Jenayah & Undang-undang

Semua menteri PH tak dapat merasa duit pencen kecuali tiga orang ni. Kenapa?

Nampaknya, waktu artikel ini ditulis, kita tiada lagi kerajaan. Hanya ada Perdana Menteri Interim iaitu Tun Mahathir. Tindakan Tun Mahathir meletakkan jawatan secara mengejut menyebabkan keadaan politik sekarang agak kurang stabil.

Apa yang menarik, kerajaan PH hanya bertahan menjadi kerajaan tidak sampai dua tahun pun atau lebih tepat lagi 21 bulan. Dan disebabkan pemerintahan yang sekejap ini, ada sesuatu yang menarik kami nak bincangkan mengenai elaun pencen menteri dan timbalan menteri bawah kerajaan PH.

Berkemungkinan menteri dan timbalan menteri PH tak dapat merasai duit pencen yang hampir RM 15K sebulan

Bila baca ni akan kurang happy…

Mengikut Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237], kelayakan pencen bagi anggota pentadbiran perlu sekurang-kurangnya pernah berkhidmat dalam tempoh 36 bulan atau 3 tahun. Maknanya, kalau kurang, tak dapatlah pencen tu. Dan elaun pencen bagi setiap anggota pentadbiran adalah seperti di bawah:

  1. Perdana Menteri: RM22,826.65 sebulan
  2. Timbalan Perdana Menteri: RM18,168.15 sebulan
  3. Menteri: RM14,907.20 sebulan
  4. Timbalan Menteri: RM10,847.65 sebulan

“Seseorang yang berhenti menjadi ahli atau anggota boleh diberi pencen jika dia menyempurnakan syarat minimum 36 bulan perkhidmatan…” – Pakar Undang-undang dari (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood

Masalahnya sekarang, macam yang disebut awal tadi, kerajaan PH memang tak sampai pun 36 bulan dan hanya 21 bulan sahaja sempat berkhidmat. Jadi, berkemungkinan tidak mendapat pencen.

Aduh! Ciked lagi nak dapat pencen.

Untuk kerajaan PH terdahulu, mereka mempunyai 25 orang menteri serta 23 orang timbalan menteri. Tapi korang nak tahu tak, kalau benar benda ni terjadi, ramai betul menteri tak dapat merasa pencen menteri.

Hanya Muhyiddin dan Saifuddin Abdullah yang merasai pencen, lain-lain mungkin tak merasa

Dalam senarai kabinet di bawah Pakatan Harapan, semestinya hampir keseluruhan adalah muka baru. Semua muka baru ini pula tak sampai 36 bulan menjadi menteri dan timbalan menteri. Ini termasuklah yang paling awal sekali tersingkir iaitu bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang meletakkan jawatannya pada 2 Januari 2020.

Nampak tak. Ada yang kami tak pangkah?

Mesti pelik kenapa ada yang kami tak pangkahkan? Macam ni, bagi yang tak tahu, Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Saifuddin Abdullah antara yang akan terima elaun pencen. Sebabnya…

“…tetapi jika seseorang itu pernah menjadi ahli Parlimen atau menteri pada penggal sebelum ini, dia akan terus mendapat pencen tersebut tapi tidak bagi jawatan terkini dipegang yang tidak cukup tempoh,” – Dr Muhammad Fathi Yusof, Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan UTM, petikan dari Sinar Harian

Macam yang kita tahu, ketiga-tiga mereka ini pernah menjadi ahli kabinet dalam kerajaan sebelum-sebelum ni. Ini termasuklah Tun Mahathir yang pernah jadi beberapa menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri yang cukup penggal.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Begitu juga, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang pernah menjadi beberapa menteri dan Timbalan Perdana Menteri sewaktu zaman Najib Razak. Untuk Saifuddin Abdullah, dia pernah menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dari tahun 2008 hingga 2013. Jadi, mereka ni dah merasa pencen awal lagi dah.

Tapi…kalau ada berlaku pembubaran parlimen, mereka akan dapat pencen tu

Imej dari Mutaligat blogspot

Ketika artikel ini ditulis, masih tiada lagi jawapan kepada kemelut politik yang berlaku ini. Semua ahli parlimen telah pun mengadap YDPA untuk ditemu duga oleh baginda. Namun, beberapa parti telah menyatakan pendirian masing-masing termasuklah pendirian agar parlimen dibubarkan.

Tapi, jika parlimen dibubarkan, menteri dan timbalan menteri ni tadi bloeh terima duit pencen. Sebabnya, ada akta yang menyebut, jika ada penamatan perkhidmatan disebabkan parlimen bubar, kematian dan di bawah Perkata 48 (1)(a) tidak sempurna akal, maka ada hak pencen sekalipun belum cukup 36 bulan sebagai anggota.

Tapi, apa yang peliknya, pemimpin Pakatan Harapan yang pernah jadi menteri ni tak ada pulak minta parlimen dibubarkan. Kalau tak, dah confirm dapat merasa pencen. Ada pemimpin PH iaitu Khalid Samad berpendapat bahawa bubar parlimen dan buat semula PRU merupakan satu pembaziran. Sebab tu kot mereka tak nak bubar.

Manakala pihak blok pembangkang yang terdiri daripada UMNO, PAS dan komponen BN mencadangkan agar parlimen dibubarkan dan keputusan diserahkan semula kepada rakyat untuk menentukan pembentukan kerajaan baru.

Kemelut yang berlaku juga banyak mengajar perkara baru kepada rakyat

Imej dari Rojak Daily

Sebelum ni, kami tak tahu pun mengenai pencen menteri dan timbalan menteri kalau nak dapat mesti kena berkhidmat lebih 36 bulan. Tapi, disebabkan kemelut ini, pakar dari undang-undang banyak muncul bagi menerangkan setiap kesan yang berlaku.

Begitu juga, kita buat pertama kalinya mendengar dan merasai fungsi Perdana Menteri Interim yang dipegang oleh Tun Mahathir. Dan buat pertama kali dalam sejarah juga, kita dapat menyaksikan Yang di-Pertuan Agong menemuduga semua ahli parlimen yang berjumlah 221 orang kecuali Tun Mahathir. Ini menunjukkan betapa kukuhnya pemerintahan negara dengan keagungan Majlis Raja-Raja Melayu.

Apa yang berlaku seterusnya, kita hanya boleh tunggu dan lihat. Dan paling penting, rakyat Malaysia kekal aman dan damai dalam apa jua situasi politik negara. Tahniah rakyat Malaysia!

 

 

 

 

 

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend