Jenayah & Undang-undang

Ustaz Ebit Lew diminta hentikan bantuan? Ini apa yang korang kena tahu

Siapa je yang tidak kenal dengan Ustaz Ebit Lew, yang merupakan hero kepada seluruh rakyat Malaysia apabila tindakannya untuk menolong mereka yang susah tidak mengira kaum dan agama. Dia melakukan semua itu menerusi Pertubuhan Kasih Umat Malaysia di mana mereka pusing satu Malaysia untuk memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan, lebih-lebih lagi mereka yang hidup dalam keadaan yang daif.

Tetapi, semasa Ebit Lew sedang memberi bantuan kepada orang-orang di Semporna, dia dikatakan harus menghentikan operasi bantuannya oleh pihak yang tidak diberitahu lagi identitinya. Dikatakan juga bahawa Ustaz Ebit Lew boleh dikenakan tindakan hukuman sekiranya meneruskan aktiviti bantuannya itu, antaranya adalah denda sebanyak RM100,000 atau penjara 3 tahun.

Kenapa sampai macam tu sekali hukumannya? Sedangkan Ustaz Ebit Lew hanya ingin menyalurkan bantuan kepada mereka yang susah sahaja. Ini merupakan penjelasan yang serba-sedikit boleh membantu korang untuk memahami situasi Ustaz Ebit Lew ni, jadi teruskan membaca supaya korang tak terlepas apa-apa info.

Zon Merah di kawasan yang dikawal oleh ESSCOM

Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE). Imej dari Sabah Post

Sebenarnya, kawasan yang dikunjungi Ustaz Ebit Lew dikatakan telah dikategorikan sebagai zon merah oleh Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM). Kawasan itu juga dikenali sebagai Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dan ditubuhkan sebab tragedi pencerobohan di Lahad Datu pada 2013. Memandangkan banyak kes jenayah yang melibatkan lanun-lanun moden yang berlaku di situ, itu juga antara sebab Ustaz ditemani oleh skuad Komando Angkatan Tentera Malaysia sepanjang aktiviti bantuannya itu.

Pada 21 Disember 2020, terdapat aksi tembak menembak antara sekumpulan ‘lanun’ dengan pasukan penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di kawasan perairan Semporna yang berlaku pada pukul 3.40pm. Hari terang-terang pun dorang berani bertindak ganas terhadap penguasa. Bukan tu je tau, pihak ESSCOM juga pernah menangkap 3 suspek warga asing yang dipercayai telah merompak nelayan di perairan Lahad Datu pada November 2020, penangkapan itu dilakukan di Pulau Bum Bum, Semporna.

Ustaz Ebit Lew ditemani Komando VAT 69. Imej dari Youtube

Senang cerita, terdapat ramai penjenayah antarabangsa disyaki bersembunyi di kawasan Semporna dan itu akan menjadikan kedudukan Ustaz Ebit Lew dan pasukan bantuan dia berada dalam keadaan yang bahaya walaupun ditemani oleh anggota ATM.

Kawasan panas yang menjadi tumpuan penculik

Orang dikehendaki oleh ESSCOM. Imej dari Benar News

Kerja-kerja lanun moden ni bukan hanya merompak, tetapi mereka juga menculik orang. Dikatakan kawasan panas seperti Pulau Sipadan dan Pulau Mabul di Semporna selalu menjadi sasaran oleh penculik ini disebabkan pulau itu dekat dengan sempadan Filipina, apabila seseorang itu telah melepasi had sempadan perairan negara, pihak penguatkuasa akan hilang kuasanya untuk memberkas lanun-lanun itu.

Selain pulau di Semporna, tempat-tempat lain yang dikira kawasan panas untuk kes penculikkan adalah Pulau Ligitan di Tawau dan Geem Reef di Tambisan, Lahad Datu. Dikatakan juga bahawa penculik-penculik ini dibantu oleh ‘mata-mata’ yang akan menjadi orang yang memberi informasi berkenaan kehadiran penguatkuasa.

Penguatkuasa yang berkhidmat di bawah ESSCOM. Imej dari Borneo Today

Mengikut rekod tahun lepas, telah ada 40 cubaan menculik sejak 2018 yang berjaya ditumpaskan oleh penguatkuasa ESSCOM, tu belum lagi yang tiada dalam rekod. Jadi kawasan tu masih dikira bahaya dan mengarahkan Ustaz Ebit Lew untuk berundur itu merupakan langkah yang wajar, lagi-lagi dia merupakan individu yang berprofil tinggi.

Polis tidak pernah melarang bantuan dari mana-mana NGO

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali. Imej dari Berita Harian

Sejurus sahaja Ustaz Ebit Lew mengeluarkan kenyataan di media sosial, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali menyatakan bahawa ESSCOM tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk menghentikan program Ustaz Ebit Lew di kawasan itu. Beliau juga berkata, polis mengalu-alukan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menghulurkan bantuan bagi membantu golongan yang memerlukan di Sabah.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

“Kita tidak pernah mengeluarkan sebarangarahan atau tindakan untuk menghalang program yang dianjurkan oleh pihak sukarelawan seperi Ustaz Ebit Lew. Cuma kita minta beliau rujuk dengan pihak berwajib, ia adalah bagi mengenalpasti status pulau dan penduduk terbabit,” Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, petikan dari Harian Metro

Datuk Hazani juga menekankan bahawa kenyataan yang tular mengaitkan perintah berkurung yang dikuatkuasakan meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran tiada kena mengena dengan program yang dianjurkan sukarelawan dan NGO di mana-mana kawasan negeri Sabah.

Siapa yang mengarahkan pengunduran Ustaz Ebit Lew?

Ustaz Ebit Lew ketika meninggalkan Semporna. Imej dari Instagram

Persoalannya, jika pihak polis sendiri menyatakan yang mereka tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan berkenaan pengunduran Ustaz Ebit Lew, pihak mana sebenarnya yang memberi arahan sebegitu? Mengikut berita yang keluar di media, ada kemungkinan bahawa arahan itu dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Semporna.

Hal ini disebabkan, niat Ustaz Ebit Lew yang ingin membina sekolah baharu di situ tanpa mengikut protokol yang betul kerana dikatakan bahawa pihak Ustaz perlu mendapatkan kebenaran dari pihak Taman Taman Sabah (TTS). Ini kerana TTS merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk mengurus dan menyelia pulau-pulau di Sabah dan segala apa pembinaan kekal perlu mendapat kebenaran dari mereka terlebih dahulu.

Bajau Laut di Semporna. Imej dari PulauMabul.com

“Saya sebagai tuan rumah mengalu-alukan kedatangan beliau dan menghargainya namun apabila kita memasuki ‘rumah’, kita harus mengetuk ‘pintu rumah’ terlebih dahulu, namun beliau tidak datang ke Pejabat Daerah Semporna. Bagi pembinaan sekolah, perkara itu perlu mengikut protokol iaitu permohonan untuk mendirikan struktur melalui proses di bawah Ordinan Tanah Bab 68 (permohonan tanah) terlebih dahulu bagi tujuan pembinaan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di kawasan pulau,” – Pegawai Daerah Semporna Suhaimi Ejip, petikan dari Sinar Harian

Tetapi, adakah itu sahaja perkara yang membuatkan Ustaz Ebit Lew berundur? Kalau kita lihat dari sudut politik memang banyak spekulasi boleh dilakukan, tapi kalau tengok dari sudut lain pula pasti pendapat berbeza akan muncul.

Perbincangan netizen berkenaan bahayanya pulau di sekitar sempadan Semporna – Filipina

Perbincangan netizen berkenaan kes Ustaz Ebit Lew. Imej dari Twitter

Ramai netizen Sabah di Twitter memberi pandangan mereka berkenaan bahayanya jika Ustaz Ebit Lew tidak memberitahu perjalanannya secara teliti kepada pihak berkuasa, ini kerana kawasan perairan Semporna agak berbahaya seperti di Kampung Simunul yang mempunyai sejarah yang tidak berapa cantik. Bila kita ulas kembali tentang ‘mata-mata’, netizen juga mengatakan yang sebenarnya ‘mata-mata’ yang ada di situ sukar untuk dibezakan dengan penduduk kampung disebabkan penampilan mereka yang memang serupa dengan penduduk tempatan.

Abu Sayyaf yang dikaitkan dengan ISIS. Imej dari BBC News

Dikatakan juga mereka menjadi ‘mata-mata’ untuk Abu Sayyaf iaitu pengganas dari Filipina yang terkenal dengan kegiatan menculik untuk dijadikan tebusan bagi mendapatkan wang, ini menjadikan Ustaz Ebit Lew sasaran yang sangat lumayan. Walaupun ditemani tentera dan sebagainya, risiko tetap ada, hal ini kerana pernah terjadi peristiwa berdarah di Kampung Simunul, Semporna apabila 6 anggota polis mati ditembak dek kerana serangan hendap oleh orang-orang Abu Sayyaf pada 2013.

Jadi, adakah wajar sebenarnya pengunduran Ustaz Ebit Lew ini dilakukan? Walau bagaimanapun, kita semua mengharapkan yang terbaik kepada Ustaz Ebit Lew dan juga Pertubuhan Kasih Umat kerana keselamatan mereka lebih utama. Semoga ada sinar harapan kepada mereka untuk meneruskan bantuan di negeri Sabah.

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend