Rencah Dunia

Nak tangani wabak: Agensi risikan Israel, Mossad mengaku curi bekalan perubatan

Setakat ketika artikel ni ditulis, dunia masih lagi bergelut dengan penularan wabak Covid-19. Amerika Syarikat (AS) sendiri dah mencatatkan lebih 40 ribu kematian akibat virus ni. Berbanding dengan AS, nampaknya sekutu kuat negara tu – Israel sedikit sebanyak dapat mengawal penularan virus apabila kematian yang dicatatkan cuma sekitar 172 korban.

Tapi apa yang menarik perhatian dunia adalah, Israel rupa-rupanya menggunakan perkhidmatan agensi risikannya, HaMossad leModiʿin uleTafkidim Meyuḥadim atau Mossad – untuk menangani wabak ni. Hal ni timbulkan persoalan jugalah, kenapa agensi risikan yang terlibat?

Ada empat sebab kenapa Netanyahu pilih Mossad

Perisik Mossad terkenal, Eli Cohen yang sekarang dah ada sirinya di Netflix. Imej dari The Telegraph.

Seperti mana yang kita semua tahu, negara haram Israel terbentuk atas sokongan kuasa dunia pada tahun 1948 di atas bumi Palestin. Setahun selepas itu, Mossad dah ditubuhkan sebagai sebuah agensi risikan yang ditugaskan bagi menjaga keselamatan Israel. Selaras peredaran masa, Mossad kini dikatakan sebagai agensi risikan kedua terbesar dalam blok Barat selepas CIA. Dengan bajet sekitar US$2.73 bilion setahun, Mossad dipercayai ada sekitar 7,000 kakitangan secara langsung.

Kalau selama ni kita ingat yang Mossad terlibat dalam misi risikan dan pertahanan saja, nampaknya peranan tu berubah sikit bila Israel berdepan dengan wabak Covid-19. Sebabnya, walaupun Israel terkenal sebagai sebuah negara yang mempunyai teknologi perubatan canggih dan lengkap di dunia, keadaan tu berubah bila Covid-19 menular.

Ini kerana, rupa-rupanya Israel mengalami kekurangan banyak bekalan perubatan seperti alat bantuan pernafasan, pakaian perlindungan diri (PPE), topeng muka, topeng N95, alat ujian Covid-19 dan sebagainya. Israel bertambah cemas, bila Menteri Kesihatan diorang sendiri, Yaakov Litzman positif Covid-19. Dalam masa sama, jumlah pesakit wabak di Israel pula dah mencecah lebih 10 ribu orang.

Menteri Kesihatan Israel, Yaakov Litzman. Imej dari Stars and Stripes.

Jadinya, nak atau tak, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanhayu kena kawal keadaan ni, lebih-lebih lagi bila kedudukan politiknya yang semakin goyah. Akhbar Israel, Haaretz ada senaraikan empat sebab kenapa Netanhayu pilih Mossad buat tugas khas dapatkan bekalan perubatan dan bukannya kementerian berkaitan:

  1. Keadaan yang sangat membimbangkan kerajaan dan nak elakkan sesuatu yang lebih buruk dari berlaku.
  2. Netanyahu menjauhkan diri daripada pegawai-pegawai lain dan lebih suka bekerja dengan sekumpulan kecil yang dia percayai, macam Pengarah Mossad, Yossi Cohen.
  3. Netanyahu tak nak Kementerian Pertahanan uruskan perkara ni sebab ia diketuai oleh pesaingnya, Naftali Bennett.
  4. Ketua Pengarah Kementerian Pertahanan, Udi Adam, dianggap sebagai seorang yang tak berkarismatik dan tak ada jaminan dia boleh uruskan misi tu.

Bos hensem hari ni, kata Cohen kepada Netanyahu. Imej dari The Times of Israel.

Sebenarnya, dunia tak kisah sangat bila Israel guna Mossad untuk nak dapatkan bekalan alatan perubatan ni. Tapi, apa yang buatkan ramai pihak tak puas hati adalah…

Perisik Mossad mengaku ada CURI bekalan perubatan

Sama perangai. Imej dari gifntext.com

Peranan Mossad dalam mendapatkan alatan perubatan untuk Israel bukanlah satu rahsia lagi, apabila hal itu diakui sendiri oleh kerajaan. Namun begitu, ia dah mencetuskan kontroversi apabila perisik Mossad sendiri mengaku yang agensi tu ada curi topeng muka dan bekalan alatan perubatan lain untuk dibawa ke Israel.

Hal tu didedahkan oleh seorang perisik Mossad yang hanya dikenali sebagai ‘H’ kepada sebuah media Israel, Channel 12. Pada mulanya, dia tak nak dedahkan cara yang agensi guna untuk dapatkan bekalan perubatan. Tapi, bila ditanya sama ada cara itu termasuk juga dengan mencuri, perisik tu mengakuinya.

Kami mencuri, tetapi hanya sedikit.” – Dipetik dari laporan The New Arab

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Bagaimanapun, kebanyakan media Israel melaporkan yang bekalan perubatan tu dibeli dari luar negara – walaupun tak mendedahkan dari negara mana. Tapi, Al-Jazeera sebelum ni ada kata yang kemungkinan bekalan tu diperoleh dari negara-negara jiran Arab – yang Israel sendiri tak ada hubungan diplomatik. Dan sebab itulah, Mossad yang ditugaskan.

“Terdapat sejumlah laporan bahawa Cohen sering bertemu dengan para pemerintah dan ketua perisik dari Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Arab Saudi, Jordan dan Qatar.” – Dipetik dari The New York Times.

Dalam masa sama, Menteri Pertahanan Israel, Naftali Bennett gagal menafikan perkara tu apabila ditanya oleh media.

“Saya tidak akan jawab soalan ini (tentang Mossad curi bekalan perubatan). Kita semua bertindak dengan cara yang agresif dan pintar.” – Katanya, dipetik dari Middle East Eye.

Gambar memperlihatkan seorang wanita menggendong seorang lelaki kurang upaya di Kem Pelarian Sabra, Lubnan yang juga berdepan ancaman wabak. Imej dari Bangkok Post.

Tindakan memberikan Mossad tanggungjawab tu nampaknya dah membuahkan hasil kepada Israel, apabila negara tu dilaporkan dapat 10 juta topeng muka dan 25 ribu topeng bedah N95.

“Cohen (Pengarah Mossad) berjaya membawa 100,000 kit ujian ke Israel… dengan anggaran empat juta lagi dalam perjalanan.” – Dipetik dari The Jerusalem Post.

Akan tetapi, dilaporkan juga yang pihak berkuasa Israel ada merampas bantuan makanan dan perubatan ke Palestin yang turut berdepan dengan ancaman Covid-19.

Sekutu Israel – AS pun dituduh guna taktik kotor

Perancis dan Jerman sebelum ni tuduh AS main kotor nak dapatkan topeng muka. Imej dari BBC.

Sebenarnya, sekarang ni banyak negara dunia yang bergelut untuk mendapatkan bekalan perubatan, dan hal tu kadang-kadang sampai menimbulkan keadaan saling tuduh menuduh antara negara. Contohnya apabila Perancis dan Jerman menuduh AS menggunakan taktik kotor untuk mendapatkan topeng muka.

Hal tu jadi, selepas seorang pemimpin Perancis menuduh AS merampas topeng muka yang sepatutnya sampai ke negara tu. Perkara tu jadi apabila ada seorang rakyat AS yang tak dikenali dah membeli dengan nilai lebih tinggi topeng-topeng muka yang sepatutnya dihantar ke Perancis.

“Kami bekerja sepanjang masa untuk memastikan topeng itu tiba. (Tapi) orang Amerika membayar tiga atau empat kali jumlah yang kami bayar, dan secara tunai.” – Jean Rottner, ahli politik Perancis. Dipetik dari France 24.

Manakala, Menteri Dalam Negeri Berlin, Andreas Geisel pun menyalahkan AS apabila menuduh negara tu merampas 200,000 topeng muka yang dipesan Jerman.

“Kami melihat ini sebagai tindakan lanun moden. Anda tidak boleh bertindak sedemikian di antara rakan transatlantik.” – Andreas Geisel, katanya dipetik dari Bloomberg.

Namun begitu, AS menafikan segala tuduhan dan kata ia palsu sama sekali. Tapi apa yang pasti, kita sendiri boleh nampak betapa seriusnya ancaman Covid-19 ni, bukan sahaja kepada kesihatan dan ekonomi – tapi juga terhadap hubungan antara negara serta ketelusan.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend