Agama

Ramalan nombor ekor: Jin bomoh berlawan dengan jin syarikat judi

(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)

Mungkin ada di antara korang yang pernah berharap atau terfikir nak jadikan duit RM1 kepada duit bernilai jutaan ringgit! Tapi macam mana? Takkan nak melabur saham kot… jadinya cara yang paling mudah dan berisiko, beli nombor ekor atau nombor 4D!

Walaupun aktiviti ni memang sah-sah haram dalam Islam, tapi kita masih tak dapat nafikan yang ramai je orang Islam masih terlibat dalam aktiviti tikam nombor ni. Buktinya, baru-baru ni kita dapat berita – ada orang Malaysia kena tipu dengan bomoh nombor ekor. Bomoh tu namakan dirinya sebagai ‘Haji Ando’ dan kata dia berasal dari Indonesia.

Dulu kita selalu dengar skim ‘Gores & Menang’. Imej dari Giphy.

Tapi macam biasa, caranya kita kena bagi duit dulu kat dia, pastu semua dah tahu sendiri apa yang jadi… Haji Ando ni pun lesapkan diri dengan deposit tu sekali.

“Saya hubungi nombor itu dan bercakap dengan seorang lelaki yang kata dia boleh tawarkan servis tersebut. Saya rasa curiga bila dia minta deposit dan ambil keputusan untuk tarik diri. Saya juga nampak di media sosial ada yang telah ditipu dengan lelaki ni. Ada yang kata Haji Ando ni boleh ramalkan nombor sampai menang RM1 juta. Tapi bila dah bagi duit, dia pun lesap.” – Yunos Md Alif, hampir kena tipu. Dipetik dari New Straits Times.

Imej dari NST dan Facebook. Tapi status kat FB tu dah dipadam.

Bukan main baik niat dia nak derma dekat anak yatim. Dari sudut lain pulak, boleh ke nombor ekor ni diramal? Tapi sebelum tu…

Ini dia apa yang dimaksudkan dengan nombor 4D

Kitorang ni bukan nak mengajar korang cara nak beli nombor judi, tapi hanya nak bagitau macam mana caranya sistem ni berjalan. Pertama, ‘4D’ tu sebenarnya bermaksud ’empat digit’. Caranya, korang kena teka empat digit nombor dan taruhkannya dengan duit. Kalau nombor korang tu naik, kayalah korang dengan duit judi.

Antara syarikat yang terkenal kat Malaysia ni tentulah Da Ma Cai, Magnum 4D dan Sport Toto yang kita selalu nampak, tapi tak pernah masuk (ye la tu). Format diorang ni sama je sebenarnya.

Kita tengok nombor apa yang menang! Imej dari hamiasraff.blogspot

Secara mudahnya, korang teka satu set nombor, taruhkan duit dan beli tiket nombor. Lepas tu, 23 set nombor akan diumumkan dan kalau nombor yang korang taruhkan tu ada dalam senarai, korang akan menang duit berdasarkan jumlah duit yang korang pertaruhkan (kalau korang main yang ‘big’). Tapi kalau korang main yang ‘small’, nombor korang mesti sama dengan yang top 3 je. Kelebihannya, nilai kemenangan ‘small’ lagi tinggi dari yang ‘big’.

Kalau korang taruhkan RM10, first prize untuk small adalah RM30,500. Imej dari Da Ma Cai.

Bila dengan hanya RM1 korang boleh menang sampai RM3,500, jadi macam mana pulak kalau korang taruhkan RM1,000? Tak kaya korang? Sebab itulah ramai yang sanggup buat kerja khurafat semata-mata nak menang nombor ekor.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Jin bomoh nombor ekor berlawan dengan jin syarikat judi

Dalam hal ni, ada satu jurnal dari UKM yang menceritakan macam mana dunia mistik dikaitkan dengan amalan nombor ekor. Dalam jurnal tu, ada seorang bomoh kat Kelantan yang dakwa dia dapat bantuan makhluk ghaib atau khadam dengan menggunakan keris.

“…bomoh Seman Janggut menerangkan nombor ekor ialah suatu nombor (angka) yang boleh diramalkan oleh bomoh ekor sebagai nombor pembawa tuah mahu pun nombor sial. Manakala, ekor pula merujuk angka pada bahagian hujung (akhir) nombor.” – Dipetik dari jurnal tulisan Azlina Musa & Yusmilayati Yunos.

Nombor berekor sembilan. Imej asal dari teepublic.com

Untuk dapatkan nombor tu, bomoh kena jalankan ritual tertentu. Antaranya dengan guna keris yang dilumurkan darah – sama ada darah binatang, orang mati dibunuh atau orang kemalangan. Keris tu juga diasapkan dengan kemenyan. Tujuannya untuk ‘memanggil atau menarik’ duit.

Lepas tu, bomoh ni tadi akan pilih wang kertas yang ada nombor siri ganjil. Kemudian, wang kertas tadi akan dilalukan kat garisan berlubang pada bahagian tengah keris. Dengan cara ni, keris tadi dipercayai akan panggil semangat duit dan korang boleh guna duit tu untuk beli nombor ekor.

Buat kenduri selamat sebab menang nombor ke apa? Imej dari buasirotak.blogspot

Tapi ada juga cara lain, macam apa yang seorang bomoh (dikenali sebagai Tok Mudo) ni buat. Caranya, kad yang ada nombor 0 sampai 9 akan diletakkan kat depan keris. Pada masa sama, keris tu akan digantung dengan besi pemberat atau dililit dengan benang dan diasapkan kemenyan.

“Keris yang telah digantungkan dengan benang mentah akan bergerak atau pun musing dalam loghat Kelantan dan akan membantu bomoh dalam memilih suatu nombor yang bakal menang dalam loteri tikam nombor ekor.” – Dipetik dari jurnal tulisan Azlina Musa & Yusmilayati Yunos.

Keris ada banyak ni, gunalah mana yang berkenan. Imej dari cendananews.com

Menurut bomoh-bomoh ni, diorang akan hantar makhluk ghaib diorang ke syarikat judi untuk dapatkan nombor mana yang akan menang. Disebabkan ramai yang buat macam ni, dikatakan syarikat judi pun ada makhluk ghaib diorang sendiri untuk jaga nombor-nombor ni supaya bocor.s

Jadinya berlakulah perlawanan antara makhluk ghaib syarikat loteri dengan makhluk ghaib bomoh. Bila pihak bomoh ni menang, barulah nombor tu akan muncul kat besi keris yang dijampi tadi.

“Lazimnya, nombor tersebut akan dihantar oleh makhluk ghaib pada besi keris kepada bomoh hanya tiga kali sahaja. Di sini, bomoh harus peka dengan alamat nombor yang diberikan oleh makhluk ghaib dengan melakukannya dengan penuh teliti.” – Dipetik dari jurnal tulisan Azlina Musa & Yusmilayati Yunos.

Setelah lama berlawan, akhirnya jinnya menang. Imej dari New Straits Times.

Tapi semua ritual ni masih ada lagi pelbagai syarat dan pantang larang lain. Termasuklah bila nombor ni boleh dibeli, berapa duit pengeras dan sebagainya. Di samping tu, ada juga yang gunakan cara lain – macam guna burung Bayan yang akan pilih nombor yang disediakan.

Selain gunakan bomoh, ada juga yang anggap anak babi hutan boleh bawa tuah macam apa yang jadi kat Teluk Intan, Perak. Bila anak babi ni merayau kat kampung, ada kaki loteri akan belai dulu anak babi tu, sebelum beli nombor ekor. Ada juga yang akan gosok duit kat belakang babi hutan dan gunakan duit tu untuk beli tiket loteri.

Jangan lupa buat kalau jumpa haiwan comel ni. Imej dari TakePart.

Mungkin kita juga pernah dengar pasal orang mengangkung nombor kat kubur atau makam tertentu. Ada juga yang guna cara moden macam ada website yang kata diorang gunakan konsep algorithm atau buat ramalan nombor dengan guna tarikh lahir. Tapi, tak tahulah cara ni betul ke tidak.

Salah satu tempat puja nombor ekor kat Pulau Besar, Melaka. Imej dari Cintamenora.

Ada juga yang kena tipu dengan bomoh Siam

Sebelum korang berhenti kerja atau pergi jumpa mana-mana bomoh, korang ingatlah yang tak ada jalan pintas kat dunia ni. Seperti mana yang jadi dalam kes Hj Ando yang kita baca tadi. Sebenarnya, sebelum kes penipuan Haji Ando ni, banyak je kes scam yang ada, malah ada yang promote servis diorang dengan guna pamplet bagai.

Ni bukan cabutan nombor bertuah tau, tapi testimoni kemenangan (kesian makcik ni gambarnya kena guna). Imej dari suparjo.blogspot

Salah satunya apa yang jadi kat sorang suri rumah berumur 26 tahun ni. Pada tahun 2015, Wong dah dapat satu pamplet dengan paparkan seorang sami Siam yang kata boleh bagi menang nombor. Lepas simpan pamplet tu selama 2 tahun, akhirnya Wong pun tergoda dan call sami tu tahun lepas.

“Seorang lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai Seng Shu beritahu yang saya ada tuah untuk menang RM960,000 tunai dengan beli loteri. Bagaimanapun, saya kena bank-in RM20 ke dalam akaun bank di bawah nama ‘Suvitta Agarbathi Dharma’ kalau nak dapatkan nombor tu.” – Dipetik dari The Sun Daily.

Dengan RM20, beberapa hari  lepas tu Wong dapat empat digit nombor dan tangkal, tapi dia dimintak untuk bakar benda tu. Kemudian, dia kena hubungi pulak pembantu sami tu, Ah Dong. Ah Dong lepas tu datang dan bagi empat lagi digit nombor yang sama dengan nombor plat motor dia. Tapi bila Wong beli nombor tu, dia tak menang pun.

“Saya hubungi Ah Dong lagi dan dia minta saya bank-in RM360 dalam akaunnya, kalau saya nak menang.” – Katanya pada The Sun Daily.

Tapi macam biasa, dia tetap tak menang. Lepas tu, dia call balik orang tadi sampai 32 kali! Akhirnya, dia dah guna RM240,000 untuk benda ni je!

Wong datang mengadu dengan Biro Pengaduan Awam & Kebajikan GERAKAN. Imej dari The Sun Daily.

Dalam kes lain pulak, sorang ahli perniagaan dah bayar RM60,000 kat sami Siam sebab nak menang jackpot RM100 juta. Beberapa hari lepas dia bagi deposit RM4,000, sami tu call dia dan bagitau yang dia dah menang dan minta supaya ahli perniagaan ni hantar duit lagi supaya duit tu boleh dibawa masuk ke Malaysia secara diam-diam (tak kena cukai dan sebagainya). Tapi lepas bank-in duit, korang tahulah apa yang jadi kan…

Dengan kuasanya, bomoh tu hilang tanpa dikesan~~~ Imej dari Giphy.

Ada sorang ni, sanggup duduk bawah jambatan semata-mata nak kaji nombor ekor

Nombor 4D ni boleh diramal atau tak sebenarnya? Kalau kita tanya kat bomoh mesti diorang kata boleh. Kalau tanya kat syarikat loteri pulak, diorang mesti kata tak boleh. Jadi, boleh ramal atau tak? Untuk jawab soalan tu, ada seorang lelaki dari China (namanya – Wang Chengzhou) yang duduk kat bawah jambatan. Aik kenapa pulak sampai duduk bawah jambatan?

Sebenarnya, Wang ni ada cita-cita besar nak buat kajian pasal loteri. Bila dia takde kerja part-time atau apa-apa, dia akan buat research formula matematik untuk cari rahsia nombor loteri yang boleh menang. Untuk buat semua tu, dia kena bersendirian, jadi pilihannya kat bawah jambatan.

Semoga dia berjaya. Imej dari The Coverage.

Walaupun mak dia ada merayu kat dia supaya balik bila Tahun Baru Cina, Wang tetap tak nak balik selagi di masih belum berjaya. Tapi, ada satu professor matematik pernah kata yang usaha Wang tu hampir kepada ‘mustahil’, sebab nombor loteri ni diambil secara rambang.

Tapi kita pun tak tahulah sama ada usaha Wang tu akan berhasil ke tak. Macam yang kita dengar tadi, jin bomoh dengan jin syarikat loteri siap bergaduh sebab nombor ekor ni.

Dahlah judi tu haram, kita buat pulak benda khurafat

Sebagai umat Islam, rujukan kita mestilah al-Quran dan sunnah. Menurut dua sumber ni, dah disahkan yang judi tu haram, tanpa ada sedikit pun khilaf ulama.

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya” – al-Baqarah: ayat 219.

Mesti mimpi dapat nombor malam raya ni. Imej dari kedahnews.com

Tapi macam mana pulak dengan peraduan atau pertandingan yang janjikan hadiah. Contohnya macam pertandingan memancing. Dalam hal ni, ulama menyebut – kita kena tengok sumber hadiah tu datang dari mana. Adakah ia datang dari yuran penyertaan pertandingan atau hadiah sumbangan dari individu atau agensi tertentu.

“Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Tapi kalau hadiah tu ditaja oleh orang atau agensi tertentu dan tak libatkan yuran peserta, ia tak dikira judi.

“…hadiah hendaklah datang dari pihak tidak terlibat dengan pertandingan, sementara yuran yang diambil hanyalah untuk urusan kemudahan dan kebajikan perserta sahaja.” – Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.

https://www.youtube.com/watch?v=NzEyyXotUbg

Kesimpulannya, tak ada jalan mudah kat dunia ni sebenarnya. Kita juga boleh nampak lebih banyak kesan buruk dari baiknya judi ni semua. Kerana judi jugaklah rumah tangga bergolak, diri tak terurus dan ada juga yang sanggup bunuh diri. Itu belum masuk jumpa bomoh bagai. Dahlah berjudi tu haram, kita terjerumus pulak dalam kekhurafatan.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend