4 kisah ketegangan antara Malaysia dan Indonesia yang pernah berlaku

Baru je beberapa hari lepas, kita melihat majlis pembukaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Tapi tak lama lepas tu, tiba-tiba timbul isu tentang kesilapan bendera Indonesia yang dicetak terbalik dalam buku panduan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin dengan pantas memohon maaf kepada rakan sejawatannya dari Indonesia atas kesilapan tersebut.

Presiden Jokowi dalam satu kenyataan pun minta supaya isu ni tak diperbesar-besarkan. Cuma apa yang beliau mahu adalah adanya permohonan maaf secara rasmi dari pihak Malaysia tentang isu terbabit. Bagaimanapun, kesilapan ni dah mendapat liputan meluas dari media di negara itu. Ada juga pihak yang mendakwa, isu ini mula dipanaskan oleh pihak media Indonesia.

Imej asal dari The Malay Mail Online.

Selain itu, kita juga dilaporkan tentang demonstrasi yang berlaku di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta. Dalam demonstrasi tu, mereka minta kerajaan Indonesia putuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. Mereka juga kata cetakan bendera secara terbalik sebagai melampau dan memalukan.

Tapi sebenarnya ada juga pihak yang mempersoalkan perkara ini. Ini kerana, mereka mendakwa yang pihak Indonesia juga pernah salah cetak bendera Malaysia masa Sukan SEA 2011. Hal ini, juga dilaporkan oleh satu media Indonesia, INDOSPORT.

“Tak cuma Malaysia yang melakukan kesalahan pada bendera kita. Sebelumnya malah Indonesia yang salah cetak bendera Malaysia, Si Jalur Gemilang. Bendera bersalur-salur 7 warna merah dan 7 warna putih itu ternyata kurang satu salur warna putih di bagian bawah. Tentu hal ini mengubah maknanya.” – Dipetik dari INDOSPORT.

Imej dari indosport.com

Bertitik tolak dari peristiwa yang baru je berlaku ni, sebenarnya sejak dulu lagi hubungan Malaysia dan Indonesia memang dah melalui pasang surutnya. Ia terjadi sejak penubuhan Malaysia lagi, hinggalah kepada isu-isu lain yang berbangkit selepas itu. Oleh itu, mungkin lebih baik untuk kita lihat kembali sejarah hubungan dua negara serumpun ini.

1. Tertubuhnya Malaysia dan terisytiharnya slogan ‘Ganyang Malaysia’

Tepat pada 16 September 1963, Malaysia telah ditubuhkan secara rasmi dengan gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura (tapi pada tahun 1965, Singapura disingkirkan dari gabungan ini). Tapi sejak mulanya cadangan Tunku Abdul Rahman untuk menubuhkan Malaysia ia dah ditentang hebat oleh Indonesia yang ketika itu dipimpin oleh Presiden Soekarno.

Selain itu, pihak Filipina pun menentang penubuhan Malaysia ini. Tapi diorang taklah seagresif Indonesia. Ini kerana, bagi Soekarno penubuhan Malaysia adalah agenda imperialisme Barat (meluaskan kuasa) dan neokolonialisme (kawal politik secara langsung). Disebabkan itu, akhirnya pihak Indonesia mengisytiharkan konfrontasi terhadap Malaysia. Presiden Soekarno pula perkenalkan slogan ‘Ganyang Malaysia’.

“Kalau kita lapar itu biasa. Kalau kita malu itu juga biasa. Namun kalau kita lapar atau malu itu karena Malaysia, kurang ajar!…Yoo…ayoo… kita… Ganjang…Ganjang… Malaysia, Ganjang… Malaysia…Bulatkan tekad, Semangat kita badja…Peluru kita banjak, Njawa kita banjak…Bila perlu satoe-satoe!” – Ucapan Presiden Soekarno, dipetik dari inilah.com.

