Jenayah & Undang-undang

Gelar Mahathir ‘Kuda’ dan Najib ‘Ayam’? Ini 3 lagi kontroversi Superman Hew

Kecoh buat masa ni apabila bekas Perdana Menteri, Najib Razak mendedahkan kontroversi ‘komik propaganda’ yang didakwa mempromosi ideologi China. Lebih berat lagi, dakwaan tersebut juga dikatakan agenda DAP  walaupun dinafikan parti tersebut dan juga Dr Hew Kuan Yau, kurator kepada Asian Comic Cultural Museum.

Apa yang mengejutkan, komik tersebut juga memberi bayangan yang orang Islam adalah penyokong keganasan apabila salah satu helaian yang tersebar menunjukkan yang penduduk Uighur yang berada di Xinjiang merupakan parti pemisah dan merupakan pengganas di China.

Komik ni juga memberi bayangan salah yang menunjukkan Uighur golongan pengganas, dan bukannya ditindas. Imej dari MalaysiaKini

1. Komik-komik melibatkannya yang mempromosi agenda China dikatakan diedar ke sekolah

Komik kontroversi yang bertajuk ‘Belt and Road Initiative (BRI) for Win Winism‘ merupakan kerjasama antara Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan, Ching Po Ling dah diterbitkan pada April 2019 lagi, oleh Muzium Kebudayaan Komik Asia di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR). Tapi cuma menjadi kontroversi sekarang apabila didakwa, telah diedarkan ke sekolah-sekolah tertentu.

Dan selepas tersebarnya perkara ni, DAP Johor adalah yang pertama sekali menggesa kepemimpinan DAP untuk menimbang semula semua bentuk bantuan kepada Muzium Kebudayaan Komik Asia yang menerbitkan komik tersebut. Sebabnya, imej DAP teruk terjejas disebabkan kontroversi tu. DAP Johor juga menggesa tindakan tegas perlu dilakukan untuk menghentikan terus bantuan dan keistimewaan yang diterima muzium berkenaan.

Selain tuduhan Najib tentang penglibatan DAP juga, PAS nampaknya meminta supaya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, disiasat atas penglibatannya yang didakwa menulis kata pengantar untuk komik kontroversi ni. Nak pula dua tahun lepas, ada sebuah komik yang menceritakan susah payah menteri tersebut dalam politik Malaysia.

Komik yang dilukis oleh Tomato. Imej dari youbeli

Manakala Perdana Menteri, Tun Mahathir pula dipersoal selepas didakwa ada dalam pelancaran majlis komik kontroversi tersebut.

Mahathir yang dikatakan hadir dalam majlis tersebut. Imej dari Twitter Azmy Kelana Jaya

Bagaimanapun, Mahathir baru semalam memberi hint yang mengatakan bukan peranan Malaysia untuk mempromosikan ideologi China di negara ni.

“Golongan muda perlu memahami masalah, strategi dan dasar negara sendiri terlebih dulu, justeru bila mereka berdepan dengan strategi orang lain, mereka tahu tempat mereka,”

“Pada masa ini, bukan untuk kita mempromosikan idea dan ideologi China tetapi untuk mengetahui bagaimana kita boleh mendapat manfaat daripadanya.” – Tun M, dipetik dari Malay Mail.

Tun Mahathir, tiada dalam barisan tersebut. Imej dari Twitter Azmy

Tanpa menafikan kewujudannnya di majlis pelancaran tersebut, Tun Mahathir dipetik berkata,

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

“Kita ingin meneruskan hubungan baik dengan China. Kita menyokong idea ‘one belt, one road‘, tetapi kita perlu mengetahui maksud yang sebenar. Tanpa kajian yang wajar, kita tidak boleh beri 100 peratus sokongan kepada idea itu,”

Komik kontroversi ni nampaknya dah mengganggu gugat keharmonian rakyat negara ni. Tapi, ini bukanlah kali pertama Hew Kuan Yau ni terlibat dalam kontroversi sebegini.

2.  Gelar Tun Mahathir ‘Kuda’ dan Najib ‘Ayam serta Rosmah ‘The Bitch’?

Kali ni baju Batman. Imej dari New Malaysia Herald

Sebelum PRU-14, dalam satu ceramah, dia ada mengulas sedikit tentang kemasukan Mahathir dalam gabungan pihak pembangkang ketika tu. Ini kerana ada sesetengah yang tidak bersetuju Mahathir menyertai gabungan ni. Bagi meyakinkan orang-orang tersebut dia ada membuat satu perumpamaan,

“Hadi PAS dah pergi ke sebelah lain, Mahathir UMNO pula dah datang. Kalau Mahathir tak datang sini (DAP), Hadi pulak pergi sana, (maka) PRU kali ini kita tak payah bertanding, pasti jadi pembangkang juga.

Tapi sebab UMNO dah pecah, dan datang seekor kuda (Mahathir), kali ni kita ada seekor kuda,”- Superman Hew, petikan dari Youtube Gerak Perak

“Aku kudahhh ka?”. Imej dari Malaysia Today

Dia juga mengatakan bahawa Lim Kit Siang hanya boleh membawa tsunami Cina, tapi Mahathir mampu membawa tsunami Melayu yang mampu menumbangkan BN. Selain tu, dia juga pernah menggelar Mahathir sebagai keris untuk menghapuskan UMNO.

Dalam satu video yang lain, dia juga pernah menggunakan istilah “qi ma sa ji” yang membawa maksud “tunggang kuda untuk bunuh ayam”. Siapakah kuda dan siapakah ayam?

“Kami menggunakan Mahathir untuk membunuh ayam…Kami (DAP) menyelamatkan Mahathir dan kami menggunakan beliau sebagai alat untuk mengalahkan Datuk Seri Najib Tun Razak,“- Superman Hew, petikan dari mStar

Namun, gelaran yang diberi di atas tidak membawanya kepada sebarang penahanan sehinggalah dalam satu posting Facebook, dia menyamakan Najib dan Rosmah sebagai karakter The Beauty and The Beast. Ia ditukar kepada Jibbie and The Bitch. Dia telah ditahan oleh pihak polis untuk siasatan pada tahun 2017. Namun, ia dibebaskan selepas reman 3 hari dengan jaminan polis.

Post FB yang diperkatakan tu. Imej dari FMT

3. Pernah kata – Laut China Selatan tu negara China yang punya

Antara kontroversi yang ditimbulkan oleh Hew adalah, dia pernah kata – Laut China Selatan sebagai milik negara China. Hal tu diungkapkan oleh Hew dalam post Facebook-nya pada tahun 2016. Menulis dalam Mandarin, Hew kata:

“Laut China Selatan milik China! Jangan menentang China hanya kerana kamu anti-komunis.” – Dipetik dari laporan NST.

Imej dari FMT.

Menurut laporan Malaysiakini, Hew mengaku yang dia sendiri tulis perkara tu, sebab dia tak puas hati dengan keputusan Mahkamah Tetap Timbangtara – yang memutuskan China tak ada ‘hak sejarah’ terhadap Laut China Selatan, sebab tak ada asas undang-undang untuk menuntut kawasan perairan itu.

Kerana dikritik hebat pelbagai pihak, Hew akhirnya ambil keputusan untuk keluar dari DAP, dengan alasan untuk melindungi kepentingan parti itu. Tapi tu tak bermakna yang Hew minta maaf sebab kata macam tu. Cuma lepas tiga tahun (2019), barulah Hew minta maaf, itupun lepas dia dilantik jadi CEO Majlis Perniagaan China-Malaysia (MCBC) oleh kerajaan.

Sebenarnya, isu pasal Laut China Selatan ni senstif sangat, sebab lebih 80% laut ini dituntut oleh China. Negara komunis itu juga dah memperkenalkan garis U atau Nine Dash Line yang dilakarkan dalam semua peta rasmi China.

Kawasan dalam garisan putus tu, China kata diorang punya. Imej dari Radio Free Asia.

Garisan yang terbentang sejauh 2,000 km dari Tanah Besar China itu merangkumi Kepulauan Spratly dan ke perairan Indonesia – Malaysia. Tapi garisan ni tak pernah diiktiraf oleh undang-undang dan pihak antarabangsa.

Sebab itu jugalah negara-negara yang terlibat dalam pertikaian dengan China ni, mula tukar nama Laut China Selatan dengan nama masing-masing. Filipina menukarnya kepada “Laut Filipina Barat”, Vietnam kepada “Laut Vietnam Timur” dan Indonesia kepada “Laut Utara Natuna”. Tapi, Malaysia masih menggunakan nama – Laut China Selatan. 

4. Memulakan boikot terhadap McD sebab bagi makanan halal je masuk

Selain isu Tun M Kuda, Komik dan Laut China Selatan tu, ada jugak isu lain yang pernah jadi buah mulut orang ramai yang menyentuh sensitiviti masyarakat kat Malaysia ni. Iaitu, isu sensitiviti halal. Cara Hew Kuan Yau (Superman) ni bertindak balas dengan isu tu dianggap biadap sebab tak hormat masyarakat Malaysia yang beragama Islam khususnya.

Hew ni dah hasut orang ramai supaya diaorang boikot McD. Isunya sebab dia tak puas hati dengan dasar yang McD gunakan iaitu McD cuma benarkan makanan halal je boleh dibawak masuk kat McD, iaitu kek harijadi. Dia tak puas hati dengan peraturan McD tu dan kaitkan dengan isu “hegemoni Islam” dan Islamisasi. 

“Kita mesti boikot sampai (polisi ini) terbatal dan mereka memohon maaf. Kalau setuju sila share,” – Hew Kuan Yau melalui muat naik di Facebooknya, sumber dari Malaysiakini. 

Notis yang dikeluarkan McD. Imej dari Malaysiakini

Dasar yang dikeluarkan McD tu bertujuan untuk kekalkan tahap integriti restoran makanan segera tu sebagai pemegang status halal. Dan McD letakkan syarat dan dasar tu bertujuan untuk pastikan semua produk yang disediakan kat situ adalah suci dan halal termasuklah kek yang dibawa dari luar. Kek tu mestilah kena ada sijil halal dari JAKIM sebelum dibawak masuk dalam McD.

Dia tak setuju sebab ia nampak macam tak masuk akal bagi diaorang atas alasan Malaysia mengamalkan prinsip kebebasan beragama tapi takde toleransi dalam hal tu. Walaubagaimanapun, memandangkan McD memang pegang status halal jadi dia buatlah dasar macam tu untuk jaga pelanggan, kesucian tempat dan tahap integriti diaorang. Dan ia jugak bertujuan untuk elakkan pelanggan yang beragama Islam rasa tak selesa dengan makanan luar yang tak halal dibawak masuk kat dalam McD.

Boikot yang dibuat kat media sosial. Imej dari theflyingkick.blogspot

Selain tu, dia pun kaitkan isu halal dengan bantuan mangsa banjir. Dalam keadaan negeri yang ditimpa musibah tu, dia dengan tak rasa bersalahnya mempersoalkan mengenai sama ada sumbangan dan makanan yang diberikan kat mangsa banjir tu perlu ada sijil halal ataupun tak. Ekoran tu, ramai yang marah dengan tindakan keji dan biadap Superman tu yang persoalanannya macam mempermainkan dan mempersendakan mangsa-mangsa banjir tu. Dan berbentuk macam rasis.

“Sepatutnya dia tidak perlu mempersendakan makanan yang dihulurkan perlu sijil halal atau tidak. Kenyataan yang dikeluarkan Hew ini jelas sekali berniat mempersendakan mangsa-mangsa banjir yang sedang ditimpa musibah.” – Azrinizam Ibrahim, Pengerusi NGO Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), sumber dari UMNO.Online.

Cara dia tu nampak macam celupar dan berbentuk provokasi yang tak jaga perasaan mangsa-mangsa tu. Dan semua orang tahu yang sumbangan yang diberikan tu adalah dalam kategori umum yang sesuai untuk semua peringkat tanpa ada kaitan dengan fahaman agama dan semua orang tahu ia mestilah halal. Dan takde pun yang mempersoalkan sama ada sumbangan yang diberikan tu perlu buktikan status halalnya ataupun tak. Cuma dia je tiba-tiba persoalkan isu tu.

Posting dia kat Facebook pasal banjir tu. Imej dari UMNO.Online

Tak kisahlah siapa kita, pekalah dengan sensitiviti masyarakat

Dalam perkembangan terbaru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kata – kalau komik kontroversi Hew ni melanggar undang-undang – ada kemungkinan yang ia akan diharamkan. Bagaimanapun, pihaknya masih lagi menunggu siasatan polis sebelum buat apa-apa tindakan lanjut.

Daripada apa yang kita dapat dari macam-macam kontroversi ni, boleh dikatakan semuanya berkaitan dengan sensitiviti masyarakat. Apa yang lebih parah, ia dikaitkan pula dengan hal kedaulatan negara, politik dan sentimen agama.

Rukun Negara adalah semak dan imbang kita semua. Imej dari Wattpad

Dengan keadaan Malaysia yang majmuk ini, dah pasti ia membawa impak negatif kepada masyarakat, dalam soal keharmonian kaum dan sosial. Oleh itu, seperti yang selalu kita diingatkan, ketertiban dalam bercakap dan bertindak kenalah sebati dalam diri setiap rakyat Malaysia, tanpa mengenal pangkat dan keturunan.

Dan mungkin, kita juga boleh mengambil pengajaran dari pepatah lama:

“Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana.” 

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend