Kisah Khalid Ibrahim dan menteri-menteri besar Selangor yang tak tahan lama

Kalau korang kaji dan lihat perjalanan politik negeri Selangor sejak dulu, korang akan nampak yang jawatan MB selalunya ada je masalah. Sebab tu jugaklah ada yang kata kerusi MB Selangor ni ada badinya. Tak kurang jugak yang kata kerusi MB Selangor ni sebagai ‘kerusi panas’.

Oleh itu, mari kita melihat kembali kontroversi yang membabitkan jawatan MB Selangor. Kontroversi ini kadang-kadang telah memaksa seseorang itu meletakkan jawatan sebagai MB. Bak kata bekas MB Selangor…

“Menteri Besar Selangor ni masuk pejabat guna pintu, tapi keluar dari pejabat ikut tingkap.” – Tan Sri Muhammad Bin Muhamad Taib, Bekas Menteri Besar Selangor.

1. Datuk Harun – tersingkir dari jawatan MB kerana perlawanan Muhammad Ali

Datuk Harun Idris adalah salah seorang tokoh UMNO yang popular di zamannya. Dia juga adalah MB Selangor yang paling lama berkhidmat iaitu selama 12 tahun. Selain jadi MB, dia juga adalah Ketua Pemuda UMNO. Harun terkenal sebagai pejuang Melayu terutama peranannya dalam menghadapi peristiwa hitam, 13 Mei 1969.

Bagaimanapun, Datuk Harun dah dituduh menerima rasuah bernilai RM 250,000 dari Hong Kong and Shanghai Banking Corporation agar bank-bank tadi boleh buat satu bangunan kat KL. Tak cukup dengan tu, pada 1975 Harun dah terlibat secara langsung dalam mengadakan perlawanan tinju antara Muhammad Ali dan Joe Bugner di Stadium Merdeka.

Datuk Harun (duduk sebelah Muhammad Ali) masa kat sidang media. Imej dari mStar.

Malangnya, perlawanan tu tak bawa sebarang keuntungan dan Harun yang masa tu adalah Pengerusi Bank Rakyat dah dituduh salah guna wang sebanyak RM 8 juta untuk perlawanan itu. Akibatnya, tuduhan tu dah membuatkan kareer politik Harun tercemar dan dia dipecat dari UMNO.

“Beliau digulingkan dari jawatan Menteri Besar Selangor yang dipegangnya selama 12 tahun lalu menerusi undi tidak percaya di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor pada 25 Mac 1976 dengan 25 orang anggota menyokong, 4 berkecuali dan seorang menentang. Undi tunggal yang menentang usul itu ialah undi Harun sendiri.” – Surat daripada Dr Mahathir, Zainuddin Maidin, m/s 70.

Harun lepas itu ditangkap dan didakwa di Mahkamah di bawah Akta Mencegah Rasuah 1961. Keputusannya, Harun didapati bersalah dan dihukum penjara 6 tahun. Harun dimasukkan ke Penjara Pudu pada 1978. Tapi menurut Zainuddin Maidin (tokoh wartawan negara), sebenarnya ramai pemimpin dan ahli UMNO yang anggap Harun tak bersalah. Walau bagaiamanapun, Harun akhirnya dibebaskan pada 1981 apabila mendapat pengampunan diraja.

“Dr Mahathir telah menyembahkan rayuan pengampunan bagi Harun kepada Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika beliau memangku jawatan Perdana Menteri. Hussein Onn ketika itu berada di London untuk menjalani pembedahan jantung pada 7 Februari 1981.” – Surat daripada Dr Mahathir, Zainuddin Maidin, m/s 70.

Dari kiri: Datuk Harun Idris dan Tan Sri Ghazali Shafie (Menteri Dalam Negeri). Imej dari sustainablelivinginstitute.blogspot

Apabila dibebaskan, Harun terus aktif dalam politik. Tapi kehebatannya dalam politik mula menurun bila dia mencabar Musa Hitam dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 1984. Harun kalah dan hanya dapat 34 undi je. Pada 19 Oktober 2003, Harun Idris meninggal dunia kerana serangan angin ahmar pada usia 78 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang.

2. Mat Taib – tersingkir kerana wang yang tak diisytiharkan

Tan Sri Muhammad Bin Muhammad Taib atau Mat Taib adalah MB Selangor dari 1986 hingga 1997. Dia juga adalah ADUN Batang Kali untuk 4 penggal. Selama 11 tahun memegang jawatan, Mat Taib memang agak terkenal di kalangan penduduk Selangor.

Mat Taib jugak dah tetapkan yang Selangor jadi negeri maju pada 2005. Imej dari mynewshub.cc

Beberapa tahun memegang jawatan MB, Mat Taib buat kontroversi bila dia kahwin lagi. Kalau setakat kahwin tu takdelah terkejut sangat, tapi Mat Taib berkahwin secara sulit dengan Tengku Zahariah yang juga adalah puteri Sultan Selangor. Perkara ni menarik perhatian media dan menggemparkan masyarakat.

“Kisah perkahwinan ini berlarutan di akhbar-akhbar hingga berbulan-bulan dan puncaknya ialah Sultan Selangor memaafkan Muhammad Taib dan puterinya. Perdana Menteri, Dr Mahathir menganggap laporan mengenainya telah berlebihan.” – Hari Itu Sudah Berlalu, Zainuddin Maidin, m/s 221.

Bagaimanapun, perkahwinan kontroversi ni tak kekal lama, Mat Taib dan Tengku Zahariah bercerai setelah 4 tahun berumah tangga. Tapi kontroversi melibatkan Mat Taib masih tak selesai lagi. Mat Taib ditahan oleh pihak berkuasa Australia ketika membawa wang seberat 19kg masa naik sebuah pesawat di negara itu pada 1996.

Dia ditahan masa nak berlepas ke New Zealand sebab buat laporan palsu pasal duit yang dibawa ke negara itu. Dia jugak gagal isytiharkan duit bernilai lebih dari AS$ 1.26 juta bila berlepas ke New Zealand pada Disember 1996. Pada 14 April 1997, Mat taib terpaksa lepaskan jawatannya sebagai MB apabila dia didakwa di Mahkamah Australia.

Bagaimanapun, Mat Taib didapati tak bersalah atas tuduhan-tuduhan tersebut. Lepas letakkan jawatan sebagai MB, Mat Taib senyap sekejap dalam dunia politik sampailah bila dia cuba mencabar Muhyiddin Yassin untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Tapi nampaknya dia kalah. Lepas tu Mat Taib keluar dari UMNO dan masuk PAS. Tak lama berada dalam PAS, Mat Taib ambil keputusan untuk menyertai PKR pada September 2015.

Imej asal dari perisikrimba.blogspot

3. Abu Hassan Omar – pegang jawatan MB selama tiga tahun je…

Datuk Seri Abu Hassan Omar adalah Ahli Parlimen Kuala Selangor. Sebelum jadi MB Selangor, Abu Hassan pernah pegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Tapi lepas berlakunya krisis dalam kepimpinan Mat Taib, dia jadi antara calon untuk memegang jawatan MB Selangor yang baru.

Abu Hassan yang masa tu jadi Ahli Parlimen Kuala Selangor meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang. Abu Hassan menang kerusi tersebut dan pada 1997, dia dilantik menjadi MB Selangor yang baru menggantikan Mat Taib.

Datuk Seri Abu Hassan Omar. Imej dari Sinar Harian.

Tapi bak kata orang, bila dah jadi Menteri Besar ni banyak dugaannya. Lepas je setahun pegang jawatan, dah ada khabar angin tentang gerakan nak menjatuhkan Abu Hassan dari kerusi Menteri Besar. Perkara tu didedahkan sendiri oleh Zahid Hamidi (TPM sekarang) yang merupakan Ketua Pemuda UMNO ketika itu. Menurut Zahid, pakatan tu jadi disebabkan banyak isu negatif dikaitkan dengan kepimpinan Abu Hassan

“…wujud pakatan untuk menjatuhkan Menteri Besar Selangor berikutan banyak isu negatif yang dikaitkan dengan Abu Hassan sejak beliau mengambil alih kepimpinan negeri Selangor. Antara isu itu ialah soal pengubahsuaian kediaman rasmi Menteri Besar, kos penginapan di hotel, isu pembalakan dan pembangunan hartanah dipercayai di kawasan tadahan dan yang terbaru ialah krisis air.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Zahid Hamidi masa muda-muda dulu. Imej dari tv14.

Belum lagi selesai pasal dakwaan-dakwaan tersebut. Muncul pulak dakwaan yang menyentuh isu-isu peribadi sehingga menjejaskan imej Abu Hassan. Kali ni dia dah dituduh ada anak luar nikah dengan adik iparnya. Disebabkan tuduhan ni sangat serius, Abu Hassan menegaskan yang beliau difitnah.

“Sebenarnya adik ipar saya telah berkahwin dengan rakan karib saya seorang mualaf berketurunan Cina. Secara kebetulan, kata beliau, rakan karibnya itu mempunyai nama yang sama dengan beliau iaitu Abu Hassan Tan Abdullah. Selepas mereka berkahwin mereka menamakan anak yang dilahirkan dengan bin yang sama dengan nama saya… anak itu kini sudah berusia 11 tahun.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Disebabkan banyak tuduhan dan dakwaan yang dikaitkan dengannya, akhirnya Abu Hassan ambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai MB Selangor pada tahun 2000. Tempatnya diganti oleh Khir Toyo. Abu Hassan memberikan alasan keluarga dan kesihatan di atas peletakkan jawatannya itu.

”Inilah (fitnah) yang menyebabkan keluarga saya iaitu isteri dan anak-anak meminta saya berundur diri dari jawatan Menteri Besar… kami telah berbincang dan kemudian memutuskan saya harus meletakkan jawatan.” – Datuk Seri Abu Hassan Omar. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Abu Hassan akhirnya buat keputusan meletakkan jawatan. Imej asal dari usj.com.my

(Cerita pasal Khir Toyo mungkin korang dah dengar, antaranya adalah kes rasuah yang menyebabkannya dipenjara.)

4. Khalid Ibrahim – tersingkir kerana ‘Langkah Kajang’

(Mesti akan ada yang tanya pasal apa kitorang tak cerita tentang Khir Toyo. Jawatan Khir sebagai MB tamat bila BN kalah kat Selangor masa PRU ke-12. Dia jugak lepas tu dah didakwa atas kes rasuah. Boleh klik artikel kitorang pasal hal ni kat sini.)

Apa yang jadi kepada Tan Sri Khalid Ibrahim ni adalah krisis MB yang terbaru di negeri Selangor. Hasil dari pakatan PAS, PKR dan DAP, akhirnya Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan di negeri Selangor selepas PRU ke-12. Atas persetujuan bersama, Khalid Ibrahim dari PKR dah dipilih dan dilantik sebagai MB Selangor.

Pada pilihanraya ke-13, Pakatan Rakyat sekali lagi berjaya membentuk kerajaan di negeri Selangor dan Khalid Ibrahim dilantik semula sebagai MB. Ketika tu, dia menang di kawasan Pelabuhan Klang. Tapi masalah mula timbul, bila ‘Langkah Kajang’ diperkenalkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Tan Sri Khalid Ibrahim. Imej dari Malay Mail Online.

Rancangan ‘Langkah Kajang’ ni pada asalnya nak jadikan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim sebagai MB Selangor yang baru. Jadinya,  ADUN Kajang dah letakkan jawatan supaya Anwar boleh bertanding kat kawasan tersebut. Tapi rancangan tu tak menjadi bila Anwar gagal jadi calon kerana didapati bersalah dalam kes liwat. Jadinya, calon tu digantikan dengan Presiden PRK, Wan Azizah dan dia akhirnya menang di Kajang. 

Lepas Wan Azizah menang, jawatan MB Selangor tu nak diberi kepadanya. PKR pada masa tu bagi alasan yang Khalid ni tak jalankan tugasnya dengan baik sebagai Menteri Besar. Tapi Khalid tak nak letak jawatan. PAS pulak masa tu sokong Khalid kekal sebagai MB Selangor.

“PAS menyokong Tan Sri Khalid memerintah kerana amanahnya dia… Kita dikejutkan supaya dikosongkan satu kerusi di Kajang. Kita tak setuju, ini bukan caranya, rakyat baru je lepas pilihanraya dah nak pilihanraya balik. Ini tak betul.” – Tuan Guru Hadi Awang, Presiden PAS.

Imej asal dari therocket.com

Disebabkan krisis tu makin berpanjangan, maka akhirnya pihak istana minta setiap parti dalam Pakatan Rakyat (PR) untuk mengemukakan lebih dari 2 nama calon sebagai MB untuk baginda pilih. Tapi perkara ni jadi isu, bila PKR dan DAP hanya hantar satu nama dan cuma PAS je yang hantar 3 nama. Hadi Awang jugak jelaskan kenapa PAS menolak Wan Azizah:

“…kita tak setuju dengan calon itu (Wan Azizah). Sebab syarat dalam Islam (orang yang dipilih) mesti seorang yang layak iaitu mampu memimpin kerajaan… kalau dari awal lagi dia sudah tak ada kebolehan nak berdialog dengan pihak lawan dalam dewan undangan negeri pun tak boleh. Macam mana nak jadi pemimpin. Bukan sebab dia perempuan atau lelaki. Kita tolak calon tu sebab dari awal-awal lagi dia tak layak, bukan kerana dia perempuan.” – Tuan Guru Hadi Awang, Presiden PAS.

Tindakan PKR dan DAP yang mengemukakan hanya satu nama jugak membuatkan Sultan Selangor berasa amat dukacita. Pihak istana juga menafikan kenyataan Anwar Ibrahim yang kata dah jadi tradisi satu nama je yang diberikan untuk jawatan MB sejak 1957. Dalam hal ni, pihak istana minta Anwar supaya jangan keluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan imej Sultan Selangor.

Akhirnya krisis ini selesai bila Azmin Ali dilantik menjadi MB Selangor yang baru. PAS jugak lepas tu kata yang semua krisis sebelum tu dah selesai dan isu sama ada PAS sokong Khalid sudah tak berbangkit. Maka sehingga hari ini, Azmin masih lagi menjadi MB Selangor.

Imej asal dari Utusan Malaysia.

5. Macam mana pulak dengan nasib Azmin sekarang?

Walaupun Hadi Awang ada bagi bayangan tentang peralihan kuasa di Selangor, tapi sebenarnya perkara tu masih samar. Buat masa sekarang PAS ada 13 kerusi di Dewan Undangan Negeri Selangor, manakala parti-parti lain: PKR (13 kerusi), DAP (14 kerusi), AMANAH (2 kerusi), Barisan Nasional (12 kerusi) dan Bebas (2 kerusi).

Jadi, walaupun semua ADUN BN dan Bebas menyokong PAS, tapi nampaknya parti itu masih lagi tak boleh membentuk kerajaan sebab kerusi yang masih tidak cukup. Selain tu, kalau PAS nak jadi MB sekalipun, rasanya tak berapa sesuai sebab tempoh penggal pun hampir nak habis, malah ada jugak khabar angin yang kata mungkin akan ada PRU dalam tahun ini.

Kedudukan Ahli Dewan Negeri di Dewan Negeri Selangor. Klik imej untuk maklumat lanjut.

Baru-baru ni, kita juga dilaporkan tentang permintaan Azmin supaya exco-exco negeri dari PAS meletakkan jawatan. Tapi sampai sekarang isu itu masih menjadi tanda tanya. PAS pulak bertegas yang exco mereka tak perlu berbuat demikian.

“Kita bergantung kepada undang-undang dan perlembagaan. Dalam Perlembagaan Selangor jelas dinyatakan bahawa seseorang exco memegang jawatan atas perkenan Sultan Selangor. Bermakna selagi Sultan perkenankan exco Pas ini pegang jawatan, kita kekal di situ. Hanya Tuanku Sultan boleh arahkan exco letak jawatan atau dipecat walaupun ia atas cadangan menteri besar.” – Datuk Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Pas. Dipetik dari Sinar Harian.

Walaupun begitu, dalam politik macam-macam boleh berlaku. Kita sekarang hanya boleh tunggu dan lihat.

Kerusi MB Selangor memang kerusi panas dan senang buat duit!

Seperti yang kita lihat dengan kisah-kisah sebelum ni, nampaknya siapa yang duduk kat kerusi MB Selangor, orang tu tak boleh lari dari kontroversi dan krisis. Kadang-kadang krisis tu bukan berpunca dari pihak lawan tapi dari parti mereka sendiri.

Ini kerana untuk sesiapa yang berada di atas kerusi ini, nampaknya cukup mudah untuk mereka digoda dan membina kekayaan. Perkara ini diakui sendiri oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Siapa duduk kerusi menteri besar ini, memang ada banyak godaan. Kerusi itu tidaklah setanding kerusi perdana menteri tetapi seakan-akan begitu di peringkat negeri… Bukan panas, tetapi semua ini terpalit dengan godaan. Sangat mudah untuk buat kekayaan dan berkuasa kerana orang pandang tinggi kepada jawatan menteri besar.

Kalau tidak ada prinsip, memanglah panas dan bergoyang. Kalau kamu ada prinsip dan teguh, orang hormat. Kamu buat jalan yang betul untuk rakyat dan kemajuan negeri, itu sempurna.” – Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Azmin Ali dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Imej dari New Straits Times.

Untuk menjadi seorang pemain politik dan pemimpin bukanlah mudah. Kerana itulah kita dituntut untuk memilih mereka yang betul-betul layak menjadi pemimpin. Ini kerana tanpa amanah dan daya kepimpinan yang tinggi sesuatu pemerintahan tu akan terdedah dengan pelbagai krisis.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.