Korang dah tengok gambar-gambar British lawan Komunis yang diwarnakan balik ni?

(This article has been translated from our sister’s site, Cilisos)

Satu ketika dulu, komunisme pernah menjadi wabak di Tanah Melayu. Ramai yang terbunuh disebabkan peperangan yang berlaku, termasuklah sesiapa je yang disyaki menjadi tali barut British ataupun komunis. Kebanyakan daripada kita tahu pasal kisah darurat selama 12 tahun ni pun daripada gambar-gambar yang ada dalam buku sejarah.

Pada 31 Ogos yang lepas, Daily Mail Online ada menyiarkan satu artikel pasal zaman Darurat Tanah Melayu. Bukan tu je, diorang ada selitkan sekali gambar-gambar lama yang asalnya hitam putih je, tapi kemudiannya diwarnakan.

Gambar asal di Tanah Melayu. Imej dari pinterest
Bila warna dah macam poster filem. Imej dari dailymail.co.uk

Royston Leonard, seorang juruelektrik mengambil masa selama 50 jam untuk memulihkan dan mewarnakan gambar-gambar ni.

“Gambar-gambar asalnya berada dalam keadaan kurang baik dan kualitinya juga kurang memuaskan. Jadi saya kena baiki dulu semua gambar-gambar ni sebelum saya mulakan proses mewarna”- Royston Leonard, dipetik dari Media Drum World.

Sebenarnya, ada perkara menarik pasal apa yang terjadi zaman tu. Jadi, kitorang pun susun beberapa fakta yang mungkin korang tak tahu pasal Darurat Tanah Melayu, bersama dengan gambar-gambar yang Royston dah warnakan ni.

1. Ia dinamakan “Darurat” supaya syarikat British boleh tuntut insurans

Sebelum ni, korang pernah terfikir tak kenapa zaman tu dipanggil ‘darurat’? Mungkin bagi yang pernah mengalaminya akan tahu betapa susah dan huru-haranya zaman tu.

Masa zaman tu, British memang ada banyak kepentingan terhadap Tanah Melayu, terutamanya dalam perlombongan, ladang getah dan kilang pembuatan. Sebab benda ni la sumber pendapatan penting untuk isi balik poket British yang semakin kering lepas berperang dalam Perang Dunia Kedua. Masa tu komunis pulak buat hal bila diorang bunuh pengurus ladang yang menjadikan keadaan masa tu huru-hara. Jadi kerajaan Britisih pun cuba untuk lindungi kepentingan diorang kat Tanah Melayu sebanyak mungkin.

Imej dari dailymail.co.uk

Operasi British kat Tanah Melayu pada masa tu diinsuranskan oleh syarikat-syarikat insurans macam Llyods of London. Polisi masa tu sama macam zaman sekarang, di mana kerosakan yang disebabkan oleh peperangan dan juga bencana alam macam gempa bumi atau puting beliung takkan dilindungi insurans dan tak layak untuk terima pampasan. Jadi untuk memastikan syarikat insurans ni bayar pampasan, kerajaan British pun labelkan insiden ni sebagai ‘darurat’ dan bukannya ‘peperangan’.

2. Sebenarnya, British yang bagi senjata dan melatih Komunis Malaya ni

Imej dari matamin02.blogspot.my

Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan pada tahun 1930, dan diharamkan tak lama lepas tu oleh British sendiri. Tapi, diorang masih beroperasi secara haram. British bengang la sebab PKM ni buat mogok dan tubuhkan jawatankuasa pekerja di tempat kerja yang menyebabkan polis dan tentera campur tangan untuk ambik tindakan. 

Tapi segalanya berubah bila Jepun menyerang. Kerajaan British dan komunis ketepikan perbezaan diorang dan bekerjasama menentang penjajahan Jepun. PKM pun kemudiannya buat ‘penjenamaan semula’, dengan menamakan PKM yang baru sebagai Tentera Anti-Jepun Tanah Melayu (MPAJA). Masa ni la diorang gunakan sentimen anti-Jepun untuk menarik lebih banyak sokongan dan merekrut anggota ke dalam parti. British pulak tukang sponsor senjata, latihan, dan kewangan, yang kemudiannya digunakan oleh MPAJA ni untuk menentang British balik.

Bila nak sampai ni. Imej dari dailymail.co.uk, dari Royston Leonard

Bila Jepun dah mengundurkan diri, PKM dan British pun jadi musuh balik. Tapi masa ni PKM makin ramai, kuat dan ganas daripada sebelumnya. PKM bukan setakat serang dan sabotaj pihak berkuasa je, tapi juga menggunakan kekerasan untuk paksa para petani untuk bekerjasama dengan diorang. British tak berdiam diri. Diorang mula hantar tentera untuk cari para pemberontak komunis, dan ada juga laporan yang diterima mengatakan tentera British ni akan seksa dan mencacatkan pejuang PKM ni untuk dapatkan maklumat.

3. Kad Pengenalan yang kita gunakan sekarang sebenarnya diperkenalkan untuk menangkap komunis

“Siew Ling, kebelakang sikit”. Imej dari .dailymail.co.uk

Lepas Henry Gurney, iaitu pegawai tinggi British dibunuh komunis, perkara ini dikatakan menjadi faktor utama kurangnya sokongan terhadap komunis (di samping kekejaman yang lain), tambah lagi dengan sentimen “Kalau High Commisioner pun tak selamat, apakan lagi kita.”

Jadi penggantinya, Sir Gerald Templer mengguna pakai taktik pertempuran yang berbeza. Strateginya adalah untuk “memenangi hati dan minda rakyat”, supaya orang ramai tak sokong komunis dan menggalakkan anggota PKM yang sedia ada menyerah diri.

“Cara yang sepatutnya adalah bukan dengan menghantar lebih banyak tentera ke dalam hutan, tapi dengan memenangi hati dan minda rakyat Tanah Melayu… Bab-bab perang ni cuma 25% daripada masalah yang kita perlu atasi. 75% lagi adalah macam mana nak dapatkan sokongan rakyat”-General Sir Gerald Templer, 1952.

Pendirian British menentang komunis memang licik dan tegas. Di sebelah pihak, diorang akan bagi senjata kepada penduduk tempatan dan ajar diorang cara untuk tembak dan bunuh komunis. Di pihak yang lain, diorang akan terus menggesa pasukan komunis untuk menyerah diri  dan menjanjikan yang ahli PKM ni akan dapat kembali kepada kehidupan diorang sebelum ni, iaitu jumpa balik keluarga diorang, dan diorang juga takkan diapa-apakan.

Eh tak, bukan layanan macam ni. Imej dari Royston Leonard

Jadi, sebab tu la kerajaan British kemudiannya memperkenalkan kad pengenalan (IC), supaya pihak berkuasa boleh buat pemeriksaan secara berkala untuk mengesan dan menyekat pergerakan komunis di negara ni. Orang-orang yang ada IC ni masa tu ada akses untuk dapatkan bantuan makanan daripada kerajaan masa tu. Sesiapa yang takde IC masa tu adalah komunis, dan disebabkan perkara ni la kesemua komunis lari ke dalam hutan.

4. Darurat adalah salah satu kempen anti-Komunis yang paling berjaya dalam sejarah

Walaupun tak selesa tinggal dalam hutan, tapi hutan adalah tempat yang paling selamat dan strategik untuk PKM menyorok. Pada masa tu, 80% daripada kawasan Tanah Melayu ni adalah hutan di mana tak banyak pembangunan yang berlaku. Jadi, banyak pokok-pokok yang menutupi kawasan tu daripada cahaya matahari.

Membaca jambatan ilmu. Imej dari Royston Leonard

Selain tu juga, pokok yang ada dalam hutan terlampau banyak menjadikan jarak penglihatan agak terhad, iaitu hanya beberapa kaki. Hujan yang turun pun agak kerap. Taktik gerila PKM ni la yang membolehkan diorang lawan dengan British ‘secara adil’, walaupun senjata milik PKM tu kurang canggih berbanding senjata pihak British.

Disebabkan British susah nak lawan dengan PKM dalam hutan, jadi diorang biarkan je PKM ni tinggal dalam tu. Sementara tu, British lancarkan salah satu taktik yang diorang rasa boleh kurangkan pengaruh komunis, iaitu dengan memindahkan orang-orang Cina luar bandar, yang merupakan sasaran utama PKM ke dalam kawasan baru yang berpagar dan siap ada guard. Perkara ni berlarutan sampai tahun 1951, di mana seramai 400,000 orang dipindahkan ke kawasan yang dikenali sebagai “Kampung Baru”.

Imej dari searchinghistory.blogspot.my

Menjelang tahun 1960, kerajaan akhirnya mengisytiharkan Darurat Tanah Melayu berakhir, iaitu selama 12 tahun lamanya berlangsung. Kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 juga menjadikan perjuangan PKM untuk membebaskan negara ni nampak macam tak relevan.

Walaupun dah mengorbankan sebanyak 500 orang tentera, 1,300 pegawai polis dan juga 6,000 orang komunis, Darurat Tanah Melayu sebenarnya adalah satu-satunya kempen anti-Komunis yang berjaya dimenangi oleh kuasa Barat di Asia (yang tak mengakibatkan pemisahan negara). Insiden ni la yang menjadikan Malaysia sebagai apa yang kita kenali sekarang.

Selain kad pengenalan, Akta Keselamatan Dalam Negeri juga diperkenalkan masa zaman gawat ni. Akta yang sama digunakan oleh kerajaan Malaysia untuk menentang para pembangkang kerajaan (akta ni dimansuhkan, dan ditukar nama, korang boleh baca kat sini). Sesetengah kawasan Kampung Baru kemudiannya menjadi tempat yang terkenal macam Tanjung Sepat dan Seri Kembangan. Kemudian, ada juga pembentukan komando beret hijau yang terkenal, pada asalnya dilatih oleh Pasukan Khas Inggeris sendiri untuk melawan pemberontak.

Walaupun begitu, masih banyak tafsiran tentang perjuangan komunis

Walaupun kita banyak dengar perkara buruk pasal komunis, tapi kisah Shamsiah Fakeh adalah salah satu sisi lain. Daripada buku yang ditulis Shamsiah sendiri, Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10, kita boleh faham yang diorang buat macam tu disebabkan sifat patriotik yang ada dalam diri diorang. 

Klik untuk baca artikel pasal Shamsiah Fakeh. Imej dari Soscili

Shamsiah pernah memimpin gerakan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang ditubuhkan dari Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Bagi Shamsiah, perjuangan AWAS adalah perjuangan Emansipasi wanita yang ingin melihat wanita bebas dan tidak lagi ditindas. 

Tapi perjuangan diorang terbantut bila Undang-undang Darurat diisytiharkan pada Jun 1948, yang menyaksikan PKMM diharamkan. Akibatnya, Shamsiah masuk pulak dalam PKM yang menghantarnya ke China. Setelah 37 tahun tinggal di China, akhirnya dia kembali ke Malaysia.

Macam tu juga dengan Tan Malaka, aktivis pejuang nasionalis dan pemimpin komunis Indonesia. dari bintang.com

Kadang-kadang, kita cuma faham cerita daripada sebelah pihak je, dan bukannya secara keseluruhan untuk memahami keadaan sebenar, dan sebab diorang lakukan sesuatu perkara tu.

“… Saya rasa pertempuran antara kebaikan dan kejahatan datang daripada hati manusia sendiri. Kita sebagai manusia ada kebaikan dan kejahatan tersendiri. Kita mungkin buat satu kebaikan pada satu hari tu, dan mungkin jadi seorang yang teruk, pentingkan diri sendiri pada hari keesokannya. Seseorang yang kita anggap jahat mungkin merupakan hero kepada orang lain. Dan itulah kebenarannya, itulah apa yang menarik tentangnya”- George R.R Martin, pengarang siri Game of Thrones.