Krisis dalaman UMNO: Siapa kawan dan siapa lawan?

Bila nak cerita bab politik, pemimpin zaman sekarang ni boleh memberi banyak janji kepada rakyat yang kadang-kadang tu agak mustahil untuk direalisasikan. Lagi-lagi sekarang ni krisis politik dalam negara agak memuncak disebabkan semua nak jadi Perdana Menteri, dah macam apa haa bergaduh disebabkan jawatan. Sorang tuduh pihak tu terlibat dalam rasuah lah, sorang lagi pula tuduh pihak lagi satu tu terlibat dalam penggubahan wang haram.

Itu kalau cara nak jatuhkan nama parti lain lah kot, kalau untuk naikkan nama parti sendiri pula mestilah dengan menabur janji-janji yang melangit tinggi dia. Macam manifesto-manifesto yang selalu ahli politik buat tu lah, banyak gila benda yang dorang janji sampaikan benda tu tak jadi pun. Macam kerajaan yang lepas lah, janji seratus hari tapi apa-apa tak jadi (yang tahu je tahu).

Perhimpunan Agung UMNO yang berbincang tentang perpecahan

Perhimpunan Agung UMNO 2020. Imej dari UMNO Online

Baru-baru ni, Perhimpunan Agung UMNO 2020 (diadakan pada 2021 sebab ditunda akibat COVID-19) telah diadakan di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC). Banyak benda dorang bincang masa mesyuarat tu, sampaikan Ku Li minta ahli-ahli UMNO yang menjadi menteri dalam kerajaan sekarang untuk meletakkan jawatan mereka serta-merta. Kenapa sampai macam tu pula?

Dikatakan bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah pun memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Perkara macam ni agak menggemparkan apabila kebelakangan ini memang hangat isu antara UMNO dan Bersatu ni sampaikan PAS pun tak tahu nak pilih antara dua pihak, tu yang PAS buat keputusan selamat dengan hanya duduk di tengah-tengah dan mengharap keajaiban untuk UMNO dan Bersatu ni bergabung kembali.

Renungan tajam Tengku Razaleigh (Ku Li). Imej dari Malay Mail

 “MKT memutuskan bahawa kita akan putus kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Ia juga bererti semua ahli UMNO yang jadi menteri, timbalan menteri dan yang pegang jawatan dalam GLC mesti tarik diri mulai hari ini. Kita (sudah) tiada kena-mengena dengan PN dan kita akan lawan PN (dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti). Kalau PAS ada, apa kita boleh buat. ,” Tan Sri Tengku Razaleigh, ahli parlimen Gua Musang, petikan dari Astro Awani

Ku Li berkata lagi jikalau masih mahu bersama Muafakat Nasional (MN), PAS perlu asingkan diri daripada PN. Hal ini kerana, UMNO tidak lagi menganggotai PN dan ingin fokuskan perjuangan MN. Kalau dilihat daripada apa yang Ku Li sebut tu, dah macam mengugut pun ada kan. Susah la kalau semua nak bergaduh ni.

Jadi sudah pun terjawab tentang pendirian UMNO berkenaan krisis ‘hubungan’ mereka dengan Bersatu, tapi semua tu masih lagi tak boleh dikatakan sebagai confirm sebab dalam politik ni macam-macam boleh jadi sebenarnya. Hari ni dorang cakap lain, tahu-tahu esok jadi lain. Dalam erti kata lain, takut dorang u-turn je ha. Sebab hari tu pun ada tersebar surat yang mengatakan UMNO menyokong Anwar Ibrahim sampai kan Presiden UMNO kata tu hanyalah berita palsu, tapi Anuar Musa pula cakap surat itu adalah legit. Jadi mana satu yang betul?

UMNO cuba jadi seperti PAS?

Penyokong PAS yang berjuang untuk RUU 355. Imej dari Berita PAS

Pada mesyuarat yang sama, Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi mengatakan bahawa UMNO akan memperkasakan undang-undang syariah di Malaysia selepas ini. Ia dibangkitkan Zahid selepas kes Iki Putra Mubarak yang dikatakan boleh mengganggu undang-undang syariah sedia ada, sehinggakan mungkin akan berlaku lagi pada masa akan datang. Ini membimbangkan kerana dikatakan keputusan Mahkamah Persekutuan untuk membebaskan Iki daripada semua pertuduhan itu ibarat melumpuhkan sistem jenayah Islam itu sendiri.

Zahid Hamidi berucap di PAU. Imej dari Berita Harian SG

“Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra Mubarak pula memberi implikasi yang mendasar dan berpotensi untuk membatalkan banyak lagi peruntukan jenayah syariah. Malah boleh melumpuhkan sistem undang-undang jenayah Syariah di Malaysia. Keputusan ini juga boleh menggugat kuasa negeri-negeri untuk menggubal dan menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah. Mungkin kita perlu pinda Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan undang-undang syariah Islam lebih kukuh dalam sistem perundangan negara kita,” Datuk Seri Zahid Hamidi, ahli parlimen Bagan Datuk, petikan dari Kosmo

Kepada mereka yang tak tahu pasal kes Iki tu, baru-baru ini (takde lah baru sangat) Mahkamah Persekutuan telah memutuskan secara sebulat suara bahawa keputusan jenayah syariah terhadap Iki Putra Mubarak sebagai tidak berpelembagaan, tidak sah dan terbatal. Dalam erti kata lain, ia dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara itu juga mendapat perhatian daripada 200 peguam yang telah menandatangani petisyen bagi mendesak pindaan Perlembagaan Persekutuan susulan kes itu.

 

Mungkin kepada yang sentiasa mengikuti senario politik negara, mereka akan merasakan kenyataan Zahid Hamidi ni bagaikan perkara yang biasa didengari daripada sebuah parti politik. Macam PAS dulu lah kot, masa zaman jadi pembangkang dorang ni perjuangkan gila-gila RUU 355 tapi tak jadi apa-apa lagi dengan alasan nak tumpukan darurat dulu. Mungkin ada sesetengah orang perkara itu boleh dianggap sebagai ‘perjuangan’, tetapi ada juga yang mengatakan ia hanyalah sebuah cara untuk memancing undi.

Political Mileage untuk berdepan ‘kerajaan’ pada PRU akan datang?

Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Imej dari Utusan

Semua kena ingat yang setiap parti politik pasti akan mencari pelbagai cara untuk dijadikan political mileage, semua itu dilakukan untuk meraih sokongan daripada rakyat. Lagi-lagi sekarang ni orang kata Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 boleh terjadi pada bila-bila masa je. Mana taknya, UMNO yang merupakan salah satu parti politik terbesar negara pun menggesa PRU diadakan secepat mungkin kot. Jadi, tak memeranjatkan pun sekiranya PRU akan berlangsung dalam masa terdekat ni.

Itu juga mungkin mengapa UMNO mula meletakkan ‘pemerkasaan undang-undang syariah‘ sebagai salah satu political mileage dorang. Mungkin kita sebagai pengundi Melayu dan Islam kena bersedia, kerana mungkin banyak lagi yang mereka akan janjikan kepada kita semua bagi mendapatkan kembali kepercayaan penyokong mereka. Mereka juga mungkin akan mengeksploitasi kegagalan kerajaan sekarang dalam mengekalkan pelabur-pelabur besar di Malaysia.

Sebagai contoh, Hyundai telah menutup ibu pejabat Asia Pasifik mereka yang pada asalnya terletak di Mutiara Damansara dan membuka ibu pejabat serta dengan kilang baharu di Indonesia. Lagi satu adalah projek Kuala Lumpur – Singapore High Speed Rail (HSR), projek itu telah pun batal selepas persetujuan bersama pihak Malaysia dan Singapura. Pembatalan itu membuatkan Malaysia terpaksa membayar RM320.27 juta kepada Singapura sebagai wang pampasan. Tapi semua tu cukup ke untuk menang?

Konflik dalaman UMNO yang masih tiada jawapan

Zahid vs Khairy?. Imej dari The Star

Kalau nak diceritakan, UMNO punya masalah dalaman ni agak serius juga sebab kita tengok dorang ni macam okay je kan. Tapi sebenarnya dalam nampak okay tu tetap ada perbalahan, ni dah jadi macam zaman Mahathir vs Ku Li tu dah nampaknya. Ini juga disebabkan pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung pada tahun lepas terpaksa ditangguhkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pada Januari, pemilihan parti itu dikatakan akan berlangsung pada tarikh yang sesuai pada tahun ini. Namun, ahli parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berpendapat bahawa pemilihan parti perlu dilakukan serta-merta bagi menyelesaikan kemelut dalaman UMNO yang sedang berlaku ketika ini supaya parti mereka mempunyai kepimpinan yang berwibawa menjelang PRU akan datang.

Khairy atau abah. Imej dari Malay Mail

“Segerakan pemilihan parti. Jangan tangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum. Sepatutnya pemilihan diadakan tahun ini. UMNO mesti menghadapi PRU dengan kepimpinan yang mempunyai mandat yang jelas dan boleh mendapat sokongan rakyat. MKT perlu melakukan perkara yang betul. Kita (UMNO) tidak boleh terus berada dalam keadaan seperti sekarang,” Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, petikan dari Sinar Harian

Manakala, bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak juga bersuara. Tapi, dia berada di pihak yang membangkang idea untuk mempercepatkan pemilihan parti ni. Alasan yang diberi adalah kerana ia boleh memecah belahkan UMNO itu sendiri dan risiko untuk ahli yang kalah dicuri parti lain (lompat parti lah ni) adalah tinggi.

Najib Razak. Imej dari The Star

“…dia (parti lain) akan tunggu pemilihan dalam UMNO, jadi serpihan daripada mereka yang kalah itu akan dipelawa atau dipujuk atau ditawar untuk masuk parti mereka,” Ahli parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, petikan dari MalaysiaKini

Semua asyik nak berdrama, entah bila nak habis pun tak tahu lah. Kita sebagai rakyat dan pengundi pun bukan boleh buat apa-apa sangat sekarang ni, boleh tunggu dan tengok je lah kan. Tapi takpe, nanti masa PRU pastikan kita pilih betul-betul pemimpin yang akan datang supaya rakyat tak perlu lagi lihat krisis politik yang teruk macam sekarang.