Pakatan Harapan tumbang, 4 perkara yang didakwa DAP menjadi punca

Semua pun tahu, kini Pakatan Harapan menjadi pembangkang kembali selepas 21 bulan menjadi kerajaan. Selepas kejatuhan ini, pihak Pakatan Harapan telah melabel individu tertentu sebagai punca kejatuhan itu dan dikatakan juga ‘pengkhianat’.

Namun, dalam situasi salah menyalahkan ini, nampaknya ada satu trend di mana salah sebuah parti komponen PH, iaitu DAP telah dipersalahkan oleh beberapa pihak dan invdividu sebagai punca utama kejatuhan PH. Pendedahan ini juga telah menimbul tanda tanya dalam kalangan masyarakat waktu ni.

1) Mantan SU Akhbar Dr. Maszlee kata DAP terlalu gopoh dalam pendidikan negara

Itulah ZF Zamir. Imej dari I Am Lejen

Pada 3 Mac 2020, satu artikel bertajuk ‘Kisah sebuah parti politik yang terlalu gopoh mahukan perubahan’ telah terbit di The Malaysian Insight. Artikel ni ditulis oleh bekas Setiausaha Akhbar Dr Maszlee Malik bernama ZF Zamir. Artikel ni telah menjadi buah mulut sama ada di FB mahupun Twitter.

Dalam artikel ni telah menyentuh beberapa perkara dalaman yang berlaku antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan. Disebut juga mengenai sikap Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Antara hal yang berkaitan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan adalah:

  1. Pihak Kementerian Kewangan telah memotong bajet Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) dan Perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Keselamatan (KBK) sebanyak RM478 juta. Ini dah menyebabkan 1,382 syarikat terjejas dan 10,406 pekerja diberhentikan.
  2. Kementerian Kewangan arahkan ITBM ditutup dalam masa 3 bulan. Manakala Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) diarahkan tutup yang menyebabkan agenda pelan pendidikan untuk 5 tahun terjejas serta 90% pekerjanya terpaksa mencari kerja lain.
  3. Selain itu Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) dianggap tak penting dan diarahkan tutup untuk jimat RM213 juta. Namun, hal itu tak dapat dilaksanakan selepas mendapat bantahan PM ketika itu, Tun Mahathir.
  4. Bajet ko-kurikulum untuk sekolah tidak lagi diterima menyebabkan aktiviti seperti Maulidur Rasul, kawad kaki dan program sukan sekolah terpaksa dibatalkan.

 

Bila koko takde. Kita balik awal

Daripada 4 isu di atas ni, dapat disahkan dari laporan berita media lain bahawa IPG, ITBM dan PADU masih wujud dan tak ditutup. Mengenai kes pekerja kebersihan sekolah yang hilang kerja ini, memang diakui berlaku selepas kontrak baru pada Jun 2019. Korang boleh baca cerita penuh kat sini.

Selain daripada hal yang disebut ni, ada beberapa isu lain yang turut disentuh serta menjadi tanda tanya sepanjang dia bekerja di Kementerian Pendidikan. Antaranya:

  1. Hanya pegawai kementerian sahaja yang tahu betapa banyak surat dari Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan (Teo Nie Ching) yang sampai ke Pejabat Kementerian Kewangan tanpa melalui Dr. Maszlee Malik.
  2. Selain itu, dikala banyak bajet semua dipotong, Menteri Kewangan meluluskan bajet RM60 juta untuk Universiti Tun Abdul Razak dan merasmikan kelulusan pentadbiran tunggal pada SMJK Heng Ee 2 serta SJKC boleh dibuka sesuka hati tanpa pembacaan semula Perlembagaan

Sebelum ni, memang ada kritikan Teo Nie Ching mengeluarkan kenyataan yang mendahului Dr. Maszlee seperti dalam isu Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI). Namun, dinafikan Dr. Maszlee. Dalam isu pengiktiriaf sijil UEC juga, turut dikaitkan dengan Teo Nie Ching yang mahu UEC diiktiraf secapat mungkin turut mendapat kritikan ramai. Namun, Tun M umumkan beum iktiraf UEC.

Untuk poin kedua dan lain-lain, isu ni dah diterangkan oleh dua bekas pegawai Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Pendidikan di The Malaysian Insight. Baca lebih lanjut kat sini.

Bekas SU Akhbar ini kemudian menyimpulkan penulisannya dengan mengatakan bahawa apa yang berlaku dalam kementerian adalah cerminan sifat tergopoh-gapah satu parti iaitu DAP. Dia juga mengaktakan bahawa DAP tidak mengambil kira perasaan masyarakat majoriti di Malaysia serta merupakan penyumbang kejatuhan PH.

2) Exco Armada Bersatu kata pemimpin tinggi DAP yang terlalu angkuh dan rasis

Mohd Fahim dari Bersatu. Imej dari Astro Awani

Mohd Fahim Mohd Farid, Exco Armada Bersatu Nasional dah menulis satu artikel bertajuk DAP – Dari sisi pandang saya sebagai pemuda Bersatu. Kalau dilihat balik sewaktu zaman PH memerintah, hubungan DAP dan Bersatu agak tegang dalam masa tertentu. Hinggakan ada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pernah cadangkan agar kerjasama politik dengan parti itu dikaji semula.

Namun, retak yang dulunya kecil, sudah pun roboh apabila Bersatu mengumumkan keluar dari kerjasama politik Pakatan Harapan. Mesti ramai tertanya-tanya, apa sebenarnya yang berlaku antara Bersatu dan DAP sewaktu berada dalam satu pakatan yang sama. Kita orang luar ni susah sikit nak teka, tapi jika ada orang dari dalam parti yang ceritakan, memang cukup baik untuk kita ambil tahu.

Sepanjang berada dalam kerjasama, memang dilihat bahawa DAP adalah pembawa obor politik Datuk Seri Anwar Ibrahim. Baginya, nampak seperti inilah perkara paling utama dalam agenda PH tetapi bila didepan rakyat pandai beretorik nak fokus ekonomi rakyat.

Dikatakan, sikap pemimpin-pemimpin tertinggi DAP atau taiko-taiko DAP ini di dalam kepala mereka hanya mahu Anwar jadi PM. Sikap sombong, bongkak, angkuh dan rasis ini telah merosakkan ketokohan pemimpin muda yang beridealisme dan sederhana dalam parti tu.

Selain tu, pemimpin utama DAP tak pernah cuba memahami psikologi politik Melayu. Mereka hanya mementingkan mahu Anwar menjadi Perdana Menteri sedangkan Anwar tidak mempunyai sokongan majoriti. Dulu memang ada desas-desus akan berlaku undi tak percaya terhadap Tun M, namun UMNO dan PAS akan memilih Tun M jika ia berlaku dan tak mahu Anwar.

Sewaktu khabar angin tersebar. Imej dari Sinar Harian

Bila sebut psikologi politik Melayu ni, ada satu kajian oleh Ilham Centre pernah dikeluarkan bahawa 62 peratus orang Melayu percaya bahawa keputusan-keputusan kerajaan PH hanya didominasi oleh DAP.

“Kesombongan taiko-taiko DAP inilah menjadi duri dalam daging kerajaan PH. Kakitangan kerajaan mengadu dengan sikap bongkak ‘taiko-taiko’ DAP ini.” – Mohd Fahim, petikan dari Astro Awani

Didedahkan juga oleh Fahim apa sebenarnya yang berlaku dalam mesyuarat Majlis Presiden PH. Dia mengatakan bahawa taiko-taiko DAP sangat keras kepada Tun M sewaktu mesyuarat dan apa yang mereka cakap semuanya mengenai Anwar untuk jadi PM dengan segera. Dilaporkan media memang mesyuarat yang berlaku itu agak tegang.

Dia juga turut mengingatkan bahawa taiko-taiko DAP ini adalah pengkhianat Tun M dan menyebabkan Tun naik fed up hingga menyebabkan perselisihan berlaku – antara Tun M dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selamatkan pemimpin muda dan pelapis kita, tinggalkan taiko-taiko DAP yang masih tak sedar diri itu. Kit Siang, Lim Guan Eng dan Anwar Ibrahim, seeloknya bersaralah dari politik, anda sudah berjasa, luangkan masa dengan cucu anda.” – Mohd Fahim, petikan dari Astro Awani

3. GPS kata DAP ‘angkuh’

Jom nyanyi ramai-ramai! GPS~~GPS~~GPS~~ Imej dari Malaysiakini.

Masa terjadinya pergolakan politik di Malaysia, selain dari BERSATU, UMNO, PAS dan Warisan yang jadi tumpuan, ada satu lagi pakatan politik yang ditagih sokongan mereka. Pakatan politik tu, tak lain dan tak bukan adalah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terdiri daripada empat buah parti utama di Bumi Kenyalang itu.

Nak dijadikan cerita, masa berlakunya peristiwa pihak mana yang dapat sokongan majoriti, GPS dah keluarkan kenyataan yang diorang tak akan bagi sokongan kepada pakatan yang ada DAP. Puncanya, GPS anggap DAP selama ni terlalu angkuh dan parti tu selalu memperlekehkan kerajaan negeri Sarawak.

Antaranya macam kenyataan bekas Menteri Kewangan (juga Setiausaha Agung DAP), Lim Guan Eng pada tahun lepas yang kata – Sarawak akan bankrap dalam tempoh 3 tahun sebab semua rizab negeri tu akan habis digunakan. Hal ni sebenarnya, sedikit sebanyak dah mendatangkan rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin Sarawak.

“Banyak cantik” – Kata Abang Jo.

Mengulas perkara sama, Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg berkata, GPS ada pendirian dan tak bodoh untuk sokong DAP.

“Kami (GPS) bukan bodoh untuk menyokong parti itu. Kami berhati-hati kerana parti itu (DAP) bercita-cita untuk mengambil alih Sarawak.” – Katanya dipetik dari FMT.

Dalam perkembangan terbaru, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii dari DAP baru-baru ni ada menyalahkan GPS sebagai punca tumbangnya kerajaan PH. Tuduhan tu kemudiannya dijawab oleh Pemuda GPS dengan kata – selama 21 bulan DAP berkuasa di Kerajaan Pusat, parti tu langsung tak bersuara memperjuangkan kepentingan Sarawak yang diabaikan dan ada juga projek untuk negeri itu yang ditarik balik oleh kerajaan PH.

“DAP dan PKR yang menjadi punca kepada kemelut politik negara. Jika mereka tidak terlalu mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, PH mungkin masih lagi berkuasa hingga ke hari ini.” – Dipetik dari kenyataan itu, disiarkan di Astro Awani.

4. Media antarabangsa – Bloomberg kata DAP campur tangan keputusan Dr Mahathir

Ni la tokey Bloomberg, nama dia pun Michael Bloomberg. Imej dari WVLT-TV.

Cerita yang ni agak rare sikit sebab kurang didedahkan. Hal ni dilaporkan oleh media antarabangsa, Bloomberg yang mengatakan – pertikaian RM30 bilion di Malaysia berkemungkinan menjadi punca krisis politik yang kita hadapi beberapa hari lalu.

Menurut laporan tu, pada Januari lalu – Dr Mahathir dah bersetuju untuk menerima bidaan konglomerat Maju Group untuk mengambil alih PLUS Malaysia Bhd (PLUS). Dikatakan, pengambilalihan tu bernilai sekitar RM30 bilion dan hal tu nanti membolehkan Maju Group memansuhkan caj tol serta terima kontrak penyelenggaran jalan raya sebagai pulangan.

Tapi masalah mula timbul, bila DAP tak setuju dengan perkara tu dan mahukan PLUS terus dipegang oleh kerajaan. Akhirnya, pihak kerajaan pun menolak semua bidaan ke atas PLUS dan jalankan penstrukturkan semula konsesi untuk mengurangkan kadar tol.

“Urusan yang gagal itu menyerlahkan satu siri pertikaian dasar yang akhirnya merosakkan gabungan itu…” – Dipetik dari Bloomberg.

Pengerusi Maju Holding, Tan Sri Abu Sahid kemudiannya menyifatkan keputusan tak jadi jual PLUS tu sebagai ‘bodoh’ setelah syarikatnya dipelawa melakukan tawaran. Imej dari The Edge Markets.

Malah, ada juga cakap-cakap yang kata – pakej rangsangan (RM20 bilion) yang diumumkan oleh Dr Mahathir minggu lepas, dah diubah olehnya sendiri, dari versi asal yang dihantar oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Beliau (Dr Mahathir) membuat perubahan ketara pada pakej (rangsangan) berbanding dengan versi yang dikemukakan sebelum ini oleh Kementerian Kewangan yang dikawal oleh DAP, kata seseorang yang rapat dengan perkara itu.” – Dipetik dari Bloomberg.

Bagaimanapun, setakat ni ternyata Dr Mahathir masih mahu bersama DAP

Para pemimpin PH bertemu dengan Dr Mahathir, ketika dia masih memegang jawatan PM Interim. Imej dari Straits Times.

Walaupun ramai pihak khususnya dari dalam BERSATU ada kata masalah ni muncul kerana DAP, tapi setakat yang kita tahu – Dr Mahathir tetap mahu bersama PH atau lebih tepatnya bekerjasama dengan PKR dan DAP. Dalam kenyataannya kepada media, Dr Mahathir ada kata yang dia tak boleh bekerjasama dengan UMNO. Hal tu jugalah yang kemudiannya membuatkan PH mencalonkan Dr Mahathir sebagai PM ke-8.

Dalam perkembangan terbaru, Penasihat DAP, Lim Kit Siang ada mencabar Muhyiddin untuk mencontohi Tun Hussein Onn (allahyarham) yang pernah mengadakan sidang Parlimen tergempar untuk mendapatkan undi percaya terhadapnya pada 26 Januari 1976 dulu. Hal tu dilakukan, selepas beliau dilantik sebagai PM setelah kematian Tun Abdul Razak.

“Hanya selepas undi percaya kepadanya sebagai Perdana Menteri diluluskan oleh Dewan Rakyat barulah Parlimen meneruskan urusan lain termasuk pembukaan Parlimen tahunan yang ditetapkan pada 30 Mac.” – Lim Kit Siang, dipetik dari Malaysiakini.

Sama ada Muhyiddin akan menyahut cabaran Kit Siang tu atau tak, kita masih lagi belum tahu. Apa yang pasti, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebelum ni dah mengesahkan yang Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung pada 18 Mei 2020 ni. Mungkin sekarang, Muhyiddin masih dalam proses nak memilih ahli-ahli kabinetnya. Kita tunggu…