Alam Sekitar

6 banjir besar jadi di Malaysia, punca semula jadi atau perbuatan manusia?

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 10 November 2017. 

KEMASKINI 5 Jan 2020: Keadaan banjir dilaporkan semakin buruk dan merebak ke 6 buah negeri sejak semalam. Pahang mencatatkan bilangan mangsa tertinggi setakat ini iaitu sebanyak lebih 14 ribu orang. Ia sekaligus membuatkan mangsa terjejas terpaksa dipindahkan dalam keadaan sehelai sepinggang, di kala negara masih menghadapi ancaman pandemik.

__________________

Menurut dokumen oleh Jabatan Parit & Saliran (JPS), di Malaysia ni memang ada kawasan yang mudah dilanda banjir iaitu seluas 29,800km persegi atau 9% dari tanah Malaysia. Jadinya, memang tak terkejutlah kalau kita ada dengar berita banjir. Biasanya, orang ramai akan tertanya-tanya, kenapa banjir selalu berlaku? Seperti yang disenaraikan JPS, ada dua punca utama banjir iaitu:

  1. Punca semula jadi: Macam hujan dan air laut pasang
  2. Punca manusia: Macam pembangunan tak terkawal dan infrastruktur saliran yang tak mencukupi

Banjir tenang jangan disangka tiada lubang.

Kali ni kita akan pergi satu persatu dalam beberapa kejadian banjir besar yang pernah berlaku di Malaysia ni, bermula dengan…

1) Banjir Kuning di Kelantan

Kelantan memang kita selalu dengar banjir setiap tahun. Tahun 2014 adalah kejadian banjir paling teruk yang pernah di alami oleh negeri ni. Hingga ia dinamakan sebagai banjir kuning. Kerugian yang dialami juga mencecah RM200 juta keseluruhannya.  Apakah puncanya? Ada dua punca yang disebut oleh dua pihak yang berbeza.

Punca semulajadi?

Menurut Kerajaan Kelantan, punca banjir teruk di Kelantan pada tahun 2014 adalah musim monsun setiap tahun yang akan menurunkan hujan yang lebat. Pada tahun tu juga, berlaku fenomena angin monsun ‘New Moon’ dengan kelajuan angin 50-60 KM sejam yang menyebabkan paras air laut naik.

Kelantan menafikan puncanya Banjir Kuning ni adalah kerana pembalakan sebab kata mereka pembalakan di negeri tu mendapat kelulusan dan mematuhi syarat-syarat yang diperlukan.

Tapi ada pendapat yang lain…

Hutan di Kelantan yang diteroka. Imej dari The Malaysian Times.

Perbuatan manusia?

Sinar Harian ada menemui penduduk yang terjejas akibat banjir. Diorang cakap, lumpur-lumpur yang dibawa bersama banjir tu adalah kesan dari hakisan tanah hutan yang dibalak.  Sebab ada juga kawasan banjir yang airnya jernih sampai boleh tengok ikan berenang sebab limpahan air sungai seperti di Sungai Golok.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Dr. Zulhazman Hamzah, Pensyarah Fakulti Sains Bumi UMK mengatakan keadaan air macam ‘teh tarik’ tu menunjukkan ada lumpur. Lumpur tu pulak datang dari hakisan tanah kerana tiada pokok yang pegang tanah tu.

Lumpur-lumpur tebal berinci-inci. Imej dari Sinar Harian.

Menurut Prof. Madya Dr. Wardah Tahir, punca banjir di Kelantan adalah hujan yang turun dengan lebat dan kesan dari tanah hutan yang diteroka. Walaupun tanah yang diteroka tu dijadikan kawasan penanaman sawit dan sayur, tapi, ia tempat terdedah kepada hakisan. Hakisan ni yang menyebabkan mendakan kepada sungai. Itulah punca air banjir tu bertukar kuning.

Kesan banjir ni selain mencatat kerosakan berjumlah ratusan juta, turut dilaporkan juga angka kematian seramai 10 orang. Rumah-rumah turut rosak kerana dilanggar oleh kayu-kayu balak yang besar. Oleh sebab tu, Kerajaan Persekutuan dan Kelantan telah bekerjasama membina rumah berjumlah lebih 1,000 unit.

Tugu peringatan sempena banjir di Kelantan. Imej dari Astro Awani.

2) Banjir Termenung di Johor

Biasa yang kita dengar banjir teruk selalu berlaku di negeri Pantai Timur. Tapi sebenarnya, negeri di Selatan juga disenaraikan sebagai negeri yang akan banjir bila tiba musin angin monsun. Johor adalah antara negeri yang pernah terjejas teruk. Air naik dan tak mengalir hingga ianya digelar sebagai ‘Banjir Termenung’. Jadi puncanya adalah…

Kenapa tak gerak-gerak ni.

Punca Semulajadi?

Dilaporkan ia berlaku sebab pertembungan air laut dan hujan turun berterusan menyebabkan air lambat nak surut. Kadang-kadang tu, air ni termenung tak gerak-gerak sampai sebulan.

Perbuatan manusia?

Walaupun ianya berpunca dari air laut dan hujan, penduduk mengatakan air di sini naik dan termenung sebab sistem perparitan yang ada tak diselenggara. Sebab tu lah aliran air tersekat.

Mangsa dan air sama-sama termenung. Imej dari Sinar Harian.

Walaupun banjir tu nampak tak bergerak, kerugian yang pernah dicatatkan kesan banjir termenung pada tahun 2016 pernah mencapai lebih RM100 juta. Banyak tu, separuh dari kerugian Banjir Kuning di Kelantan.  Banjir termenung ni jugak berlaku di negeri Melaka, Perak dan Kelantan.

Ada beberapa tindakan yang telah dilakukan oleh negeri Johor macam pengorekan sungai pada tahun 2015 yang berjaya menjadikan banjir surut. Serta pembersihan sampah-sarap dan bahan yang menyebabkan berlaku takungan air. Pada tahun 2017, ada juga dilancarkan pembinaan benteng sungai dengan peruntukan RM1 juta dengan harapan ia mampu mengurangkan risiko banjir.

3) Banjir di Kedah & Perlis 2010

Kawasan Utara Malaysia termasuk juga sebagai kawasan yang mudah dilanda banjir kilat.  Pada tahun 2010, banjir terburuk telah berlaku di Kedah dan Perlis kerana melibatkan pemindahan lebih 50,000 mangsa ke kawasan penempatan sementara. Apa yang menyedihkan ada juga kematian akibat lemas melibatkan 6 orang.

Keadaan banjir di Kedah. Imej dari Hazmanfadzil.com

Punca semulajadi?

Jabatan Meteorologi Malaysia mengatakan punca banjir tu adalah kerana fenomena La Nina yang merupakan angin kencang dan hujan turun dengan lebat. Hujan yang turun bukan je lebat, tapi lebih banyak dari kadar biasa.

Perbuatan manusia?

Tapi, MB Kedah ketika itu, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, mengatakan ianya berpunca dari Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE). Kawasan tapak projek tu tak menyediakan saluran air besar untuk menampung limpahan air.

“Banyak taman perumahan dan kawasan di sekitar tapak projek berkenaan ditenggelami air, malah ada taman-taman yang dahulu tidak pernah banjir, kali ini habis tenggelam,”- Petikan dari Utusan.

Projek ni merentasi Ipoh hingga Padang Besar. Imej dari Perak Today.

Disebabkan Kedah dan Perlis ni ada ramai petani dan pesawah, kerugian yang dihadapi oleh pesawah di kedua-dua negeri ni sahaja dianggarkan RM50 juta. Akibat kerosakan teruk yang dihadapi nampaknya Majlis Keselamatan Negara telah mencadangkan projek Rancangan Tebatan Banjir (RBT) yang dianggarkan bernilai RM 1 billion. Akhirnya, projek ni telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9).

Beberapa fasa dalam projek tebatan ni dilaporkan telah siap dan bagi kesan yang baik di beberapa tempat. Namun, ianya dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2019. Walaupun banjir tahun ni tetap memberi kesan kepada Kedah, namun ianya berjaya diminimakan.

4) Banjir kilat di KL dan Selangor

Negeri Pantai Timur dan Utara memang selalu betul kita dengar banjir. Tapi sebenarnya, negeri pantai Barat macam Selangor jugak ada je kena banjir. Pada tahun 2015 antara yang mengejutkan sebab kawasan yang terkena banjir makin bertambah banyak. Dari 57 kawasan menjadi 77 kawasan banjir. Puncanya…

Bandar Shah Alam pernah ditenggelami air. Imej dari Kosmo.

