Harimau Malaya bakal gagal layak ke Piala Asia 2023?

Bila bercerita tentang bola sepak sekarang ni, terlalu banyak perdebatan dan juga ketidakpuasan hati peminat bola sepak tempatan akibat daripada aksi pasukan kebangsaan negara yang sangat teruk pada Piala AFF Suzuki 2020. Amat jelas terpampang kelemahan pasukan daripada peringkat pengurusan sampai lah ke pemain-pemain itu sendiri.

Ini selepas Malaysia gagal untuk melayakkan diri ke separuh akhir Piala AFF Suzuki sekaligus tersasar jauh daripada sasaran yang diberikan iaitu untuk layak ke final.  Ramai yang berpendapat skrip yang sama bakal terjadi apabila Malaysia berdepan dengan kelayakan Piala Asia pada pertengahan tahun nanti. Ini antara sebabnya…

Persiapan pasukan yang sangat meragukan

Berlari jangan sampai tersadung. Imej dari Vocket FC

Benda ni kita dah nampak dah pun sejak kelayakan Piala Dunia, bayangkan peluang yang kita ada untuk layak ke Piala Asia secara automatik hilang macam tu je. Kita digembar-gemburkan dengan kedatangan 2 pemain naturalisasi baharu iaitu Guilherme De Paula dengan Liridon Krasniki yang dikatakan mampu memberi kelebihan.

Namun, ia hanyalah kata-kata sahaja. Ini kerana Malaysia gagal menunjukkan permainan yang menarik seperti mana mereka tunjukkan pada tahun 2019 sebelum COVID-19. Yang menjadikannya lebih buruk adalah, bila Harimau Malaya ingin berdepan dengan Piala AFF Suzuki 2020 yang telah ditangguh ke 2021.

Skuad kebangsaan kita tidak mendapat peluang untuk membuat persiapan dengan sempurna, bayangkan, tiada satu pun perlawanan persahabatan yang diaturkan FAM menjelang Piala AFF. Sedangkan Tan Cheng Hoe (Ketua Jurulatih Malaysia) ketika itu sudah menyatakan hasratnya untuk mendapatkan at least satu perlawanan persahabatan, tapi still tak dapat!

Apalah nasib. Imej dari Utusan

Yang lagi buat keadaan menjadi lebih buruk adalah, kem latihan pusat yang agak sendu apabila kebanyakan pemain yang dipanggil masih lagi terikat dengan tugas di kelab masing-masing. Ini termasuk juga pemain-pemain utama Harimau Malaya yang ‘enggan’ mewakili skuad kebangsaan selepas habisnya Liga Malaysia.

Perkara ini semua dilihat mungkin akan berlaku juga pada tahun ini juga, pasukan jiran seperti Thailand, Indonesia dan juga Vietnam sudah pun mempunyai perancangan tentang perlawanan persahabatan yang akan datang, tetapi tidak pula untuk pasukan kebangsaan kita. Tiada satu berita pun tentang perlawanan persahabatan dan juga perancangan persiapan untuk menghadap kelayakan Piala Asia nanti.

Apa sudah jadi? Imej dari imgflip

Yang lebih memeritkan, Tan Cheng Hoe baru sahaja meletak jawatan sebagai Ketua Jurulatih, namun dikatakan penggantinya hanya akan diumumkan pada bulan depan atau pun dua bulan lagi. Takkan lah Malaysia nak lepaskan peluang keemasan untuk ke Piala Asia ni kan? Ada juga perkara yang perlu dirisaukan berkenaan skuad kebangsaan tahun ni, iaitu…

Pelan FAM yang agak samar-samar

Hanya mampu merancang je. Imej dari FAM

Apa yang dimaksudkan dengan samar-samar adalah, kita ada pelan, tapi kita tak ikut pelan yang ada tu. Kalau macam tu, sia-sia je lah kita buat pelan tu dulu. Pelan yang dimaksudkan adalah F:30 yang dilancarkan FAM, dalam pelan tu katanya menjelang 2022 Malaysia bakal menjadi gergasi di ASEAN. Tetapi lain pula jadinya apabila kita dibuli semasa Piala AFF Suzuki 2020.

Seperti yang kitorang cakap tadi, tiada lagi perancangan yang diumumkan FAM berkenaan perlawanan persahabatan pada tahun ini. Jikalau tiada perancangan tentang persiapan skuad Harimau Malaya, macam mana peminat-peminat semua nak percaya yang Malaysia mampu layak ke Piala Asia nanti?

Ini termasuk juga pelan FAM dalam menaturalisasi pemain-pemain import dalam kancah Liga Malaysia ni, mungkin Sumareh menunjukkan kesan positif terhadap pasukan kebangsaan. Tapi lain pula cerita dengan De Paula dan juga Liridon, apakah FAM berani untuk menyatakan yang pelan naturalisasi mereka itu gagal?

FAM bila ditanya tentang kegagalan mereka. Imej dari imgflip

Terlalu banyak tanda tanya menjelang tahun 2022 ni, skuad kebangsaan kita bukan sahaja akan hadap kelayakan Piala Asia, mereka juga akan hadap Piala AFF 2022 juga pada penghujung tahun nanti. Tidak lupa juga kepada skuad junior Malaysia yang akan melalui kejohanan AFC bawah-23 tahun, Piala AFF bawah-23 tahun dan juga Sukan SEA di Vietnam pada tahun ini.

Boleh dikatakan, tahun 2022 antara tahun paling sibuk untuk skuad kebangsaan kita tak kira senior mahupun junior. Namun, adakah kita sudah bersedia dengan semua jadual padat ni?

Peluang yang cerah tetapi halangan menggunung

Stress bila fikir. Imej dari Wacana.my

Segala persoalan yang ada ni adalah perkara yang harus dititikberatkan oleh FAM sekiranya mereka betul-betul serius untuk melayakkan skuad Harimau Malaya ke Piala Asia 2023 nanti. Melayakkan diri tu tidak mustahil, cuma terdapat pelbagai halangan yang seakan-akan tidak membenarkan kita progress dengan positif.

Mungkin jika semua orang cuba untuk bersatu dan fokus dengan target yang telah diberi, tidak mustahil untuk kita lihat Malaysia melayakkan diri ke Piala Asia secara merit. Mungkin kalau kita singikirkan setiap halangan yang ada, kita mampu! Pada tahun ini, FAM patut membuat persiapan yang jitu untuk menghadapi semua pertandingan.

Kerana kita semua dah lihat, tanpa persiapan yang bagus, skuad kita tidak akan kemana-mana. Hanya dengan management yang telus, kita mampu untuk menjadi antara yang terbaik. Majulah sukan untuk negara!