Sejarah & Politik

“Mahathir bukan Melayu?” Serangan-serangan peribadi daripada ahli politik Malaysia

(This article has been translated from our sister’s website, Cilisos)

Ahli politik kena serangan peribadi ni bukanlah satu benda yang baru. Tengok jela kat mana-mana berita politik dalam media sosial, kita boleh nampak macam-macam komen yang menyentuh isu peribadi politik. Kebanyakannya, takde kena-mengena pun dengan macam mana diorang buat kerja.

Contohnya macam Azalina Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang selalu sangat kena ‘serang’ disebabkan dia ni nampak tomboy. Awal tahun ni pun, ada satu Facebook page iaitu Otai BERSIH (takde kena mengena dengan Bersih 2.0) upload gambar Azalina dengan caption yang cakap takde siapa yang sudi nak kahwin atau rogol dia.

Ish, tak patut

Penghinaan Otai BERSIH terhadap Azalina ni juga adalah salah satu serangan berbentuk peribadi di tempat awam. Kawan kitorang kat AskLegal ada tulis artikel pasal apa yang boleh berlaku kalau korang buat benda yang sama.

Cerita pasal pelbagai serangan peribadi daripada orang awam kepada ahli politik ni banyak sangat kalau kita nak sebut satu persatu. Jadi dalam artikel ni kitorang cuma akan bincangkan pasal serangan peribadi sesama ahli politik, dan apa akibatnya.

1. Tiba-tiba kata orang tu bangsa lain

  • Yang Dihina: Tun Dato’ Seri Dr Mahathir bin Mohamad, bekas Perdana Menteri, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
  • Penghina: Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri

Baru-baru ni, Zahid Hamidi buat mendedahkan dia ada salinan IC Mahathir yang lama. Jadi, apa yang menariknya dengan IC tu? Dia dengan bangganya sebut dengan kuat yang nama tertera dekat IC tu adalah “Mahathir a/l Iskandar Kutty“.

IC lama Tun Mahathir

Dalam mesyuarat Umno baru-baru ini, Ahmad Zahid tunjukkan salinan IC tu dalam telefon dia. Dia juga mendakwa yang Mahathir sebenarnya adalah keturunan India yang dah mengeksploitasi kaum Melayu selama 22 tahun masa dia jadi Perdana Menteri.

“Itulah sebabnya orang itu (Mahathir) kata Melayu mudah lupa, dia lupa dia dah 22 tahun memerintah. Saya tak sentuh peribadi. Tetapi ini IC (kad pengenalan) biru dia dulu, nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty.

Ini dihantar Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Patutlah dia kata kita mudah lupa, anak laki-laki Iskandar Kutty. Orang itulah yang perjuangkan agenda Melayu untuk menggunakan orang Melayu ,”- Zahid Hamidi, laporan daripada Sinar Harian

Penggunaan ‘a/l’ (anak lelaki) biasanya digunakan oleh orang bukan Islam di Malaysia, manakala ‘bin’ digunakan oleh orang Melayu Islam. Nama ‘Kutty’ pula adalah nama yang selalu digunakan oleh keluarga Malabari Malayalee.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Dalam laporan MalayMail Online, Ahmad Zahid tak menyatakan dengan khusus pun yang nama dalam IC tu adalah Dr Mahathir. Perkataan “Melayu mudah lupa” pula merujuk kepada ayat popular Dr Mahathir selama 22 tahun berkuasa.

Apa jadi lepas tu?

Zahid kata dia bukan buat serangan peribadi, tapi dia jumpa benda tu ‘secara kebetulan’  sebab dia Menteri Dalam Negeri, dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berada di bawah kementeriannya.

Mahathir menafikan yang IC lama tu kepunyaan dia sebab dia tak pernah pulangkan balik IC lama dia kepada JPN bila dia dapat yang baru. Persoalannya ialah, Zahid kata dia dapat imej tu daripada Yazid Ramli, direktor JPN sendiri.

“Saya masih ingat kad (pengenalan) yang pertama yang saya terima ketika saya masih di universiti pada masa itu,” katanya.

“Tapi kalau dia boleh tunjuk saya nak tengoklah. Jangan sembunyi, jangan buat macam Apandi (Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali)- Mahathir Mohamad, dipetik oleh MalaysiaKini

Marina Mahathir, anak sulung Mahathir juga membidas kenyataan Zahid dengan menyatakan yang Iskandar bukannya ayah Mahathir, tapi datuknya.

“Ia sepatutnya Mahathir bin Mohamad sebab nama datuk saya ialah Mohamad bin Iskandar.” – Marina Mahathirlaporan daripada FMT.

Selain daripada rasis, Marina juga mengatakan yang Zahid ni seksis sebab tak sebut pun pasal nenek dia iaitu Wan Tempahwan, berasal daripada keluarga yang kebanyakannya ialah orang istana kerabat Diraja Kedah.

2. Minta orang yang berkerusi roda untuk berdiri

Jika kau fikirkan kau boleh

  • Yang Dihina: Mendiang Karpal Singh a/l Ram Singh, bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor
  • Penghina: Datuk Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Pasir Mas

Pada tahun 2008 lepas pilihan raya umum, Datuk Ibrahim Ali bertanding dan memenangi kerusi sebagai Ahli Parlimen PAS di Pasir Mas. Walau bagaimanapun, Karpal Singh menegaskan yang Ibrahim Ali masa tu berada di Dewan sebagai calon bebas. Jadi dia nak tahu la apa sebenarnya kedudukan sebenar Ibrahim Ali dalam Dewan masa tu.

Walau bagaimanapun, Karpal menyampuk masa Razali Ibrahim (AP Muar, bukan Pasir Mas) tengah tanya soalan yang sama. Benda ni la yang membuatkan Bung Mokhtar bangun dan serang Karpal. Bermulalah episod ejek-mengejek nama antara Karpal Singh dan Bung Mokhtar. Ibrahim Ali pula boleh tahan juga gurau kasar. Dia kata, Karpal tak menghormati Dewan sebab tak berdiri bila bercakap.

Kalau nak tahu, Karpal Singh berkerusi roda sejak dia ditimpa kemalangan pada tahun 2005.

Holikauuuu

Gurauan kasar Ibrahim masa tu dah buatkan pembangkang bengang dan Fong Po Kuan suruh dia tarik balik kata-kata dia. Tapi, Ibrahim pula suruh dia diam.

Apa jadi lepas tu?

Beberapa hari lepas kejadian tu, lebih kurang 30 orang rakyat berkerusi roda yang berang muncul kat Parlimen. Diorang menuntut Ibrahim Ali dan Bung Mokhtar meminta maaf atas kenyataan berbaur diskriminasi terhadap Karpal Singh.

“Saya tak berniat nak menyinggung perasaan orang cacat, saya cuma ada masalah dengan Karpal Singh. Saya harap kamu semua tak salah faham. Ada kumpulan yang mempolitikkan isu ni dan ambik kesempatan atas kamu semua. Jujurnya, saya minta maaf, dan saya sayangkan semua orang kurang upaya”- Ibrahim Ali, laporan daripasa The Sun Daily.

Tapi, orang-orang OKU ni semua “boo” Ibrahim Ali lepas dia kata yang dia tak nak minta maaf kat Karpal. Bung Mokhtar pun berpendirian yang sama macam Ibrahim Ali, dia kata dia tak buat salah pun.

“Saya takde niat pun nak pandang rendah kepada orang kurang upaya. Di kawasan saya, saya jaga dan buat rumah untuk mereka. Saya tak nampak pun Bukit Gelugor (Karpal Singh) mewakili orang kurang upaya. Sebagai orang kurang upaya, dia harus bertindak macam orang kurang upaya, tapi mulutnya tidak. Saya tak bermaksud untuk menyakiti orang kurang upaya, jika saya salah, saya memohon maaf, “- Datuk Bung Mokhtar, seperti yang dilaporkan oleh Sun Daily.

3. Menjadikan isu bumbung Parlimen yang bocor  sebagai isu seksis

  • Yang Dihina: Fong Po Kuan, MP untuk Batu Gajah
  • Penghina: Datuk Bung Mokhtar Radin, MP untuk Kinabatangan

Perkara ni berlaku masa tahun 2007, bila MP Bandar Kuching, Chong Chieng Jen (DAP) bercakap pasal bumbung Parlimen yang bocor.

Sesetengah MP kata benda tu benda kecik je, tak payah bincang pun takpe. Tapi MP lain nampaknya jadikan benda tu isu dan mengaitkan bumbung yang bocor tu sebagai hasil daripada rasuah yang berleluasa. Perkara ni la yang membawa kepada kenyataan ‘panas’ pada minit ke 4.02:

“Mana ada bocor! Batu Gajah tiap-tiap bulan pun bocor la!”

Kenyataan tu sebenarnya merujuk kepada kitaran haid Fong, yang sebenarnya datang daripada Bung MokhtarKenyataan tu disokong oleh Datuk Mohd Said Yusof, MP Jasin.

Apa jadi lepas tu?

Deiiiiiiiiii. Imej dari TheSundaily

Kenyataan seksis tu menghasilkan pertemuan selama 40 minit dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Mereka kemudiannya meminta maaf kepada wanita seluruh negara disebabkan kenyataan menghina tu. Tapi bila pemberita tanya yang permohonan maaf tu termasuk Fong sekali ke? Diorang nampaknya tak maksudkan dia sekali.

Walaupun nampak macam ‘takde hal’, pada 2012, pindaan dibuat dalam Perintah Tetap Dewan Rakyat 36 (4), yang kini tertera:

(4) Adalah menjadi tidak sah bagi Anggota Dewan untuk menggunakan bahasa yang menyinggung atau membuat kenyataan seksis.

Fong mengulas yang pindaan tu adalah ‘langkah yang baik’, tapi menambah yang Speaker mestilah ‘tak seksis’ dan ‘mestilah adil’. Fong kemudiannya mencadangkan seminar mengenai persefahaman antara jantina diadakan kepada semua Ahli Parlimen.

4. Menuduh menteri sebagai gangster yang tak berpengalaman

  • Yang Dihina: Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak
  • Penghina: Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan

Masa cukai pelancongan baru dilaksanakan, Abdul Karim dalam kenyataan kepada Borneo Post kata yang undang-undang tersebut adalah satu contoh jelas kerajaan persekutuan yang mengenakan undang-undang cukai di Sarawak tanpa berunding. Lepas kenyataan tu keluar, Nazri bagi amaran kepada Abdul Karim untuk jaga mulut bila keluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kerajaan persekutuan.

“Saya jadi menteri bukan setahun dua, banyak tahun dah. Apa-apa hal kita sama-sama kerajaan. Di Sarawak tu kerajaan BN, federal pun BN. Jumpalah saya. Awak ni baru lagi, setahun jagung. Jangan cakap banyaklah.

“Dalam politik ini jangan cakap besar, you cakap besar you nak tunjuk samseng, kita lebih samseng lagi. Saya takkan benar dia bersikap samseng begitu. Saya menteri lama dah.

“Kalau tak faham, jumpa saya dulu, tanya. Jangan baru jadi menteri dah jadi samseng. Nak belajar jadi samseng belajar dengan saya,” sindir Nazri, dilaporkan oleh FMT.

Ketua Pemuda PBB, Fadillah Yusof menyatakan yang pernyataan Nazri tu adalah penghinaan terhadap Abdul Karim, sebab kerajaan Sarawak percayakan Karim untuk memimpin portfolio negeri tu.

Apa jadi lepas tu?

Walaupun kenyataan Nazri sebelum tu agak keras, dia kemudiannya dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Abdul Karim untuk berbincang. Nazri bagaimanapun mempertahankan kenyataan dia pasal Abdul Karim setahun jagung, iaitu perumpamaan Melayu yang bermaksud jagung ambik masa untuk matang, iaitu lebih kurang tiga bulan.

“Mengikut perkataan Melayu, ‘setahun jagung’ maknanya tiga bulan dan saya bercakap benda yang betul bahawa dia setahun jagung sebab dilantik menjadi menteri kurang dari tiga bulan,”- Datuk Seri Nazri Aziz, dilaporkan oleh The Star Online

Nazri bertegas dengan komen ‘gangster’nya,

“Kenapa dia tidak kata, ‘Saya seorang menteri baru. Saya akan mendapatkan penjelasan daripada Kerajaan Persekutuan’. Itu lebih baik, bukan? Saya berkata dia adalah ‘gangster’ kerana dia terus ‘menyerang’ Kerajaan Persekutuan, “- Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, seperti yang dilaporkan oleh Star Online.

Sarawak tak lama lepas tu tarik diri dari Lembaga Pelancongan Malaysia Putrajaya dengan serta-merta.

“Kerajaan negeri Sarawak mengambil keputusan untuk menarik balik penyertaan wakilnya dalam Tourism Malaysia berkuat kuasa serta merta. Pejabat Ketua Menteri, dalam kenyataan ringkas hari ini, berkata, kerajaan negeri berpendapat penyertaan wakilnya dalam Tourism Malaysia adalah tidak perlu kerana ia bertindih dengan peranan dan fungsi Lembaga Pelancongan Sarawak”-Pejabat Ketua Menteri Sarawak, dalam satu kenyataan kepada MalaysiaKini.

5. Menghina kaum dan jantina sekaligus

  • Yang dihina: Teresa Kok, MP untuk Seputeh
  • Penghina: Dato ‘Haji Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak

Insiden ni jadi masa sesi Parlimen November lepas. Korang boleh tengok video kejadian, ihsan dari Free Malaysia Today.

Apa yang terjadi ialah masa diorang tengah bincang pasal perhimpunan Bersih 5, Tajuddin bengang sebab Teresa Kok tergelak. Jadi dia pun cakpa la;

“Yang Seputeh ini kekekek ni kenapa? Satu-satunya wanita dengan ‘Kok’ berada di Seputeh, “- Dato ‘Haji Tajuddin Abdul Rahman, seperti yang dilaporkan oleh FMT.

Kenyataan Tajuddin tu menimbulkan huru-hara kejap, dan pihak pembangkang suruh dia tarik balik kenyataan yang bersifat seksis. Timbalan Speaker pada masa itu, Ronald Kiandee, mempertahankan kenyataan Tajuddin, mengatakan bahawa Tajuddin merujuk kepada nama keluarga Teresa. Walau bagaimanapun, Khalid Abdul Samad, Ahli Parlimen Shah Alam menegaskan yang semua orang tahu apa maksud sebenar Tajuddun.

Kasthuriraani Patto, Ahli Parlimen Batu Kawan kemudiannya memprotes komen Tajuddin tapi dia pula yang kena hina balik. Ini menyebabkan Khalid Abdul Samad bengang dan panggil Tajuddin ‘sial’.

Apa jadi lepas tu?

MCA kemudiannya membantah komen tu dan kata ia adalah kutukan terhadap nama keluarga Cina Malaysia, serta kiasan kepada alat kelamin lelaki.

“Walaupun kita bukan parti yang sama, tapi kita tak akan bertolak ansur dengan apa-apa bentuk kekasaran daripada ahli parlimen lelaki, “- Senator Datin Paduka Chew Mei Fun, naib presiden MCA, seperti yang dilaporkan oleh Sun Daily.

Chew kemudiannya kata yang Tajuddin patut meminta maaf di atas penghinaannya terhadap wanita serta orang Cina Malaysia. Tajuddin, bagaimanapun tetap menentang, menegaskan yang dia hanya merujuk nama Teresa Kok, bukan menghina.

“Kenapa mereka rasa tersinggung? Saya tidak mengejek namanya. Jika saya memanggilnya dengan nama keluarga dengan betul, adakah saya salah? Namanya Teresa Kok betul? “- Tajuddin, seperti yang dilaporkan oleh FMT.

UPDATE: Banyak lagi kenyataan tentang serangan peribadi

(Editor: Kami dapat teguran yang kebanyakan perkara ini melibatkan pihak kerajaan yang menyerang peribadi pihak pembangkang. Kami maaf kerana tak buat research secara mendalam, terutamanya serangan-serangan yang sangat popular, jadi kami berterima kasih atas terguran.)

Terguris hati kitorang.

Terima kasih juga kitorang ucapkan.

  • Mat Sabu pernah panggil Anwar Ibrahim (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) sebagai al-Juburi dalam satu sidang Dewan Rakyat. Perkataan tu timbul bila isu skandal liwat mula memuncak. Tapi bila Anwar dipecat, Mat Sabu tak lagi menyerangnya dan PAS juga mula berkerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
  • Sejak berlakunya pemecatan Anwar Ibrahim pelbagai gelaran telah ditujukan kepada Dr Mahathir. Antaranya adalah sebagai ‘Mahafiraun’. Walaupun macam tu, kami tak dapat cari sumber dari pemimpin mana gelaran ini datang. Tapi pada 2013, sekumpulan ahli PKR ada minta maaf kepada Dr Mahathir sebab panggilnya sebagai ‘Mahafiraun’. Bagaimanpun, Dr Mahathir bersifat terbuka untuk berkerjasama dengan pihak yang pernah bagi gelaran buruk kepadanya. Beliau juga sifatkan perkara sebagai perkara kecil.
  • Mat Sabu pun dulu pernah kena gelar sebagai ‘Mat Sabun’ oleh seorang penceramah terkenal, Ustaz Abdullah Khairi. Perkara tu berlaku ketika beliau menyampaikan ucapan di pentas PAS.

“Dan sokongan padu ini, kita bagi kemenangan kepada Dr Najihatussalehah…Walaupun disebelah sana ‘Mat Sabun’, ‘Mat Sabun’ sebelah sana, tapi suara aku lebih kurang sama. Dan insha-Allah Mat Sabu akan lahir, ustaz Abdullah Khairi. Yang Sabun tu biar habis dah.” – Ustaz Abdullah Khairi.

https://www.youtube.com/watch?v=GhC21flaAmc

Tapi akhirnya Ustaz Abdullah buat permohonan maaf terbuka kepada Mat Sabu.

  • Pada tahun 2015 Presiden Perkasa, Dato’ Ibrahim Ali juga ada keluarkan kenyataan terhadap Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah sebagai ‘perempuan sial’. Gelaran tu keluar apabila Maria mengaitkan Perkasa sebagai kumpulan ekstremis di negara ini ketika beliau menemui Presiden Amerika Syarikat, Obama yang melawat Malaysia.
  • Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diarahkan membayar Datuk Jahara Hamid kerana memanggilnya sebagai nenek rasis.

Dalam politik, apa-apa kenyataan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan

Kenapa serangan peribadi biasa sangat kat dalam politik Malaysia ni? Kenyataan Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, seorang penganalisis politik untuk Malaysian Digest mungkin boleh bagi petunjuk.

“Satu masalah dengan ahli-ahli politik di negara ni adalah mereka membiarkan emosi menguasai diri tanpa prinsip, pengetahuan dan matlamat yang betul untuk membangunkan negara,” – Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, kepada Malaysian Digest.

Agus menggambarkan politik Malaysia kadang-kadang lebih kepada kebencian yang melampau, berbanding dengan beberapa negara Barat yang memperjuangkan objektif parti dan bukan secara peribadi menyerang lawan mereka dengan penderaan lisan.

Walau bagaimanapun, ahli politik boleh disamakan dengan selebriti sebab kenyataan mereka boleh membina atau menghancurkan kerjaya mereka. Reputasi mereka boleh rosak teruk apabila serangan tu bukan je menyinggung sasaran yang dimaksudkan, tapi kepada kumpulan komuniti.

Komen pasal bumbung bocor juga bukan je menyinggung perasaan Fong Po Kuan, tapi ahli politik wanita yang lain. Bila Karpal Singh disuruh berdiri tegak, ia adalah Diskriminasi Orang Kurang Upaya (MADD). Pasal isu Pelancongan Sarawak pula, walaupun tak dinyatakan secara jelas kenapa Sarawak menarik diri dari Lembaga Pelancongan Putrajaya, ahli politik Sarawak dilaporkan tersinggung dengan komen Nazri.

Zahid menyerang Mahathir pasal keturunan Indianya juga boleh menyinggung perasaan orang lain. Datuk Ibrahim Ali, Ketua PERKASA dah mengulas kenyataan Zahid pasal keturunan Mahathir tu boleh ditafsirkan sebagai perkauman. Ibrahim kata yang kenyataan Zahid tak sepatutnya datang daripada seseorang yang memegang jawatan tinggi, seperti timbalan perdana menteri.

“Saya dipanggil rasis. Banyak benda lagi… Tapi saya nak bagitau ni, kalau saya dalam JPN, kamu semua takkan dengar saya sebut macam tu”- Datuk Ibrahim Ali, Ketua Perkasa, untuk Malay Mail Online.

Hisommudin Bakar, pengarah Ilham, sebuah firma penyelidikan berkata yang kenyataan Zahid mungkin akan menyinggung masyarakat India Muslim yang berjumlah kira-kira 200,000 di Malaysia.

“Ini akan menyinggung ahli-ahli Umno yang lebih tua dan golongan muda yang akan mengundi buat pertama kalinya. Apatah lagi komuniti India-Muslim,” – Hisommudin Bakar, The Malaysian Insight.

Sesetengah taktik politik boleh memakan diri sendiri, jadi fikir la masak-masak sebelum bercakap.

UPDATE: Kalau ada apa-apa lagi yang kami terlepas, nyatakan kat ruangan komen! Seboleh-bolehnya dengan sumber yang kredibel.

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend