Betul ke hukuman menyebar berita palsu lagi teruk dari hukuman jadi pengganas?

Kira-kira dua minggu lepas, Menteri di Jabatan PM Azalina Othman telah berjumpa dengan wakil-wakil Facebook, Google, dan Twitter untuk membincangkan rang undang-undang (RUU) yang sedang disediakan oleh kerajaan untuk mencegah berita palsu. Tak lama kemudian, pada 21 Mac, RUU tersebut dibentang dan diluluskan di Kabinet untuk dibawa ke parlimen. Semalam, Dato’ Sri Azalina pula berjaya membacakan RUU itu di Dewan Rakyat untuk kali pertama.

Rang undang-undang pebenda nih? Imej dari Instagram.

Ramai yang kini tertanya-tanya tentang tujuan RUU ini dan sama ada ia akan digunakan oleh pihak berkuasa untuk menyekat pandangan yang boleh dianggap menyusahkan kepada kerajaan. Antara pihak-pihak yang telah menyuarakan tentangan diorang kepada RUU ni termasuklah gerakan seperti ALIRAN, organisasi-organisasi seperti Projek Dialog dan Projek Sinar, serta pertubuhan hak asasi manusia seperti SUARAM dan Article 19.

…maksud “berita palsu” sungguh tidak jelas dan boleh ditafsir secara sewenang-wenangnya, dan undang-undang yang menyalahi atau menyensor “berita palsu” akan membenarkan pihak berkuasa untuk menentukan maklumat yang boleh disiarkan kepada orang ramai.” – dipetik dari kenyataan gabungan NGO.

Namun kata Dato’ Sri Azalina, RUU antiberita palsu ini tidak menyasarkan sesiapa dan memberikan jaminannya kepada pihak-pihak yang menentang RUU tersebut bahawa diorang tak perlu berasa takut kalau tak terlibat dengan penyebaran berita palsu. Tapi sekarang kitorang nak tau… apa sebenarnya RUU ini? Dan apa isi kandungannya yang sedang membimbangkan orang ramai?

Hukuman rang undang-undang berita palsu ni lagi teruk daripada hukuman Akta Hasutan!

Ni macam Akta Hasutan baru je… GIF dari Tumblr.

Mengikut maklumat terkini, RUU ini boleh menjatuhkan hukuman atas mana-mana pihak yang telah didapati menyebarkan berita palsu secara sengaja dalam bentuk “rencana, visual atau rakaman audio, atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea“. Individu-individu atau pihak yang didapati bersalah pula boleh dikenakan denda sebanyak RM500,000 atau 10 tahun penjara. Azalina juga menjelaskan, kebenaran atau kepalsuan sesuatu berita itu pula akan bergantung kepada keputusan mahkamah.

Tapi, kalau korang tengok hukuman-hukuman dalam Akta Hasutan dari tahun 1948, sesiapa yang telah didakwa sebagai penghasut hanya boleh didenda sebanyak RM5,000 atau 3 tahun penjara. Kata peguam hak sivil New Sin Yew pula, Kanun Keseksaan hanya memberi hukuman tak lebih 5 tahun untuk kesalahan-kesalahan terhadap negara seperti keganasan, pengintipan dan penculikan.

Jadi, kalau nak bandingkan RUU antiberita palsu ni dengan jenayah menghasut atau mengganas, hukuman RUU ni boleh dikatakan berkali-kali ganda lagi berat kot! 

Rasanya hukuman hidung panjang dah cukup berat pun. Imej dari Twitter.

RUU itu juga memberi peruntukan luar wilayah untuk memastikan yang sesiapa sahaja boleh didapati bersalah, walaupun bukan berwarganergara Malaysia dan walaupun didapati telah menyebar berita palsu di mana-mana kat luar Malaysia. Biasanya, peruntukan macam ni hanya pernah digunakan untuk membenarkan pihak berkuasa bertindak kepada benda-benda macam keganasan dan jenayah terancang.

Jadi, walaupun dinafikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Said Keruak, ramai menganggap yang peruntukan luar wilayah ini merujuk kepada laporan media-media asing tentang isu 1MDB. Beberapa pihak telah menyeru agar Putrajaya menyaman media-media tersebut jika maklumat yang dilaporkan itu palsu, daripada meluluskan undang-undang antiberita palsu yang diorang bimbang boleh disalahgunakan.

Namun, antara contoh-contoh kesalahan yang dijelaskan dalam RUU ini termasuk:

  • Sesiapa yang mengada-adakan berita palsu mengata bahawa seorang usahawan itu terlibat dengan rasuah;
  • Sesiapa yang mengeluarkan iklan mengata bahawa seseorang itu melabur dalam suatu skim pelaburan walaupun mengetahui bahawa ianya tidak benar;
  • Sesiapa yang menerbitkan kenyataan di akaun media sosialnya mengata bahawa produk syarikat makanan mengandungi ramuan berbahaya walaupun mengetahui bahawa produk itu telah dihentikan;
  • Sesiapa yang memberi ucapan mengata bahawa seseorang itu telah menyalahgunakan wang amal yang dikutip walaupun mengetahui bahawa maklumat itu palsu.

Jadi nampaknya, sama ada korang menerbit berita palsu di laman web blog atau media sosial, atau pun korang berucap di tempat awam, korang boleh didakwa bawah akta ini kalau mengetahui bahawa maklumat yang disebarkan itu palsu. Tambah itu pula, penyediaan bantuan kewangan dengan tujuan menyebarkan berita palsu juga akan dijadikan suatu jenayah, dan ada yang berkata bahawa pelanggan dan pengiklan berbayar laman web yang bersalah juga boleh didakwa.

“Pergh… aku retweet pun kena penjara ke”. Imej dari TribunWow.

Pada penghujung RUU itu, ia mengatakan bahawa perkembangan teknologi telah menjadikan penyebaran berita palsu sebagai suatu isu global yang boleh memberi kesan kepada orang ramai. Oleh itu, ia berkata bahawa akta ini diperlukan untuk melindungi orang awam sambil memastikan yang hak kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan akan dihormati. Pada masa ni, kitorang pun tertanya-tanya… macam mana negara-negara lain berdepan dengan berita palsu?

Malaysia merupakan antara negara pertama di dunia yang mempunyai undang-undang mencegah berita palsu!

Ni semua Trump punya pasal la ni. Imej dari CartoonADay.

Sebenarnya, kalau bincang pasal isu ni, ada jugak kerajaan di negara lain yang tengah nak luluskan undang-undang antiberita palsu. Antaranya termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang telah berjanji untuk memperkenalkan undang-undang untuk membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap penyebar berita palsu. Satu lagi adalah negara Jerman, di mana laman-laman web yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sebanyak 44 JUTA EURO! 

Contoh lain adalah United Kingdom, di mana suatu jawatankuasa kat parlimen diorang kini sedang menyiasat fenomena berita palsuVietnam, di mana sebuah rang undang-undang telah dilepaskan untuk perundingan awam atas kebimbangan terhadap keselamatan siber dan berita palsu; dan Singapore, di mana undang-undang berita palsu dijangka akan diperkenalkan pada tahun ini.

Dahsyat betul berita palsu ni, sampai papan tanda pun kena ada amaran.

Walau bagaimanapun, kebanyakan negara ni masih dalam proses penyediaan undang-undang diorang, manakala di Jerman, undang-undangnya lebih bertumpu kepada ucapan kebencian. Ini bermaksud… Malaysia adalah antara negara pertama di dunia yang telah menyediakan undang-undang yang bertujuan khusus untuk mencegah antiberita palsu. Dan jika RUU ini diluluskan oleh Parlimen seperti mana ramai menjangkakan, Malaysia akan menjadi negara pertama yang berjaya membuat demikian.

Tapi sebenarnya… satu yang kitorang hairan adalah sebabnya Malaysia memerlukan RUU ni. Kalau tengok kes-kes fitnah atau contoh-contoh laman web yang pernah kena gantung sebelum ni, ada yang berkata bahawa Malaysia mempunyai cukup undang-undang untuk menangani berita palsu. Kitorang cuba cari lebih tentang undang-undang Malaysia yang dah sedia ada dan dapat tahu bahawa…

Ramai pakar perundangan berasa bahawa undang-undang baru ni tak diperlukan di Malaysia!

Antara tokoh perundangan yang telah menyoal RUU antiberita palsu ini termasuklah bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, peguam dalam Badan Peguam Malaysia, H.R Dipendra, dan pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Andrew Khoo. Kata diorang, Malaysia sudah mempunyai cukup undang-undang untuk membantu pihak berkuasa membendung berita palsu dan RUU ni tidak diperlukan lagi.

Ni satu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Berita Palsu. GIF dari Giphy.

Antara undang-undang yang diorang kata boleh digunakan untuk mencegah berita palsu termasuklah Akta Fitnah, bahagian-bahagian tertentu daripada Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia, serta juga Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Malah, Seksyen 8(A) Akta Mesin Cetak ni pun dah secara jelas menjadikan penyebaran berita palsu suatu jenayah dan membenarkan pihak berkuasa menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM20,000 atas sesiapa yang didapati bersalah.

Namun, kalau tengok kes-kes yang berlaku sebelum ni, terdapat beberapa kali di mana pihak kerajaan berjaya mengambil tindakan terhadap berita-berita yang dianggap palsu dengan menggunakan akta-akta yang dah sedia ada. Satu contoh adalah kes di mana Mahkamah Rayuan membenarkan kerajaan negeri Sarawak untuk menyaman seorang ADUN DAP yang mendakwa kerajaan negeri tersebut telah menyebabkan kerugian dana awam berjumlah berbilion ringgit.

Kan dah kena sound dengan kerajaan. Imej dari Matt Bors.

Contoh lain yang melibatkan pegambilan tindakan terhadap berita palsu juga termasuklah saman fitnah yang difailkan oleh PM Najib Razak terhadap laman web berita Malaysia Kini. Dalam kes ini, Malaysia Kini telah menerbit sebuah artikel berdasarkan komen-komen pembacanya yang menuduh Najib Razak terlibat dengan jenayah. Kini, kes ini masih berterusan dan keputusannya pun belum diketahui lagi.

Tapi, ni pun baru tindakan-tindakan yang hanya melibatkan hukuman saman. Ada juga kes yang melibatkan tindakan yang diambil sebagai kesalahan jenayah fitnah, dan yang paling ketara antaranya adalah siasatan terhadap Dr Mahathir berhubung tulisannya megenai Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali. Siasatan itu pula dilaksanakan bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, dan membawa bersamanya hukuman penjara dua tahun atau denda.

Ha gelabah engkau. GIF dari KiniTV.

Jadi, dari tiga kes ni pon, kita boleh lihat contoh-contoh di mana kerajaan boleh dan pernah mengambil tindakan terhadap berita-berita yang dianggapnya sebagai palsu dengan menggunakan akta-akta yang dah sedia ada. Namun, Dato’ Sri Azalina juga telah membalas perkara ini dengan mengatakan bahawa RUU antiberita palsu ini tetap diperlukan kerana elemen-elemen baru yang diperkenalkan di dalamnya.

Antara elemen baru yang dimaksudkannya pula adalah peruntukan pemakaian luar wilayah dan kesalahan pemberian bantuan kewangan seperti yang dijelaskan tadi, serta juga langkah sementara untuk menyekat penyebaran sesuatu berita sementara siasatan dijalankan. Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan langkah kerajaan ini, dan yang merasa bahawa RUU ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Berita palsu tidak boleh menjadi kesalahan melainkan jika ia menyinggung ketenteraman awam, keselamatan negara, atau mana-mana lapan aktiviti yang dilarang (dalam Perlembagaan Persekutuan).” – Prof Datuk Shad Saleem Faruqi, dipetik dari The Sun Daily.

Kalau korang tak tau, ni lah lapan sebab-sebab hak kebebasan bersuara boleh disekat. Imej dari KPTG.

Jadi walaupon nampaknya terdapat ramai pihak yang menentang Akta Antiberita Tidak Benar ini, pihak kerajaan jelas masih berasa bahawa RUU ini amat diperlukan untuk menangani masalah berita palsu. Namun, ada juga ahli pembangkang yang turut menyambut RUU ini, sambil mengatakan undang-undang ini haruslah dilaksanakan secara adil.

Dengan itu, satu-satunya soalan yang tertinggal kepada kitorang adalah… betul ke yang undang-undang ini akan digunakan secara adil?

Ramai yang menganggap bahawa kerajaan hanya memberat sebelah sebahagian berita palsu

Kalau nak cakap lebih pasal isu ni, ada kes baru-baru lagi yang ramai merasa bahawa kerajaan pun pernah menyebarkan berita palsu.

Klik sini untuk baca artikel kitorang tentang pergaduhan antara Robert Kuok dan Menteri UMNO Nazri Aziz!

Awal bulan ni, Raja Petra telah mengeluarkan satu siri artikel yang mendakwa bahawa orang terkaya Malaysia, Robert Kuok, pernah menyalurkan dana kepada pembangkang bertujuan menjatuhkan kerajaan. Akibat artikel itu, Robert Kuok diserang oleh beberapa ahli UMNO, dan Kuok pun terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap Raja Petra dalam bentuk saman fitnah.

Dari sini, kita dapat lihat bahawa masalah yang menghadapi pengguna-pengguna internet adalah ketersediaan maklumat yang tidak berkesudahan, sehinggakan pengesahan semuanya pun memang mustahil. Mengikut kajian oleh Institut Pengajian Kewartanan di UK, hampir dua pertiga rakyat Malaysia mempercayai bahawa berita yang disiarkan adalah dipengaruhi oleh kerajaan atau politik tidak wajar, manakala kurang dari satu pertiga rakyat Malaysia mempercayai berita yang dibacanya.

Ini boleh dikatakan sebabnya ramai orang terperdaya oleh artikel Raja Petra itu.

Klik sini untuk baca artikel kitorang tentang Raja Petra!

Apa yang diperlukan sekarang adalah pemulihan kepercayaan orang ramai terhadap media. Walaupun ada yang bersutuju bahawa cara terbaik untuk mencapai matlamat tersebut adalah kelulusan rang undang-undang ini, ramai lagi yang berpendapat bahawa akta ini hanya akan digunakan untuk menganiaya pihak-pihak yang bertentangan dengan kerajaan.

Biasanya kalau SOSCILI tulis artikel macam ni, kitorang akan cuba bagitau apa langkah-langkah yang korang boleh ambil lepas baca. Tapi… selain daripada mencadangkan korang hubungi Ahli Parlimen korang, kita pun tak tau apa yang boleh buat kali ni sebenarnya. ?

About Iqbal Fatkhi 10 Articles
Pandai buat meme je. Tulis artikel beshe-beshe je.