Alam Sekitar

Orang Sabah tak puas hati dengan projek empangan baru. Apa pula kali ni?

(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)

Sekarang ni, banyak isu hangat yang kita dengar dan baca. Sampai kadang-kadang tu, kita rasa rimas dengan keadaan sekeliling kita ni. Tapi korang jangan rasa rimas lagi, sebab kali ni kitorang nak beritahu satu lagi isu yang membuatkan orang Sabah risau.

Isunya adalah pasal tindakan kerajaan negeri Sabah yang nak teruskan pembinaan Empangan Papar. Sebenarnya, keputusan kerajaan negeri ni dibantah oleh rakyat Sabah sendiri. Hal ni dapat kita lihat bila mana lebih 500 orang dah melakukan protes menentang pembinaan empangan ini pada tahun lepas.

Kanak-kanak pun terlibat sama dalam protes membantah empangan ini. Imej dari Free Malaysia Today.

Dalam usaha mereka nak menghentikan projek Empangan Papar ni, Anak Negeri Sabah yang diketuai oleh Pasukan Petugas Menentang Empangan Kaiduan (TAkaD) akan menyerahkan memo kepada Perdana Menteri dan menteri – menteri persekutuan tak lama lagi. Berdasarkan siaran media dari TAKaD, mereka akan berada di Putrajaya pada 4 September ni untuk serahkan memo berkenaan.

Tapi, sejak bila dan apa dia Empangan Papar ni sebenarnya?

Empangan Papar datang, lepas rancangan empangan mega sebelumnya dibatalkan

Seperti mana yang kita tahu, tujuan membina empangan ni bukanlah nak bagi korang tempat berkhemah dan berkelah bagai tu. Tapi tujuannya adalah untuk takung air dan dalam isu Empangan Papar ni, ia diharap dapat selesaikan krisis air di Sabah.

Sebenarnya, Sabah sekarang ni ada masalah nak kekalkan bekalan air mencukupi untuk populasinya yang semakin bertambah. Dilaporkan, kapasiti air Sabah ketika ini kurang 15 peratus daripada bekalan keseluruhan. Jadinya, Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal buat keputusan untuk bina Empangan Papar sebagai jalan penyelesaian.

“Kami perlu bina empangan baharu kerana kami percaya bekalan air di Kota Kinabalu (dan kawasan sekitarnya) tidak mencukupi dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Jadi, saya fikir amat penting untuk menanganinya pada ketika ini.” – Shafie Apdal, dipetik dari Utusan Borneo.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal. Imej dari Utusan Borneo.

Tapi ada benda penting yang kita kena tahu: sebelum PRU-14, empangan yang sepatutnya dibina adalah Empangan Kaiduan yang cukup kontroversi. Ramai pihak, termasuklah Shafie dan partinya – WARISAN tak suka Empangan Kaiduan kerana pelbagai sebab. Jadinya, salah satu janji masa kempen PRU adalah menghentikan Empangan Kaiduan. Tapi, tiba-tiba Empangan Papar pula yang diumumkan.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Hal ni dah buatkan Shafie dikritik, dan pembangkang Sabah – Parti Bersatu Sabah (PBS) tuduh WARISAN sebagai menipu dan dah buat u-turn pasal projek Empangan Kaiduan.

“Mereka berjanji untuk menghentikan projek itu jika Warisan berkuasa selepas PRU-14. Sekarang hanya beberapa bulan berkuasa, sudah ada U-turn…

Ini pada dasarnya adalah projek yang sama, hanya perubahan nama dari Empangan Kaiduan ke Empangan Papar, dan perubahan lokasi di sepanjang sungai yang sama.” – Datuk Johnny Mositun, Setiausaha Agung PBS. Dipetik dari The Star.

Antara bantahan terhadap pembinaan Empangan Kaiduan dulu. Imej dari Save Ulu Papar.

Apa yang pasti, seperti mana yang dikatakan di awal tadi, Sabah sekarang ni berdepan dengan kekurangan air, jadi Shafie lawan balik PBS, dengan kata…

Kesan Empangan Papar lebih kurang, dari Empangan Kaiduan

Menurut Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony antara sebab kenapa mereka menolak Empangan Kaiduan dan pilih Empangan Papar adalah Empangan Papar tak akan menjejaskan perbandaran Penampang.

Selain itu, projek baru ini hanya akan menyebabkan 200 orang yang perlu dipindahkan. Empangan baru ini juga ditetapkan lebih kecil dan lebih murah berbanding rancangan sebelumnya, ditambah dengan kemungkinan akan dibina hidro mini untuk menjana kuasa tambahan.

“Dengan pembinaan empangan ini, ia akan membekalkan 700 juta meter padu. Perlu diingatkan bahawa Empangan Papar bukanlah (kontroversi) Empangan Kaiduan kerana pembinaannya tidak akan sampai ke Penampang.

Kerja dijangka dimulakan akhir tahun ini atau awal tahun depan, sebaik sahaja reka bentuk dan membina projek termasuk pelan pembangunannya yang sedang disediakan, siap.” – Peter Anthony, katanya dipetik dari Daily Express.

Projek Empangan Bakun, Sarawak pun pernah timbulkan macam-macam kontroversi suatu masa dulu. Imej dari Dayak Daily.

Jadi, kalau ikut atas kertas, Empangan Papar yang baru ni hanya akan melibatkan pemindahan sedikit, menjana air dan kuasa, serta lebih murah dan lebih kecil daripada rancangan sebelumnya. Semuanya nampak macam baik je la kan? Tapi kenapa pula, masih ada yang bantah seperti mana yang kitorang ceritakan di awal tadi?

Sebabnya… sementara kerajaan negeri mungkin buat rancangan yang agak baik dari Empangan Kaiduan…

Rakyat masih tak yakin, dan nak kerajaan negeri pertimbangkan penyelesaian lain

Berbalik kepada protes Empangan Papar yang kitorang ceritakan tadi, ia jadi bila mana rakyat rasa tak diberikan ruang oleh kerajaan negeri dalam menangani situasi ini.

Menurut penganjur protes, Michael Frederick, kerajaan negeri didapati gagal mendapatkan pandangan penduduk tempatan di Papar sebelum mengumumkan pembinaan projek itu. Dia juga mendakwa, Empangan Kaiduan ambil masa kajian dan penyelidikan selama berdekad, dengan mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar dan juga adanya dialog antara kerajaan negeri serta penduduk tempatan.

Akan tetapi, Empangan Papar dicadangkan hanya selepas beberapa bulan WARISAN jadi kerajaan dan itu membuatkan ramai pihak rasa tak puas hati.

Selain itu, ramai yang tak yakin dengan dakwaan kerajaan negeri bahawa hanya 200 orang yang akan terjejas, sedangkan dapatan dari NGO The Borneo Project menjangkan angka itu berkemungkinan seramai 2000 orang.

“Empangan baru yang Anthony cadangkan ini lebih teruk dari Empangan Kaiduan, walaupun dengan saiz yang lebih kecil. Sungai sama terkesan dan, kerana lokasinya, lebih ramai orang perlu dipindahkan.” – Michael Frederick, katanya dipetik dari Free Malaysia Today

Sebenarnya, korang ingat lagi kan pasal krisis air Sabah yang kami sebut awal tadi? Menurut pakar air dan tenaga, Adrian Lasimbang, empangan ni mungkin tak diperlukan untuk menyelesaikan masalah yang ada.

Adrian memberitahu Daily Express, Sabah mempunyai jumlah hujan yang tinggi sepanjang tahun dan ia mengelirukan kalau kita nak kata yang empangan tu penting. Sementara itu, wartawan Kenny Gotlieb yang meliputi Empangan Saga dulu, mengatakan – kira-kira separuh daripada sistem air Sabah hilang kepada ‘sumber bukan hasil’, yang bermaksud lebih banyak air dapat sampai kepada masyarakat jika infrastruktur yang sedia ada ni diperbaiki.

Adrian Lasimbang. Imej dari Roketkini

Kitorang tahu, mungkin apa yang jadi ni nampak macam orang yang tak puas hati ni saja nak bangkitkan isu yang tak sepatutnya. Tapi, kita kena tahu juga yang ini bukan kali pertama empangan menyebabkan masalah kepada penduduk tempatan Sabah.

Penduduk yang terjejas dengan empangan sebelum ini, masih rasa kesannya walaupun dah bertahun berlalu

Lebih 20 tahun lalu, masyarakat Kadazandusun di Kampung Tampasak, Sabah hadapi perkara yang agak sama dengan apa yang orang Papar lalui. Mereka terpaksa berpindah dari tanah nenek moyang mereka pada 1994 dan 1995 untuk bagi laluan kepada pembinaan Empangan Babagon. Empangan ni dibina bagi meningkatkan rizab air Sabah yang secara kebetulan membantu negeri tu masa menghadapi kemarau El Nino pada tahun 1998.

Sementara Empangan Babagon ini memberikan manfaat kepada penduduk di Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang, ia juga secara drastik dah mengubah kehidupan masyarakat yang ditempatkan semula kerana nak membina empangan ini.

Empangan Babagon siap dibina pada tahun 1997. Imej dari flickr.com

Rumah panjang tradisional mereka misalnya dah hilang, dan rumah-rumah baru yang disediakan tu lebih kecil dan sempit, dengan kemudahan yang kurang. Malah, mereka masih menghadapi masalah sampai hari ini, apabila komuniti itu pada awal tahun ini kena memohon pertolongan dan bantuan untuk memperbaiki pusat komuniti kampung mereka.

Mengenai isu Empangan Papar, agak jelas bahawa walaupun kerajaan Sabah melihat empangan itu sebagai satu cara untuk menyelesaikan masalah air Sabah untuk jangka masa panjang, penduduk tempatan rasa tidak berpuas hati dengan keperluan untuk mereka berpindah dan jalankan kehidupan di penempatan baru.

Korang mesti tak nak pindah semata-mata nak bagi orang bandar mandi kan? Shafie sendiri tahu dan dah janji untuk cari penyelesaian terbaik untuk semua yang terlibat dalam kontroversi Empangan Papar ni. Apa yang kita boleh buat sekarang adalah tunggu dan lihat sama ada ia akan menjadi ‘menang-menang’ untuk semua pihak akhirnya.

 

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend