5 perkara mengagumkan tentang Tun Dr Siti Hasmah yang korang mungkin tak tahu

Sejak beberapa hari lepas, kita dihidangkan dengan berita tentang isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang disoal siasat pihak polis sebab terlibat dalam perhimpunan ‘Wanita Bantah Politik Toksik’ pada September lepas. Bagaimanapun, pihak polis nafi yang mereka soal siasat Siti Hasmah, tapi sebaliknya cuma ambil keterangan. 

Tindakan pihak polis ni dah ambil banyak perhatian masyarakat. Bekas Ketua Pengarang New Straits Times (NST), Mustapha Kamil Mohd Janor ada kata yang dia ingatkan polis ambil keterangan Jho Low, tapi rupanya Siti Hasmah. Veteran UMNO dan juga bekas seteru politik Dr Mahathir – Tengku Razaleigh pulak kata yang pihak polis sepatutnya tak payah kacau Siti Hasmah, sebab ia hanya akan rosakkan imej kerajaan. 

Tun Hasmah & Marina Mahathir kat perhimpunan ‘Wanita Bantah Politik Toksik’. Imej dari Utusan Malaysia.

Dekat Malaysia ni, siapa yang tak kenal dengan Tun Dr Siti Hasmah? Beliau juga adalah orang yang paling lama pegang title Wanita Pertama Malaysia. Apa taknya, suaminya Dr Mahathir jadi PM selama 22 tahun kot. Sebenarnya kalau kita tengok sejarah Dr Siti Hasmah, beliau ni bukan datang dari keluarga yang biasa-biasa tau. Sebabnya…

1. Ada adik-beradiknya yang jadi Gabenor Bank Negara dan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor pada tahun 1926. Beliau adalah anak ke-6 dari sepuluh adik beradik. Bapanya, Hj Mohd Ali adalah seorang pegawai kerajaan, manakala ibunya Hajah Siti Khadijah adalah seorang suri rumah.

Lepas Perang Dunia Kedua (WW2), Siti Hasmah dah masuk ke King Edward VII College of Medicine kat Singapura. Beliau juga jadi satu-satunya pelajar wanita Melayu kat sana. Masa kat sinilah beliau jumpa dengan cinta hatinya Dr Mahathir. Pada tahun 1955, beliau berjaya terima Ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Malaya, Singapura.

Dr M & Siti Hasmah masa muda-muda dulu. Imej dari mencarisakiinah.wordpress

Sebenarnya, kejayaan Siti Hasmah jadi doktor ni satu perkara yang sangat luar biasa zaman tu tau. Sebabnya, masa tu tak ramai doktor dari kalangan orang Melayu dan lebih-lebih lagi perempuan Melayu. Kat sini pun kita dah boleh nampak betapa bijaknya Siti Hasmah ni.

Tapi apa yang lagi menarik, bukan Siti Hasmah je yang berjaya dalam hidup dan capai kejayaan hebat. Sebabnya, ramai juga adik beradik beliau yang pegang macam-macam jawatan tinggi dalam negara. Contohnya macam Allahyarham Tun Ismail Ali iaitu abang kepada Siti Hasmah dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) kedua. 

Selain jadi Gabenor BNM, Tun Ismail Ali juga terlibat dalam projek ‘Serangan Subuh’ (Dawn Raid) yang akhirnya berjaya ambil alih Guthrie. (klik sini untuk tahu lebih lanjut). Selain itu, beliau juga pernah jadi Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang pertama. Untuk jawatan sebagai Gabenor Bank Negara, Ismail masih lagi pegang rekod sebagai Gabenor BNM paling lama berkhidmat di negara ini.

Kejayaan Malaysia mengambil alih Guthrie sebuah syarikat British. Imej dari ahmadshuaib.blogspot

Selain dari Ismail Ali, ada juga adik beradik Siti Hasmah yang terlibat dalam bidang ketenteraan. Orang itu adalah Tan Sri Hashim Mohd Ali – bekas Panglima Angkatan Tentera dari tahun 1987 sampai 1992. Beliau juga antara yang terlibat dalam perjanjian damai antara Parti Komunis Malaya (PKM) dan kerajaan Malaysia di Haadyai pada tahun 1989.

Selepas bersara, Ali Hashim melibatkan diri pula dalam bidang korporat dan kini menjadi Pengerusi Ajinomoto (Malaysia), Pengerusi National Aerospace & Defence Industries Sdn.Bhd dan beberapa lagi jawatan lain.

Tan Sri Hashim Mohd Ali. Imej dari countryheights.com

Ada juga ahli keluarga Siti Hasmah yang terlibat dalam politik, seperti Tan Sri Ahmad Razali Mohd. Ali (Bekas Menteri Besar Selangor) dan Datuk Paduka Siti Saleha (tokoh kaum ibu UMNO 1950-an dan ahli korporat). Razali Mohd Ali adalah MB Selangor yang ke-10 dan berkhidmat dari tahun 1982 sampai 1986.

Tan Sri Ahmad Razali Mohd Ali. Imej dari selangor.gov.my

Manakala, kakak Siti Hasmah – Saleha Mohd Ali pula adalah antara penggerak utama UMNO di awal penubuhannya. Beliau juga adalah satu-satunya wakil wanita yang berucap dalam Kongres Kebangsaan Ketiga, di mana ketika itu jugalah UMNO ditubuhkan. Beliau juga pernah jadi wakil Tanah Melayu dalam beberapa persidangan di London dan Switzerland.

Tan Sri Saleha Mohd Ali (allahyarham) diiringi Siti Nurhaliza waktu belum dapat Dato’ Seri dalam satu majlis.. Imej dari AEON Foundation.

2. Siti Hasmah adalah wanita Melayu kedua yang menjadi doktor

Mungkin ada di antara kita pernah dengar atau dapat maklumat yang kata Siti Hasmah adalah wanita Melayu pertama yang jadi doktor. Sebenarnya, apa yang lebih tepat adalah wanita Melayu kedua yang jadi doktor. Sebabnya, wanita Melayu pertama yang jadi doktor adalah Tan Sri Dr Salma Ismail yang meninggal dunia pada tahun 2014 ketika berusia 94 tahun.

Tan Sri Dr Salma Ismail, menerima penghargaan dari Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah. Imej dari malaysianreview.com

Tapi untuk jawatan Pegawai Perubatan dalam perkhidmatan awam negeri Kedah, Siti Hasmah adalah wanita Melayu yang pertama. Pada tahun 1974, beliau jadi antara wanita pertama yang dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Negeri Ibu Mengandung dan kanak-kanak. Selain tu, beliau juga pegang pelbagai jawatan macam:

  1. Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia
  2. Pengerusi Persatuan Perancang Keluarga Negeri Kedah
  3. Presiden Persatuan Yayasan Perubatan Malaysia
  4. Presiden Persatuan Pemulihan Kanak-Kanak Cacat
  5. Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Perancang Keluarga Malaysia
  6. Penasihat Persatuan Kesihatan Ibu Mengandung dan Neonatal
  7. Penasihat Persatuan Pediatrik Malaysia

Siti Hasmah juga dilantik sebagai Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Antara kejayaan yang dicatatkan BAM adalah pemain-pemain kita berjaya bawa balik Piala Thomas pada 1992. 

Siti Hasmah memeluk Rasyid Sidek yang menang dalam perlawanan pertama menentang China. Imej dari Astro Awani.

Selain tu, Siti Hasmah pun terkenal sebagai seorang yang cintakan keamananan dan aktif terlibat dalam misi kemanusiaan.

3. Pergi ke Iraq dan melihat sendiri kesengsaraan di sana

Sekarang ni, kalau kita dengar cerita pasal Iraq, mesti tak lekang dengan berita pergolakan dan berita bom sana, bom sini. Bermulanya krisis kat Iraq ni adalah bila jatuhnya rejim Saddam Hussein yang akhirnya mati di tali gantung. Masa Saddam masih berkuasa, macam-macam tekanan yang diberikan dunia terhadap Iraq. Antaranya adalah sekatan ekonomi yang halang semua barang diimport ke Iraq.

Jangan tembak merata-rata. Bahaya! Imej dari yourmiddleeast.com

Jadinya pada tahun 2000, Siti Hasmah, para doktor pakar dan beberapa buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) ada buat lawatan ke Iraq untuk tengok sendiri keadaan negara tu. Siti Hasmah nampaknya terkejut dengan keadaan Iraq yang dilihatnya sangat berbeza dengan keadaan Iraq sebelum Perang Teluk (Iraq VS Kuwait).

“Keadaan di Iraq amat menyayat hati kerana rakyatnya hidup dalam suasana serba-serbi kekurangan. Bukan sahaja makanan malah ubat-ubatan termasuk alat-alat kecemasan untuk rawatan turut disekat kemasukannya.” – Tun Dr Siti Hasmah, dipetik dari Utusan Malaysia (09/04/2000).

Kanak-kanak yang menjadi mangsa kesan dari kekurangan makanan dan ubatan kat Iraq. Imej dari Pinterest.

Siti Hasmah juga sedih bila tengok Iraq jadi macam tu, sedangkan dulu Iraq jadi antara negara termoden kat Asia Barat dan pengeluar minyak kedua terbesar kat dunia. Selain melawat hospital, Siti Hasmah dan delegasinya juga lawat tempat perlindungan anti-nuklear Al-Amiriah yang dibom tentera bersekutu masa Perang Teluk.

“Lawatan ke Al-Amiriah begitu menyayat hati. Beliau melihat sendiri kesan bayangan manusia sedang mendukung bayi dan kulit yang masih terlekat di dinding akibat bahang radiasi serangan bom itu.” – Dipetik dari Utusan Malaysia (09/04/2000).

Dr Mahathir menghantar rombongan Siti Hasmah Mohd Ali yang akan berlepas ke Iraq pada 2001. Imej dari Utusan Malaysia.

Walaupun tindakan Siti Hasmah ini hanya sebagai lawatan kemanusiaan, tapi masih ada juga pihak yang dakwa lawatan ni sebenarnya nak tolong Saddam Hussein. Amerika Syarikat (AS) dalam responnya, kecam lawatan Siti Hasmah tu. Bagaimanapun, Dr Mahathir jawab dakwaan dan kecaman tu dengan kata…

“Kita bukan nak tolong Saddam, Saddam pun tidak perlukan pertolongan kita.” – Dr Mahathir Mohammad. Dipetik dari BERNAMA.

Saddam Hussein & Yasser Arafat. Imej dari independent.ie

Dr Mahathir juga tegaskan yang Malaysia sebenarnya tak setuju dengan serangan Iraq ke atas Kuwait. Dalam waktu sama, Malaysia juga tak setuju dengan tindakan sekatan ekonomi terhadap Iraq yang akhirnya menjadikan rakyat Iraq sebagai mangsa.

4. Kakak Siti Hasmah adalah orang yang temukan jodoh antara Anwar dan Wan Azizah

Sepanjang perjalanan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim mungkin menjadi satu peristiwa paling kontroversi dan diingati. Akibat dari pemecatan inilah munculnya gerakan reformasi dan tertubuhnya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Hubungan Dr Mahathir, Siti Hasmah dan keluarga Anwar juga lepas tu semakin renggang.

Tapi sekarang ni, nampaknya isu antara Dr Mahathir dan Anwar ni macam dah dilupakan bila Dr Mahathir sendiri dah berkerjasama dengan Wan Azizah (isteri Anwar) dan Presiden PKR. Malah Dr Mahathir sendiri dicalonkan sebagai bakal Perdana Menteri kalau Pakatan Harapan menang dalam PRU-14 nanti. Tapi Dr Mahathir cuma jadi PM sementara, sebelum jawatan tu diberikan kepada Anwar.

Dr Siti Hasmah menepung tawar masa majlis perkahwinan Azmin Ali. Imej dari srikandi7.blogspot

Kalau korang nak tahu, kakak kepada Siti Hasmah – Allahyarham Datuk Paduka Saleha Mohd Ali adalah orang yang bertanggungjawab menyatukan jodoh antara Anwar dan Wan Azizah. 

“Dia (Wan Azizah) ibarat adik kepada saya, tetapi sebenarnya dia lebih rapat dengan kakak saya kerana kakak menjadi orang tengah antara Azizah dan Anwar.” – Tun Dr Siti Hasmah, katanya kepada Majalah Keluarga.

Siti Hasmah & Wan Azizah masa dulu-dulu. Imej dari gelombang-rakyat.blogspot

Pada November 2016 lepas, Siti Hasmah dan Wan Azizah dah berjumpa buat pertama kalinya sejak peristiwa pemecatan Anwar pada 1998. Dalam salah satu temubual, Wan Azizah ada bagitau yang dulu beliau dengan Siti Hasmah selalu main badminton sama-sama. Tapi disebabkan masalah politik antara Dr Mahathir dan Anwar, hubungan rapat mereka terpaksa dikorbankan.

“Kalau bermain (badminton) dengan beliau (Siti Hasmah), saya penat sikitlah, sebab nak ke sana sini. Saya ni agak gementar sikit ketika bermain… Sekarang Alhamdulillah, tiada apa-apa yang menghalang sekiranya saya hendak berjumpa dengannya.” – Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dipetik dari Sinar Harian.

Siti Hasmah menitiskan air mata masa Dr Mahathir diumumkan sebagai PM kalau Pakatan Harapan menang dalam PRU-14. Imej dari Malaysiakini.

5. Siti Hasmah sebenarnya tak tahu Dr Mahathir nak letak jawatan dulu

Sesiapa yang tengok TV masa 22 Jun 2002, mesti korang ada saksikan ucapan Dr Mahathir secara langsung kat Perhimpunan Agung UMNO. Masa ni jugaklah emosi rakyat Malaysia tergugat bila secara tiba-tiba Dr Mahathir umumkan yang beliau lepaskan jawatan.

“…saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan… mengumumkan… satu… peletakan jawatan saya (tersebak sambil meminum air) peletakan jawatan saya sebagai Presiden UMNO dan semua jawatan-jawatan…yang dipegang oleh saya…dalam parti, peletakan saya sebagai pengerusi BN dan semua jawatan dalam BN…” – Tun Dr Mahathir, dipetik dari Utusan Malaysia.

Keadaan pentas Perhimpunan Agung UMNO masa Dr Mahathir umum letak jawatan. Imej dari Utusan Malaysia.

Bila Dr Mahathir umumkan je peletakan jawatan ni, maka bisinglah satu dewan yang minta Dr Mahathir tarik balik pengumuman tu. Ada juga yang tergamam dan salah seorang darinya adalah Siti Hasmah sendiri. Rupa-rupanya, Siti Hasmah sebenarnya tak tahu yang Dr Mahathir nak letak jawatan.

“Memang saya tidak tahu langsung, kalau tidak takkan saya terkejut dan terdiam. Kalau dilihat di televisyen, mulut saya ternganga dan saya terpaku seketika kerana terperanjat dengan pengumumannya itu.” – Tun Dr Siti Hasmah, katanya kepada Utusan Malaysia (07/07/2002).

Siti Hasmah & Tengku Razaleigh Hamzah. Imej dari The Malaysian Insight.

Ditanya sama ada beliau kecil hati tak sebab Dr Mahathir tak bagitau pasal hal letak jawatan ni. Siti Hasmah kata yang beliau tak rasa kecil hati dan anggap tu sebagai hak Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri untuk merahsiakannya atau tidak.

“Selama 21 tahun beliau jadi Perdana Menteri, saya memang tidak pernah anggap beliau adalah Perdana Menteri. Tetapi saya sentiasa anggap dia sebagai suami saya.” – Tun Dr Siti Hasmah, dipetik dari Utusan Malaysia (07/07/2002).

Imej dari The Coverage.

Siti Hasmah – Seorang isteri yang tidak menyibuk jadi ‘menteri tambahan’

Itulah apa yang diulas oleh Dr Asri Zainul Abidin (Mufti Perlis) tentang Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Tambah Asri lagi, dengan wajah Siti Hasmah yang tak sombong, gayanya yang tak ego, kerendahan dirinya dan sikap tak campur tangan dalam politik dah buatkan Siti Hasmah tak dimusuhi. Sebab itulah kita boleh dengar macam-macam benda buruk dikaitkan dengan Dr Mahathir, tapi susah nak dengar perkara-perkara buruk dikaitkan dengan Siti Hasmah.

“Begitu lama Tun Mahathir di tampuk kuasa. Tun Siti tetap bersederhana. Tiada cerita kemewahannya semasa di luar negara, atau bising campur tangannya dalam projek itu dan ini, tiada cerita ‘kegarangannya’ kepada pihak sana dan sini… Seorang pemimpin memerlukan isteri yang ‘tidak menyibuk’ seperti Tun Dr Siti Hasmah.” – Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.

Dr Mahathir & Siti Hasmah berjumpa dengan Prof Diraja Ungku Aziz. Imej dari UM Memory.

Pada tahun 2012, kisah hidup Siti Hasmah dah dipentaskan, dengan Erra Fazira mainkan watak utamanya. Pada hari ni, dengan kembalinya Dr Mahathir dalam gelanggang politik, nampaknya Siti Hasmah pun merasa tempiasnya. Tak lama lepas diambil keterangan polis, kita dilaporkan yang Siti Hasmah dah digugurkan sebagai penaung Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia. 

Siti Hasmah & Erra Fazira. Imej dari Kosmo.

Walau apa pun, sampai ke hari ni kita masih lagi dapat tengok Siti Hasmah sentiasa ada di belakang dan sentiasa menyokong suaminya Dr Mahathir Mohamad.

“Sebenarnya tidak banyak yang saya telah bantu sehingga suami saya berjaya seperti hari ini. Kecuali sekadar menyokong beliau dalam apa juga yang hendak dilakukannya. Saya doakan kejayaan semua rancangan yang dibuatnya untuk kebaikan dirinya, agama, bangsa dan negara.” – Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, dipetik dari Utusan Malaysia (07/07/2002).

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.