Kenapa masih mengundi Barisan Nasional? Kami tanya 10 rakyat Malaysia

Korang mesti sering kali tertanya-tanya kenapa BN masih boleh menang walaupun timbul pelbagai isu yang tak sedap didengar berkaitan kerajaan. Tapi yang peliknya bila ada Pilihan Raya Umum(PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK), BN masih mampu menang.

Tahun lepas ada dua PRK berlangsung kat Semenanjung iaitu di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak. Dua-dua pun BN menang. Kat Sarawak pula berlangsung PRN-11 yang mana BN telah mencatat kemenangan besar dengan 71 kerusi berbanding pembangkang yang dapat 10 kerusi je. Rekod BN pada PRN-11 adalah jauh lebih baik berbanding PRN-10 apabila sekadar menang 55 kerusi DUN.

Akaun Facebook Najib Razak dikecam orang ramai setelah harga minyak naik. Imej: Wanista

Jadi kali ni SOSCILI pergi interview rakyat Malaysia yang menyokong BN untuk mengetahui isi hati dorang ni semua. Kita mula dengan…

1. Sulong (39 tahun), Serian, Sarawak

Saya mengundi BN sejak PRU-11 memandangkan ahli keluarga saya juga ramai yang menjadi penyokong BN. Di sini, saya melihat bahawa BN lebih berkelayakan untuk memimpin Malaysia dan Sarawak berbanding pembangkang. Saya melihat parti pembangkang tiada kata sepakat dan hala tuju bagaimana nak memajukan Sarawak. Rakyat Sarawak juga umumnya tidak suka parti politik dari Semenanjung sebab mereka tidak memahami kehendak rakyat Sarawak dan saya sendiri menolak parti yang suka melaga-lagakan rakyat.

Pembinaan lebuhraya Pan Borneo di Sri Aman. Imej: Facebook

Walaupun Sarawak masih ketinggalan daripada segi pembangunan dan kemudahan seperti jalan raya serta bekalan air, BN sedikit sebanyak berusaha untuk menyediakan kemudahan tersebut. Saya bertambah yakin dengan BN selepas mendiang Adenan Satem menjadi Ketua Menteri. Walaupun dia baru saja meninggal, perubahan yang dia bawa semakin nampak terutama kawasan luar bandar semakin banyak projek jalan raya dibuat.

2. Byran (63 tahun), Serian, Sarawak

Saya menjadi penyokong BN sejak dari muda dan saya tak pernah sesekali mengubah sokongan saya kepada pembangkang. Sejak saya dari usia muda, sudah banyak perubahan yang saya lihat daripada segi jalan raya, bekalan air dan pembangunan.

Anak-anak dan cucu saya juga mendapat peluang melanjutkan pelajaran di UITM dan UNIMAS Kota Samarahan, semuanya sebab BN yang sediakan kemudahan tersebut. Apa yang saya lihat, sudah banyak perubahan yang dibawa oleh BN seperti contoh Kota Samarahan. Dulunya tiada apa-apa di situ, sejak BN membina UNIMAS dan UITM, pembangunan kat situ semakin rancak.

Pembinaan UNIMAS membantu meningkatkan pembangunan kawasan sekitar. Imej: Sinar Harian dan Unimas

Saya juga tidak suka kemasukkan parti politik dari Semenanjung datang bertanding di sini. Saya lebih suka parti politik yang berasal dari Sarawak, ideologi dan budaya parti politik Semenanjung tidak sesuai dibawa ke sini. Walaupun dulu saya sangat menyokong Mahathir semasa dia masih menjadi PM, sekarang tidak lagi sebab dia kuat menentang kerajaan.

Kenapa Adenan Satem berpengaruh besar dalam politik negeri Sarawak?

Sejak arwah Adenan Satem atau lebih dikenali sebagai Tok Nan menjadi Ketua Menteri Sarawak pada 2014, boleh nampa yang sokongan rakyat Sarawak kepada BN meningkat mendadak hingga menenggelamkan aura pemimpin pembangkang yang lain. The Borneo Post melaporkan pasal kajian yang menunjukkan tahap keyakinan penduduk Sarawak terhadap Tok Non meningkat daripada 75% ke 81% sebelum PRN-11 berlangsung lagi.

Populariti Adenan Satem ni bukan je setakat dalam kalangan kaum Bumiputra, tetapi juga kaum Cina apabila pentadbiran dia banyak menekankan kesamarataan tanpa mengira kaum. Penghapusan tol, mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), pengurangan tariff elektrik dan cukai pintu termasuk memberi lebih tumpuan dalam pembangunan luar bandar seperti pembinaan lebuhraya Pan Borneo memberi kredit tambahan kepada BN.

Karisma yang ada pada Tok Nan merubah lanskap politik Sarawak. Imej: Free Malaysia Today

BN menang 71 kerusi DUN pada PRN-11 iaitu pencapaian yang dapat dibanggakan bagi seorang Ketua Menteri yang baru ambil alih pentadbiran selama 2 tahun ketika itu. Ketua Menteri Sarawak yang baru, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg menyuarakan keyakinan untuk mengekalkan momentum kemenangan BN menjelang PRU-14 nanti memandangkan 25 daripada 31 parlimen adalah kubu kuat BN.

Keyakinan BN untuk menang juga disokong oleh Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar apabila populariti arwah Tok Nan masih memberi pengaruh besar kepada pengundi untuk terus menyokong BN ditambah pretasi baik Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu parti teras BN di Sarawak.

3. Zambry (57 tahun), Bagan Serai, Perak.

Saya mula menyokong BN daripada muda memandangkan saya sendiri merupakan pesara tentera sejak awal 90-an. Sebaik saja saya bersara, kerajaan banyak membantu saya dengan memberi bantuan untuk membuka ladang kelapa sawit termasuk baja dan anak pokok.

Di kampung saya sendiri, saya boleh lihat perubahan pembangunan yang kerajaan lakukan seperti jalan raya dan lampu jalan. Walaupun aktiviti pembangunan di kawasan kampung saya perlahan, tetapi sudah memadai bagi kami penduduk untuk melakukan urusan harian.

Contoh baja bersubsidi berlogo dacing. Imej: Baja Sawit

Kami juga lebih mudah untuk berjumpa dengan ahli parlimen kawasan ini atau pun wakilnya sekiranya ada masalah. Berbeza dengan pembangkang, tidak pernah saya berjumpa dengan wakil pembangkang yang cuba bertanya jika kami ada masalah di kampung.

Daripada apa yang saya tahu, wakil pembangkang cuma datang menjenguk ke kawasan kampung cuma ketika pilihan raya. Jika mereka ikhlas nak dapatkan undi orang kampung, patutnya lebih kerap datang melawat kawasan kampung. Bukannya hanya tunjuk muka ketika dah hampir pilihan raya.

4. Fatimah (45 tahun), Bagan Serai, Perak.

Saya seorang ibu tunggal sejak 10 tahun lalu, dan bekerja makan gaji sebagai pembantu kedai makan. Gaji bulanan saya tak la banyak memandangkan kerja di kampung. Apa yang saya dapat katakan, kerajaan banyak membantu saya terutama daripada segi bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Anak sulung saya sebelum melanjutkan pelajaran ke universiti juga pernah memohon bantuan kewangan daripada cawangan UMNO dan diluluskan dengan hanya tunjuk surat tawaran ke universiti sebagai bukti. Pada masa yang sama anak saya juga pernah mohon bantuan kewangan daripada cawangan PKR, tapi ditolak.

Pemberiaan biasiswa yang ditawarkan UMNO. Imej: Umno-Online.My

YB di sini juga prihatin dengan masalah kami termasuk kerap turun padang berjumpa dengan orang kampung berbanding wakil pembangkang. YB juga kerap hulurkan bantuan terutama sebelum hari raya dan hari persekolahan dibuka pada awal tahun dengan hulurkan bantuan pakaian dan duit.

Daripada segi pembangunan, perhubungan jalan raya semakin baik walaupun projek yang dibuat agak perlahan. Saya cuma berharap kerajaan dapat sediakan lebih banyak peluang pekerjaan, terutamanya untuk orang muda.

5. Firdaus (29 tahun), Bagan Serai, Perak.

Saya mulanya adalah penyokong PAS  sebelum mengundi UMNO-BN masa PRU-13 dulu. Saya sokong PAS pada mulanya sebab ikut kawan yang ramai sokong PAS. Tak lama lepas tu saya tengok ahli PAS terutamanya di kawasan saya kurang menfokuskan isu-isu masalah orang kampung.

Walaupun banyak kegiatan keagamaan dibuat, tetapi program untuk membantu orang kampung yang bermasalah kurang dilakukan. Apa yang saya pernah lalui, lebih mudah untuk memohon bantuan daripada UMNO-BN berbanding PAS.

Pembangunan di Bagan Serai perlahan tapi masih memuaskan. Imej: Lao Peng You

Orang kampung di sini banyak mengharapkan pembangunan dan saya lihat cuma UMNO-BN yang dapat membantu orang kampung kat sini. Pembangunan yang UMNO-BN buat di kawasan ni tak la boleh dibanggakan sangat, tapi perubahan tu masih boleh nampak.

Nasib BN kat Perak seperti telur di hujung tanduk

Nasib BN di Perak masih samar-samar menjelang PRU-14 disebabkan rekod terdahulu pada PRU-12 dan PRU-13 yang yang tak memuaskan. Kegagalan BN untuk mengekalkan Perak sebagai negeri dibawah pentadbirannya pada 2008 benar-benar memberi pengajaran besar buat BN yang selama ni yakin untuk terus berkuasa.

Perak yang diperintah melalui gabungan Pakatan Rakyat (PR) selama 11 bulan akhirnya roboh setelah ADUN dari pembangkang bertindak menjadi ADUN bebas. Tiada angin dan ribut tiba-tiba tukar haluan politik menyebabkan blok pembangkang menuduh BN memberi rasuah bagi merebut kembali Perak. Akhirnya bila dah penat bertengkar, BN kembali memerintah melalui Menteri Besar yang baru Zambry Abdul Kadir.

Jamaluddin Mohd Radzi bekas ADUN PKR menjadi ADUN Bebas. Imej: Sinar Harian

BN meneruskan rekod buruk pada PRU-13 apabila sekadar menang 31 kerusi DUN daripada 59 yang dipertandingkan dan menang 12 daripada 24 kerusi parlimen. Kejayaan memerintah Perak dibayangi penguasaan UMNO sebanyak 30 kerusi DUN selain 1 kerusi milik MCA yang bertanding di kawasan majoriti Melayu. Parti yang menjadi biawak hidup dalam BN adalah MCA yang gagal meraih sokongan kaum Cina di Perak hinggakan DAP menang 18 kerusi DUN.

BN waktu PRU-13 masih ketinggalan jauh berbanding pembangkang terutama daripada segi jumlah undi apabila pada peringkat Parlimen, PR dapat 624,344 undi (54.7%) berbanding BN 512,451 undi (44.9%). Pada peringkat DUN, Pakatan meraih undi sebanyak 625,710 (54.8%) manakala BN memperolehi 506,947 (44.4%).

Jumlah kerusi DUN yang ditandingi PR pada PRU-13 di Perak. Imej: al-Husseyn

MCA ni dah boleh kira bungkus ikat tepi bila kerusi parlimen di Perak pun hanya tinggal 1 selepas PRU-13 iaitu di Tanjung Malim dan itu pun masih mengharapkan belas ehsan daripada pengundi Melayu yang mewakili 53% pengundi.

6. Zainol (59 tahun). Jengka, Pahang

Faktor sokongan saya kepada BN adalah disebabkan sebagai mengenang budi kepada kerajaan yang telah menubuhkan Felda. Penubuhan Felda ni banyak membuka peluang kepada kami mendapat pendapatan yang lebih terjamin terutamanya tidak ramai antara generasi kami berpendidikan tinggi.

Daripada segi pembangunan, sebenarnya tidak banyak perubahan yang dilakukan di kawasan ni berbanding tempat lain. Jalan raya kat sini masih perlu diperbaiki terutama disesetengah tempat yang sangat teruk dan juga menjadi punca banyak kemalangan berlaku.Dalam isu pendidikan, saya dapat lihat kesungguhan kerajaan untuk bantu anak-anak generasi peneroka Felda dalam pelajaran terutama dengan penubuhan Uitm di Jengka.

Penubuhan Uitm kampus Jengka dapat membantu anak Felda melanjutkan pelajaran dan meransang pembangunan kawasan sekitar. Imej: tataredhojer

Pada saya generasi muda Felda wajar diberi perhatian oleh kerajaan terutama dalam pelajaran bagi mengelakkan ada gejala-gejala sosial yang tak elok daripada berlaku. Kat sini saya dapat lihat aktiviti tak sihat seperti menagih dadah dan menghidu gam dalam kalangan anak muda Felda semakin teruk dan penyediaan latihan kemahiran kepada dorang sedikit sebanyak dapat mengekang aktiviti tak sihat seperti itu.

7. Zaini (47 tahun). Jengka, Pahang

Sokongan saya kepada BN disebabkan faktor keluarga yang telah lama menyokong BN ditambah pula sebagai peneroka Felda saya mengenang jasa kerajaan menempatkan peneroka Felda di sini. Apa yang saya lihat, walaupun di sini tidak semaju seperti di bandar, tetapi keperluan dan infrastuktur di sini masih memuaskan.

Kerajaan juga memberi layanan istimewa kepada generasi muda Felda yang melanjutkan pelajaran memperoleh bantuan kewangan dan tempat untuk belajar di universiti. Pada saya, anak Felda lebih bernasib baik untuk memperoleh bantuan kerajaan berbanding anak muda yang bukan generasi Felda.

Antara bantuan yang diberikan Felda kepada peneroka. Sumber: Felda.net

Saya berharap kerajaan dapat meneruskan usaha baik untuk membantu golongan peneroka Felda dapat diteruskan memandangkan kami juga termasuk dalam kelompok yang menyumbang dalam ekonomi dan pembangunan negara.

Peneroka Felda luar bandar masih setia dengan BN

Prestasi BN di Pahang masih boleh dikategorikan selamat walaupun mendapat tentangan sengit daripada pihak pembangkang pada PRU-13 lepas. Pada PRU-13, BN menang 30 kerusi DUN daripada 40 kerusi yang dipertandingkan, dan 10 daripada 14 kerusi parlimen. Tapi prestasi ni kira turun jugak la berbanding PRU-12 iaitu 37 kerusi DUN dan 12 kerusi parlimen.

Jumlah kerusi DUN PRU-13 milik BN(biru). Imej: undi.info

Nampaknya BN kat Pahangmasih mengharapkan undi yang diraih daripada pengundi luar bandar terutamanya Melayu yang tinggal di Felda. Melalui beberapa kajian lepas yang dilakukan penganalisis politik, pengundi Felda lebih cenderung untuk mengundi BN sekaligus mengekalkan Pahang sebagai kubu kuat BN.

Imej: The Hoya

Bagi pihak pembangkang, DAP memainkan peranan penting dengan menang 7 kerusi DUN di kawasan bandar yang majoritinya dihuni kaum Cina. PAS serta PKR kalau dilihat daripada jumlah undi masih mampu memberi saingan kepada BN untuk meraih undi orang Melayu untuk PRU akan datang walaupun di kawasan Felda UMNO masih lagi menjadi tuan tanah.

Kehadiran ribuan peneroka Felda di ceramah yang dianjurkan PAS. Imej: Aliran

Oleh sebab Felda sekarang ni terpalit dengan rasuah dan kerugian besar, PAS ada buat ceramah berkaitan penyelewengan dalam Felda di Jerantut dan Mara pada Februari 2017 lalu mencatakan kehadiran ribuan peneroka Felda.

Baru-baru ni, bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings (FGV) Bhd, Tan Sri Isa Abdul Samad meletak jawatan ekoran wujud tuduhan salah laku hingga membabitkan siasatan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Isa Samad yang pernah didapati bersalah main politik wang kini dilantik jadi Presiden SPAD

Isa Samad, wajah yang menjejaskan reputasi Felda. Imej: Free Malaysia Today

8. Husin (59 tahun). Kota Tinggi, Johor.

Sokongan saya kepada kerajaan berdasarkan rasa berterima kasih kerana membangunkan tempat ni dan membantu peneroka Felda untuk memperoleh pendapatan tetap. Terlalu banyak jasa kerajaan kepada kami dan undi saya kepada kerajaan sebagai membalas budi.

Di sini tak banyak perubahan pembangunan seperti yang ada di Johor Bahru, tetapi kami tetap bersyukur dengan apa yang ada. Dulu kat sini yang ada cuma jalan merah tak bertar, sekarang banyak jalan yang dah berturap memudahkan urusan kami untuk ke bandar.

Bandar Kota Tinggi Johor. Imej: Wikipedia

Saya menolak kehadiran parti pembangkang ke sini memandangkan suasana hidup kami sudah aman damai dan kami tak perlukan orang luar yang kononnya nak bawa perubahan. Kerajaan yang membangunkan tempat ni, tak perlu orang luar nak datang raih undi kami.

9 .Abu Bakar (56 tahun). Kota Tinggi, Johor.

Kat sini yang banyak berjasa adalah kerajaan, disebabkan tu saya sendiri menyokong BN dari dulu lagi. Dulu ada ahli politik pembangkang yang datang memberi ceramah di sini tapi kami tak tolak kehadirang dorang. Kami tak suka orang luar datang ke sini memberi ceramah yang hanya akan bawa pengaruh negatif.

Sahabat Muafakat Johor antara NGO yang membantah pembangkang mengadakan ceramah di Johor. Imej: Umno Johor

Undi kami tak berubah sekarang atau pun bila-bila dan hanya kerajaan yang kami pilih. Pembangunan kat sini sudah jauh berbeza berbanding dulu masa mula-mula Felda ni dibuka. Saya sendiri melihat perubahan yang BN bawa daripada pemimpin dulu hingga sekarang.

Johor masih kekal tembok besar BN

Di Johor, BN masih mengekalkan dominasi dorang dengan menguasai lebih 2/3 kerusi DUN dan Parlimen menjadikan Johor kubu terkuat BN bagi Semenanjung Malaysia. Menang 21 kerusi Parlimen dan 38 DUN sudah cukup membuktikan reputasi tinggi BN di Johor dalam kalangan pengundi pada PRU-13.

Kerusi DUN yang dimenangi BN Johor(Biru). Imej: Undi.Info

Melalui keputusan PRU-13 di Johor, UMNO masih mengekalkan rekod besar dengan mencatatkan kemenangan 16 kerusi parlimen dan 32 DUN. Dalam PR, DAP dilihat paling menyerlah untuk bersaing dengan BN apabila menang 13 kerusi DUN dan 4 parlimen. Dan sekali lagi di Johor, parti bungkus ikat tepi MCA menunjukkan prestasi layu apabila hanya menang 4 kerusi parlimen sekaligus meruntuhkan temboknya yang sebelum ni menang 7 kerusi pada PRU-12.

UMNO/BN di Johor perlu berterima kasih kepada pengundi Melayu apabila parti tu menerima sokongan undi Melayu sebanyak 84% membuatkan PR masih perlu berusaha lebih keras untuk menarik undi orang Melayu. Tetapi BN juga tak boleh leka sebab bekas orang nombor 2 dalam UMNO iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini bersama parti pembangkang masih mempunyai pengaruh besar di Johor.

Pecahan jumlah pengundi pada PRU-13. Imej: Helen Ang

Menurut blok pembangkang yang kini bergelar Pakatan Harapan, menggunakan pengaruh besar Tan Sri Muhyiddin Yassin di Johor untuk meraih lebih banyak kerusi parlimen dan DUN tak mustahil untuk dilakukan. Terdapat 12 kerusi parlimen termasuk Pagoh berada dalam pengaruh Muhyiddin Yassin dan sekiranya pengundi Melayu menunjukkan tanda protes kepada BN ekoran pemecatan Muhyiddin Yassin tak mustahil 12 kerusi parlimen tu menjadi milik pembangkang.

Blok pembangkang juga meramalkan sekiranya 5% undi Melayu berubah kepada pembangkang, 7 kerusi DUN dan 7 parlimen akan berjaya ditawan dan pertambahan 7 kerusi DUN serta 4 parlimen sekiranya 10% undi Melayu berubah menjadi milik pembangkang.

10. Tarmizi (35 tahun). Merbok, Kedah

Saya bukanlah penyokong fanatik mana-mana parti politik cuma sokongan saya berdasarkan pengaruh parti politik dan kemampuan dorang membuat kerja. PRU-12 dulu saya mengundi PKR sebab saya fikir perlu bagi peluang kepada pembangkang untuk bawa perubahan kat Kedah. PRU-13 saya ubah undi kepada BN sebab tak banyak perubahan yang berlaku lepas 2008.

Tapi apa yang saya tengok lepas PRU-13 perubahan  pun kira masih perlahan dan tak banyak yang boleh dibanggakan. Orang muda sekarang nakkan perubahan seiring dengan janji orang politik. Kat sini ramai kawan-kawan saya yang terpaksa pergi ke P.Pinang untuk mencari kerja dan ada yang terus menetap kat sana.

Nak dapatkan undi kami tak susah pun, asalkan tunaikan janji yang dah dibuat. Zaman sekarang orang lebih berfikiran realistik bukan dengar ahli politik cakap semata-mata.

BN kat Kedah banyak sabotaj parti sendiri

Nyawa BN di Kedah sekarang pun tak la besar mana selepas hanya menang 21 kerusi DUN dan 10 parlimen pada PRU-13. Pada PRU-12 BN dikejutkan dengan kekalahan besar bila hanya menang 4 kerusi parlimen dan 14 DUN sehinggakan blok pembangkang menerusi PAS menjadi pentadbir Kedah.

Perbezaan jumlah kerusi DUN yang dimenangi BN 2008-2013. Imej: Celah Gelegar.

Tertunduk malu ego BN apabila sebahagian besar daripada 859,941 pengundi di Kedah memilih pembangkang untuk menerajui pentadbiran negeri Jelapang Padi itu. Bekas PM, Mahathir menyifatkan kekalahan teruk BN di Kedah ekoran berlaku krisis sabotaj calon UMNO dalam kalangan ahli UMNO sendiri sebab tak puas hati dengan pucuk pimpinan.

Sorang lagi bekas PM kita, Pak Lah pun ada cakap yang BN takde masalah untuk mempertahankan Kedah sekiranya ahli UMNO tak buat sabotaj kat parti dan calon. Mahathir selepas PRU mengkritik pucuk pimpinan Abdullah yang menjadi punca kekalahan teruk BN dan berpendapat ahli UMNO menolak Pak Lah sebagai presiden dorang.

Abdullah Ahmad Badawi dikritik teruk ahli UMNO dan Mahathir. Imej: The Straits Times

Selepas PRU-12, Mahathir melancarkan protes kepada Abdullah dengan memintanya untuk melepaskan jawatan sebagai PM ekoran prestasi buruk BN pada PRU lepas selain tidak berkredibiliti lagi untuk memimpin BN. Selepas Pak Lah melepaskan jawatan sebagai PM, Najib yang mengambil alih pucuk pimpinan memimpin BN dalam PRU-13 menyaksikan BN merampas kembali Kedah daripada pembangkang.

Penganalisis politik berpendapat kegagalan PAS mempertahankan Kedah disebabkan wujud perbalahan dalaman antara MB Kedah ketika itu, Datuk Seri Azizan Razak dengan pemimpin PAS negeri. Tambahan wujud desas-desus anak Mahathir, Mukhriz bakal dilantik menjadi MB selepas diletakkan sebagai calon untuk bertanding di kerusi DUN.

Mukhirz memilih menjadi pembangkang selepas dipecat. Imej: Antara Pos

Mukhriz pun nampaknya ada reputasi besar kat Kedah apabila BN menang 21 kerusi DUN dan meningkatnya undi Melayu daripada 48.7% kepada 54.3%. Tetapi tiba-tiba 14 Ketua Bahagian UMNO nakkan Mukhriz dipecat daripada jawatannya.

Pemecatan Mukhriz memaksa dia bersama Mahathir dan Muhyidin Yassin menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia sekaligus menyertai blok pembangkang. Perlantikan MB Kedah yang baru, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mendapat kecaman orang ramai, jadi nampak gayanyag peluang mungkin rendah BN untuk mempertahankan Kedah pada PRU-14.

Perlantikan Ahmad Bashah sebagai Menteri Besar baru mendapat kecaman orang ramai. Imej: Facebook

Apa pula pendapat korang?

Dah lebih 4 tahun berlalu semenjak PRU-13, tapi sampai sekarang pun kita tak tahu bila PRU-14 akan diadakan. Tapi kalau pilihanraya lepas pihak pembangkang hampir-hampir je nak menang, keadaan sekarang memang tak boleh nak jangka sebab PAS tak lagi bersama Pakatan Rakyat.

Dan daripada 10 orang yang kami tanya ni, kebanyakannya berterima kasih pada kerajaan sebab bagi bantuan berbanding pihak pembangkan yang dorang kata tak nampak sumbangannya. Dan nampaknya dorang tak sebut sangat pasal skandal kerajaan macam kes rasuah, kes 1MDB yang tak sudah-sudah lagi, ataupun pasal harga barang yang naik.

Tapi dalam politik, macam-macam benda boleh jadi. Mahathir dengan Anwar boleh berbaik, Najib dengan Hadi boleh kamcing. Benda-benda ni semua boleh mengubah keputusa pengundi. Korang pulak macam mana? Apa yang mempengaruhi pilihan korang?