Politik Antarabangsa

Ini cara kuasa besar dunia bahagikan Korea menjadi dua

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

Seperti mana yang kita tahu, pengaruh Korea sekarang ni dah pun berselerak ke serata dunia. Kalau dulu kita cuma kenal Korea dengan drama air matanya (macam Winter Sonata), tapi sekarang ni, dunia juga dah bagi perhatian pada Kpop, rancangan varieti, sampailah ke filem-filem yang datang dari negara Asia Timur itu.

Sebelum kita pergi lebih jauh, Korea yang kita tengah cerita ni sebenarnya Korea Selatan yang dah jadi salah satu negara termaju di Asia. Tapi ada satu lagi negara yang berkongsi bahasa dan budaya yang sama dengan Korea Selatan, cumanya ia duduk di utara iaitu Korea Utara.

Siapa yang tak pernah tengok Running Man? Imej dari Soompi.

Setelah sekian lama, usaha untuk menyatukan dua Korea ini masih lagi kedengaran, tapi sampai ke hari ni juga pergeleseran tu masih lagi berlaku.

Walaupun, dua Korea ni bersetuju nak adakan Temasya Sukan Olimpik Musim Panas 2032 secara bersama, tapi untuk nak kembali bergabung masih lagi jauh nampaknya.

Malah, baru-baru ni pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un dah adakan pertemuan dengan Presiden AS – Trump di Hanoi. Ini adalah pertemuan kedua antara kedua-dua pemimpin selepas pertemuan diorang di Singapura pada Jun tahun lalu.

Tapi tahu tak kita kenapa Korea ni boleh terbahagi dua, apa puncanya? Oleh itu, kali ni SOSCILI nak bercerita sikit tentang sejarah Korea dan kenapa negara yang dah membentuk peradabannya sendiri ni boleh berpecah sampai berperang bagai.

Sejarah Korea dah bermula sejak beribu tahun lagi

Kalau kita ikut kajian sejarah, kerajaan purba Korea dikatakan dah wujud sejak lebih 2 ribu tahun sebelum masihi lagi. Pada awal tahun masihi, muncul pemerintahan di Korea yang dikenali sebagai “Three Kingdom“. Tiga kerajaan ni terdiri daripada Baekje, Silla dan Goguryeo.

Keagungan zaman pemerintahan ni boleh dikatakan bermula apabila seluruh kerajaan ini digabungkan di bawah payung pemerintahan Goryeo dan dengan perkataan ni jugalah munculnya perkataan ‘Korea’ yang kita kenal di zaman moden ni.

Bagaimanapun, kerajaan Goryeo akhirnya jatuh pada tahun 1392, bila pemerintahan diambil alih oleh seorang general bernama Lee Seong Gye.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Lepas jadi raja, Lee Seong Gye digelarkan sebagai Raja Taejo. Imej dari dramasrok.com

Melalui pemerintahan monarki baru di bawah pimpinan Lee Seong Gye, kerajaan itu dikenali pula sebagai Joseon. Walaupun kerajaan ni dapat kekal selama lebih 500 tahun, tapi kedudukan Korea yang strategik di antara China, Rusia dan Jepun membuatkan negara ni tersepit dengan tindakan negara sekeliling yang cuba meluaskan pengaruh.

Kejayaan Jepun mengalahkan Rusia dalam peperangan bersejarah pada tahun 1904 dan 1905, dah menjadi titik hitam apabila Korea mula dikuasai Jepun. Hal ni bermakna, Korea dah mula dikuasai Jepun lebih awal lagi iaitu sebelum berlakunya Perang Dunia kedua (WW2).

Gambaran Perang Jepun-Rusia, akhirnya beruang tu kalah. Imej dari mtholyoke.ed

Apabila Amerika dan Soviet hendak meluaskan pengaruh, Korea yang menjadi mangsa

Apabila Jepun mula berkuasa di Korea, kuasa raja mula terhakis dan raja pun mula jadi boneka untuk pentadbiran Jepun. Dalam tempoh lebih kurang 36 tahun pemerintahan Jepun, banyak gerakan menentang penjajah dah muncul di Korea bagi menuntut kemerdekaan.

Jadinya, sinar harapan mula muncul pada tahun 1945, apabila Jepun tersungkur dalam WW2, bila mana bom atom dijatuhkan di Nagasaki dan Hiroshima. Tapi harapan cuma tinggal mimpi, bila di sini jugalah bermulanya perpecahan Korea yang tidak terubat sehingga ke hari ini.

Penduduk Korea meraikan kekalahan Jepun. Imej dari ph-korea.com

Semuanya jadi bila adanya penglibatan Kesatuan Soviet dalam perang di pasifik menentang Jepun pada 9 Ogos 1945, iaitu tiga hari selepas jatuhnya bom atom.

“Soviet seterusnya bertindak menggerakkan tenteranya memasuki negara Korea sebagai satu usaha untuk melibatkan diri dalam perang ini.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Apabila benda ni jadi, pihak bersekutu – Amerika Syarikat (AS), Perancis, Britain termasuk China (masa tu masih bawah nasionalis) pun mula tak senang duduk. Isu tentang Korea kena diselesaikan segera, sebabnya walaupun AS dengan Soviet berkawan masa WW2, tapi ideologi antara dua kuasa ni tetap berbeza.

Chiang Kai Shek pemimpin nasionalis China selepas Dr Sun Yat Sen. Imej dari The Economist.

Korea dah buat kerajaan sendiri, tapi dinafikan kuasa besar – AS

Berdasarkan pemerhatian sejarah, tak ada kecenderungan dari mana-mana kuasa-kuasa besar dunia masa tu untuk menyatukan Korea, walaupun selepas tamatnya WW2. Sebaliknya, diorang ni lebih suka tengok Korea ni berpecah dua.

Ini kerana, lepas je perang tamat, seorang pejuang kiri Korea – Kim Gu dan beberapa gerakan politik berhaluan kiri negara tu dah menubuhkan kerajaan sementara untuk Korea yang berpusat di Chungking, China.

Kim Gu telah dibunuh pada Jun 1949. Imej dari korcan50years.com

Tapi pada tahun yang sama juga, ‘Congress of People’s Representatives’ dah bersidang dan setuju melantik Syngman Rhee sebagai ketua kerajaan baru yang dikenali sebagai People’s Republic of Korea (PRK). Kerajaan sementara di Chungking pun bagi sokongan kepada Rhee.

Dalam masa sama, AS dah bentuk ‘US Military Government Office’ yang bertindak mentadbir selatan Korea. Pentadbiran tentera ni tak nak iktiraf mana-mana kerajaan di Korea dan perkara ni dah membuatkan rakyat Korea masa tu marah.

Gambar Syngman Rhee masa kat New York, 1941. Rhee akhirnya digulingkan dan hidup dalam buangan. Imej dari Korea Times.

Oleh itu, AS dan Soviet pun bagi cadangan supaya Korea ni diletakkan di bawah payung pemegang amanah yang dikendalikan oleh AS, China dan Soviet. Dengan cara ni, pengaruh Soviet dapat dikawal dan usaha nak mendemokrasikan Korea boleh dibuat.

China yang masa tu di bawah Parti Kuomintang pun bersetuju dengan cadangan ni, sampailah persetujuan tu ditarik balik bila mana Parti Komunis mula menguasai negara itu dan menghalau golongan nasionalis ke Taiwan pada 1949.

Imej dari imgflip.com

Kim Il Sung yang berada di utara Korea kuat berpegang dengan fahaman komunis dah semestinya condong kepada Soviet, manakala Rhee di selatan pulak pro-AS. Akhirnya, berlakulah ketidakstabilan politik di Korea.

Berlakunya pembahagian Korea, dan bermulanya perang saudara

Rhee yang berada di  selatan mula menuntut supaya bahagian selatan Korea diberikan autonomi, tapi permintaan tu tak dilayan. AS sebenarnya dapat baca, kalau diorang tak jaga selatan Korea, senang-senang je utara dan Soviet dapat kuasai wilayah tu.

Sebab tu jugaklah, AS tak undurkan tenteranya dari selatan.

“Amerika cuba mengalihkan persoalan pengunduran tentera ini dengan mencadangkan agar satu pilihan raya dijalankan di Semenanjung Korea…

Amerika juga mencadangkan agar pemerintah Korea yang dipilih kelak akan mengikut pembahagian penduduk iaitu di bahagian selatan akan mewakili lebih daripada 23 wakil di Perhimpunan Agung (National Assembly).

Walau bagaimanapun, cadangan ini ditentang oleh Soviet kerana akan merugikan golongan komunis.” – Dipetik dari jurnal terbitan UMS.

Perjumpaan antara Kim Il Sung & Presiden Soekarno. Imej dari merdeka.com

AS masih tak putus asa, dan kemudiannya kata kalau macam tu cukuplah pilihan raya dibuat kat bahagian selatan je. PBB juga masa tu sokong AS untuk buat pilihan raya kat selatan, walaupun dapat kritikan beberapa negara yang anggap perkara ni akan membuatkan Korea berpecah dua. Tapi…

“Syngman Rhee menyokong cadangan Amerika ini sambil menyatakan bahawa ‘pemisahan Korea adalah lebih baik berbanding sebuah negara Korea bersatu di bawah Komunis‘.” – Dipetik dari jurnal terbitan UMS.

Walaupun pilihan raya ni dapat tentangan dari Soviet dan gerakkan berhaluan kiri, tapi akhirnya pilihan raya tetap diadakan. Pada Julai 1948, Rhee pun dilantik menjadi Presiden Korea Selatan yang pertama dan AS secara terang menjadi penaja penubuhan Republic of Korea (ROK) pada Ogos 1948.

Sebulan lepas tu, sebelah utara pula menubuhkan Democratic People Republic of Korea (DPRK) dengan menjadikan Kim Il Sung sebagai pemimpin tertingginya. Dengan terbentuknya dua negara ni, maka jelaslah sejarah penyatuan Korea selama beribu tahun akhirnya dipisahkan akibat dari perbezaan ideologi politik dan persaingan pengaruh kuasa besar.

Pertemuan antara Kim Jong Il (Utara) dengan Presiden Kim Dae-jung (Selatan) pada 2000. Imej dari San Diego Omnium.

Usaha penyatuan Korea juga akhirnya terhenti pada Jun 1950, apabila tercetusnya Perang Korea. Sebenarnya, ramai yang lihat perang ni sebagai usaha Korea Utara untuk menyatukan Korea, kerana segala jalan diplomasi telah gagal, setelah Korea Selatan secara berterusan menolak sebarang penyatuan.

Tinjauan dapati ramai rakyat Korea Selatan tak nak bersatu balik dengan Korea Utara

Bila kita bercakap soal penyatuan Korea pula, ada beberapa penganalisis yang meramalkan bahawa ia mungkin akan menelan kos hampir US$3 trilion. Menurut analisis ni, kos tu juga bergantung dengan macam mana penyatuan tu berlaku, sama ada dilakukan secara beransur-ansur atau secara terus.

“Sekiranya pembaharuan dirancang dengan teliti dan diikuti oleh kesatuan yang aman, ia akan jauh lebih murah daripada sekiranya berlaku kejatuhan ekonomi Korea Utara atau peperangan, yang memerlukan kos pembinaan semula secara besar-besaran.” – Dipetik dari CBS News.

Haiii semua!!! Imej dari Giphy.

Sebenarnya, penyatuan negara ni bukan satu perkara yang baru sebab sejarah dah membuktikan macam mana Tembok Berlin runtuh sehingga menyatukan Jerman Barat dan Jerman Timur. Tak lupa juga dengan penyatuan Vietnam dan penyatuan Yemen.

Bagaimanapun, keadaan ekonomi Korea Utara nampaknya jauh ke kebelakang dari Korea Selatan. Berbeza dengan apa yang jadi pada Jerman dulu.

“Pada tahun 1991, Jerman Timur mempunyai KDNK per kapita bernilai $11,000 dengan nilai mata wang hari ini. Ini adalah kira-kira setengah purata Jerman Barat. Jerman Timur juga mempunyai dua kali pengangguran pada 11 peratus….

Walaupun rancangan ekonomi yang terancang dan dilaksanakan dengan teliti untuk mengurangkan perbezaan serantau yang dilaksanakan dalam tempoh seperempat abad, KDNK per kapita bekas wilayah Jerman Timur masih lagi kurang 70 peratus daripada bekas wilayah Barat.” – Dipetik dari The Diplomat.

Ketika runtuhnya Tembok Berlin pada 1989. Imej dari nypost.com

Di Korea Utara pula, KDNK per kapita negara tu cuma sekitar $1,800 iaitu hanya 7% dari KDNK per kapita Korea Selatan.

Walaupun Korea Utara mempunyai potensi ekonomi, tapi ia masih lagi belum pasti sekuat mana dan berapa lama ia boleh mencapai seperti mana yang ada kat Korea Selatan.

Malah tinjauan juga mendapati, hanya golongan tua di Korea Selatan yang masih berharap dengan penyatuan Korea, manakala golongan muda di sana pula agak skeptikal dengan idea ni dan ada juga yang tak setuju.

“Generasi kami berfikir mengapa kami perlu membayar trilion dolar, itu bukan tugas kami. Kami bergelut untuk menjadikan ekonomi negara ini hebat, kami berkorban untuk melakukannya, jadi kenapa kami harus memberikannya?” – Soal seorang pelajar Korea Selatan, Tae-wan Kim. Dipetik dari ABC News.

Statistik dapatan kajian pandangan rakyat Korea Selatan tentang penyatuan Korea. Klik sini kalau nak tengok lebih jelas. Imej dari statista.com

Selain tu, ada juga yang risau kehidupan diorang kat Korea Selatan akan terjejas kalau bersatu dengan Korea Utara. Sebabnya masih sama, iaitu Korea Selatan kena keluarkan duit diorang untuk bantu Korea Utara dan tu buatkan diorang rasa tak adil.

Pertemuan Kim Jong Un & Mon Jae-in (Presiden Korea Selatan) baru-baru ini. Imej dari The Times.

Jadinya, persoalan sama ada Korea akan bersatu balik mungkin hanya sekadar harapan dan kajian buat masa ini. Sebabnya, walaupun Perang Dingin antara AS dan Soviet dah tamat, tapi persaingan kuasa masih lagi berlaku sehingga ke hari ini dengan kemunculan China sebagai kuasa baru.

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend