dia Isnilon Hapilon. Imej dari The Straits Times.

Apa yang dilakukan oleh Maute di Marawi ni sebenarnya satu perkara yang sangat mengejutkan. Ini kerana masa wilayah tawanan Daesh di Syria dan Iraq berkurangan. Tiba-tiba Marawi di Filipina pula berjaya ditawan sekutu Daesh. Nampaknya perjuangan Daesh mula diterima dikalangan kumpulan-kumpulan militan. Apatah lagi, gerakan ini mendapat sokongan dari kumpulan-kumpulan militan lain seperti Abu Sayyaf dan Bangsamoro Islamic Freedom Fighters (BIFF).

Kini nampaknya kumpulan ini berjaya menawan sebahagian besar kota Marawi. Mereka jugak mula menurunkan bendera Filipina dan mengibarkan bendera Daesh. Gerakan ini juga dianggotai oleh warga-warga asing seperti dari Malaysia, Indonesia, Arab Saudi dan Yaman.

Pihak tentera Filipina jumpa wang bernilai $52 juta peso kat salah satu rumah persembunyian pengganas di Marawi. Tapi besar kemungkinan duit-duit tu adalah palsu. Imej dari abs-cbn.com

Bekas pensyarah UM dipercayai akan dilantik jadi pemimpin negara Islam di Marawi

Pada 30 Mei lepas, Gabenor Mindanao mengesahkan 3 orang warga Malaysia terbunuh di Marawi. Mereka itu dikatakan terbunuh dalam pertempuran di antara pihak tentera dan pihak pemberontak. Menurut laporan The Star, bekas pensyarah Universiti Malaya, Dr Mahmud Ahmad adalah individu yang berkemungkinan akan dilantik menjadi pemimpin negara Islam di Marawi.

“Mahmud dikenal pasti sebagai individu yang akan membentuk kubu IS di Asia Tenggara, kini di bawah pimpinan Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon… Menurut sumber risikan, rancangan Mahmud adalah untuk membentuk puak IS rasmi di Asia Tenggara dengan menyatukan sel-sel pengganas yang berbeza di Malaysia, Indonesia dan Filipina.” – Dipetik dari The Star.

Dr Mahmud jugak adalah bekas pensyarah kepada Siti Nor Aisyah Atam. Imej dari The Star.

Dr Mahmud juga pernah menyertai latihan tentera kat kem al-Qaeda di Afghanistan masa belajar di Universiti Islam Islamabad Pakistan pada akhir tahun 1990-an. Lepas tu dia balik ke Malaysia dan dilantik menjadi pensyarah kat Universiti Malaya. Pada tahun 2014, Dr Mahmud larikan diri ke Filipina bila identitinya terbongkar. Dr Mahmud jugak adalah bekas pensyarah kepada Siti Nor Aisyah Atam yang ditahan pihak berkuasa baru-baru ni.

Ganjaran $10 peso juta untuk tangkap ketua pengganas, hidup atau mati

Disebabkan keadaan yang semakin meruncing di Marawi. Presiden Filipina, Rodriguez Duterte mengajak kumpulan Islam dan komunis di Selatan negara tu untuk sama-sama menggempur pihak pengganas. Duterte jugak tawarkan gaji seperti tentera kalau mereka menyertai operasi.

Buat masa sekarang pihak MNLF dah nyatakan kesediaan untuk bersama-sama pihak kerajaan memerangi pengganas berkenaan. MILF pulak mula memmbantu dan menyediakan bantuan kemanusian kepada penduduk Marawi.

Imej asal dari Concept News Central.

Presiden Duterte juga dalam satu kenyataan menawarkan wang ganjaran sebanyak 10 juta peso (RM 862,135.37) untuk Isnilon Hapilon (pemimpin Abu Sayyaf) dan 5 juta peso (RM 431,067.69) untuk setiap orang adik beradik Abdullah dan Omar Maute (pemimpin Maute). Perkembangan ni menunjukkan yang krisis di Marawi semakin serius dan memerlukan penyelesaian.

“Apa yang menyukarkan peperangan seperti ini, pihak pengganas boleh menyelinap dalam kalangan orang awam untuk mereka bersembunyi atau lari. Tidak diketahui berapa orang pengganas Maurte ini. Terdapat anggaran dari 100 hingga 500 orang. Ada yang sudah dibunuh dan ditangkap.” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.

$5 juta peso untuk setiap dari mereka. Imej dari ndbcnews

Keganasan di Marawi, cabaran besar untuk Duterte

Bila Duterte mula-mula naik jadi Presiden Filipina, antara ikrar dia adalah nak memerangi dadah, rasuah dan jenayah secara habis-habisan. Dalam masa 5 bulan je lepas Duterte memegang jawatan presiden, dilaporkan seramai lebih 5,900 orang terbunuh kerana terlibat dalam pengedaran dadah.

Tapi apa yang dihadapi oleh Duterte dalam masalah Marawi ini lebih serius. Dia kini berdepan dengan ancaman pengganas. Seperti biasa Duterte tentu saja akan gunakan cara yang keras dalam banyak keadaan. Nampaknya dia telah mengisytiharkan Undang-undang tentera di Marawi.

Tindakan ini mendapat bantahan dari pihak pembangkang Filipina kerana dianggap tidak berperlembagaan. Dalam hal ni, pihak pembangkang cuba nak bandingkan apa yang dibuat oleh Duterte dengan pemerintahan tentera yang dilakukan oleh bekas Presiden, Ferdinand Marcos suatu masa dulu.

Presiden Marcos pernah isytiharkan Undang-undang Tentera sebelum digulingkan atas prostes rakyat. Imej dari rogue.ph

Tindakan Duterte ni tak mengejutkan sangat sebenarnya, sebab sebelum ni Duterte jugak gunakan tindakan keras dalam memerangi dadah. Bagaimanapun, konflik yang berlaku di Selatan Filipina sudah pasti menguji kepimpinan Duterte sebagai presiden.

“Dalam hal ini rakyat Filipina sendiri diseru supaya bersatu, tanpa mengira agama atau ideologi. Sama ada Kristian mahupun Islam, sama ada kiri ataupun kanan, mereka mesti bersatu menentang pengganas. Ini bukan soal Kristian lawan Islam, atau kerajaan lawan pemberontak, tetapi ia adalah perlawanan antara keselamatan dan kekacauan.” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend