Kisah jenama Panasonic yang menjadi nostalgia buat rakyat Malaysia

Mesin basuh, sterika pakaian, pengisar, televisyen, dan DVD Player, semua benda ni mengingatkan kami kepada satu jenama yang sejak dari dulu lagi telah mewarnai kita — Panasonic. Ye, Panasonic, kita mungkin tak tahu yang jenama eletrik ni telah menjadi nostalgia buat kita semua. Nak tahu kenapa? Kita sering dipaparkan dengan iklan-iklan mereka yang menarik.

Contohnya, gambar di bawah ni:

Siapa hebat, mesti dia tahu iklan ni. Imej dari CARI Infonet.

Selain itu, mereka juga dianggap membantu rakyat Malaysia dalam menyediakan perkakas eletrik berkualiti tinggi. Sampaikan ia menjadi pilihan utama untuk rakyat Malaysia. Hmmm…jap-jap, sebenarnya apa pasal kitaorang nak borak pasal Panasonic ni, menarik sangat ke? Ye, sebenarnya banyak lagi perkara menarik yang mungkin korang tak tahu.

Sekarang kita lihat mereka hebat tapi sebenarnya dulu…

Panasonic hanya menjual plug di sebuah rumah kecil sahaja

Segalanya bermula di sini, macam iklan pulak! Imej dari Panasonic.

Terjadinya syarikat Panasonic ni apabila seorang pemuda jepun bernama Konosuke Matsushita berhasrat untuk mencipta sesuatu yang bernilai di mata masyarakat.

Syarikat milik Matsushita itu ditubuhkan pada 7 Mac 1918, ketika dia berpindah dari kediaman kecilnya ke rumah dua tingkat yang lebih besar. Pada masatu, nama syarikatnya ialah Matsushita Electric Housewares Manufacturing Works

Kakitangan terdiri daripada tiga orang:

  • Konosuke Matsushita (23 tahun).
  • Mumeno Matsushita (22 tahun).
  • Toshio Lue (15 tahun).
Dari kiri belakang, Konosuke Matsushita, Toshio Iue, & Mumeno Matsushita. Imej dari Panasonic.

Mereka mengubah suai tiga bilik di tingkat bawah menjadi bengkel, dan memasang hand-operated presses untuk membuat penebat. Walaupun pengeluaran produknya ialah plat penebat kipas, Matsushita yakin bahawa terdapat pasaran sangat besar untuk peralatan elektrik isi rumah yang berkualiti tinggi.

Disebabkan mahu mengejar cita-citanya Matsushita sanggup berjaga malam untuk menghasilkan dua benda nisoket dua hala dan palam pemasangan. Ye, usaha dia tu meraih keuntungan kerana dua produk tersebut mendapat pasaran tinggi dan harganya yang dijual lebih murah berbanding produk syarikat lain.

Haa…dari sinilah bermula kejayaan pertama mereka kerana syarikat Matsushita telah mengupah 20 orang pekerja. Mula-mula tu mereka menjual produk melalui satu kedai borong sahaja, tapi lama-lama penjualan merosot. Lepastu, mereka menggunakan satu langkah iaitu deal dengan pemborong-pemborong lain dan yeayy, ia berhasil!

Pada Februari 1920, Matsushita mereka bentuk logo untuk syarikatnya. Logo itu terdiri dari huruf M yang ditembusi dengan anak panah dan dikelilingi oleh berlian lebar. Bagi dia, ia melambangkan mengatasi segala rintangan yang mungkin dihadapi sepanjang menjalankan syarikat.

Inilah reka bentuk logonya. Imej dari Panasonic.

Selepas logo itu dicipta, syarikat Matsushita telah mengembangkan pemasaran syarikat dengan menghantar Toshio Lue ke Tokyo. Walaupun ekonomi merosot disebabkan Perang Dunia Pertama, tapi Toshio berjaya membuka pasaran di sana.

Oh ye, masa ni syarikat Matsushita memang dah berjaya la, lepastu dia bercadang untuk menyewa rumah jiran (kami ada cakap kat atas yang dia buka syarikat kat rumah je) tapi tidak boleh. Jadi, dia telah menyewa tapak dan membangunkan sebuah kilang yang mempunyai 50 orang pekerja.

Daripada sinilah syarikat Matsushita mula mengorak langkah dalam mencipta pelbagai produk yang memudahkan hidup penduduk dunia, mari kita lihat kronologi produk yang telah dihasilkan:

  • 1923 – Lampu Basikal berkuasa bateri berbentuk peluru.
  • 1927 – Sterika berkuasa super.
  • 1931 – Radio bertiub 3 pertama dihasilkan.
  • 1934 – 1/2-kuasa kuda dan Motor Induksi 3 fasa.
  • 1951 – Mesin basuh jenis agitator.
  • 1952 – TV Monokrom 17 inci.
  • 1953 – Peti sejuk elektrik.
  • 1954 – Radio bertiub 5 dan Radio Portable 1-jalur 4 tiub
  • 1956 – Periuk nasi automatik.
  • 1958 – Pita perakam & pendingin hawa.
  • 1960 – Televisyen bewarna.
  • 1962 – Mesin Faksimili untuk Kegunaan Pejabat (Siri SD / LD)

Sebenarnya kronologi kejayaan syarikat ni sangat panjang, kalau korang nak tahu lebih lanjut boleh baca di sini. Baiklah, menjelang 1965 mereka…

Membuka cawangan di Malaysia atas nama Matsushita Electric Company Berhad

Kedai National dibuka pada 1979. Imej dari Panasonic.

Syarikat Panasonic ni boleh dikatakan pernah terlibat dalam sejarah teknologi di Malaysia. Baiklah, syarikat ini ditubuhkan sebagai Matsushita Electric Company (Malaysia) Berhad pada tahun 1965. Lepastu, ia bertukar menjadi namanya sekarang iaitu Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad (PMMA) 40 tahun kemudian.

Ibu pejabat dan fasilitinya terletak di Shah Alam, Selangor. Pada November 1966, PMMA menjadi syarikat tersenarai awam dan meningkatkan modal menjadi 3 juta.

Panasonic ni menjadi kilang pertama yang mengeluarkan peralatan elektrik isi rumah di Malaysia. Bukan itu saja, syarikat itu merupakan pengeluar bateri utama di Malaysia.

Korang mesti tertanya-tanya kan, macam mana Panasonic memilih Malaysia? Haa… objektif Matsushita ialah memiliki syarikatnya di seluruh dunia untuk menghasilkan pelbagai produk di 1 negara.

Bagus, pilihan bijak kerana pilih Panasonic! Imej dari Imgflip.

Malaysia adalah pilihan utama kerana memiliki ukuran populasi yang tepat sebagai negara membangun serta menawarkan peluang pelaburan yang lebih baik kerana infrastruktur dan tenaga kerja.

Sebenarnya sudah menjadi matlamat Panasonic untuk memastikan bahawa jenama mempunyai rangkaian terluas sejak tahun 1960-an untuk membantu memenuhi keperluan rakyat Malaysia.

Panasonic juga yakin dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia melalui produk inovatifnya seperti periuk nasi, cerek, pengisar, penyedut hampagas, televisyen, peti sejuk, pendingin hawa dan mesin basuh.

Matsushita turut dianugerahkan gelaran ‘Tan Sri’ oleh bekas Perdana Menteri kita, Tun Hussein Onn. Hal ini kerana sumbangan yang diberikan kepada Malaysia.

Konosuke Matsushita semasa majlis penganugerahan Tan Sri. Imej dari Panasonic.

Oleh kerana Panasonic menjadi syarikat paling popular, mereka juga telah…

Melakarkan peristiwa bermakna dalam sejarah Malaysia

Kilang National Panasonic pertama di Malaysia. Imej dari Panasonic.

Banyak sebenarnya peristiwa penting yang dilakarkan oleh syarikat Panasonic ni. Rasa-rasanya korang semua mesti tak tahu yang rupanya diorang ada terlibat dalam beberapa peristiwa bersejarah Malaysia. Ayuh kita teruskan membaca!

Pada tahun 1977 dan 1989, syarikat Panasonic merupakan penaja untuk Sukan SEA. Oh mana yang tak tahu lagi, Kedua-dua Sukan SEA tersebut diadakan di Kuala Lumpur.

Menjelang tahun 2008, sempena sambutan Merdeka ke-50 Malaysia, Panasonic menyumbangkan Pusat Sukan Panasonic (PSC) di Shah Alam kepada kerajaan Malaysia. Stadium itu dibina pada tahun 1991 dengan kos RM34 juta dan objektifnya ialah menyediakan kemudahan sukan dan rekreasi untuk pekerja.

Sebenarnya, banyak lagi syarikat Jepun yang telah mewarnai dan membantu rakyat Malaysia dari segi teknologi. Agak-agaknya, apa lagi ye syarikat Jepun lain terkenal yang pernah memberi sumbangan kepada Malaysia sejak dulu lagi?