Ramai doktor mogok kerana kelemahan sistem kontrak dalam sektor penjagaan kesihatan?

Baru-baru ini, sektor perubatan Malaysia dikejutkan dengan sebuah keratan akhbar “Teliti semula pengambilan pegawai perubatan“. Dalam keratan akhbar ini, Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Zainal Ariffin menyuarakan supaya kerajaan perlu meneliti semula urusan pengambilan dan penempatan pegawai perubatan atau perlantikan baharu di Kementerian Kesihatan.

Ini merupakan keratan akhbar yang kami cakap tu. Imej dari Utusan.

Rentetan dari isu ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah mengeluarkan kenyataan media mengenai sistem penjagaan kesihatan Malaysia. Ia ditujukan kepada kerajaan dan Ahli Parlimen supaya mereka mengambil berat mengenai penambahbaikan sistem penjagaan kesihatan serta kebajikan doktor kontrak.

Dalam kenyataan media tersebut, banyak perkara yang diusulkan antaranya…

Memperbaiki sistem penjagaan kesihatan yang semakin teruk di Malaysia

MMA menyuarakan pendapat mereka. Imej dari MMA Schomos.

Macam kami sebut di atas, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah mengeluarkan kenyataan media kepada kerajaan dan Ahli Parlimen mengenai sistem penjagaan kesihatan Malaysia. Menurut MMA, sistem penjagaan kesihatan kita telah merosot akhir-akhir ini.

Dalam kenyataan media tersebut, terdapat tiga perkara yang diusulkan supaya kerajaan dan pihak berkaitan terlibat iaitu:

  1. Memperbaiki kekurangan sumber manusia dan menyediakan jalan untuk pengembangannya di sektor kesihatan awam.
  2. Mengakui sifat kritikal sektor penjagaan kesihatan.
  3. Memerlukan pelaksanaan pendekatan berasaskan sains yang terkoordinasi dengan baik di semua sektor kerajaan terhadap Pelan Pemulihan Negara untuk memastikan kejayaannya.

Dalam perkara pertama, MMA dan Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) menyatakan bahagian sumber manusia dalam sektor kesihatan awam perlu dibaiki. Hal ini dibuktikan dengan peningkatan gejala burnout di kalangan kakitangan kesihatan di negara ini, terutamanya semasa wabak COVID-19.

Masalah ini semakin kritikal apabila kurangnya keselamatan pekerjaan dan peluang untuk kemajuan karier yang dihadapi oleh doktor kontrak muda MMA, yang membentuk sebahagian besar pasukan respon COVID-19.

“Ingat lagi tak kemudahan dan peralatan hanya satu setengah dari unit hospital saja yang berfungsi! Komponen sumber manusia adalah separuh dari perkara penting, serta memerlukan pelaburan yang serius dari segi wang dan terutama masa untuk mendapatkan pekerja terlatih. Modal fizikal boleh dibeli dalam beberapa hari, tetapi modal insan memerlukan pengasuhan selama beberapa dekad.” – Dipetik dari kenyataan media MMA.

Pening kepala! Imej dari Imgflip.

MMA turut dimaklumkan oleh KKM bahawa cadangan kontrak doktor bakal dilanjutkan, tetapi mereka telah menunggunya sejak sistem kontrak ini dimulakan pada bulan Disember 2016. Walaupun semasa COVID-19 semakin serius, doktor muda masih menunggu keputusan yang adil dan jelas dari pihak kerajaan sekiranya mereka dapat terus bekerja ketika kontrak mereka tamat dan sekiranya mereka dapat menjalani latihan untuk pengkhususan.

“Sistem kontrak semasa tidak kemas, berat sebelah dan gagal kerana telah memberi mereka ketidakpastian dalam pekerjaan mereka dalam perkhidmatan kerajaan dan masa depan mereka sebagai profesional penjagaan kesihatan.” – dipetik dari kenyataan MMA.

Lepas tu, KKM turut mengeluarkan kenyataan media mereka bagi menjelaskan isu yang dibangkitkan oleh MMA. Terdapat beberapa perkara penting dalam kenyataan media itu, antaranya:

  1. Pengambilan graduan perubatan untuk mengikuti latihan siswazah tidak pernah dihentikan, malah diteruskan seperti biasa.
  2. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi memberi peluang kepada mereka untuk mendapat pendedahan pengalaman bekerja seperti mana obligasi yang dtetapkan oleh Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).
  3. Pengambilan graduan perubatan dibuat secara kontrak berikutan kekangan perjawatan tetap dan membolehkan pengambilan dibuat tanpa Iagl bergantung kepada kekosongan tetap yang terhad.
  4. Kontrak yang ditawarkan adalah sehingga tiga tahun bagi membolehkan graduan perubatan menjalani latihan siswazah dan kemudiannya disambung untuk tempoh dua tahun lagi untuk membolehkan mereka melengkapkan khidmat wajib.
Kenyataan media dari KKM untuk MMA. Imej dari KKMalaysia.

Oleh kerana KKM menyatakan “memastikan graduan perubatan khususnya dalam kalangan Bumiputera dapat berkhidmat secara tetap…” dalam kenyataan media, ia telah mencetuskan kemarahan dari pihak MMA. Hal ini kerana KKM dianggap rasis kerana hanya mementingkan penduduk bumiputera saja.

Namun, KKM menafikannya:

“Pernyataan di perenggan pertama tersebut bukanlah pendirian Kementerian Kesihatan Malaysia tetapi merupakan petikan intipati dan ulasan yang dibuat oleh Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia dan Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia menerusi keratan akhbar tersebut.” –  dipetik dari kenyataan media KKM.

Berkaitan dengan isu tersebut, tercetusnya satu mogok iaitu…

#HartalDoktorKontrak: Sebuah mogok demi membela nasib doktor kontrak

Poster #HartalDoktorKontrak. Imej dari akaun Twitter avenfauzi.

Selepas kenyataan media dari kedua-dua belah pihak dikeluarkan, ramai doktor kontrak mula menyuarakan pendapat mereka mengenai sistem kontrak dalam sektor penjagaan kesihatan.

Oleh itu, terdapat satu mogok yang bakal dilancarkan pada 1 Julai 2021 iaitu #HartalDoktorKontrak. Seorang pengguna Twitter bernama avenfauzi (nama Twitter ye) yang juga merupakan doktor kontrak telah menjelaskan lagi tentang #HartalDoktorKontrak menerusi ciapan.

Terdapat tiga perkara yang diusulkan berkaitan dengan #HartalDoktorKontrak:

  1. Berjuang untuk doktor kontrak.
  2. Berjuang untuk sistem perubatan Malaysia.
  3. Berjuang untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik untuk pesakit masa depan.

Dia juga berkongsi sebuah cerita mengenai seorang doktor kontrak yang dilucutkan jawatan kerana cuti terlalu lama akibat kemalangan, boleh lihat gambar di bawah (atau boleh baca di sini):

Inilah kisahnya. Imej dari akaun Twitter avenfauzi.

Bukan itu saja, MMA turut melancarkan dua kempen iaitu:

  1. Code Black: Menukar gambar profil, logo syarikat kepada hitam dan putih bermula 1 Julai 2021 hingga 12 Julai 2021.
  2. Black Monday: Pada 12 Julai 2021, semua orang perlu memakai pakaian serba hitam, memegang plakat yang bertulis “We stand with Contract Healthcare Workers” dan gunakan tanda pagar #saveMYcontractHCW, #CodeBlackMY, dan #BlackMondayMy kalau nak post dekat media sosial.
Poster untuk Code Black & Black Monday. Imej dari MMA Schomos.

Cuepacs menyeru supaya doktor muda tidak sertai mogok itu

Adnan Mat (Presiden Cuepacs). Imej dari Berita Harian.

Selepas #HartalDoktorKontrak semakin viral, ia telah mendapat perhatian dari Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs). Presiden Cuepacs, Adnan Mat telah memberi amaran supaya mogok Hartal Doktor Kontrak tidak diadakan kerana ia akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam negara yang kini berada dalam keadaan kritikal.

“Dalam hal ini, Cuepacs berdiri teguh dan bersolidariti dengan doktor muda ini dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam memperjuangkan hak pekerjaan mereka untuk mendapat status lantikan tetap. Cuepacs juga bersedia menjadi penghubung bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pegawai perubatan muda ini.” – Adnan Mat, dipetik dari Harian Metro.

Dalam pada itu, terdapat juga ramai orang yang menyokong #HartalDoktorKontrak ini:

Di samping itu, Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) turut menyuarakan isu tersebut. Mereka menyeru supaya sistem kontrak dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia perlu dikaji semula.

Jadi, apakah akan berlaku dengan #HartalDoktorKontrak? Kita tunggu 1 Julai 2021 nanti.