Krisis Politik 1987: Apa kaitan antara Pemilihan UMNO dan Ops Lalang?

*Artikel ini pernah diterbitkan pada 24 Februari 2021*

Bila kita nak cerita pasal politik zaman sekarang ni, macam-macam yang terjadi sebab krisis politik dalam negara ni pun ibarat tak ada kesudahan. Masa pandemik pun ada yang minta pilihanraya dilakukan, tu belum masuk cerita sorang pemimpin pembangkang tu kata dia ada majoriti dalam parlimen, tapi sampai sekarang tak ada apa-apa jadi.

Tetapi, kali ni kami nak cerita tentang krisis politik yang pernah melanda arena politik negara pada tahun 80an dahulu. Krisis ini juga disusuli dengan insiden yang sangat kontroversi hingga digelar sebagai ulangan ‘13 Mei‘. Kalau korang nak tahu dengan lebih mendalam pasal ni, sila teruskan membaca.

Krisis dalam UMNO selepas persaraan Tun Hussein Onn

Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir. Imej dari KiniTV

Pada 16 Julai 1981, Tun Hussein Onn yang merupakan Perdana Menteri (PM) ketiga pada masa itu telah mengumumkan yang beliau meletakkan jawatan disebabkan isu kesihatan yang agak serius. Sekaligus, perkara itu membuatkan beliau bersara dari kancah politik dengan melepaskan dua jawatan tertinggi iaitu Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.

Dalam pada itu, Tun Dr. Mahathir telah dilantik untuk menjadi Perdana Menteri yang keempat ketika itu. Tetapi, beliau sebagai pemimpin baru negara tak memilih Timbalan Perdana Menteri (TPM) secara terus seperti apa yang dilakukan PM sebelum-sebelum ini. Jadi, pada masa itu beliau membuka undian kepada mereka yang ingin menjadi TPM, calon-calonnya pula adalah Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh.

Tun Dr. Mahathir semasa muda. Imej dari Iluminasi

Dipendekkan cerita, Tun Musa Hitam telah memenangi undian itu sekaligus menjadi TPM kepada Tun Dr. Mahathir dan perkara itu dikatakan tak digemari oleh Tengku Razaleigh. Perkara ini berterusan sehingga 1986 di mana Tun Musa Hitam mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai TPM kerana dikatakan tidak sekepala dengan Tun Dr. Mahathir ketika itu. Krisis ini berada di kemuncak pada 1987 apabila Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh berpakat untuk menentang Tun Dr. Mahathir bagi jawatan tertinggi dalam UMNO.

Kiranya, terdapat individu-individu yang banyak berusaha untuk mendapatkan jawatan di pucuk pimpinan tertinggi dalam UMNO ni sehinggakan bergaduh sesama sendiri. Dari kawan pada suatu masa dulu tiba-tiba menjadi lawan, itu merupakan perkara biasa bagi mereka yang berada dalam arena politik

Mahathir berhadapan dengan Tengku Razaleigh bagi jawatan Presiden UMNO

Ku Li dan Tun Mahathir. Imej dari Mata Mata Politik

Pada 1987, terdapat pemilihan ahli majlis tertinggi UMNO yang agak kontroversi sebab melibatkan dua pihak yang sama-sama ingin menjatuhkan sesama sendiri, ia adalah team Tun Dr. Mahathir (team A) dan team Tengku Razaleigh (team B). Pada masa itu Tun Dr. Mahathir telah dibantu oleh nafas baharu dalam UMNO iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi jurukempen beliau dan Datuk Seri Najib Razak yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia (ketika itu), walaupun sebelum itu dia (Najib) menyokong Tengku Razaleigh.

Disebabkan sokongan-sokongan itu, Tun Dr. Mahathir seakan-akan memegang keputusan pemilihan tersebut kerana sokongan terhadap beliau dilihat sangat kuat. Sekaligus, Tun Dr, Mahathir telah berjaya mengalahkan Tengku Razaleigh dengan perbezaan 43 undi sahaja. Dalam masa yang sama, Tun Ghaffar Baba yang bertanding untuk Timbalan Presiden UMNO telah mengalahkan Tun Musa Hitam dan itu menjadikan kekalahan dalam Team B sebagai total loss.

Pasca pemilihan tersebut, hasil daripada siasatan, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman sivil terhadap UMNO apabila terdapat undian tidak sah ketika pemilihan tertinggi parti itu. Ini mengakibatkan UMNO diharamkan pada 12 Ferbruari 1988 oleh Mahkamah Tinggi disebabkan penglibatan pengundi-pengundi yang tidak sah. Ia sekaligus menjadikan Tun Dr. Mahathir menjadi satu-satunya Perdana Menteri dalam sejarah Malaysia yang tidak mempunyai parti politik ketika berkhidmat.

Betul drama dorang punya pemilihan parti ni, ada yang sampai buat pusingan U bagai. Tapi, yang menariknya lepas UMNO diharamkan tu, Tun Dr. Mahathir telah menubuhkan kembali UMNO pada tahun 1988 yang pada ketika itu sinonim dipanggil UMNO Baru dan Tengku Razaleigh pula telah menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang bekerjasama dengan parti-parti pembangkang ketika itu untuk melawan Tun Dr. Mahathiir. Tapi benda tu tak lama pun, pada 1995, Tengku Razaleigh telah mengambil keputusan untuk join UMNO balik selepas pembubaran S46 selepas mempunyai krisis dengan PAS pula.

Parti Semangat 46 yang diasaskan oleh Ku Li. Imej dari The Patriots

Pergi situ ada krisis, pergi sana ada krisis. Dulu bukan main melawan Tun M, last-last masuk balik UMNO yang masih dipimpin oleh orang yang beliau pernah tentang. Mungkin masa tu Tengku Razaleigh ada baca tentang satu pepatah kot “Jika kamu tidak boleh kalahkan mereka, sertai mereka“.

Ops Lalang yang katanya digunakan sebagai ‘political mileage’ oleh Tun M

Muka depan surat khabar selepas Ops Lalang. Imej dari CILISOS

Pada 27 Oktober 1987, ada satu insiden yang agak menyedihkan telah terjadi iaitu Ops Lalang. Ia merupakan operasi yang diarahkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir sendiri untuk mengawal keadaan yang agak kacau bilau. Jadi, apa kena mengena Ops Lalang ni dengan krisis politik yang berlaku pada tahun yang sama tu?

Nak dijadikan cerita, Ops Lalang merupakan operasi yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menangkap mereka yang dikatakan sebagai ancaman kepada ketenteraman negara. Jumlah yang telah ditangkap dalam operasi ni adalah seramai 106 orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan antara yang ditangkap tu pun ada yang merupakan nama besar dalam arena politik negara ketika itu. Untuk yang nak tahu dengan lebih lanjut pasal Ops Lalang tu korang boleh baca artikel ni ‘What Happened Today In 1987 That Scarred The Malaysian Media‘.

Laporan tentang Ops Lalang. Imej dari The Star

Ada netizen berpendapat bahawa yang menjadi punca ketidaktenteraman pada masa tu adalah apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah Menteri Pendidikan meluluskan kementeriannya untuk meletakkan guru bukan kaum Cina menjadi guru dan pengetua di Sekolah Jenis Kaum Cina (SJKC). Ini sekaligus membangkitkan ketidakpuasan hati orang Cina hingga membuatkan mereka protes. Perkara ini juga melibatkan parti politik kaum Cina seperti Malaysian Chinese Asscociaton (MCA) dan Democratic Action Party (DAP).

Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang lantik, dikatakan telah mengetuai demonstrasi yang melibatkan hampir 15 ribu orang melayu di Kampung Batu sebagai reaksi kepada perhimpunan yang dihadiri 2 ribu masyarakat Cina di HQ United Chinese School Committees’ Association of Malaysia (Dong Zhong).

Demontrasi orang Melayu. Imej dari MalaysiaKini

“Operasi Lalang yang menyaksikan lebih seratus ahli politik dan aktivis ditahan di bawah Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA) pada 1987 tercetus kerana ketegangan antara Pemuda UMNO dan Pemuda MCA. Itulah sebab sebenar penahanan,” Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang, petikan dari MalaysiaKini

Bila difikirkan balik, kenapa segala benda ni terjadi pada tahun yang sama semasa pemilihan tertinggi UMNO tu? Adakah ia kebetulan atau sudah dirancang? Kalau diikutkan teks Tun M ketika itu, Ops Lalang dilakukan bagi mengawal ketenteraman dan kestabilan negara, yang paling popular adalah apabila beliau berkata ini semua dilakukan bagi membendung ketegangan antara kaum. Atau, adakah ia dilakukan untuk menunjukkan dia ‘hero’ dan digunakan sebagai political mileage sahaja?

Krisis politik dan peristiwa ketegangan kaum yang diharap tidak akan berulang

Krisis politik Malaysia. Imej dari BERNAMA

Bila kita nak bercerita tentang Malaysia, kita kaya dengan budaya yang berbeza-beza disebabkan terdapat pelbagai jenis kaum yang hidup di Malaysia setelah sekian lama. Keharmonian antara kaum harus dijaga, jangan disebabkan keputusan yang dilakukan oleh sesuatu pihak (lagi-lagi orang politik) itu menjadikan kita musuh.

Kita semua harus belajar daripada kesilapan lampau seperti apa yang terjadi pada 13 Mei dan juga pada tahun 1987 itu, perkara-perkara yang terjadi ketika itu tidak patut berulang dan harus diambil sebagai iktibar. Ini juga merupakan satu mesej kepada penggiat politik di luar sana untuk berpolitik secara beretika, kami tahu anda perlukan undi dari rakyat tapi ada cara yang lebih baik daripada menggunakan sentimental kaum.