Sekolah vernakular tak menyatukan bangsa? Kami tanya 5 bekas pelajar Melayu pelbagai latar belakang

Isu sekolah vernakular ni memang sensitif, sebab tu pemimpin kita pun hati-hati bila menyentuhnya sebab ada kaitan dengan perkauman. Memember kami kat CILISOS pun pernah cover pasal ni.

Rasanya ramai yang tau bahawa Khairy Jamaluddin (KJ) memang champion dalam nak hapuskan Sekolah Vernakular ni dan dia memang consistent dengan pendiriannya tu, sejak 2012 lagi. Malah dia dia pernah berdebat dengan Rafizi Ramli kat UK kot mengenai isu ni. Yup dorang pernah berdebat kat UK, sebab kat Malaysia debat bukan budaya kita.

Imej asal daripada: Men’s Health

Dalam program TN50 baru-baru ni, KJ ulang kalau nak wujudkan sekolah satu aliran, kena tutup sekolah vernakular termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Ramai yang mengecam KJ atas kenyataan ni.

Imej asal daripada: imgflip

Sebelum kitorang cerita lebih lanjut, korang tahu tak apa tu sekolah vernakular? Sekolah vernakular tu ialah sekolah yang mengajar menggunakan bahasa ibunda mereka. Untuk pengetahuan korang lagi, susur galur sekolah ini pun dah lama wujud. Sebelum kita merdeka lagi, British yang tubuhkan.

Sekolah vernakular ni dituduh penyebab perpecahan kaum di Malaysia. Bak kata KJ:

“Orang Melayu pergi sekolah kebangsaan di kampung, tak jumpa Orang Cina. Sambung belajar di MRSM, tak jumpa Orang Cina. Sambung ke Jordan belajar Arab atau Syariah tak jumpa Orang Cina. Balik kerja dengan kerajaan, bahagian agama, tak jumpa Orang Cina.

Orang Cina jugak begitu, pergi ke Sekolah Jenis Kebangsaan, tak jumpa Orang Melayu. Belajar di Sekolah Cina swasta, tak jumpa Orang Melayu. Sambung pengajian tinggi di Taiwan, tak jumpa Orang Melayu. Kerja di Private Sector, tak jumpa orang Melayu. Wujudnya tirai yang menyebabkan mereka tidak bergaul antara satu sama lain.” – Khairy Jamaluddin. Dipetik dari debat KJ vs Rafizi.

Tapi sanggup ke orang Melayu nak tutup sekolah lain termasuk SBP untuk wujudkan satu sistem persekolahan? So kami tanya bekas pelajar daripada lima jenis sekolah berlainan untuk dapatkan pendapat mereka.

1. Fadzly Basar (27), bekas Sekolah Menengah Kebangsaan

Saya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Mahmood Iskandar, hampir keseluruhan pelajarnya Melayu dan ada sedikit pelajar India. Sekolah Menengah Dato Pengawa Barat, 80% Melayu selebihnya Kaum Cina. Sambung pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa, pelajarnya Melayu dan pelajar antarabangsa. Sekarang ni bekerja di Pusat Asasi UIAM, tempat kerja multiracial dan multinational.

Di Malaysia, kita hidup dalam perpecahan yang aman. Kebanyakan rakyat Malaysia tak suka bangsa lain tetapi tak nak mengaku. Tak mengaku rasis tapi masih dibelenggu sikap stereotaip. Contohnya saya sendiri, tak pernah cakap depan-depan Orang India pengotor. Tapi bila terlihat Orang India membuang sampah merata, automatic keluar ayat “dasar India pengotor”. Kebencian dalam senyap ini bahaya, macam bom lama yang masih aktif. Boleh meletup bila bila masa.

Imej asal daripada: Imgflip

Sistem pendidikan bukan lah satu-satunya penyebab integrasi kaum itu lemah. Tetapi didikan di sekolahlah yang membentuk masyarakat kita. Sedikit sebanyak Sekolah Vernakular menyumbang kepada kelemahan integrasi kaum.

Rakyat Malaysia terikat dengan kontrak sosial yang dipersetujui bersama sekian lama. Bangsa lain kena perakui hak istimewa Bumiputera dan Bumiputera pulak tak boleh lah halang non-Bumi untuk praktiskan bahasa dan budaya mereka serta bersekolah di SJK. Jikalau nak bubar SJK, Bumiputera pun kena lah rela hak istimewa mereka ditarik.

2. Ahmad Zakwan Mohd (27), bekas Sekolah Menengah Agama

Saya memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Balai Besar. Bersekolah menengah di Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail Dungun dan seterusnya sambung peringkat SPM, STAM dan Sijil Tahfiz di Institut al-Quran Terengganu. Zaman persekolahan saya semua pelajar 100% Melayu. Ijazah pertama saya di Universiti al-Azhar, Mesir dan disini pelajarnya berbilang bangsa dari pelbagai negara.

Tempat saya bekerja sekarang ni pun semuanya Melayu. Saya membesar dan bekerja di daerah Dungun, hubungan antara kaum disini memang harmoni dan saling menghormati. Di negeri Terengganu hubungan antara kaum harmoni dan saya rasa di Malaysia jugak begitu. Cumanya kadang-kadang berlaku isu panas yang menyebabkan berlaku sedikit kekeruhan antara kaum.

Saya tak setuju sekolah vernakular penyebab perpecahan kaum di Malaysia kerana terbukti masyarakat hidup dalam harmoni selepas berpuluh tahun wujudnya sekolah vernakular. Dan pastinya pelajar di sekolah vernakular tak diajar untuk tak hormat kaum lain. Sekolah vernakular tak wajar ditutup kerana ianya meraikan kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia, terutamanya aliran Islam.

3. Faiz Azmi (27), bekas sekolah MRSM

Saya bersekolah di MRSM Kuantan yang mana hampir 99% pelajarnya Melayu. Seingat saya batch saya hanya ada dua tiga orang pelajar bangsa lain. Dan di Universiti Islam Antarabangsa, pelajarnya terdiri daripada Bumiputra dan pelajar antarabangsa.

Sekolah untuk budak pandai, MRSM Kuantan. Imej: mrsm-kuantan blogspot

Hubungan kaum di Malaysia bermasalah kerana dasar kerajaan dan sekolah vernakular patut dihapuskan kerana penyebab hubungan kaum di Malaysia tak harmoni. Perlu wujudkan sistem satu sekolah untuk memastikan semua kaum memahami antara satu sama lain. Dan jugak setiap kaum tidak rasa tertindas.

Tetapi saya tak bersetuju untuk menutup SBP, MRSM dan Sekolah Agama. Selain daripada kerajaan perlu improve sistem sedia ada, SBP dan MRSM perlu kembali kepada objektif asal iaitu membantu pelajar luar bandar dan miskin serta perluaskan objektifnya kepada semua kaum. Sekolah agama perlu kekal dan galakkan pelajar bukan Islam untuk belajar di Sekolah Agama Islam. Perlu wujudkan satu subjek khas tentang agama lain di Sekolah agama.

4. Zamir Azfar (27), bekas sekolah SBP

Sekolah rendah saya Sekolah Kebangsaan Wan Ibrahim pelajarnya 98% Melayu. Dan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, 100% pelajar Melayu. Tempat kerja saya sekarang ni pun di dominasi oleh kaum Melayu.

Malaysia sekarang ni harmoni tetapi adalah kadang-kadang pertelingkahan kecil yang biasanya melibatkan kepentingan peribadi. Sekolah Vernakular tak wajar ditutup kerana ianya penting bagi kaum Cina dan India untuk meneruskan tradisi budaya mereka. Orang Melayu nak kekalkan sejarah dan budaya kita, begitu jugak kaum lain.

Langkah baik untuk menubuhkan sekolah satu aliran tetapi tidak lah wajar untuk menutup sekolah vernakular termasuk SBP & MRSM. Kepelbagaian ini membolehkan masyarakat memilih laluan pendidikan yang terbaik untuk mereka dan generasi akan datang.

5. Reen (27), bekas Sekolah Jenis Kebangsaan

Saya salah seorang Melayu yang bersekolah di Sekolah Cina. Saya memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Yu Hua dan kemudiannya menyambung di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua. Di kedua-dua sekolah ini, majoriti pelajarnya ialah kaum Cina dan tak sampai 10% kaum lain. Di sekolah rendah, medium utama pembelajaran ialah Bahasa Cina, hanya pelajaran Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu diajar dalam bahasa lain. Manakala di sekolah menengah medium utama ialah Bahasa Melayu.

Sekolah Cina pun ada pelajar Melayu & India lah! imej cilok dari kakak kami Cilisos.my

Berdasarkan pengalaman saya sendiri, hubungan kaum di Malaysia ini harmoni dan tiada masalah serius. Ya, sewaktu di sekolah rendah hubungan di antara pelajar Cina dan Melayu memang sedikit bermasalah. Tetapi ianya sebab masing-masing belum mengenali antara satu sama lain. Bila dah berkenalan dan memahami, hubungan kami okay.

Tapi saya bersetuju Sekolah Vernakular sedikit sebanyak menyumbang kepada masalah kaum di Malaysia. Bukan punca utama, tetapi ianya wajar diberi perhatian untuk memperkukuhkan lagi keharmonian rakyat Malaysia. Pelajar di Sekolah Vernakular khususnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, kurang pendedahan dengan budaya kaum lain terutamanya Melayu.

Saya tak setuju dengan saranan untuk menutup Sekolah Vernakular. Perlu ubah polisi seperti menambah kuota pelajar Melayu di Sekolah Cina tapi bukan tutup terus.  Kita perlu meraikan kepelbagaian rakyat di Malaysia. Disamping adanya pelbagai jenis sekolah di Malaysia mewujudkan persaingan yang sihat.

Polisi kerajaan dah buat untuk satukan kita semua

Sebenarnya kerajaan dah laksanakan banyak polisi untuk kukuhkan integrasi kaum di Malaysia. Antaranya kerajaan tubuhkan Sekolah Wawasan. Sekolah untuk memupuk semangat integrasi dikalangan pelajar. Kerajaan gabungkan beberapa sekolah berlainan aliran menggunakan jambatan penghubung.

Selain tu, kerajaan pernah memperkenalkan Rancangan Intergrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUD). RIMUD ini menggabungkan aktiviti seperti ko-kurikulum untuk pelajar-pelajar di sekolah berlainan aliran. Mereka walaupun daripada sekolah berlainan, tetapi berkongsi kemudahan dan aktiviti bersama. KJ cakap rancangan ini bagus tapi gagal kerana peruntukkan terlampau sedikit iaitu RM1 500 untuk satu sekolah.

Main sama-sama barulah rapat. Imej: Giphy

Kerajaan jugak laksanakan PLKN untuk semai semangat perpaduan. Bukan untuk korang belajar pegang senjata je. Salah satu objektif PLKN ialah memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional.

“Pengalaman dan latihan yang diperolehi di kem PLKN akan membentuk semangat perpaduan, jati diri dan nilai-nilai kepemimpinan yang berguna sepanjang hayat” – Datuk Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pertahanan. Dipetik dari Sinar Harian.

Ada perbezaan pendapat sama ada sekolah vernakular perlu dikekalkan atau tidak

Isu pendidikan isu yang penting kerana melibatkan semua orang. Sistem sekolah pelbagai aliran berasaskan kaum ni kita dah wujud sebelum Malaysia merdeka lagi. Mungkin dah sebati dengan rakyat Malaysia, atau mungkin dah basi perlukan perubahan?

Dan daripada 5 orang kami tanya ni, hampir semua setuju perlu ada perubahan polisi untuk kukuhan integrasi kaum di Malaysia. Tapi mereka bercampur baur bila ditanya perlu ke tutup sekolah vernakular.

Prof Emeritus Khoo Kay Kim pun pernah mencadangkan untuk laksanakan sekolah satu aliran sahaja bagi memastikan perpaduan antara kaum tercapai,

“Sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan 1Malaysia.

Sejak dari kecil lagi rakyat sudah diasingkan mengikut aliran dan bahasa ibunda masing-masing dan apabila dewasa, semangat kerjasama dan persefahaman sukar untuk dijalinkan.” – Tokoh sejarah dan akademik Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim. Dipetik dari Mstar.

Tapi CEO IDEAS (Institute for Democracy and Economic Affair), Wan Saiful Wan Jan pulak cakap tak perlu tutup Sekolah Vernakular sebaliknya tambah kualiti sekolah sedia ada. Malah dia jugak berpendapat  orang-orang yang menggesa untuk mewujudkan sekolah satu aliran ni sebenarnya sedang mewujudkan perpecahan.

“Hanya dengan ini (hapuskan semua sekolah vernakular,Sekolah Agama, MRSM,SBP,International Scholl) sahaja boleh wujud sekolah satu aliran. Boleh anda bayangkan bagaimana ianya akan memecahkan dan mengakibatkan kekacauan sekiranya kita memilih jalan ini? Ianya akan membuatkan keadaan lebih keruh dari sekarang.” -Wan Saiful Wan Jan dipetik dari Menara.my

Tetapi sanggup ke Orang Melayu nak hapuskan Sekolah Agama, SBP dan MRSM? Korang rasa macamna? Korang sanggup ke tutup semua sekolah untuk tubuhkan satu jenis sekolah je?