Macam mana Malaysia boleh mula berkawan dengan Cuba walaupun masa tu… ia negara komunis?

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 17 September 2018*

Sementara lebih dari separuh rakyat Malaysia masih lagi cuba untuk mendapatkan janji temu vaksin, nampaknya bekas negara komunis, iaitu Cuba pula melaporkan kadar kejayaan yang tinggi untuk vaksin keluaran negara mereka, iaitu Abdala dengan kadar keberkesanan sebanyak 92%, tak jauh beza dengan Pfizer, 95%.

Alang-alang sebut pasal Cuba ni, korang tahu ke yang Malaysia ada hubungan baik dengan Cuba yang masa tu masih lagi sebuah negara komunis?

______________________________________________________________________________________

Cuba korang sebut Cuba! Kalau korang secara spontan dapat sebut dengan pronounce ‘COO-ba’, dah betul la tu. Mesti korang automatik terfikirkan komunis, Fidel Castro atau… cerut Cuba, kan?

Atau lebih baik lagi, Fidel Castro hisap cerut Cuba masa zaman komunisme di negara tu! Imej dari eagletribune.com

Tapi korang tahu tak yang negara kita ada hubungan dengan Cuba? Baru-baru ni, Duta Besar Cuba, Ibete Fernandez Hernandez ada mencadangkan supaya Malaysia dan Cuba pulihkan hubungan mereka macam dulu. Dia juga ada sebut pasal hubungan mereka yang renggang sejak dalam tempoh dua dekad yang lalu.

Maksudnya, Malaysia dulu memang BFF ke dengan Cuba? Macam mana sebenarnya dua negara yang sangat berlainan ideologi ni boleh ada perhubungan?

Malaysia berkawan dengan Cuba walaupun perang sedang meletus

Nampaknya, hubungan antara dua negara ni dah bermula lama, iaitu sejak Perang Dingin pada tahun 1975. Nak dijadikan cerita, Cuba antara negara yang terlibat dengan Perang Dingin. Perang Dingin ni pula berlaku selepas Perang Dunia Kedua, iaitu apabila Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet (USSR) bergaduh sesama sendiri.

Mereka tak isytiharkan perang pun, tapi satu dunia boleh nampak yang macam mana mereka berlumba-lumba tunjukkan siapa yang paling hebat bila masing-masing tunjukkan senjata, dan dengan meletakkan satelit mereka di angkasa.

Dia lebih kurang macam main chess la, guna mind games untuk intimidate pihak lawan. Gif dari gifer

Pada mulanya, Cuba sebenarnya tak berpihak pada mana-mana pun, sampailah Amerika cuba untuk serang negara tu. Tapi, Amerika gagal masa pencerobohan Bay of Pigs. Bukan khinzir tu, tapi merujuk kepada Amerika cuba untuk menghapuskan Fidel Castro, Presiden Cuba pada masa tu, dari kuasa pencerobohan tu.

Fidel Castro? Taklah, ni Syed Hussein Alatas, ahli akademik.

Kesatuan Soviet, USSR pulak sebaliknya membekalkan senjata nuklear pada Cuba, menyebabkan perang nuklear hampir berlaku! Nasib baiklah ia sempat dihalang apabila Amerika dan USSR bersetuju untuk tak membekalkan senjata dan menakluk Cuba lagi.

Kalau nak diikutkan, siapa yang nak buat perhubungan dengan negara yang terlibat dengan peperangan, kan? Tapi Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak (bapak Najib) lain daripada yang lain. Dia la yang memulakan hubungan ni, di mana dia percaya yang Malaysia patut memperluaskan hubungan di luar negara Komanwel dan termasuk negara-negara komunis seperti Kesatuan Soviet. Tapi tak tahu kenapa… kami tak jumpa gambar Fidel Castro dengan Tun Abdul Razak.

Pelbagai persamaan antara Malaysia dan Cuba, yang menjadikan dua buah negara ni rapat

Bukan tu je, Cuba dan Malaysia juga mempunyai persamaan, contohnya macam kita dan Cuba adalah anggota Group 77 (sekumpulan negara membangun yang membantu ekonomi masing-masing), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selain menjadi sebahagian daripada Kerjasama Selatan-Selatan.

Takde kaitan dengan artikel, tapi kalau korang pandai, mana satu Fidel Castro dan mana satu Syed Hussein Alatas? Oh wait, dah terjawab.

Bukan setakat tu je, kedua-dua negara ni juga sebenarnya berkongsi lebih daripada sekadar gabungan politik, dan mungkin sebab ni lah kita sangat rapat dulu.

“Kita bersatu disebabkan sejarah penjajah yang sama pada zaman lalu, keadaan biasa negara-negara kurang maju yang telah mencapai pembangunan masyarakat mereka, persepsi yang jelas tentang bahaya serius yang mengancam Dunia Ketiga hari ini, keputusan yang sama untuk menentang pengorbanan identiti kita dan penentuan nasib sendiri demi globalisasi yang tidak adil dan berbahaya “- Presiden Institut Persahabatan Cuba dengan Masyarakat (ICAP), memberitahu Granma.

Perhubungan antara Malaysia menjadi semakin erat semasa zaman Mahathir, di mana Cuba membuka sebuah kedutaan di Malaysia pada tahun 1997 dan Malaysia pula membuka kedutaan di Havana pada tahun 2001 (Malaysia buka lambat sikit bukan sebab alasan ‘on the way’ yang korang selalu guna tu, tapi sebab Krisis Kewangan Asia).

Korang juga boleh baca pasal krisis kewangan Asia kat sini. Imej dari soscili.my

Tapi pembukaan kedua-dua kedutaan tu cumalah sebahagian daripadanya. Bukti sebenar yang menunjukkan hubungan ni semakin kuat adalah melalui kunjungan peringkat tertinggi oleh Tun M dan Fidel Castro pada tahun 1997 dan 2001. Tun M juga berkawan dengan Fidel Castro dan adik lelakinya, Raul Castro.

Lawatan ni tak terhenti setakat zaman Tun M je sebab PM selepasnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah melawat Cuba juga pada tahun 2004 dan 2006.

Imej dari gettyimages
Dan nampaknya… kami tak jumpa apa-apa berita atau info yang Najib meneruskan amalan ni atau tak. Tapi satu perkara yang kita tahu ialah, Duta Cuba sangat berharap dengan lawatannya.

Cuba dan Malaysia membantu satu sama lain dalam bioteknologi, pendidikan dan ekonomi

Kami berjaya menghubungi Duta Cuba, Hernandez, untuk mengetahui lebih lanjut mengenai hubungan ni. Masa kami bercakap tentang perdagangan, dia sebenarnya ada sebut yang macam mana sejak dulu lagi, kita dah ada perhubungan politik yang baik dengan Cuba:

“Perdagangan Malaysia dan Cuba bermula pada tahun 60-an. Taikun gula, Robert Kuok, memulakannya dengan import gula. Dia membangunkan hubungan baik dengan bekas presiden saya, Fidel Castro. “- Hernandez ketika dihubungi CILISOS.

Wah, jadi maknanya Malaysia dan Cuba bukanlah asing sangat pasal perdagangan. Malah Malaysia juga eksport perabot, barangan komputer dan makanan (bukan sebab makanan kita sedap menjilat jari, tapi Cuba cuba untuk memastikan tiada masalah bekalan makanan dalam negara mereka). Sebagai balasan, Cuba eksport cerut, gula kasar, kopi (office kitorang memang minum Cuban Coffee, ehem), ais krim, bir, dan nickel mattes (sejenis logam). Bukan tu je, Cuba juga mengeksport tenaga kerja, iaitu pelajar perubatan ke Malaysia macam Indonesia, Bangladesh dan Nepal eksport tenaga kerja ke negara kita.

Imej dari Depositphotos.
Perkara ni cuma terjadi apabila adanya penerokaan bersama (joint explorations) antara kedua-dua buah negara ni. Cuba mengeksport pelajar perubatannya kerana sistem pendidikannya, dikatakan menghasilkan pelajar perubatan terbaik. Dan sebab sistem pendidikan mereka tu yang sangat bagus, Malaysia juga menghantar pelajar kita, yang menerima biasiswa penuh, untuk belajar perubatan di Cuba. Hernandez memaklumkan kepada kami yang 23 orang rakyat Malaysia berjaya bergraduasi sebagai doktor dalam bidang perubatan di Cuba.
Rakyat Malaysia, termasuk pelajar, di Havana, Cuba. Imej dari Kementerian Luar Negeri, Malaysia

Sebagai balasan, Cuba dari pelbagai profesion melanjutkan pelajaran pascasiswazah mereka di Malaysia. Perkara ni nampak biasa je (sebab ada je warganegara lain yang sambung belajar kat sini), tapi apa yang menariknya warganegara Cuba dialu-alukan untuk menyertai Program Kerjasama Teknikal Malaysia yang menekankan pembangunan sumber manusia melalui latihan penyediaan dalam pelbagai bidang seperti hubungan diplomatik dan alam sekitar.

Dan disebabkan bidang perubatan Cuba yang hebat, korang juga kena tahu yang kedua-dua buah negara bekerjasama dalam industri farmaseutikal. Kalau korang nak tahu lagi, Cuba dikenali kerana mencipta vaksin (negara ni yang mempelopori vaksin kanser paru-paru pertama di dunia). Para saintis Cuba juga bergabung dengan Malaysia untuk menguji vaksin untuk demam denggi, kanser, AIDS dan hepatitis B.

Cuba vaksin Cuba. Imej dari havanalive.com

Dan bagi membalas budi Cuba, Malaysia cuba untuk membantu negara tu melalui kerjasama antara Petronas dan Cuba Petroleo untuk mencari minyak dan gas asli di perairan Cuba bersama dengan syarikat minyak lain. Malangnya, terdapat laporan tentang kedua-dua syarikat ni gagal bukan sekali, tapi TIGA kali untuk mencari minyak. Ia gagal begitu teruk sampaikan syarikat minyak dari negara lain pun ‘angkat kaki’ dari penerokaan ni.

Walaupun Malaysia dan Cuba nampaknya dah buat banyak pertukaran produk dan perkhidmatan, Cuba mempunyai rancangan untuk menceburi industri yang lebih berpotensi seperti pelancongan sebab Malaysia mempunyai pengalaman lebih dalam industri ni. Walaupun ia masih dalam peringkat perancangan, rakyat Malaysia sebenarnya boleh pergi ke Cuba TANPA visa sampai tiga bulan! Sama macam nak travel ke Korea Selatan.

Wah, macam warna-warni di Aidilfitri. Imej dari hofstra.edu

Bagi korang yang takde duit nak melancong ke Cuba tapi nak rasai kebudayaan mereka, ada galeri seni kat Melaka yang dipanggil Casa Cuba yang menempatkan seni oleh seniman Cuba. Malah, korang juga boleh sertai persatuan yang dipanggil Friends of Cuba Association (FOCA) untuk memperkukuhkan lagi hubungan persaudaraan dan pengalaman pertukaran budaya dengan Cuba.

Tapi hubungan ni mungkin tak sebaik macam apa yang digambarkan

Masa kami buat kajian untuk tulis artikel ni, kami nampak yang media selalu menggambarkan hubungan antara Cuba dan Malaysia sebagai ‘cemerlang’ atau ‘kuat’. Tapi sejauh mana kebenaran kenyataan-kenyataan ni? Kami agak ragu-ragu.

Hubungan antara Cuba-Malaysia yang nampak cantik je kat dalam media. Screengrab dari google.com
Kalau hubungan antara dua negara ni ‘cemerlang’ dan ‘kuat’, jadi kenapa Duta Cuba, Hernandez, baru-baru ni membangkitkan isu perdagangan dua hala yang kini dijalankan melalui negara ketiga, dan bukan secara langsung? Hernandez juga mendakwa tak banyak kemajuan dalam tempoh 10 tahun yang lalu. Dan nampaknya, kami mendapati Malaysia takde pelaburan langsung di Cuba. Apa maksudnya?

Walaupun ia mungkin terjadi akibat sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap Cuba selepas Fidel Castro menjadi Presiden Cuba, Hernandez, Duta Besar Cuba bagitahu satu perkara yang berbeza.

“Sekatan imuniti diplomatik (extraterritoriality) mampu dipengaruhi.  Isu-isu utama adalah promosi dan kekurangan misi perdagangan ke Cuba dan datang ke Malaysia untuk meneroka peluang perniagaan. “- Hernandez memberitahu CILISOS melalui e-mel.

Dia juga menjelaskan kepada kami macam mana perdagangan tu dijalankan terutamanya melalui negara ketiga, tapi ni tak bermakna hubungan kita tak baik. Dia menyebut macam mana kedua-dua negara berada di peringkat politik dan sokongan bersama di antara negara-negara ni selalu berjaya.

Sebenarnya, ia dapat dilihat apabila Malaysia bersama-sama dengan 190 negara lain mengundi, menentang sekatan yang dikenakan oleh AS di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dan sokongan tu tak berakhir di sana. Kita menyokong penentangan sekatan ni melalui kempen seperti #UnblockCuba dan pendedahan media. Tun M sendiri mengutuk Amerika Syarikat yang menegur hak asasi manusia ke negara lain.

“Anda tak boleh mendapatkan penyelesaian dengan membunuh berjuta-juta” – Tun M di Kuliah Awam mengenai hubungan Malaysia dan Cuba.

Rakyat Malaysia menyokong #UnblockCuba. Imej dari Perwakilan Diplomatik Cuba di Luar Negara

Tapi, persoalan utamanya adalah…

Mampukah kita mengembalikan status BFF dengan Cuba?

Daripada membina perhubungan dengan Cuba yang dalam masalah sehinggalah membuat pertukaran sumber, Malaysia dan Cuba yang bermula secara formal berjaya jadi BFF. Dan kita juga nampak yang Cuba memandang tinggi terhadap Malaysia terutama sekali apabila kita bantu mereka pasal sekatan tu. Malah, Fidel dan Raul Castro sendiri memang respek betul kat Tun M.

Jumpa besties, yeah! Dan mampu tak kita jadi besties balik dengan Cuba bila Tun M dah jadi PM balik ni? Imej dari gettyimages

Kami sempat bertaya kepada Duta Cuba, apa yang dia harapkan bagi kedua-dua negara, dan perhubungan kita, dan dia jawab:

“Harapannya adalah untuk mengatasi tempoh tidak bergerak dalam hubungan dua hala dan meneruskan dengan pelbagai peluang yang wujud di kedua-dua negara. Dalam kerjasama dunia hari ini, komplementasi dan kerjasama sangat penting. “- Hernandez kepada  CILISOS.

Duta Cuba nampaknya sangat berharap dan berusaha sebaik mungkin untuk menghidupkan semula hubungan ni dan sekarang, macam mana pula dengan pendirian kita?