Presiden Soekarno isytihar “Ganyang Malaysia”. Imej dari Pena Soekarno.

https://www.youtube.com/watch?v=MIZA_9WKLSU

Sebaik saja Indonesia mengisytiharkan konfrontasi terhadap Malaysia, pencerobohan dan serangan ke Malaysia pun bermula. Walaupun begitu, konfrontasi bersenjata antara Malaysia dan Indonesia adalah perang yang tak diisytiharkan. Berikut adalah antara serangan pihak Indonesia ke Malaysia:

Tunku Abdul Rahman tengah periksa senjata yang dirampas masa konfrontasi. Imej dari Zamkata.

Tapi serangan-serangan tu kita dapat patahkan dengan bantuan ketenteraan dari negara-negara Komanwel seperti Britain, Australia dan New Zealand. Setelah hampir 2 tahun lebih berlakunya konfrontasi, secara tiba-tiba kepimpinan Soekarno digulingkan. Ia terjadi apabila pihak Parti Komunis Indonesia (PKI) cuba untuk membuat rampasan kuasa dengan menculik dan membunuh beberapa orang jeneral tentera Indonesia pada 30 September 1965 (juga dikenali sebagai peristiwa Gestapo).

Jeneral Soeharto yang terselamat dalam peristiwa tu akhirnya mengambil alih kuasa dari Soekarno. Beliau kemudiannya dilantik menjadi presiden Indonesia. Setelah berlakunya pertukaran kepimpinan, hubungan Malaysia dan Indonesia mula dipulihkan. Maka, berakhirlah konfrontasi antara kedua-dua buah negara.

Antara pegawai tinggi tentera Indonesia yang terkorban dalam peristiwa Gestapo. Imej dari wizamisasi.com

[Boleh baca artikel kitorang pasal Konfrontasi Indonesia-Malaysia yang lebih detail kat sini]

Tapi itu bukan pengakhiran ketegangan hubungan Malaysia dan Indonesia. Ini kerana, banyak juga perisiwa yang berlaku selepas itu. Antaranya ialah…

2. Perebutan dua buah pulau dan wilayah perairan bertindih

Sebelum ni, ada dua pulau yang jadi rebutan antara Malaysia dan Indonesia. Pulau itu adalah Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan yang terletak di perairan Sabah. Pertikaian ni dah bermula sejak tahun 1969 lagi, apabila diadakan rundingan antara kedua-dua buah negara. Kedua-dua pihak juga masa tu bersetuju tetapkan sempadan di Selat Melaka dan Laut China Selatan. Tapi nampaknya, pertelingkahan tentang kedudukan sempadan di Pantai Timur Sabah masih wujud.

“Indonesia enggan mengiktiraf wilayah pelantar Malaysia, malah mendakwa Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, dua buah milik Malaysia, sebagai termasuk dalam wilayah perairannya.” – Dipetik dari jurnal tulisan Ahmad Farhan Abdullah.

Konflik Pualu Sipadan dan Pulau Ligitan. Imej dari pendidikan60detik.blogspot

Bagaimanapun, pertelingkahan ni berakhir apabila Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan kedua-dua pulau ini adalah milik Malaysia. Walaupun keputusan ni diterima baik oleh kedua-dua pihak, tapi sebenarnya masih ada masalah di antara negara kita dengan Indonesia. Ia termasuklah tentang sempadan dan kawasan perairan bertindih.

Salah satunya adalah wilayah blok laut berdekatan dengan Laut Sulawesi yang dikenali sebagai Ambalat. Blok laut ini dikatakan kaya dengan minyak dan gas asli serta boleh diteroka untuk tempoh 30 tahun! Sebab itulah ia menjadi rebutan antara kedua-dua buah negara sejak tahun 1960-an lagi. Sepanjang perebutan tu, dah beberapa kali berlaku ketegangan di antara pihak Malaysia dan Indonesia.

  1. Februari 2005 – Kapal peronda Malaysia, KD Sri Melaka menahan 17 warga Indonesia di Karang Unarang yang dianggap sebahagian dari Ambalat.
  2. Pada 2007 – Malaysia terus ditekan apabila Tentera Indonesia menuduh kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menceroboh kawasan tersebut.
  3. Oktober 2008 – Pengerusi Dewan Perwakilan Rakyat, Agung Laksono membantah tindakan Tentera Malaysia berada di perairan Kalimantan Timur.
  4. Hujung Mei 2009 – Media Indonesia mensensasikan laporan bahawa kapal Angkatan Laut Indonesia yang sedang meronda hampir melepaskan tembakan kat sebuah kapal peronda TLDM sebab tak endahkan arahan supaya beredar dari perairan terbabit.
Blok bertindih di Ambalat yang menjadi pertikaian. Imej dari ramalanintelijen.net

Bagaimanapun, sehingga sekarang masih tak ada tanda-tanda untuk isu ini dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Apa yang ada hanyalah rundingan antara kedua-dua pihak sahaja.

“Sekiranya rundingan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Persempadanan Antara Malaysia dan Indonesia gagal menyelesaikan isu ini, maka tindakan memfailkan tuntutan kepada ICJ adalah jalan terakhir yang boleh diambil untuk menamatkan kemelut ini.” – Profesor Dr Azmi Hassan. Dipetik dari Utusan Malaysia.

3. Jalur Gemilang dibakar dan Kedutaan Malaysia dibaling najis

Belum habis lagi pasal sempadan dan wilayah perairan, kita nak bercakap pulak tentang kesan dari konflik tersebut. Ini kerana pada 2010, kita dikejutkan dengan tindakan protes di depan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia. Dalam protes tu, peserta demonstrasi dah bertindak melemparkan najis manusia ke dalam Kedutaan Malaysia.

Selain itu, penunjuk perasaan juga memijak bendera Malaysia. Isu sebenar yang berlaku disebalik insiden ini adalah apabila pihak berkuasa Malaysia menangkap anggota penguatkuasa Indonesia di perairan Indonesia dekat Pulau Bintan.

“Sebelum ini anggota penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menangkap tujuh nelayan Malaysia yang dituduh menceroboh perairan negara jiran itu. Bagaimanapun timbul kekecohan apabila anggota Pasukan Gerakan Marin cuba menghalang tindakan itu telah menangkap tiga anggota penguat kuasa terbabit.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Eeee…sapa punya la tu ye? Imej dari etalasefotoberita.blogspot

Tapi nampaknya isu ini diselesaikan secara diplomasi di antara kedua-dua buah pihak dan semua yang ditahan dibebaskan. Bagaimanapun, masih ada pihak yang tak puas hati dengan perkara tu dan anggap Indonesia terlalu berlembut dengan Malaysia.

Beberapa hari lepas tu, terjadi sekali lagi demonstrasi di depan Kedutaan Malaysia. Kali ni penunjuk perasaan bukan je pijak jalur gemilang tapi siap bakar sekali. Perkataan ‘Ganyang Malaysia’ pun dilaungkan. 

“Tunjuk perasaan bertema ‘Panggung Merah Putih-Tegakkan Harga Diri Bangsa’ itu mendesak Malaysia supaya meminta maaf kepada seluruh rakyat Indonesia kerana perbuatan menghina kedaulatan Indonesia. Mereka juga mahu Malaysia menghormati hak asasi manusia serta memberi perlindungan undang-undang kepada seluruh rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Kes penderaan pembantu rumah Indonesia di Malaysia juga membangkitkan kemarahan pihak Indonesia. Imej dari Utusan Online.

Malaysia dalam tindak balasnya telah memanggil Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur untuk memberikan penjelasan. Pihak polis Indonesia pula selepas itu mengetatkan kawalan apabila ada khabar angin yang mengatakan akan ada gerakan mengusir rakyat Malaysia di negara itu.

Beberapa hari lepas tu keadaan jadi tenang. Tapi kalau korang rasa keadaan tu akan kekal, sebenarnya tak juga, sebabnya pada Oktober 2011, berlaku sekali lagi demonstrasi di depan Kedutaan Malaysia. Dilaporkan sembilan anggota polis Indonesia tercedera apabila diorang dibaling dengan batu, kayu dan buluh masa demonstrasi ni.

Imej dari bengongsinting.wordpress

Kali ni diorang tuduh pulak Malaysia kononnya ambil tanah seluas 1,000 hektar secara haram kat Kalimantan Barat. Tapi perkara tu dinafikan Malaysia. Pihak kerajaan Indonesia juga kata tak timbul pertikaian pasal sempadan antara Indonesia dan Malaysia. Ini kerana, kedua-dua negara merujuk kepada perjanjian persefahaman yang dibuat sejak zaman pemerintahan Belanda dan British lagi.

Mana tanah tu?

4. Ada kumpulan NGO Indonesia yang nak serang Malaysia, diorang siap kata nak bawa senjata ninja!

Mungkin masih ramai yang ingat satu masa dulu hubungan kita dengan Indonesia juga jadi tegang sebab kita dituduh curi tarian pendet dari Indonesia. Benda ni jadi bila gambar tarian pendet muncul dalam iklan program Enigmatic Malaysia yang akan bersiaran kat saluran Discovery Channel.

“Video tersebut dimulakan dengan kemunculan gambar bunga Raflesia kemudian diikuti gambar dua orang penari tarian pendet dan seterusnya wayang kulit yang merupakan salah satu produk kebudayaan Indonesia.” – Dipetik dari jurnal tulisan Ali Maksum & Reevany Bustami.

Tapi sebenarnya video ni takde kaitan langsung dengan pihak kerajaan Malaysia. Lepas timbulnya kontroversi, pihak produksi yang buat video tu pun mohon maaf dengan Kementerian Pelancongan Malaysia. Kemudiannya, kerajaan Indonesia pula diminta supaya terima penjelasan dari pihak produksi tersebut.

Tapi nampaknya, kita rasa kesal dan rasa pelik bila media Indonesia tetap tak nak terima penjelasan dan terus memainkan isu ini. Disebabkan perkara itu, sentimen anti-Malaysia terus membara. Tapi Malaysia tetap anggap isu ni dah selesai bila pihak produksi dah bagi penjelasan.

Bagaimanapun, tuduhan yang kata Malaysia claim kebudayaan Indonesia juga dibuat oleh Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia.

“Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia mendakwa bahawa sepanjang tempoh 2007–2012, Malaysia telah melakukan sekurang-kurangnya tujuh kali tindakan mendakwa produk budaya Indonesia antaranya tarian reog, lagu Rasa Sayang, batik, tarian pendet, alat muzik angklung, beras padi dan krayan dan tarian tor-tor” – Dipetik dari jurnal tulisan Ali Maksum & Reevany Bustami.

Sebelum ini ada juga pihak sana yang claim Yuna diorang punya. Selain tu, ada macam-macam lagi. Klik imej untuk baca artikel kitorang pasal 5 perkara yang Indonesia claim diorang punya.

Tapi apa yang pasti, kesan dari tarian pendet ni disambut dengan bantahan. Antara aksi melampau yang biasa adalah seperti membakar jalur gemilang dan laungan ‘Ganyang Malaysia’. Malah, pada hari kemerdekaan 31 Ogos 2009, lebih kurang 100 website kerajaan telah digodam oleh para penggodam Indonesia.

Pasukan Malaysia dibawa dengan kereta perisai masa perlawanan akhir menentang Indonesia dalam Piala AFF Suzuki 2010. Imej dari tenangsudey.blogspot

Tapi kalau korang nak tahu, ada satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selalu je cuba cari pasal dengan Malaysia. Kumpulan ni dikenali sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA). Pada tahun 2009, penyelaras NGO ni ada bagitahu yang diorang dah rekrut lebih kurang 1,500 sukarelawan yang bersiap sedia untuk berperang dengan Malaysia.

Penyelaras BENDERA, Mustar Bona Ventura. Cukup marah dia dengan Malaysia. Imej dari @Bona_Vent

“Selain dibekalkan ilmu kebal, para relawan BENDERA juga dibekalkan dengan pelbagai keperluan seperti ubat-ubatan, bekal makanan dan pelbagai senjata termasuk Pedang Samurai dan Hira-shuriken atau Bintang Ninja. BENDERA juga mendakwa bahawa para sukarelawan telah bersedia setiap masa untuk berperang dengan Malaysia. Malah, para sukarelawan juga mendakwa bahawa mereka akan berangkat ke Malaysia secara sukarela walaupun perjalanan yang dilakukan di atas pembiayaan sendiri.” – dipetik dari jurnal tulisan Ali Maksum & Reevany Bustami.

Imej dari Giphy.

Tapi nampaknya tak ada sebarang berita pasal perkara ni. Kita juga tak dilaporkan dengan sebarang pencerobohan dari pihak NGO ni ke Malaysia. Mungkin tayar pancit tengah jalan kot. Malaysia dalam tindak balasnya, minta supaya isu ini tak diperbesarkan dan gesa pihak media Indonesia hentikan provokasi. Pihak kementerian luar Malaysia juga, meanganggap tindakan ekstrem yang dilakukan itu tak mewakili keseluruhan penduduk Indonesia.

Walaupun ada masa hubungan tegang, tapi kedua-dua buah negara pernah ada pemimpin yang berkawan baik

Jika mengkaji sejarah, hubungan kebudayaan antara Malaysia dan Indonesia dah terjalin rapat sejak kedua-duanya masih belum mencapai kemerdekaan lagi. Disebabkan itulah, logik untuk kedua-dua negara mempunyai persamaan dalam aspek budaya dan kesenian tertentu. Malah seniman-seniman Malaysia masih dikenali di Indonesia seperti P.Ramlee hinggalah ke Siti Nurhaliza. Begitu juga di Malaysia, banyak juga rakyat kita yang minat dengan penyanyi, pelakon dan drama-drama yang datang dari Indonesia.

Menurut Prof Khoo Kay Kim, disebabkan pengaruh P.Ramlee di Indonesia cukup kuat. Soekarno bertindak mengharamkan filem beliau ketika konfrontasi. Imej dari Kelab Peminat P. Ramlee

Walaupun bekas pemimpin kedua-dua buah negara, iaitu Tunku Abdul Rahman dan Soekarno pernah berseteru dan tak sependapat suatu masa dahulu. Ia tak menjadikan kedua-dua negara ini terus bermusuh. Hal ini terbukti apabila hubungan di antara Dr Mahathir dan Soeharto (allyarham) sangat rapat. Malah diceritakan Dr Mahathir pernah menangis di sisi Soeharto ketika bekas pemimpin itu berada dalam keadaan sakit yang serius.

“Pada sekitar 1980-an Malaysia dan Indonesia mempunyai dua tokoh yang terlalu kuat kuasa mereka. Malah negara-negara lain di kalangan ASEAN amat menghormati kedua-dua kuasa ini. Kedua-dua kuasa ini iaitu Dr. Mahathir-Suharto diiktiraf sebagai pengimbang kepada rantau ini.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Kesimpulannya, hubungan antara Malaysia dan Indonesia tetap kekal baik sejak tamatnya konfrontasi lebih 50 tahun lalu. Walaupun kadang-kadang tu ada sedikit sebanyak tindakan provokatif dari pihak tertentu. Kita nampaknya sejak dulu lagi sentiasa mengambil pendekatan sederhana dalam menangani masalah sebegini. Oleh itu, adalah sangat wajar untuk kita kekal bersikap bertamadun dan beradap sopan.

https://www.youtube.com/watch?v=MV7Oum9cqB0

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.