3 cawan darah keluar setiap 1 minit waktu bersalin, mampukah DOULA tolong mak-mak?

Baru-baru ni ada sesi bual bicara yang ditayangkan oleh  TV Alhijrah mengenai “Doula: Peneman Ibu atau Pengganti Doktor?”. Ia menjadi tular sebab gaya panel yang dijemput dalam bual bicara tu tak profesional dengan cara dia jawab soalan yang tak meyakinkan. Panel tersebut merupakan doula freelance kat Malaysia.

Ada satu slot dalam bual bicara tu bila panel, Prof Dr Imelda Balchin yang memang pakar tentang perbidanan dan pernah bekerja kat UK tanya soalan, ia mengenai doula kat Malaysia ni berdaftar tak dengan KKM? Tapi doula tu tak jawab soalan dan macam nak mengelak. Tu yang orang lagi suspicious.

Nak jawab apa ni eh? Imej dari Giphy

Tapi sebenarnya, kalau diikutkan kat Malaysia ni, kes kelahiran yang melibatkan doula ni banyak je. Tapi disebabkan gerakan doula ni tak ada pengiktirafan daripada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), orang dah tak percaya dan takut. Tapi kalau kita semak balik, apa-apa bentuk kelahiran mesti ada risiko dia.

Risiko bersalin; 3 cawan darah keluar dalam masa 1 minit

Ni air sirap kan? Sedapnya minum panas-panas ni. Imej dari Giphy

Gentle birth atau home birth sebenarnya adalah proses kelahiran baby secara normal dekat rumah atau hospital yang tak melibatkan apa-apa ubat untuk kurangkan sakit tersebut. Biasanya mak-mak yang pilih style kelahiran macam ni sebab tak nak terlibat dengan trauma pada kelahiran sebelumnya.

Secara tradisinya waktu nenek moyang kita dulu, mana ada hospital dan klinik-klinik khas untuk perbidanan. Kalau ada pun kita tahu jela kan orang dulu ada yang tak mampu, kalau ada yang guna perkhidmatan klinik atau hospital pun mesti dalam kalangan orang yang berada. Tapi bila kita semak semula, waktu nenek moyang kita memang gunakan bidan kampung ni waktu lahirkan baby.

Ni la contoh bidan tu, dia akan sediakan jamu dengan herba. Imej dari Buku Hidupku

Kalau sekarang siapa yang nak bersalin kat rumah tu syaratnya mestilah dipantau dan ada orang yang terlatih. Bukan mintak tolong orang sebarangan tau. Doula yang ada pun tugasnya bukan sambut kelahiran tapi cuma teman je. Habis tu kalau waktu bersalin baby tu ada komplikasi ke, songsang ke, besar sangat ke, orang yang tak tahu apa-apa ni macam mana nak tolong? Lagi-lagi dia tak ada apa-apa ubat atau mesin yang boleh kawal situasi tu.

Biasanya bidan yang dipilih tu bukan sebarangan, semuanya yang betul-betul pakar dan berpengalaman. Tapi kita kena tahu satu benda ni sebelum kita terus nak menghukum para-para bidan ataupun doula yang tak bersalah ni. Banyak je risiko yang kita tak tahu pasal natural childbirth ataupun childbirth yang gunakan teknologi ni.

Sebenarnya, waktu melahirkan bayi, ibu ni terdedah dengan banyak risiko antaranya tumpah darah yang menyebabkan kira-kira 3 cawan darah dihasilkan dalam masa satu minit! Banyaknyaaa… Ngeri kan dengar? Tu yang banyak kes kematian yang berlaku. Tapi bila ada pakar yang pantau, risiko macam ni boleh dikurangkan.

Kalau setiap titik darah tu keluar macam ni mesti orang tak takut sebab nampakc comel je. Imej dari Estcourt and Midlands News

Kadang-kadang perkhidmatan pekerja-pekerja kat hospital ni pun agak kasar. Tu yang menyebabkan ada sesetengah orang tak suka berurusan dengan pihak hospital. Yelah, dah lah tengah sakit tapi kena marah dengan layanan yang kasar-kasar pulak! Makin pressure dibuatnya. Tapi tak boleh nak salahkan diaorang juga sebab diaorang pun kena handle banyak pesakit. Apa pun kena tengok jugak situasi tu macam mana.

Pengunaan teknologi canggih kat hospital ni pun ada sumbangkan risiko, ada satu kes ni yang melibatkan kecuaian staff hospital tu menyebabkan jarum injection tertinggal kat badan ibu yang gunakan suntikan untuk hilangkan sakit tu!

Cuba bayangkan macam mana ada jarum dalam badan? Arghh… Ada juga kes bersalin dengan cara pembedahan kat hospital, yang doktor tu terpotong kepala baby dan badan baby tu tertinggal dalam perut. Hahhhh?! Disebabkan kecuaian dan kesan teruk macam ni lah orang tak nak gunakan teknologi canggih yang ada sebab takut disalahgunakan.

Kalau staff hospital yang ni rawat korang, korang rasa apa? Imej dari Giphy

Sebenarnya kes risiko dan komplikasi bersalin ni dalam 100 ibu yang bersalin tu mesti ada 1 kes bersalin yang melibatkan nyawa. Dan selalu yang libatkan kematian ibu bila uri dan tali pusat lambat keluar, tak kira sama ada kat hospital atau pun bersalin secara home birth.

Ada beza antara doula, bidan dan doktor yang ramai tak tahu

Sebenarnya kat dunia ni, ramai je orang gunakan khidmat doula untuk teman waktu proses bersalin tapi bukan dia yang jadi pakar untuk sambut orang bersalin. Doula ni sebenarnya hamba wanita yang diambil dari bahasa Greek. Kalau tengok maksud dia je pun kita dah tahu dia buat apa kan.

Doula. Imej dari Giphy

Kat negara luar servis doula ni memang betul-betul digunakan sehabis baik dan dia ada kolaborasi dengan hospital dan diaorang ditemani bidan dan doktor. Jadi benda tu tak bahaya sebab ada yang lebih pakar yang memantau. Sebenarnya tugas doula ni hanya kena bagi semangat emosi dan teman ibu tu berpantang, uruskan baby. Kalau ikut maksud dan peranan dia yang betul, doula ni tak perlu pun ikut mana-mana kursus, yang penting dia tahu tugas dia yang betul macam mana.

Doula dengan bidan ni lain. Bidan memang betul-betul yang pakar tentang kelahiran dan orang yang berhak ditugaskan sambut baby. Kalau dulu ada bidan kampung, sekarang bidan dah maju dan bekerja di hospital. Doktor sakit puan pun dikira sebagai bidan (doktor perbidanan).

Doula sebenarnya tak ada hak dan tak boleh nak sambut baby atau buat kerja-kerja doktor sebab benda macam tu langgar undang-undang perubatan. Tapi ada je doula yang buat macam tu sampai ada kes kematian. Dan gerakan yang macam ni orang panggil doula ekstrem!

Imej dari Berita Harian

Doula diperlukan bila wanita tu tak ada siapa nak teman ataupun nak tolong wanita untuk buat apa-apa kerja lepas bersalin. Contohnya macam masakkan makanan pantang untuk ibu, nasihatkan, dan ingatkan ibu untuk makan ubat dan tolong ajar sikit-sikit benda basic hal penjagaan baby. Diaorang pun ada yang buat servis melalui telefon juga, kiranya macam ala-ala on call la tu. Banyak je sebenarnya jasa doula ni. Dan ramai juga yang gunakan perkhidmatan doula ni untuk senangkan kerja diaorang.

Dan sebab utama orang khidmat doula tanpa ada apa-apa teknologi atau perubatan moden dan kimia kerana diorang nak gunakan perubatan semulajadi. Contohnya macam gunakan ayat-ayat al-Quran, herba-herba tradisional dan makanan sunnah dengan doula tak pun suami yang teman dengan takde tekanan luar atau orang ketiga, macam nurse arahkan suruh itu ini.

Tapi apa yang orang tak percaya pasal gerakan doula kat Malaysia ni sebab doula ni takde kelulusan dan pengiktirafan dari KKM. Sepatutnya kalau nak jadi doula, gerakan doula kena daftar dengan pihak berwajib, dan ada yang pantau. Sebenarnya doula ni tak boleh anjurkan kursus atau kelas khas untuk para ibu; kalau ada kursus pun mesti dari kementerian ataupun ada kolaborasi dengan pihak kesihatan berdaftar. Bukanlah diberikan kursus dan kelas yang secara sukarela dan atas dasar jemputan.

Ni la panel waktu bual bicara tu. Imej dari Pa&Ma

“Peranan doula tidak sewajarnya disekat kerana ia boleh membantu wanita hamil berdepan cabaran tidak dijangka sepanjang proses menunggu waktu bersalin.” – Prof Dr Jamiyah Hassan, Pakar Perunding Kanan dan Pakar Fetomaternal, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sumber dari BH Online.

Kalau doktor dan pakar perbidanan, kita pun memang tahu diorang ni ada pentauliahan khas dan dah belajar lama dalam bidang tu. Bukan belajar dari pembacaan atau video je. Diorang pun memang mahir dan terlatih untuk handle hal-hal macam tu. Kadang-kadang yang terlatih pun ada buat silap lagi lah yang lain kan.

Doula ni sebenarnya boleh ke uruskan kelahiran kanak-kanak?

Memandangkan doula ni lah yang jadi peneman sebelum, sewaktu dan lepas seseorang tu bersalin, jadi boleh ke diorang uruskan dan sambut kanak-kanak lahir? Menurut Akta Bidan 1966, hanya orang yang berdaftar je boleh sambut kelahiran bayi. Memandangkan doula kat Malaysia ni kan tak ada pengiktirafan KKM, jadi doula ni sebetulnya tak boleh sambut kelahiran kanak-kanak sebab dia pun bukan dari pakar yang terlatih.

Dia hanya jadi peneman, selebihnya bidan dan doktor yang kena uruskan. Tapi ada juga timbul isu kerenah doula kat Malaysia ni yang membuatkan banyak orang tak percaya dah kat perkhidmatan doula. Sebab satu kes je seluruh nama jadi busuk.

“Semasa pengenalan doula, tumpuan mereka hanya untuk beri nasihat kepada wanita hamil namun apabila nasihat mereka itu boleh membawa risiko dan berbahaya kepada ibu dan anak, ia adalah luar dari sempadan yang diberikan.”- Datuk Seri Dr S. Subramaniam, bekas Menteri Kesihatan Malaysia sumber dari Awani News.

Kegiatan doula kat negara luar memang banyak dan dipercayai 100%. Doula kat US dah ada 700 orang dah. Kalau ikut statistik, waktu para ibu ni dalam proses hampir lahirkan bayi, dia dah dapat 84% tekanan. Situasi macam ni lah doula kena ada untuk bagi semangat dan sebagai orang yang berkemahiran untuk menyokong emosi! Kan situasi tu boleh berjalan lancar. Ibu-ibu pun jadi tenang je.

Haa kiranya doula bagi nasihat macam ni lah. Imej dari Giphy

Sekalipun niatnya baik, kepakaran mestilah diutamakan demi nyawa

Bila kita semak semula, perkhidmatan doula ni sangatlah membantu sebab dia pun berpengalaman dan boleh bagi tunjuk ajar untuk penjagaan bayi dan penyokong emosi bagi para ibu waktu sebelum, semasa dan lepas proses kelahiran. Tapi dengan adanya gerakan doula ekstrem ni lah yang bahaya, tapi bagi siapa-siapa yang perlukan khidmat doula ni korang kenalah kaji dulu.

Tanya yang pakar lagi elok bukan terus-menerus percaya kat media sosial. Semak betul-betul latar belakang orang tu sebelum guna servis dia. Apa pun niat baiknya, kalau melahirkan anak secara homebirth membawa pelbagai risiko, korang sanggup ke nak hadap risiko tu?

“Kepada ibu-ibu pilihlah cara bersalin yang paling selamat berdasarkan nasihat doktor, jangan memperjudikan nyawa anda dan bayi anda …” – Dr Amalina Che Bakri, sumber dari Ohmymedia.

 

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)