Pemain tempatan pernah gempur England? Ini 5 bintang Malaysia yang hilang disebabkan rasuah

Kejatuhan bola sepak negara kita sejak sekian lama seakan-akan menimbulkan pertanyaan, adakah negara kita memang tak bagus langsung dalam sukan ni? Adakah pemain-pemain yang kita ada memang tak cukup berbakat sampai nak masuk Piala Asia pun terkontang-kanting? Sedangkan masa zaman Mokhtar Dahari tu kita punya level lain gila kot.

Semua ni terjadi disebabkan zaman gelap bola sepak tempatan pada 1994, antara skandal rasuah sukan terbesar negara. Benda tu sekaligus affect prestasi skuad  kebangsaan tau! Mutu bola sepak tempatan pun mula menurun disebabkan ramai pemain-pemain bintang yang mengambil rasuah digantung dari bermain bola.

Kali kitorang nak senaraikan 5 pemain bintang yang bertaraf dunia Malaysia pernah ada, tapi sayangnya dorang ni terpalit dengan isu rasuah. Mungkin ada yang tak kenal pun dorang ni!

1. Malek Rahman

Nombor 7 sejati! Imej dari Facebook

Sebelum nombor 7 dipegang oleh pemain pertahanan dalam pasukan kebangsaan iaitu Aidil Zafuan, kita pernah ada pemain nombor 7 sejati yang diberi nama Malek Rahman. Dia merupakan salah seorang legenda bola sepak Selangor sebaris dengan Azman Adnan, Rusdi Suparman dan ramai lagi.

Yang pasti, dia juga membarisi skuad projek Olimpik Barcelona 1992 dan juga antara watak penting dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 1993. Suka untuk kitorang ingatkan yang Malaysia kena hadap Korea Selatan tau di peringkat final! Yang lagi mindblown adalah dorang menang tau perlawanan tu, kira pasukan yang bertanding masa tu memang padu gila lah.

Malek mengangkat Piala Pestabola Merdeka. Imej dari Berita Harian

Dia juga merupakan watak penting dalam membawa Selangor memenangi Liga Perdana buat kali pertama dulu! Untuk pengetahuan korang sebelum munculnya Liga Perdana (liga profesional) tu, liga kita adalah berstatus semi pro. Semasa transisi tu lah yang membuatkan rasuah bola sepak menjadi-jadi dan salah seorang yang kena tempiasnya adalah bintang kita, Malek Rahman.

2. Matlan Marjan

Hebat tak hebat? Imej dari Facebook

Berapa ramai je peminat Harimau Malaya zaman sekarang kenal nama Matlan Marjan ni? Kalau nak sebut pasal striker sejati, ni lah orangnya. Sebab apa? Matlan Marjan ni merupakan individu yang pernah menjaringkan dua gol melawan pasukan utama England tau!

Pada 1991, Malaysia pernah menerima kunjungan pasukan England dalam perlawanan persahabatan di Stadium Merdeka. Walaupun skuad negara kalah dengan jaringan 4-2, ia tetap satu benda yang membanggakan apabila Matlan Marjan berhasil dalam menggegarkan gawang England sebanyak dua kali.

Bukan senang nak gol lawan England tau. Imej dari AFC

Skuad The Three Lions masa tu bukan calang-calang tau, nama-nama besar seperti Gary Lineker, Alan Shearer, Paul Gascoigne dan tak lupa juga suara emas dalam permainan video FIFA dan PES iaitu Alan Smith. Dengan skuad macam tu pun Malaysia still boleh hadap tau, ini merupakan skuad bayangan England untuk Piala Dunia 1994!

Tapi apakan daya, Matlan Marjan pun antara yang terpalit isu rasuah ni. Dia adalah salah seorang pemain yang telah digantung seumur hidup di mana tidak dia diharamkan untuk join apa-apa aktiviti bola sepak kendalian Football Association Malaysia (FAM). Yang lagi perit, dia juga dibuang daerah! Disebabkan tu, Malaysia sekaligus kehilangan khidmat penyerang yang pernah menggempur England.

3. Azizol Abu Haniffah

Gelecek macam tu je. Imej dari Facebook

Kalau kat Sepanyol ada maestro seperti Iniesta dan Xavi, Malaysia ada maestro kita sendiri iaitu Azizol Abu Haniffah. Dia merupakan legenda Perak dan juga seorang jeneral di posisi tengah! Tanya semua peminat-peminat otai, mesti dorang akan sebut Azizol adalah pemain tengah terbaik yang Malaysia pernah lahirkan.

Dia juga antara yang masuk sebagai pemain gantian semasa perlawanan Malaysia berdepan dengan England. Azizol sudah pun mengumpul sebanyak 71 kaps (kemunculan) bersama skuad kebangsaan dan juga menyumbang 8 gol. Kira dia memang pemain senior lah dalam pasukan kebangsaan dan dia ni merupakan tonggak penting untuk Harimau Malaya.

Ramai juga peminat-peminat otai yang mengenali Azizol ni disebabkan kejayaan dia mengetuai Perak FA memenangi kejuaraan Piala FA pada 1990. Perak FA berjaya mengalahkan Selangor FA yang dianggap sebagai gergasi bola sepak Malaysia ketika itu dengan jaringan 4-2!

Azizol menjulang Piala FA 1990. Imej dari Facebook

Namun semuanya seakan-akan kelam selepas nama Azizol juga terpalit dengan isu rasuah bola sepak pada 1994, perkara tu sekaligus mengakhiri karier Azizol Abu Haniffah. Ia merupakan kehilangan terbesar skuad Harimau Malaya kerana Azizol boleh dikira sebagai pemain tengah terbaik Malaysia sepanjang zaman.

4. Salahuddin Che Ros

Ni lah dia ‘Orang Besi’! Imej dari New Straits Times

Pada tahun 2020, viral berkenaan seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan hidup sebagai gelandangan. Individu tersebut adalah ‘Orang Besi’ Salahuddin Che Ros, pemain posisi pertahanan yang sangat kental di era 90-an. Dia juga turut berada dalam pasukan projek Olimipik Barcelona bersama-sama dengan Azman Adnan dan Malek Rahman.

Salahuddin merupakan legenda pasukan Penang FA dan juga Pahang FA, semasa di Pahang dia berjaya membawa pasukannya menjuarai Piala Malaysia pada 1992. Kalau nak cakap pasal kekerasan semasa bermain bola, dia ni lah orangnya! Berbeza dengan pemain-pemain sekarang yang kalau sentuh sikit je jatuh.

Mungkin ni lah apa yang difikirkan Tony Stark. Imej dari imgflip

Di zaman kegemilangannya, dia merupakan tonggak pertahanan skuad Harimau Malaya tau. Masa ni dikira skuad Malaysia daripada bahagian pertahanan sampai bahagian serangan semuanya mantap! Malangnya, Salahuddin juga tidak terkecuali sangkut isu rasuah dan dikatakan telah digantung seumur hidup. Mana mungkin kita boleh cari ‘Orang Besi’ macam ni lagi.

5. P. Ravindran

The Kinta Express! Imej dari Twitter

Korang tahu tak, pada 1992 kita pernah kalahkan Australia dengan jaringan 1 berbalas 0? Kejadian itu berlaku semasa Piala Kemerdekaan Jakarta Raya di Indonesia. Individu yang menjaringkan satu gol tu adalah tak lain dan tak bukan P. Ravindran atau lebih dikenali sebagai ‘Kinta Express’! Kenapa pula?

Ia sebab P. Ravindran masa tu bermain sebagai pemain sayap di Perak FA, orang kata dia punya larian tu laju nak mampus. Tu yang mencanak orang Australia nak kejar dia tu. Pemain ini sebaris dengan Azizol Abu Haniffah, sebab mereka adalah watak penting ketika Perak menewaskan Selangor pada final Piala FA 1990.

Masih laju? Imej dari Facebook

Gabungan pemain tengah terbaik Malaysia sepanjang zaman (Azizol Abu Haniffah) dengan Kinta Express tu lah yang mengucar-kacirkan benteng pertahanan Selangor dulu. Tetapi, P. Ravindran juga tak boleh lari daripada isu rasuah ni selepas menjadi salah seorang yang digantung.

Dia juga ada menceritakan kepada media yang perkara itu seakan terpaksa dibuat, sebab bookie-bookie ni semua mengugut pemain jika tak buat apa yang disuruh. Antara ambil duit dan buat-buat kalah atau pun kena pukul or diugut bunuh!

Insiden yang meranapkan bola sepak negara

Sebelum rasuah, ni barisan kita dulu. Imej dari Facebook

Disebabkan insiden rasuah tu, bola sepak Malaysia mengalami kemerosotan yang sangat ketara. Even sekarang pun kita susah nak cuba naikkan kembali prestasi negara kita seperti dulu-dulu. Tengok ranking je dah boleh tahu yang Harimau Malaya yang dahulu jauh berbeza dengan yang sekarang.

Namun, kita mengharapkan pasukan negara kita mampu untuk bangkit untuk pergi lebih jauh lagi. Dengan adanya National Football Development Program (NFDP), kita mempunyai peluang untuk melahirkan bakat-bakat baharu dalam bola sepak sekaligus mengangkat martabat Harimau Malaya ke aras lebih tinggi!

Mungkin ada yang tertanya apa je yang jadi sebelum ni sampai ada kes rasuah besar-besaran tu? Kalau korang nak tahu pasal insiden tu dengan lebih lanjut, korang boleh klik di sini.