Peranan Rothschild dan Deklarasi Balfour dalam penubuhan Israel 103 tahun lalu

*Artikel ini asalnya diterbitkan pada 12 November 2017. 

Usaha nak mencipta sebuah negara untuk bangsa Yahudi, sebenarnya dah bermula sejak lebih 100 tahun dulu. Semangat tu semakin membara bila keluarnya Deklarasi Balfour pada 2 November 1917 yang menyokong penubuhan negara Israel.

Deklarasi tu sebenarnya surat yang ditulis oleh Arthor James Balfour (Setiausaha Luar Britain) kepada Lord Walter Rothschild (orang kuat gerakan Zionis). Bila sebut pasal Rothschild ni, mesti di kepala kita fikir pasal – Freemason, Iluminati, Yahudi dan macam-macam lagi teori konspirasi lain.

Balfour & surat keramatnya. Imej dari ucla.edu

Tapi buat masa ni, SOSCILI tak nak cerita pasal Freemason – Iluminati atau Rothschild. Sebaliknya, tentang macam mana negara Israel boleh muncul dalam peta dunia.

Kalahnya Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama (WW1)

Sejarah dunia telah menyaksikan pelbagai siri peperangan, sama ada di antara negara, wilayah, mahupun perang saudara. Tapi kalau nak kata peperangan yang sangat besar – dunia hanya menghadapi dua kali iaitu Perang Dunia Pertama (WWI) dan Perang Dunia Ke-2 (WWII). WWI-lah yang menjadi titik permulaan jatuhnya empayar Islam Uthmaniyah.

WWI (1914-1918) tercetus selepas berlakunya pembunuhan Archduke Franz Ferdinand (Putera Raja Hungary) dan isterinya di tangan nasionalis Serbia. Diringkaskan cerita, maka berlakulah peperangan di antara kuasa besar masa tu – British – Perancis – Rusia – Itali (Kuasa Bersekutu) dengan Jerman – Austria-Hungary – Uthmaniyah (Kuasa Pusat).

Dari kiri: Wilhelm II (Raja Jerman), Mehmed V (Sultan Uthmaniyah) & Franz Joseph I (Raja Austria). Imej dari bpb.de

Pada mulanya, Uthmaniah tak nak masuk dalam WWI dan ambil sikap berkecuali. Walaupun begitu, Britain dah nampak yang ada kemungkinan Uthmaniyah akan masuk juga WWI dengan berpihak kepada Jerman. Sebabnya, sebelum tu dah ada perbincangan dan perjanjian antara Uthmaniyah dan Jerman.

“Dawlah Uthmaniyah secara rasminya terlibat dalam perang pada 27 Oktober 1914, apabila Wilhelm Souchon (Laksamana Jerman) membawa angkatan laut dawlah Uthmaniyah ke Laut Hitam dengan hasrat untuk mencetuskan peperangan.

____

Pada 28 Oktober, Rusia mengganggu angkatan laut dawlah Uthmaniyah menjalani latihan ketenteraan dan ini membuka ruang kepada tercetusnya peperangan.” – Dipetik dari jurnal tulisan Ermy Azziaty Rozali & Azmul Fahimi Kamaruzaman.

Sheikul Islam Uthmaniyah menyeru rakyat menentang Kuasa Bersekutu. Imej dari bpb.de

Makanya, berlakulah peperangan antara Kuasa Bersekutu dan Kuasa Pusat selama 4 tahun. Malangnya, peperangan tu menyaksikan Uthmaniyah dan sekutunya kalah. Nak atau tidak, ia sekaligus dah meletakkan wilayah-wilayah yang sebelum ini di bawah kekuasaan Uthmaniyah dalam bahaya!

“Menurut beberapa perjanjian sulit yang dibuat oleh Kuasa Bersekutu semasa perang, seluruh wilayah dawlah Uthmaniyah termasuk wilayah yang didiami oleh bangsa Arab akan dibahagi-bahagikan antara mereka…

____

British dan Perancis membahagikan Timur-Tengah kepada zon-zon yang akan diletakkan di bawah pengaruh mereka. Menerusi perjanjian ini, Perancis mempunyai autoriti di Utara Iraq, Syria dan Lubnan manakala British di Iraq, Transjordan, Haifa dan Acre.” – Dipetik dari jurnal tulisan Ermy Azziaty Rozali & Azmul Fahimi Kamaruzaman.

Berkongsi rezeki, lepas menang perang. Imej asal dari historyextra.com

Hal ini termasuklah Palestin yang sebelum itu menjadi wilayah Uthmaniyah. Jadinya, pihak Yahudi Zionis nampak yang usaha diorang semakin dekat dengan kejayaan.

Pengasas Zionis cuba merasuah Sultan Uthmaniyah

Gerakan nak menubuhkan negara Israel ni sebenarnya dah ada sejak beberapa tahun sebelum Deklarasi Balfour lagi. Sebabnya, perjuangan ni dah pun dipelopori oleh seorang wartawan Austria, Theodor Herzl. Herzl ni boleh dikatakan sebagai pengasas Zionisme.

Dia mula cakap pasal nak tubuhkan negara Yahudi ni pada tahun 1896 – dalam satu buku kecil yang dia tulis. Dalam buku tu dia ada cakap pasal – bahasa, bendera, bayaran gaji pekerja dan beberapa perkara lagi yang akan dibuat kalau Yahudi berjaya dapat negara sendiri.  Herzl kemudiannya dilantik sebagai Presiden Pertubuhan Zionis Dunia.

Bapa Zionisme – Theodor Herzl. Imej dari Jewish Journal.

Apa yang menarik, Herzl ada berjumpa dengan Sultan Abdul Hamid II untuk minta kebenaran supaya negara Yahudi ditubuhkan kat Palestin.

“Theodor Herzl…memberanikan diri menemui Sultan Abdul Hamid II sambil meminta izin mendirikan penempatan Yahudi di Palestin. Permohonan itu dijawab sultan: ‘sesungguhnya empayar Uthmani adalah milik rakyatnya. Mereka tidak akan menyetujui permintaan itu. Sebab itu simpanlah kekayaan kalian itu dalam poket kalian sendiri’.” – Dipetik dari jurnal tulisan Mohd Roslan Mohd Nor & Nor Dalila Zakaria.

Selain tu, Herzl juga cuba bagi tawaran kewangan (senang kata rasuah) kepada Sultan Abdul Hamid:

  1. £150 juta (pound sterling British) khusus untuk Sultan.
  2. Membayar semua hutang pemerintah Uthmaniyah yang mencapai £33juta (pound sterling British).
  3. Membuat kapal induk untuk menjaga pemerintah, dengan nilai 120 juta Frank.
  4. Bagi pinjaman £5 juta (pound sterling British) tanpa bunga.
  5. Buat Universiti Uthmaniyah di Palestin.

Tapi nampaknya, semua tawaran ni ditolak oleh Sultan.

Aku menasihatkannya supaya tidak lagi mengemukakan permintaan ini selama-lamanya. Aku tidak boleh menjual walau seinci pun tanah negara ini kerana tanah tersebut bukan kepunyaanku tetapi hak rakyatku.” – Sultan Abdul Hamid II.

Sultan Abdul Hamid II bertakhta dari 1876 – 1909. Imej asal dari Wikipedia.

Jadinya, selepas tu gerakan ni mula aktif melobi (dan raih simpati) British sebagai kuasa besar ketika itu. Antara orang yang aktif melobi adalah Chaim Weizmann, pemimpin Zionis di Britain yang selepas itu menjadi presiden pertama Israel. Akhirnya British pun setuju dan keluarlah Deklarasi Balfour. Deklarasi ni secara terang menyatakan pihak British menyokong usaha pembentukan negara Yahudi.

“Kerajaan berpandangan menyokong pembentukan Palestine sebuah negeri bagi penduduk Yahudi… Kerajaan British sekarang berjanji akan mempertahankan hak-hak sivil dan keagamaan masyarakat bukan Yahudi yang sedia ada di Palestin.” – Petikan dari Deklarasi Balfour.

Imej dari Wikipedia.

Bercakap pasal Deklarasi Balfour, kalau kita tengok balik tarikh dalam deklarasi tu, ia pada tarikh 2 November 1917. Sedangkan, WWI habis pada tahun 1918. Ini maknanya, rancangan awal dah dibuat dan pihak British tahu yang diorang akan menang. Pihak British juga sejak dari awal lagi dah menyokong dan bersetuju negara Yahudi (Israel) ditubuhkan di Palestin.

“Sebelum deklarasi tersebut diisytiharkan pada 18 Julai 1917, Lord Rothchild, pemimpin Yahudi di London menulis surat kepada Arthur James Balfour, Setiausaha Luar British bagi menegaskan hasrat Zionis menubuhkan ‘national home’ untuk bangsa Yahudi. Pada hari yang sama juga,

____

…draf rasmi Zionis telah pun tersebar dalam kabinet British, yang antara lain membincangkan mengenai ‘pengiktirafan Palestin sebagai ‘national home’ kepada bangsa Yahudi dan juga berhubung dengan organisasi Zionis.” – Dipetik dari jurnal tulisan Ermy Azziaty Rozali & Azmul Fahimi Kamaruzaman. 

Chaim Weizmann, Presiden Israel pertama. Imej asal dari balfour100.com

Masalah datang lagi bila kekalahan Uthmaniyah dalam WWI, telah membuatkan empayar tu semakin lemah. Apatah lagi banyak wilayah-wilayah di bawah kekuasaannya mula berpaling tadah. Palestin juga selepas itu jatuh ke tangan British. Bila dah jadi macam tu, makin senanglah kerja Zionis. Pada 1918, Pertubuhan Zionis dah datang melawat Palestin untuk tengok-tengok dan buat persiapan.

Terbinanya negara Israel di bumi Palestin

Empayar Uthmaniyah akhirnya jatuh pada 1922, setelah lebih 600 tahun bertahan. Ia juga menyaksikan Turki mengubah arah ke sebuah negara sekular. Di Palestin pula, dah terjadi penghijrahan besar-besaran bangsa Yahudi. Usaha nak jadikan Palestin sebagai negara Yahudi semakin kuat, sehinggakan Chaim Weizmann pernah kata:

“…negara tersebut dengan harapan melalui kedatangan bangsa Yahudi, Palestin akhirnya bersifat Yahudi sebagaimana England bersifat Inggeris.” – Kara Presiden pertama Israel itu. Dipetik dari jurnal tulisan Mohd Roslan Mohd Nor & Nor Dalila Zakaria.

Weizmann (kiri) berjumpa dengan Emir Faisal yang jadi wakil Hijaz (Arab Saudi sekarang). Imej dari wikimedia.org

Walaupun Weizmann ada kata yang diorang akan ‘memelihara kepentingan rakyat bukan Yahudi (Arab)’  tapi nampaknya itu semua cakap kosong. Sebabnya, kenyataan dari Dr. Eder (Pengerusi Pesuruhjaya Zionis di Palestin) pula lain bunyinya.

“Hanya satu negara yang boleh wujud di Palestin iaitu negara Yahudi, dan tidak ada kesamarataan dalam perhubungan Yahudi dan Arab, tetapi dominasi Yahudi sebaik sahaja bilangan mereka ditingkatkan.” – Dr. David Montagu Eder, Pengerusi Pesuruhjaya Zionis di Palestin. 

Ini ditambah dengan kata-kata Perdana Menteri Israel ke-4:

“Tidak wujud apa yang dikatakan sebagai rakyat Palestin. Ia bukan seakan-akan wujudnya rakyat Palestin dan kemudian kami datang dan mengambil alih negara mereka. Mereka tidak wujud.” – Golda Meir, bekas Perdana Menteri Israel.

Golda Meir. Imej dari gohighbrow.com

Akhirnya pada 1948, pihak Zionis berjaya mengumumkan kelahiran sebuah negara baru bernama Israel dengan restu yang besar Britain dan Amerika Syarikat. Maka ketika itu berlakulah pengusiran rakyat Palestin dari tanah air mereka sendiri. Ketika itu juga bermulanya konflik Palestin-Israel dan Arab-Israel yang dapat kita tengok sampai hari ini.

Walaupun negara Israel dah dibina, tapi masih ada golongan Yahudi yang tak terima negara ni

Orang Yahudi melalui satu perjalanan sejarah yang sangat panjang. Sehinggakan di dalam Quran sendiri kita diceritakan dengan banyak kisah-kisah berkaitan orang Yahudi. Bangsa Yahudi kemudiannya menjadi bangsa perantau di banyak negara-negara Eropah.

“Sememangnya mereka ini telah menjadi orang asing di Eropah setelah mereka dinafikan hak di Palestin. Ini disebabkan mereka ditindas dan dihalau keluar oleh pemerintah Rom Byzantine. Mereka dilarang dari menduduki mahupun memasuki kawasan Aelia atau lebih masyhur di kalangan masyarakat Islam sebagai Bayt al-Maqdis bermula tahun 135M.” – Dipetik dari jurnal tulisan Mohd Roslan Mohd Nor & Nor Dalila Zakaria.

Masyarakat Yahudi di Poland sebelum Perang Dunia ke-2. Imej dari npr.org

Masa diorang di Eropah, diorang masih lagi ditindas atau menjadi masyarakat kelas bawahan. Apa yang tak dapat dilupakan dan terus diperkatakan sehingga sekarang adalah kekejaman Nazi terhadap Yahudi, sehingga dianggarkanhampir 6 juta Yahudi telah dibunuh di Eropah ketika berlakunya Perang Dunia Kedua. Kini bangsa Yahudi dah bertaburan di seluruh dunia sama ada di Asia, Eropah atau Amerika Syarikat.

Yahudi juga dah ada negara sendiri iaitu Israel. Tapi jangan rasa pelik kalau korang nampak ada juga golongan Yahudi yang tak iktiraf pembentukan Israel. Mereka ni selalunya dikenali sebagai Yahudi Ortodoks dan ada kumpulan bernama Neturei Karta. Apa dia Naturei Karta ni?

“Ia adalah nama yang diberikan kepada kumpulan Yahudi Ortodoks di Jerusalem yang menolak untuk mengiktiraf kewujudan atau kewibawaan apa yang dipanggil sebagai ‘Negara Israel’.” – Dipetik dari Neturei Karta International.

Diorang ni siap bakar bendera Israel. Imej dari mintpressnews.com

Diorang juga guna slogan ‘Yahudi Bersatu Menentang Zionis’. Sebabnya diorang kata yang fahaman Zionis ni menyimpang dari ajaran Yahudi sebenar. Kalau kita merujuk Encyclopaedia Hebraica, Zionisme didefinisi sebagai – gerakan kebangsaan Yahudi yang muncul di akhir abad ke-19 dengan matlamat membawa balik Bani Israel ke tanah air bersejarah iaitu ke Zion (Jerusalem). 

Bagaimanapun, menurut Neturei Karta – diorang menentang negara Israel bukan sebab negara tu amalkan sistem sekular, tapi kerana konsep negara itu bertentangan dengan hukum Yahudi.

“Talmud (kitab Yahudi) mengajar orang Yahudi untuk tidak menggunakan kuasa manusia untuk menubuhkan sebuah negara, sebelum datangnya Messiah… Orang Yahudi juga tak dibenarkan mendominasi, membunuh, membahayakan atau merendahkan orang lain.” – Dipetik dari Neturei Karta International.

Diorang pun jumpa dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh untuk nyatakan sokongan kepada Palestin. Imej dari Times of Israel.

Sebenarnya, bukan Neturei Karta je kumpulan Yahudi Ortodoks yang anti-Zionis. Tapi banyak lagi di serata dunia macam:

“…Bene Yoel, Breslov, Brisk, Hazon Ish, Kaschau, Krasna, Kretcheniff, Malochim, Munkacs, Nitra, Pupa, Satmar, Skullene, Slonim, Toldoth Aharon, Toldoth Avrohom Yitzchok, Tosh, Wiznitz, Edah HaCharedith lekol Makhelot (Baitulmaqdis), Edah HaCharedith HaSefaradit (Baitulmaqdis), Hisachduth HaRabbonim DeArtzos HaBris VeKanada (AS dan Kanada), Yeshivath Ahavath Shalom, HaGaon Rav Koppelman (Lucerne), HaGaon Reb Avruhom Leitner (Brooklyn, NY) dan lain-lain.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Bukan main payah nak sebut nama kumpulan-kumpulan diorang ni…Walaupun begitu, kesemua golongan Yahudi ini tak dapat lawan golongan Zionis yang sangat kuat berpengaruh di Israel dan kat merata tempat lain terutamanya di negara-negara kuasa besar.

Perbalahan umat Islam, menambahkan lagi sengsara umat

Kalau kita lihat sejarah dari dulu sampailah sekarang, kita boleh nampak hebatnya orang Yahudi dalam dunia ilmu pengetahuan. Kebanyakan dari diorang berjaya menjadi ahli perniagaan, saintis, pereka dan pelbagai lagi kerjaya. Malah Presiden Israel pertama, Chaim Azriel Weizmann sendiri adalah seorang saintis.

“Gregory Pincus membangunkan pil perancang keluarga yang pertama. George Wald menang Nobel bagi kajian mata manusia, Standley Cohen dianugerahi Hadiah Nobel dalam kajian embriologi (kajian janin dan perkembangannya). Willem Kolff mencipta mesin dialisis (mencuci) buah pinggang.

_____

…Dermawan dan penyangak mata wang, George Soros ialah Yahudi. Dia menderma AS$4 bilion untuk membantu ahli sains dan universiti serata dunia. Walter Annenberg menderma untuk membina ratusan perpustakaan berjumlah AS$2 bilion.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Chaim Weizmann & Albert Einstein. Imej dari the100.ru

Maka muncul persoalan, kenapa diorang ini terlalu berkuasa? Jawapannya ialah ilmu. Hal ini terbukti apabila kajian mendapati setakat tahun 2009…

“Negara-negara majoriti Islam mempunyai 230 ahli sains bagi setiap (per) sejuta penduduk. Di AS 4,000 per sejuta, Jepun 5,000 per sejuta. Di seluruh negara Arab, penyelidik sepenuh masa ialah 35,000 dan hanya 50 juruteknik per sejuta (berbanding di negara maju 1,000 juruteknik per sejuta).” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Mungkin kita boleh merenung kata-kata pemikir Islam – Muhammad Asad, tentang dirinya yang tak minat untuk mengagungkan sejarah kegemilangan Islam. Malah dia kata, umat Islam hari ini juga tak layak berbangga dengannya.

Muhammad Asad – pemikir agung Islam. Klik imej untuk baca artikel kitorang.

“Saya tidak menyebut hal ini (sejarah kegemilangan Islam) supaya kita dapat berbangga dengan memori gemilang itu pada masa ketika dunia Islam telah meninggalkan tradisinya sendiri dan kembali kepada kebutaan spiritual dan kemiskinan intelek. Kita tiada hak, dalam kenaifan kita sekarang, untuk bermegah dengan keagungan masa silam.” – Islam di Persimpangan Jalan, p59.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.