Punca semulajadi?

Selangor memang dah ada benteng atau ban untuk banjir. Tapi, peningkatan air laut atau air pasang besar menyebabkan limpahan air melebihi benteng sedia ada setinggi 5.5 meter. Air laut tu dilaporkan naik kepada 5.6 meter.

Perbuatan manusia?

Banjir kilat yang pernah berlaku di Selangor dikatakan berpunca daripada hujan lebat, serta sistem saliran dan penakungan air yang tak mencukupi untuk menampung pembangunan bandar yang pesat.

Sebenarnya semenjak zaman Tun Abdul Razak lagi, pelbagai langkah telah diambil untuk menangani banjir, contohnya terowong SMART yang sebenarnya bukan sahaja untuk jadi terowong kat highway, tapi untuk mengalirkan air sewaktu banjir. Masalahnya, walaupun sistem perparitan sentiasa dibaiki, orang awam menggunakannya untuk membuang sampah atau sisa-sisa pembinaan. Mana tak tersekat longkang-longkang tu semuma.

Pada tahun 2016, Selangor telah melancarkan Projek Tebatan Banjir di 83 hotspot banjir di seluruh negeri tu. Anggaran kos untuk keseluruhan projek ni adalah berjumlah RM 121 juta.

Takde yang murah untuk kawal banjir.

5) Banjir di Sarawak dan Sabah

Dari Semenanjung, kita pergi pulak ke Sabah dan Sarawak. Sarawak pernah mencatat banjir paling teruk pada tahun 2009 dengan kerugian berjumlah lebih kurang RM300 juta. Di Sabah pulak, banyak kerugian yang merosakkan jalan-jalan raya yang menghubungkan penduduk ketika berlaku banjir pada tahun 2014.

Punca semulajadi?

Antara punca yang pernah dilaporkan adalah kerana hujan lebat. Punca ni biasa kita dengar. Selain tu, tekanan udara rendah di Sarawak dan Kalimantan yang menyebabkan pembentukan awan hujan. Bila awan hujan banyak, jadi mencurah-curah air yang turun.

Keadaan bila Sarawak banjir. Imej dari The Malay Mail Online.

Di Sabah juga ada kawasan yang sering dilanda banjir bila tiba musim hujan yang turun lebih dari kadar normal. Pada tahun ni, berlaku lagi banjir hingga menyebabkan berlaku runtuhan sebuah jambatan yang menghubungkan jalan ke Kota Kinabalu.

Perbuatan manusia?

Walaupun macam tu, diakui juga yang sistem untuk bersedia menghadapi banjir belum cukup untuk kedua-dua negeri. Sebabnya projek untuk elak banjir seperti Projek Tebatan Banjir di Sabah masih lagi dalam proses tender tahun ni. Manakala, Sarawak pula mula mengkaji masalah perparitan bermula tahun lepas. Perjalanan projek ni masih jauh dan panjang walaupun dah selalu banjir.

6) Banjir di Pulau Pinang, paling buruk pernah terjadi

Mula-mula kita dikejutkan dengan fenomena belalai air yang dirakam oleh pemandu yang berada atas Jambatan Pulau Pinang. Tapi, kita dikejutkan lagi dengan berita betapa teruknya banjir yang dihadapi Pulau Pinang kali ini. Untuk tahun ni sahaja sebenarnya sudah 21 kali negeri tu menghadapi banjir.

Banjir ni telah mengorbankan 5 orang termasuk empat warga emas. Apa yang menggemparkan juga, bila ada Feri yang dipukul oleh ombak setinggi 3 meter menyebabkan Feri tu melanggar dek di Terminal. Apakah puncanya?

Feri naik darat. Imej dari Suara TV.

Punca semulajadi?

Punca banjir teruk ni juga datang dari pelbagai faktor. Menurut Pakar Oceonagrafi UM, banjir teruk ni berpunca dari fenomena Fujiwara. Fujiwara ni adalah dua taufan berbeza yang berlaku berdekatan negeri ni iaitu Taufan Damsey di Vietnam dan Taufan kecil di Teluk Siam. Fenomena ni menyebabkan hujan lebat turun berterusan.  Seperti dilaporkan ianya turun selama lebih 15 jam. Lebih separuh hari kot!

Perbuatan manusia?

Selain tu turut diakui bahawa punca lain banjir adalah sampah domestik, industri dan pertanian yang dibuang ke dalam sungai dan parit monsun menyebabkan sistem saliran gagal berfungsi dengan baik. Namun, wakil rakyat Tanjung Bungah yang juga parti DAP (bakal tinggalkan DAP), Teh Yee Cheu bersama NGO alam sekitar lain berpendapat bahawa kerajaan negeri sepatutnye berhenti mempersalahkan hujan dan sistem perparitan sebagai punca.

Mereka mengatakan yang punca sebenar banjir adalah kerana pemabangunan tak terkawal temasuk projek perumahan di cerun bukit. Sebelum banjir ni pun memang ada berita pasal runtuhan tapak pembinaan dicerun bukit Tanjung Bungah. Seramai 14 pekerja tertimbus dan mati. Sampaikan diorang nak mohon Suruhan Siasatan Diraja untuk siasat projek perumahan tu.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli, Dr Wan Junaidi mengatakan yang memanglah punca banjir ni sebab hujan lebat, tapi,

“Tapi bila hujan, dan jika kita ada hutan dan bukit yang telah dibersihkan, ia akan mengurangkan penyerapan air di sesuatu kawasan dan akhirnya menyebabkan banjir”- Dr. Wan Junaidi, petikan dari The Star.

Makan nasi bungkus sama-sama. Imej dari FB Zahid Hamidi.

Dalam dunia ni, ada negara yang boleh kita ambil contoh

Kalau 9% dari tanah Malaysia adalah kawasan yang senang kena banjir, Belanda pulak ada 55% tanahnya yang berada lagi rendah dari paras laut. Maknanya, negara tu ada 8 juta penduduk yang tinggal di kawasan bawah paras air laut. Jadinya, negara tu telah buat satu projek yang di namakan sebagai Delta Program. Ianya lebih kepada ‘hidup bersama air dan jangan berlawan dengannya’.

Sistem mengawal banjir Belanda. Imej dari NY Times.

Apabila air laut naik, diorang ada sediakan gate yang akan salurkan semua air laut sama ada ke dalam sungai yang dibesarkan, ladang-ladang yang perlukan air, tangki-tangki rumah dan lain-lain secara efektif. Jadi air berlebihan tu digunakan sebaik mungkin. Sebab tu negara macam China dan US pun belajar dan minta nasihat dari diorang

“Kami telah melakukan ini untuk generasi akan datang tapi kami sangat suka untuk melihatnya berfungsi. Saya seronok menjadi pembayar cukai untuk melihatnya berfungsi. Jadi biarkan banjir itu datang”- seorang rakyat Belanda, petikan dari The Guardian.

Punca semulajadi tak dapat dielak, tapi faktor perbuatan manusia boleh dikawal

Pada tahun 2015, Prof. Dr. Fredolin T Tangang dari UKM ada menyatakan bahawa banjir buruk akan berlaku lebih kerap di Malaysia akibat pemanasan global.

“Setiap satu darjah peningkatan suhu dunia, ia akan meningkatkan tujuh peratus kelembapan di atmosfera dan ini akan meningkatkan kekerapan episod ekstrem cuaca dan berkemungkinan lebih buruk daripada yang pernah kita alami tahun lepas,”- Prof. Dr. Fredolin T Tangang, petikan dari Prof. Dr. Fredolin T Tangang

Antara ramalan terbaru. Imej dari Met Malaysia.

Bayangkan suhu Bumi naik tu pun dah buat iklim tak menentu ditambah pulak dengan angin monsun yang datang saban tahun, maka, hujan yang turun tu pasti lebih dari kadar normal.

Tapi, kalau diperhatikan baik-baik, setiap kejadian banjir ni mesti juga puncanya dari manusia tu sendiri. Macam hakisan tanah sebab pembalakan, sistem perparitan tersumbat akibat sampah dan pihak bertanggungjawab tak menyelenggara sistem saliran yang ada.

Dan paling kurang pun, kita sebagai orang biasa ni boleh kurangkan kesan buruk terhadap alam semula jadi dengan membuang sampah dan sisa-sisa secara bertanggungjawab:

“Sudah masanya semua orang faham yang sampah dan sisa-sisa yang lain boleh menyumbang kepada banjir dan kesan negatif lain terhadap alam sekitar.” – Ir Prof Dr Jeffrey Chiang, dalam surat ke MalaysiaKini

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend