Sejarah & Politik

Fenomena restoran mamak? Ini sejarah mamak yang korang mungkin tak tahu

Restoran mamak ni boleh dikatakan satu fenomena yang agak dahsyat di negara kita ni. Mana taknya, makanan semuanya sedap-sedap, harga pun berbaloi. Kalau nak lepak tengok perlawanan bola sepak dengan kawan-kawan sampai 3 pagi pun boleh.

Tengok bola ramai-ramai, baru best! Imej dari Iluminasi.

Dalam negara kita ni memang banyak restoran mamak, lagi-lagi di kawasan bandar. Contohnya di Seksyen 7, Shah Alam, memang bersepah restoran mamak di situ dan confirm dipenuhi pelajar-pelajar universiti melepak dengan kawan-kawan.

Tapi korang pernah terfikir tak dari mana diorang semua ni datang? Tahu-tahu dah berzaman menjalankan bisnes di negara kita ni. Dahlah sedap pula tu!

Golongan mamak tak dibawa oleh penjajah British

Macam yang kita tahu, mamak ni ialah orang India beragama Islam dan orang-orang India dibawa oleh penjajah British ke Tanah Melayu suatu masa dulu melalui sistem Kangani. Tapi, berbeza pula untuk golongan India Muslim.

Golongan India Muslim tidak datang ke Tanah Melayu melalui sistem Kangani tapi mereka datang sebagai pedagang. Mereka menjalankan perniagaan dalam pelbagai sektor macam makanan, money changer, kedai runcit dan lain-lain. Macam yang kita nampak sekarang, mereka masih lagi menjalankan bisnes yang sama, contohnya restoran mamak.

Mamak maju, servis laju. Imej dari Iluminasi.

Dan bila sebut pasal restoran mamak, mesti kita terfikir restoran yang dimiliki oleh orang India beragama Islam yang buka 24 jam. Selain tu, senarai menu yang mengiurkan macam roti canai, naan cheese, teh tarik dan macam-macam lagilah. Fuh!

Tapi kita kena tahu yang tak semua pemilik restoran mamak ni India Muslim sebab boleh jadi juga dimiliki oleh seseorang yang bukan beragama Islam. Jadi, orang Islam kena berhati-hati memilih restoran mamak dan pastikan pilih restoran yang diiktirafkan halal oleh JAKIM.

Kita asyik panggil golongan India Muslim di Malaysia ni dengan gelaran mamak, tapi dari mana datangnya panggilan mamak ni? Ha… kalau korang nak tahu, mamak ni dikatakan berasal dari perkataan Tamil, maama yang bermaksud pakcik.

so, restoran mamak = restoran pakcik? Imej dari gihpy.

Dan untuk pengetahuan korang juga, ‘pakcik-pakcik’ ni…

Dah datang ke Tanah Melayu sebelum penjajahan British lagi

Macam kami bagitahu tadi, komuniti India Muslim ni tak datang ke sini dibawa oleh penjajah British. Tapi yang menariknya, mereka ni dah datang ke Tanah Melayu dulu sebelum penjajahan British lagi iaitu pada kurun ke-18.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Sebelum tahun 1786, mereka datang ke Tanah Melayu dan membuka perniagaan di Kuala Kedah. Selain Kuala Kedah, kawasan Georgetown juga menjadi tumpuan untuk mereka ni menjalankan perniagaan.

Macam yang kita tahu, kaum India di negara India ada pelbagai kasta yang membezakan darjat masing-masing. Tapi, golongan India Muslim yang datang ke Tanah Melayu tak ada kasta walaupun mereka dari pelbagai etnik.

Buruh dari India yang dibawa melalui sistem Kangani. Imej dari Iluminasi.

Walaupun begitu, komuniti India Muslim ni boleh dikategorikan kepada dua iaitu Marikar dan Rawther.

Marikar ni dikatakan berasal dari bahasa Tamil, Marikalayer yang bermaksud perahu kayu. Ini disebabkan, komuniti Marikar ni berasal dari kawasan pantai Tamilnadu dan aktiviti utama mereka ialah perikanan.

Rawther pula dikatakan berasal dari perkataan Mauther yang bermaksud penjaga gajah dan kuda milik tentera diraja. Selain tu, mereka juga ada perbezaan yang lain iaitu perbezaan dari segi mazhab.

Sama seperti umat Islam di Malaysia, komuniti Marikar mengamalkan mazhab Syafi’e manakala komuniti Rawther pula mengamalkan mazhab Hanafi.

Masyarakat India Muslim datang sebelum penjajah British lagi. Imej dari Penang Tourism.

Jadi, mereka ni memang dah menganut Islam sebelum sampai ke Tanah Melayu ke?

India dah terima Islam sebelum kita lagi

Antara soalan yang popular ditanyakan (tapi tak patut ditanya) kepada golongan mamak ni ialah, “bila masuk Islam?”

Cuba bayangkan kalau tiba-tiba ada seseorang ni bertanyakan soalan yang sama kepada orang Melayu, pelik kan? Samalah juga dengan mamak ni. Soalan ni sensitif tau.

Mungkin sebab di Malaysia ni kita dah terlalu biasa yang apabila golongan bukan Melayu menganut agama Islam, mereka adalah mualaf.

Baik diam je dari tanya soalan bukan-bukan. Imej dari giphy.

Okay, kita kena faham. Negara India ni besar dan ada banyak golongan yang menganut pelbagai agama. Antaranya, agama Hindu, Islam dan Kristian. Jadi, yang mana-mana warga India yang menganut agama Islam dipanggil India Muslim.

Selain tu, kebanyakan mereka juga mungkin memang penganut agama Islam sejak lahir lagi dan mungkin juga sebelum kedatangan warga India ke Tanah Melayu lagi.

Macam yang kita pernah belajar masa sekolah dulu, agama Islam telah dibawa ke Tanah Melayu oleh pedagang-pedagang dari Arab, China dan India. Jadi, ini membuktikan yang India telah menerima kedatangan Islam lagi awal dari negara kita.

Masyarakat India Muslim datang untuk berniaga. Imej dari Penang Tourism.

Kedatangan mamak menyatukan rakyat Malaysia

Kedatangan golongan India Muslim ke negara kita ni bukan je memberi kesan kepada wujudnya masyarakat majmuk seperti yang ada sekarang ni. Malah, kedatangan mereka juga menyumbang kepada penyebaran agama Islam.

Sekarang pula, kita dah sama-sama menjadi rakyat Malaysia yang hidup bersama, malah ada juga yang berjiran. Jadi, kita kenalah menjaga silaturrahim sesama kita demi menjaga keharmonian Malaysia dan demi pengekalan kedai mamak yang sedap di negara kita!

Kalau dah ajak, mesti on je!

Bukankah kedai mamak merupakan tempat lepak paling best di negara kita ni? Semua orang dari pelbagai kaum duduk semeja sampai 4 pagi. Servis pun tiptop! Sama-sama kita doakan supaya Covid-19 berakhir supaya kita boleh merasa perpaduan rakyat di kedai mamak.

P/S: Artikel ni tak disponsor oleh mana-mana kedai mamak pun, tapi kalau mana-mana owner kedai mamak nak belanja SOSCILI makan sekali sekala – kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan!

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend