Jenayah & Undang-undang

Kisah pemecatan Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara

KEMASKINI 16 JANUARI 2021: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, pada pukul 3.20 pagi. Sebelum ini, beliau disahkan positif COVID-19 dan dirawat di hospital tersebut.

________________

* Artikel ini asalnya diterbitkan pada 10 Januari 2018 dan mungkin terdapat isi artikel yang tidak selaras dengan keadaan semasa. 

Macam biasa, cerita politik kat Malaysia ni tak akan berhenti dan akan terus berjalan. Lebih-lebih lagi bila dah dekat dengan PRU ke-14 ni. Tindakan Dr Mahathir sekarang ni aktif dalam blok pembangkang dan dicalonkan pula jadi Perdana Menteri kalau HARAPAN menang nanti, buatkan banyak cerita lama diungkit balik.

Antara isu yang dibangkitkan balik adalah krisis kehakiman 1988 yang menyaksikan Ketua Hakim masa tu – Tun Salleh Abas dipecat. Maka banyaklah kata Dr Mahathir yang pecat Tun Salleh Abas. Seperti yang kita tahu, kat Malaysia ni kita amalkan pengasingan kuasa di antara badan perundangan (Parlimen), badan eksekutif (pentadbiran) dan badan kehakiman (mahkamah). Jadinya, setiap dari satu badan ni tak boleh masuk campur urusan satu sama lain.

Dr Mahathir nafi dia yang suruh pecat Salleh Abas. Imej dari Astro Awani.

Bila badan eksekutif masuk campur badan kehakiman, ia dah kira merosakkan badan kehakiman dan demokrasi di negara ni. Tapi, disebabkan peristiwa pemecatan Tun Salleh ni dah pun jadi 30 tahun dulu, mungkin kita boleh tengok satu persatu untuk faham apa sebenarnya yang jadi.

Kerajaan gantung permit akhbar dan halau wartawan keluar dari Malaysia

Krisis kehakiman 1988 tak la terus jadi macam tu je, tapi ada beberapa peristiwa yang membawa atau jadi clue sebelum jadinya krisis. Seperti yang kita tahu, Dr Mahathir mula jadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO pada tahun 1981, apabila menggantikan Tun Hussein Onn. Walaupun Dr Mahathir bebaskan ramai tahanan ISA lepas je beliau dapat jawatan PM, tapi nampaknya kebebasan akhbar/media masih lagi dikawal.

Pada tahun 1986, Dr Mahathir yang juga Menteri Dalam Negeri dah menggantung permit pengedaran The Asian Wall Street Journal (AWSJ) dan dua orang wartawannya dihalau keluar dari Malaysia. Dr Mahathir buat macam tu sebab dakwa wartawan-wartawan ni cuba gagalkan kebangkitan perindustrian Malaysia dengan cara menakut-nakutkan pemodal asing.

“Dr Mahathir menemui Ketua Eksekutif akhbar itu di New York dan memberitahunya, ‘AWSJ bermotif jahat terhadap Malaysia, wartawan-wartawan awak membuat laporan yang tidak berdasarkan fakta yang benar, tidak adil, berat sebelah dan bertujuan semata-mata untuk memburuk-burukkan Malaysia’.” – Dipetik dari buku: Surat dari Dr Mahathir.

Tapi dua wartawan AWSJ ni tak puas hati dan bawa kes ni ke mahkamah. Mahkamah pun lepas tu buat keputusan tolak perintah pengusiran untuk seorang wartawan dan seorang lagi tetap diusir. Bila kes ni dibawa ke Mahkamah Agung (Mahkamah Persekutuan sekarang), permohonan wartawan yang tetap kena usir tu diterima dan mahkamah ketepikan keputusan kerajaan membatalkan permit kerjanya.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Pada tahun tu jugalah, Dr Mahathir mula mengkritik badan kehakiman dalam temu ramahnya bersama majalah Time. Antara yang dikritik Dr Mahathir adalah mendakwa hakim – hakim mentafsirkan undang-undang tanpa ikut kehendak Parlimen yang buat undang-undang. Senang kata, bagi Dr Mahathir – lain yang Parlimen nak, lain yang hakim tafsir.

“Siapa kisah dengan apa yang Barat fikir. Mahathir Mohamad membina semula Malaysia dengan caranya”. Imej dari dinmerican.wordpress

Disebabkan hal ni, Lim Kit Siang failkan kes terhadap Dr Mahathir sebab dianggap dah menghina mahkamah. Tapi mahkamah tolak permohonan tu dengan kata – Dr Mahathir keliru pada konsep pemisahan kuasa dan perlunya badan kehakiman bebas dalam sistem demokrasi.

Kes pengharaman UMNO dan bermulanya krisis kehakiman

Pada tahun 1987, dah jadi krisis dalam UMNO bila buat kali pertamanya jawatan Presiden UMNO yang disandang Dr Mahathir dicabar. Orang yang berani cabar tu pula adalah Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li). Namun, Dr Mahathir bernasib baik bila beliau menang dengan majoriti tipis 43 undi.

Bagaimanapun, masih ada pihak yang tak puas hati dan bawa kes ni ke mahkamah. Akhirnya, mahkamah buat keputusan yang menggemparkan bila mengisytiharkan UMNO HARAM!

Dari kiri: Musa Hitam, Tengku Razaleigh & Dr Mahathir. Imej dari Utusan Malaysia.

Kesannya, UMNO baru pun ditubuhkan dan Ku Li buat parti sendiri – Semangat 46 (S46). Tapi S46 tak tahan lama dan bubar pada tahun 1996. Ada yang kata kes pengharaman UMNO ni juga jadi punca krisis kehakiman, sebab banyak kes mahkamah yang tak memihak kepada kerajaan. Tapi apa yang pasti, Dr Mahathir masa tu memang tak puas hati dengan badan kehakiman negara ni.

“Adalah benar yang saya telah mengkritik hakim-hakim kerana mentafsir undang-undang yang dilulus kerajaan yang tidak menepati matlamat atau objektif undang-undang itu. Saya ada mencadangkan bahawa jika undang-undang yang ditafsirkan berlainan lain daripada matlamat asal seperti mana yang kerajaan dan penggubal undang-undang harapkan, maka undang-undang tersebut akan dipinda.” – Dr Mahathir, dipetik dari Chedet.cc.

Tak puas hati punya pasal. Imej dari echelon-vedasara.blogspot

Selain tu, Dr Mahathir juga dikatakan tak puas hati dengan tindakan para hakim yang dia dakwa suka menangguhkan kes.

“Dr Mahathir juga tidak sabar melihat beribu kes tertangguh di mahkamah-mahkamah kerana kebiasaan para hakim membuat penangguhan sewenang-wenangnya. Beliau mendapat maklumat tentang hakim yang lebih banyak membuang masa dengan minum di kelab, lewat datang ke mahkamah, tidak menulis pengadilan dengan sumpurna atau dengan tergesa-gesa dan tidak mempunyai disiplin kerja.” – Dipetik dari buku: Surat Daripada Dr Mahathir, p97.

Disebabkan perkara ni, Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dah buat bantahan terhadap kritikan Dr Mahathir tu. Salleh sifatkan Dr Mahathir sepanjang tahun asyik mengkritik badan kehakiman dan ahli-ahlinya. Salleh lepas tu buat mesyuarat dengan para hakim dan buat keputusan untuk hantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu. Dalam surat tu ceritakan pasal ketegangan hubungan antara badan eksekutif (pentadbiran) dan badan kehakiman.

“Kami semua (para hakim) berasa kecewa dengan pelbagai komen dan tuduhan yang dibuat oleh Perdana Menteri terhadap badan kehakiman, bukan hanya di luar tetapi di dalam Parlimen.” – Antara isi surat.

Tun Salleh Abas. Imej dari buletinonline.net

Salleh juga anggap tuduhan-tuduhan tu dah memalukan para hakim, sampai diorang tak dapat lakukan tugas dengan tertib dan teratur. Salleh turut kata yang beliau tak nak balas tuduhan tu secara terbuka sebab ia tak sesuai dengan kedudukan para hakim di bawah Perlembagaan. Jadinya, lebih baik para hakim bersabar untuk kepentingan negara.

Tapi bagi Dr Mahathir, Salleh tak cakap benar sebab sebelum tu Salleh dah pun merungut pasal hubungan antara kerajaan dengan badan eksekutif secara terbuka. Menurut Dr Mahathir lagi, sebelum Salleh bagi surat tu, Salleh dah pun bagi surat kepada YDP Agong. Dalam surat tu, Salleh mengadu pasal bunyi bising dari kerja-kerja baik pulih di istana YDP Agong yang dekat dengan rumah Salleh.

Perkara ni dianggap sebagai melanggar tatasusila. Kata Dr Mahathir, seseorang macam Salleh boleh saja menghadap YDP Agong dan beritahu aduannya tu secara lisan.

“Untuk memburukkan lagi perbuatan menghina istana dia telah menghantar salinan suratnya kepada raja-raja lain. Ini seolah-olah menunjukkan yang dia tidak punyai keyakinan terhadap YDP Agong dan menghendakkan Raja-Raja Melayu lain untuk mengadakan tekanan terhadap YDP Agong.” –  Dr Mahathir, dipetik dari Chedet.cc.

Imej dari Giphy.

Siapa yang nak Salleh Abas dipecat?

Itulah antara soalan yang ditanya sejak 30 tahun dulu. Siapa yang bertanggungjawab nak Salleh Abas dipecat dari jawatannya? Sebenarnya, bukan senang nak pecat Ketua Hakim Negara ni. Ye lah, jawatan tu adalah yang tertinggi dalam badan kehakiman negara.

Menurut Dr Mahathir, lepas surat-surat ni sampai ke istana dan Raja-Raja Melayu, beliau adakan mesyuarat mingguan dengan YDP Agong. Dalam mesyuarat tu, YDP Agong dah zahirkan rasa tak puas hati dan tersinggung dengan surat-surat Salleh. Jadinya, baginda minta Salleh disingkirkan dari jawatannya.

Baginda telah menulis sendiri permintaan baginda di ruangan tepi (margin) surat pertama Tun Salleh berkenaan dengan bunyi bising daripada kerja-kerja yang sedang dijalankan di kediaman YDP Agong.” – Dr Mahathir, dipetik dari Chedet.cc.

Dari kiri: Ambiga, Sulaiman Abdullah, Salleh Abas, Mah Weng Kwai & Ramon Navaratnam. Imej dari The Nut Graph.

Cerita ni berbeza dengan apa yang kita dengar selama ni. Sebabnya, cerita sebelum ni kata Dr Mahathir yang nak Salleh disingkirkan dari jawatannya. Macam apa yang Harakah bagitau ni:

Tun Mahathir menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong menasihatkan baginda supaya Tun Salleh dipecat kerana ‘salah laku’. Kemudian dicadangkan juga penubuhan sebuah tribunal untuk membicarakan Tun Salleh. Yang di-Pertuan Agong bersetuju atas nasihat Perdana Menteri.” – Dipetik dari Harakah Daily.

Walau apapun versinya, memang ada cubaan untuk singkirkan Salleh dari jawatannya. Tapi seperti yang dibagitau, perkara tu bukannya mudah, sebab ada prosedur yang kena diikut. Antaranya adalah satu tribunal kena ditubuhkan. Tapi tribunal tu pula hanya boleh ditubuhkan atas perwakilan yang dibuat oleh Perdana Menteri.

“Adalah tidak benar saya menggunakan namanya (Dr Mahathir) tanpa pengetahuannya kerana saya terpaksa menggunakan nama dan pejabatnya untuk tujuan menubuhkan tribunal… Pejabat Peguam Negara – pejabat saya – menyediakan dokumen-dokumen. Komunikasi dengan istana itu ditangani oleh Jabatan Perdana Menteri.” – Tan Sri Abu Talib Othman, bekas Peguam Negara. Dipetik dari Malaysiakini.

Imej dari ukeconline.com

Tribunal tu juga dianggotai oleh dua orang hakim luar negara iaitu K.A.P. Ranasinghe (Ketua Hakim Sri Lanka) dan S. Sinnathuray (Hakim Kanan Mahkamah Agung Singapura). Tambah Abu Talib lagi, Dr Mahathir tak terlibat dalam pemecatan Salleh.

“Seperti saya kata, tidak benar bahawa Mahathir memulakan penyingkiran itu atau mahu Salleh dipecat, beliau hanya mematuhi arahan Agong… Saya tidak membela Mahathir, sebab itu saya kata, kamu mungkin tidak menyukainya, tetapi itulah fakta, saya tidak bermain politik tetapi berdasarkan fakta.” – Tan Sri Abu Talib Othman, bekas Peguam Negara. Dipetik dari Malaysiakini.

Tun Salleh Abas, Ketua Hakim Negara pertama yang dipecat

Jadinya bermulalah proses untuk menyingkirkan Salleh. Pada Mei 1988, YDP Agong dah menggantung tugas Salleh untuk bagi ruang kepada penyiasatan tribunal. Tribunal tu diketuai oleh Tan Sri Abdul Hamid Omar (Hakim Besar Malaya). Hasilnya, Salleh dah dituduh dengan lima pertuduhan utama (klik sini kalau nak tahu apa dia).

Barisan para hakim. Imej dari mynewshub.cc

Walaupun begitu, tribunal ni tak la berjalan dengan lancar. Sebab banyak pihak yang rasa tak puas hati. Macam Majlis Peguam yang persoalkan kelayakan Abdul Hamid Omar mengetuai tribunal tu. Sebabnya bagi diorang, Hamid tak layak dan kedudukan Hamid bukanlah yang lebih kanan dari Salleh.

Dalam masa sama, lima orang hakim yang juga tak setuju dengan tribunal ni dah adakan persidangan Mahkamah Agung mengejut dan keluarkan perintah menghalang hasil siasatan tribunal ni dari diserahkan kepada YDP Agong. Perkara ni menyebabkan YDP Agong menggantung tugas kelima-lima hakim tersebut.

5 hakim yang digantung tugas. Wan Suleiman & George Seah akhirnya dipecat. Imej dari ukeconline.com

Akhirnya pada 8 Ogos 1988, Salleh dipecat dari jawatan Ketua Hakim Negara dengan alasan berkelakuan tak baik. Maka, jadilah Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara pertama di negara ini yang disingkirkan dari jawatannya.

Setelah 30 tahun, kes ini masih diperkatakan dan dibincangkan

Pada tahun 2015, anakanda Almarhum Sultan Johor, Tunku Abdul Majid Sultan Iskandar ada kata yang ayahandanya dipergunakan oleh Dr Mahathir untuk memecat Salleh masa menjadi YDP Agong.

Mahathir gunakan bapa saya untuk singkirkan Salleh, titik. Salleh orang baik dan bapa saya iktirafnya. Baginda (Sultan Iskandar) sudah berbaik-baik dengan Tun Salleh… Mahathir, tolong jangan salahkan pihak yang tidak dapat pertahankan dirinya lagi.” – Tunku Abdul Majid Idris, Tunku Bendahara Johor. Dipetik dari Malay Mail Online.

Tun Salleh terima bayaran ex-gratia (pampasan) dari kerajaan yang diwakilkan oleh Zaid Ibrahim. Imej dari pemudabesut.blogspot

Tapi, kenyataan yang dibuat oleh bekas Peguam Negara, Abu Talib mengatakan sebaliknya. Seperti mana yang diceritakan tadi.

Saya lihat nota itu, yang ditulis tangan oleh YDP Agong (dan) ditandatangan olehnya kepada Perdana Menteri, mengarahkannya untuk menyingkirkan Tun Salleh sebagai Ketua Hakim dan melantik Tan Sri Hamid Omar sebagai Ketua Hakim yang baru. Saya kata lagi, saya nampak nota itu, ditulis tangan oleh baginda.” –  Tan Sri Abu Talib Othman, bekas Peguam Negara. Dipetik dari Kini TV.

Kesan dari krisis kehakiman 1988, Parlimen dah buat pindaan dalam Perlembagaan yang menghadkan kuasa mahkamah. Jika sebelum tu, mahkamah ada kuasa untuk semak semua undang-undang yang digubal di Parlimen, tapi selepas pindaan – mahkamah hanya ada kuasa menyemak undang-undang yang dibenarkan oleh Parlimen.

Bagaimanapun, ramai yang berpandangan kuasa Mahkamah tak boleh dilucutkan oleh Parlimen melalui
pindaan kepada Perlembagaan kerana ia merupakan sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan. Jadinya, pindaan 1988 tidak berkesan.

Walaupun begitu, peristiwa yang jadi pada 1988 tetap menjadi tatapan sejarah dan akan terus dikenang dan dikaji dengan pelbagai tanggapan serta tafsiran.

“Kebebasan kehakiman yang ditubuhkan oleh Perlembagaan bukan untuk memuliakan seseorang hakim, bukan untuk faedah peribadi, tetapi untuk membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab mereka secara saksama dan adil tanpa takut atau berat sebelah.” – Tun Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend