Aksi-aksi mengejutkan pemimpin dan atlet dunia dengan bendera

Isu bendera terbalik sedang hangat diperkatakan. Macam-macam yang berlaku termasuklah tular video seorang rakyat Malaysia marah dekat tuan rumah yang pasang bendera terbalik di depan rumah.

Dan beberapa hari ni juga banyak berita mengenai bendera terbalik seperti sebuah sekolah yang menerima bekalan bendera Jalur Gemilang yang terbalik, sebuah sekolah SJKC di Pahang yang memasang bendera terbalik dan lain-lain. Dalam kehangatan isu ni, muncul pula kenyataan Exco negeri Perak, Dr. Abdul Aziz Bari yang mengatakan bahawa tiada undang-undang menyatakan memasang bendera terbalik sebagai satu kesalahan.

Pemasangan bendera terbalik di Kuantan. Laporan diterima tak disengajakan. Imej dari FMT

Maka isu ni dah menguji semua rakyat Malaysia dan sikapnya terhadap Jalur Gemilang yang kita banggakan. Dalam keadaan panas ni, kami di SOSCILI nak kongsi sikit cerita mengenai bendera. Cerita bagaimana pemimpin dan atlet dunia buat aksi mengejutkan terhadap bendera negara masing-masing atau negara lain. Kita mulakan dengan…

1) Erdogan berkali-kali kutip bendera Turki di lantai dalam pertemuan antarabangsa

Sebelum ni kami pernah tulis artikel pasal tentera Turki adalah tentera terbesar dalam kalangan dunia Islam. Tapi kali ni, dalam bab bendera, nama Turki dipetik lagi kerana sikap yang ditunjukkan oleh presidennya, Erdogan. Dalam beberapa pertemuan antarabangsa, nampaknya Erdogan banyak kali dilihat melakukan aksi sebegini.

Erdogan kutip bendera kecil Turki di Kemuncak G20, US. Imej dari Daily Sabah

Biasanya, kalau ada sesi bergambar antara pemimpin dunia dalam sesuatu pertemuan, bendera kecil akan diletak dilantai sebagai tanda tempat untuk seorang pemimpin tu berdiri. Namun, beberapa kali Erdogan dah mengutip bendera Turki sebelum berdiri di tempat tersebut.

Antaranya, peristiwa tu berlaku ketika pertemuan kemuncak G20 di Pennsylvania, US pada tahun 2009 dan St. Petersburg, Rusia pada tahun 2013. Dan aksi ni kembali lagi pada tahun 2014 apabila dia mengadakan lawatan ke Turkmenistan.

Kali ni dia kutip, dua-dua bendera. Imej dari Daily Sabah

Pada tahun 2015, Turki dah menjadi tuan rumah untuk Kemuncak G-20. Apa yang menarik, tidak seperti kemuncak sebelum ni, Erdogan tak perlu dah kutip bendera atas lantai. Ini kerana bendera di atas lantai dah digantikan dengan tulisan nama sahaja.

Tiada lagi bendera. Imej dari Daily Sabah

2) Maduro mengutip bendera Turki yang terjatuh di depan presidennya

Venezuela waktu ni tengah dalam krisis yang belum lagi selesai. Sebelum ni berita mengenai negara ni muncul apabila dikatakan menghadapi hiperinflasi dan kini selepas pilihan raya, ada dua orang presiden pula. Seorang Maduro yang dilaporkan menang majoriti dalam pilihan raya dan seorang lagi Guidao yang diiktiraf oleh US dan EU.

Sebelum berlaku krisis dua presiden dalam satu negara ni, Maduro adalah Presiden Venezuela. Maka, waktu tu dia pun dah buat beberapa pertemuan dengan pemimpin negara lain. Dan salah satu lawatan yang diterima adalah dari Presiden Turki, Erdogan.

Tahap sampai baling tahi dah protes kat sana. Klik gambar untuk baca artikel penuh

Pertemuan antara Turki dan Venezuela ni dah berlangsung pada tahun 2018 di Caracas, Venezuela. Hasil perjumpaan kepimpinan dua negara dah menandatangani beberapa persetujuan berkaitan pelancongan, perikanan dan pertanian.

Jika dilihat beberapa laporan sebelum ni, Turki juga adalah antara negara yang menyokong Venezuela sewaktu negara ni menerima sekatan antarabangsa. Kira hubungan dua negara ni macam “like brothers” lah.

Namun, apa yang kami nak cerita kat sini adalah satu insiden yang menjadi perhatian semua. Sewaktu Maduro menerima lawatan Erdogan di dalam satu majlis gilang-gemilang, ada satu bendera Turki ni jatuh di lantai. Lantas, Maduro menuju ke arah bendera tu dan mengutipnya semula. Kali ni, bukan Erdogan kutip sendirilah.

Maduro kutip bendera Turki yang jatuh. Imej dari Ensonhaber

3) Pemain bola sepak wanita US letak bendera di padang, seorang lagi kutip

Imej dari Hypebeast

Pada tahun ni, dah berlangsung Piala Dunia FIFA bagi wanita di Perancis. Perlawanan akhir melibatkan negara US dan Belanda. Keputusan perlawanan dah memihak kepada US dengan kemenangan 2-0. Namun, apa yang menjadi perhatian adalah sewaktu sambutan dalam kalangan pemain di depan kamera.

Perhatian dah diberikan kepada wira US yang menjaringkan gol iaitu Megan Rapinoe. Dia bersama Allie Long waktu tu nak buat macam sorakan lah sambil goyang-goyangkan tangan. Jadi, si Megan dan Allie ni yang tengah pegang bendera US, lepaskan bendera sekejap kat atas padang. Tak sampai beberapa saat, seorang lagi pemain US, Kelley O’Hara dengan pantas mengutip bendera tersebut.

Kejadian ni dah menyebabkan Allie Long dan Megan Rapinoe dikecam hebat kerana tidak patriotik dengan bendera, manakala Kelley O’hara diangkat sebagai hero. Habis kisah-kisah Megan Rapinoe yang pernah menolak untuk ke White House atas jemputan Donald Trump diungkit.

Sebenarnya, kejadian ni diperdebatkan sama ada betul Allie dan Megan betul-betul sengaja biarkan bendera di lantai atau tak. Tapi, pada pandangan umum, Kelley O’hara adalah contoh terbaik kerana mengutamakan bendera dalam apa jua keadaan sekalipun.

Baik bi. Imej dari Twitter Kelley O’hara

Penggunaan Jalur Gemilang ada panduannya yang tersendiri untuk diikuti

Ketiga-tiga aksi luar biasa di atas boleh dijadikan contoh untuk kita semua. Sekali pun berlaku di negara yang berbeza dan kedudukan pelaku yang berlainan pada pandangan masyarakat. Persamaannya adalah, mereka tahu di mana sepatutnya bendera diletak dan dihormati.

Imej dari Star2

Di Malaysia, bendera kebanggaan kita adalah Jalur Gemilang. Setiap rakyat Malaysia berhak untuk mengibarkan Jalur Gemilang mengikut arahan dan panduan yang ditetapkan. Di negara kita juga punyai akta bagi melindungi penggunaan Jalur Gemilang dihormati dengan sewajarnya. Antaranya:

  1. Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963
  2. Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949
  3. Mana-mana individu yang menghina atau melakukan provokasi melampau terhadap Jalur Gemilang boleh dikenakan tindakan berdasarkan Akta Hasutan 1948

Kalau nak diikutkan, memang kita tak ada undang-undang khas untuk Jalur Gemilang. Tapi, akta-akta di atas serta panduan yang dah disediakan oleh Jabatan Penerangan dah cukup lengkap untuk kita fahami.

Bendera adalah lambang kedaulatan sesebuah negara

Semua negara kat dunia ni ada bendera yang diperagakan pada sebidang kain untuk membuktikan kewujudan sesebuah negara tu. Maksud asas sesebuah bendera juga adalah mengibarkan dan mengapungkan di atas angin. Mungkin ramai yang tak ingat susah payahnya Encik Mohamed Bin Hamzah, arkitek Kerja Raya Negeri Johor yang mereka bentuk bendera negara kita ni.

Wajah pencipta bendera Malaysia. Imej dari Quranicgen

Bermula dengan 373 karyawan yang hantar reka bentuk hinggalah bendera kita yang ada ni dipilih secara majoriti oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Kemudiannya dikibarkan secara rasmi pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor.

Moga jasa dan semangat reka bentuk Jalur Gemilang sentiasa dikenang di saat susah dan senang oleh semua rakyat Malaysia.

Berkibar terus oh bendera ku
Kau kan ku junjung sepanjang waktu
Harumlah nama negara yang tercinta
Pada mu tempat taat dan setia

– Lagu Benderaku ciptaan Tony Fonseka

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT