Lepas langsaikan hutang FAM, TMJ umum letak jawatan. Kenapa?

Walaupun tak pernah layak ke Piala Dunia, bola sepak tetap menjadi sukan nombor satu untuk negara yang berada pada ranking ke-178 macam kita. Seronoknya bola sepak di Malaysia ni sampai dapat cuti tambahan bila pasukan negeri kita jadi juara Piala Malaysia. Orang minat bola pun cuti, orang tak minat pun akan bercuti jugak. Kerana ramainya peminat sukan ni, apa-apa isu mengenai prestasi, ranking dan kepimpinan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mendapat perhatian netizen.

Bagi menang PRU dulu. Imej dari Suara Perak.

Selepas setahun menerajui FAM, Tengku Mahkota Johor (TMJ) dah pun mengesahkan untuk melepaskan jawatan presiden. Ramai orang besar yang tak setuju sebab dilaporkan yang TMJ dah ubah banyak benda dalam FAM.

Apa yang TMJ ubah? Memang sebelum ni FAM memang banyak masalah ke? Jadinya, eloklah kita mulakan dengan mengikuti perkembangan FAM sejak dari presiden pertamanya.

Masalah FAM sebelum TMJ jadi presiden

(Selain link yang disediakan, subtopik ini juga banyak merujuk buku Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia tulisan Lucius Maximus terbitan Dubook Press)

Mengikut sejarah, FAM ni ditubuhkan pada tahun 1933 dan presiden pertamanya adalah Sir Andrew Caldecott. Lama lepas tu, barulah orang tempatan sendiri diantik untuk menerajui FAM pada tahun 1951 dan orang pertama itu adalah…

1. Tunku Abdul Rahman (TAR) memperkenalkan kejohanan bola tertua di Asia

Bapa Kemerdekaan negara kita adalah orang tempatan pertama yang jadi presiden FAM. Dialah yang bertanggungjawab menjadikan Malaysia founding members Persatuan Bola Sepak Asia (AFC) serta memasukkan negara kita ke dalam organisasi FIFA. Salah satu cara TAR menghidupkan bola sepak negara adalah dengan menganjurkan Pesta Bola Merdeka pada tahun 1957. Kejohanan ni juga merupakan pertandingan antara negara yang tertua di Asia.

TAR dan pasukan Pesta Bola Merdeka 1958. Imej dari Wikipedia.

Pesta Bola Merdeka ni juga adalah cara untuk FAM dapatkan dana pentadbiran dan lawatan. Kejohanan ni dah menjemput 7 negara iaitu Hong Kong, Indonesia, Vietnam, Singapura, Burma, Siam dan Kemboja. Walaupun kalah, penganjuran ni berjaya mengutip pendapatan jualan tiket sebanyak $140,000 (lebih kurang RM1.2 juta hari ini) dalam masa 8 hari.

Di bawah TAR, pencapaian pasukan negara di peringkat antarabangsa memang buat kita semua kagum. Antaranya tempat ketiga di Sukan Asia Jakarta (1962) & Tehran (1974), melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Munich, Jerman (1972) dan Juara Pestabola Merdeka (1973 dan 1974). Kiranya kat Asia ni kita taraf-taraf top four lah masa tu. Pada tahun 1974, TAR tidak lagi memegang jawatan presiden.

2. Waktu Tun Razak, Jepun pun boleh kalah dengan Malaysia

Tapi tu dulu lah. Sekarang jangan harap.

Kepimpinan FAM bertukar tangan kepada Tun Razak pada tahun 1975. Pestabola Merdeka 1976 diteruskan yang mana Malaysia menjadi juara dengan menewaskan Jepun 2-0. Macam biasa, negara kita juga layak ke Piala Asia 1976 sebelum Tun Razak meninggal dunia.

3. Tahun keemasan di bawah Tan Sri Raja Hamzah Haji Abu Samah

Tan Sri Raja Hamzah pegang jawatan ni dari tahun 1976 hingga 1984. Dia yang merupakan Menteri Perdagangan dan Perindustrian dipilih untuk menggantikan Tun Razak. Sepanjang dia menerajui FAM, tak jumpa maklumat pasal cara FAM kumpulkan dana. Tapi, pasukan negara ada pada tahap terbaik dalam sejarah. Pasukan negara berjaya layak ke Olimpik Rusia 1980 walaupun tak jadi ke sana sebab kita boikot Soviet Union yang serang Afghanistan.

Padang pun penuh, main pun bagus masa ni. Imej dari Star2.

Dalam era ni juga, pasukan negara membenam Kelab Arsenal bimbingan Bertie Mee dengan jaringan 2-0 pada tahun 1975 waktu melawat Malaysia. Pakar-pakar bola sepak antarabangsa termasuk Dettmer Cramer (pengurus Bayern Munich), Billy Bingham (Everton) dan Gordon Milne (Coventry City) mengakui kita adalah permata bola sepak Asia selepas tengok permainan negara kita. Jurulatih Arsenal, Bertie Mee berpesan yang cara terbaik untuk Malaysia tingkatkan mutu bola sepak adalah melawat secara kerap ke Eropah atau Amerika Selatan.

Ekonomi pun kurang baik dengan FAM tak ada duit sebab masalah logistik, jadi, agak susah untuk buat lawatan luar negara.

4. Sultan Ahmad Shah menerajui FAM tiga dekad dari 1984 hingga 2014

Selepas negara gagal dalam kelayakan Piala Dunia 1982 di Kuwait, Hamzah Abu Samah mengundur diri dan digantikan oleh Sultan Ahmad Shah. Perubahan banyak berlaku macam pejabat FAM bertukar dari Jalan Maharajalela ke Kelana Jaya. FAM juga menganjurkan FIFA Youth World Championship yang Malaysia sendiri tak pernah menang. Di peringkat liga bola sepak tempatan, status bertukar dari semi profesional kepada profesional pada tahun 1989.

Pemain bola minta ampun. Imej dari My1foto.

Sepanjang tiga dekad menjadi presiden, pasukan Malaysia tak berjaya layak ke Piala Asia, Olimpik dan Piala Dunia secara merit. Apa yang menyedihkan juga, dah berlaku satu detik hitam dalam bola sepak negara pada tahun 1994 apabila gejala rasuah berlaku dalam kalangan para pemain liga tempatan.

FAM dengan pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah (sekarang SPRM) dah buat operasi yang menyebabkan tak kurang dari 50 pemain bola sepak tempatan, import, jurulatih pasukan dan pegawai dihukum gantung dan didenda. Majoriti pemain tempatan yang terlibat juga adalah pemain kebangsaan.

Akhirnya, kualiti pemain menurun dan peyokong pun dah makin berkurang sampaikan waktu Pestabola Merdeka 1995, tak sampai 1,000 penyokong yang datang. Kejohanan Pestabola Merdeka juga tak lagi diadakan pada tahun kemudiannya. Untuk memberi nafas balik kepada bola sepak negara, FAM dah mengupah seorang genius pengurusan bola sepak dunia dari Perancis iaitu Claude Le Roy. Kerjasama berlaku antara FAM dan syarikat Dunhill untuk menganjurkan Piala Dunhill 1997.

Dah macam kotak rokok dah tepi Zainal Abidin Rawup tu. Imej dari Bazookapenaka.

Kejohanan ni berjaya menarik balik puluhan ribu penyokong turun ke stadium. Di tambah pula, dengan kejayaan pasukan negara masuk ke separuh akhir sebelum kalah tipis kepada Bosnia Herzegovina. FAM juga berjaya mendapat untung kasar RM 700,000 melalui hasil jualan tiket.

Selepas lama Dunhill menaja FAM, pada tahun 2004 ianya diberhentikan kerana pengharaman iklan rokok yang dilaksanakan. Maka, dana RM30 juta setahun yang FAM dapat selama ni juga akan terhenti. Jadi, bermulalah zaman FAM berjimat cermat. Pasukan kelab dan negeri yang selama ni mengharapkan subsidi FAM juga terkena tempias sampai timbul isu gaji pemain tak dibayar.

Ranking bola sepak Malaysia juga terus jatuh bergolek-golek hingga Sultan Ahmad pernah di boo didepan 80 000 penyokong waktu menyerahkan pingat kepada pemain di atas padang. Akhirnya, dia metelak jawatan pada tahun 2014.

5. Tengku Abdullah melantik Tengku Mahkota Johor sebagai penasihat FAM

Tengku Abdullah bagi Datuk kepada Farid Kamil. Imej dari Siakap Keli.

Dalam pemilihan Presiden FAM pada tahun 2014, anakanda Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdullah menang undi ke atas Tunku Mahkota Johor (TMJ) untuk jawatan presiden. Tapi, Tengku Abdullah tetap melantik TMJ sebagai penasihat FAM pada Oktober 2014. Hubungan Tengku dan TMJ tak lama apabila TMJ melepaskan jawatannya sebagai penasihat FAM kerana menganggap FAM sebagai persatuan yang tak adil dan tak profesional.

Sepanjang Tengku Abdullah menjadi Presiden, FAM banyak dikaitkan dengan isu rasuah. TMJ juga pernah mendakwa ada menyimpan sebuah pendrive yang penuh dengan maklumat rasuah dalam FAM sepanjang 30 tahun. TMJ juga pernah menyuarakan pasal hak penyiaran setiap pasukan yang sepatutnya diterima sebanyak RM1 juta.

Pendrive penuh dengan rahsia. Imej dari Sinar Harian.

Maklumat rasuah yang dipegang TMJ kemudiannya diserahkan kepada Khairy Jamaluddin (KJ), Menteri Belia & Sukan. Isu dan kemelut yang banyak serta tahap pasukan bola yang buat penyokong naik angin dah menyebabkan Tengku Abdullah meletakkan jawatan lebih awal. Ianya terjadi lepas Malaysia kalah 10-0 kepada pasukan UAE. Akhirnya, Pemilihan Presiden FAM dah diawalkan setahun pada tahun 2017.

TMJ bayar hutang FAM kepada pasukan liga tempatan

Persaingan pemilihan presiden sangat panas antara Tan Sri Annuar Musa (orang yang membangunkan bola sepak Kelantan) dan TMJ. Survey oleh Tifo Arena menunjukkan ramai peminat bola lebih menyokong TMJ walaupun penyokong Kelantan sendiri. Di saat akhir, Annuar Musa tarik diri dan TMJ menang jawatan presiden tanpa bertanding. Waktu mula-mula dilantik presiden, TMJ cakap dia akan buat empat immediate action plan:

  1. Cek bajet FAM
  2. Perbaiki pasukan kebangsaan dari segi kejurulatihan, pemilihan pemain, ideologi dan falsafah permainan
  3. Memperbaiki kualiti pengadil
  4. Mengurangkan staf FAM dan mahukan orang yang boleh bagi sumbangan sahaja
Mana yang tak guna, kita buang ye.

Lepas semak akaun FAM, TMJ mengaku yang persatuan tu tak ada banyak duit. Beliau juga mendedahkan yang dulu FAM pernah buat perjanjian dengan Astro untuk bagi dana RM1 juta kepada setiap pasukan yang bertanding. Tapi, TMJ mengakui tak ada pasukan yang dapat. FAM juga berhutang sebanyak RM9 juta kepada 24 pasukan liga yang bertanding yang akhirnya dilangsaikan bawah pimpinan TMJ. TMJ juga mengakui meletakkan duitnya sendiri sebanyak RM4 juta untuk pasukan wanita, futsal dan bawah 23 tahun negara.

Dalam satu press conference, TMJ ada dedahkan yang dia ada pegang senarai nama pengadil yang awal-awal lagi dah sokong pasukan tertentu. Dengan itu, FAM mengalu-alukan SPRM untuk pantau kelab FA dan juga FAM dalam isu mengatur perlawanan. Badan pengadil juga akan dijadikan badan bebas tapi masih dalam naungan FAM. Untuk pembangunan akar umbi, Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bawah KJ dah bekerjasama dengan FAM untuk membangunkan pemain muda. Hasilnya, pasukan kebangsaan bawah 16 tahun, 19 tahun dan bawah 23 tahun dah layak ke Kejohanan AFC.

Hebat tak hebat pemain remaja kita, boleh klik gambar untuk baca artikel.

Untuk tujuan komersial, FAM memperkenalkan kuota pemain import setiap kelab dibenarkan ada 3 pemain antarabangsa, seorang pemain Asia dan seorang pemain Asia Tenggara. Tujuannya untuk naikkan jumlah penonton dalam rantau ni kepada liga kita. Untuk meningkatkan lagi tahap liga domestik, FAM dan FMLLP (badan yang mengurus liga bola tempatan) dah dihantar ke Sepanyol untuk belajar modul La Liga (liga yang ada Real Madrid dan Barcelona). Sekarang, kita dah ada wakil pembangunan La Liga dalam FMLLP.

Selain tu, FAM juga dah perkenalkan liga divisyen 4 dan 5 untuk bagi peluang kelab komuniti atau pasukan kecil untuk menyertai piala FA.  Dengan syarat setiap pasukan yang menyertai mesti ada lima pemain bawah 19 tahun. Liga ni juga bagi peluang mana peniaga-peniaga kecil boleh ada pasukan sendiri.

Lepas dah dapatkan banyak tajaan, TMJ umum letak jawatan

Waktu mula-mula TMJ jadi presiden, beliau berjanji untuk dapatkan hak penyiaran untuk semua pasukan yang bertanding dengan syarat pasukan tu bayar gaji pemain mengikut masa dan fokus pembangunan pemain muda. TMJ menyasarkan untuk dapatkan setiap pasukan yang bertanding hak penyiaran RM3 juta hingga 4 juta , tujuannya untuk bantu kerajaan negeri lain supaya tak perlu keluar duit lebih untuk bola sepak. Dalam masa setahun, inilah tajaan yang FAM berjaya dapatkan bawah TMJ menurut Semuanyabola.com:

  1. Kerjasama dengan Ampersand Sports untuk dapatkan tajaan RM104 juta dalam tempoh 5 tahun bagi liga domestik (Liga Super dan Liga Perdana)
  2. TM Malaysia melalui Unifi taja Liga Super dengan nilai RM480 juta untuk 5 tahun dan juga penaja Piala Malaysia 2018.
  3. Yakult taja pasukan Harimau Malaya dengan nilai RM3.9 juta, Shopee menjadi penaja utama piala FA Malaysia dan Mymotor penaja bersama Liga Super Malaysia dan 100 plus pula menaja Liga Perdana Malaysia 2018.
  4. Perjanjian dengan iFlix untuk penstriman 6 perlawanan unifi Liga Super dan Liga Perdana terpilih disiarkan secara langsung. Liga Malaysia boleh dapat RM13 juta untuk satu musim selama 10 tahun.
Dulu Dunhill, sekarang bukan main banyak. Imej dari FMLLP.

Walaupun dah dapatkan semua tajaan ni, TMJ tetap meletakkan jawatannya sebagai presiden. Sebab beliau sering dinilai dengan prestasi dan ranking pasukan kebangsaan yang makin jatuh. Namun, beliau masih memegang jawatan pengerusi FMLLP untuk mengurus liga domestik. Kiranya beliau kerja dari dalam pulak lah.

Jatuh ke bawah tu nak ke mana? Imej dari Ranking FIFA.

“Saya ni ibarat seekor harimau yang tak patut berkhidmat untuk kambing biri-biri kerana harimau dan kambing biri-biri tak boleh hidup bersama. Harimau kena berkhidmat kepada harimau sahaja.” TMJ, petikan dari Utusan.

Ada je harimau main bau-bau dengan kambing

Tinggalkan cara lama, guna cara baru untuk bangunkan bola sepak negara

Perletakan jawatan TMJ sebagai presiden FAM bukanlah beliau tinggalkan begitu sahaja. Beliau berjaya bawa masuk banyak penaja serta berjaya mengasingkan liga domestik dari dipegang FAM. Kiranya, beliau berjaya membina semula liga domestik yang selama ni berhutang dan tak pandai cari duit sendiri.

Siap boleh tengok kat iFlix dah sekarang ni. Imej dari Benashaari.

Mungkin dengan cara ni, satu hari nanti kualiti bola sepak di negara kita akan meningkat semula bermula dengan pemain muda dan liga tempatan. Dunia bola sepak pun dah makin moden, cara lama patut kita tinggalkan dan belajar dari negara-negara yang berjaya membangunkan kualiti sukan mereka.

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT