Sejarah & Politik

Tapak istana ditukar gereja? Ini 4 tempat yang diambil dari nama penjajah

Sebelum Tunku Abdul Rahman melaungkan kemerdekaan, Malaysia merupakan negara yang dijajah oleh kuasa asing bermula dari Portugis sehingga Jepun. Penjajahan ini telah meninggalkan banyak kesan kepada kita lebih-lebih lagi kepada sejarah kita. Namun, bukan dari segi sejarah sahaja memberikan kesan, malah dari segi aspek geografi seperti sesetengah nama tempat-tempat di Malaysia diambil dari nama penjajah.

Contohnya, Kota Kinabalu dinamakan sempena Gunung Kinabalu tetapi sebenarnya nama asalnya ialah Jesselton yang diambil dari nama Naib Pengerusi Syarikat Borneo Utara British (SBUB), Tuan Charles Jessel. Selain itu, Pelabuhan Klang juga mempunyai nama asal iaitu Pelabuhan Swettenham yang diambil dari nama Residen General Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Sir Frank Swettenham. Sebenarnya, banyak lagi tempat-tempat di Malaysia yang diambil dari nama penjajah. Jadi, mari kami bongkarkan lima asal-usul nama tempat di Malaysia yang diambil sempena nama penjajah.

1. Teluk Intan: Nama asal yang ditukar untuk mengenang jasa Jeneral Archibald Anson

Ini merupakan gambar Teluk Intan yang telah diedit. Imej dari Majlis Perbandaran Teluk Intan.

Teluk Intan merupakan sebuah pusat perdagangan yang penting untuk negeri Perak pada zaman dahulu. Kalau korang nak tahu, terdapat sebuah pelabuhan yang berfungsi untuk membawa hasil utama iaitu bijih timah. Hal ini disebabkan oleh Teluk Intan dikelilingi dengan Sungai Bidor dan Sungai Perak.

Sebenarnya, nama asal Teluk Intan ini mempunyai dua cerita di sebaliknya yang pernah direkodkan dalam sejarah Malaysia. Menurut cerita pertama, nama Teluk Intan asalnya diambil dari seorang janda iaitu bernama Mak Intan dan merupakan saudagar dari Mandahiling, Sumatera. Pada awalnya, tempat ini dipanggil Pekan Mak Intan dan penerokaan yang dibuat oleh Mak Intan menjadikan Teluk Intan sebagai penempatan orang Jawa, Rawa, Mandahiling, Minangkabau, Kampar dan India-Bombay.

Ada juga yang menyatakan bahawa nama Teluk Intan diambil kerana pacak Intan di sanggulnya hilang di sungai. Oleh itu, kehilangan Intan itu acapkali disebut oleh penduduk dan lama-kelamaan nama tempat itu dipanggil Teluk Mak Intan.

Menurut cerita kedua pula berbeza sedikit kerana menceritakan tentang seorang gadis Sumatera yang bernama Intan dan bapanya merupakan seorang penjual kain batik. Sewaktu Intan sedang mandi di tepi Sungai Perak bersama rakan-rakannya, cincin yang dihadiahkan oleh ibunya telah hilang di sungai tersebut. Jadi, ramai pedagang dari situ menamakan tempat itu sebagai Teluk Mak Intan.

Korang semua jangan bergaduh pulak ye. Imej dari giphy.

Pada tahun 1880, pusat pentadbiran Hilir Perak ialah di Durian Sebatang dan General Archibald Anson yang merupakan bekas Leftenan Gabenor dari Greator London, England dilantik menjadi Pegawai Daerah Hilir Perak. Beliau mendapati bahawa Teluk Mak Intan lebih sesuai untuk dijadikan pusat pentadbiran Inggeris. Oleh yang demikian, beliau telah memindahkan pusat pentadbiran ke Teluk Mak Intan.

Beliau menjadi Pegawai Daerah tidak begitu lama kerana beliau hanya bertugas selama dua tahun sahaja. Penukaran nama dari Teluk Mak Intan kepada Taluk Anson dilaksanakan untuk mengenang jasa beliau dalam membangunkan tempat itu.

Namun, menjelang 27 Disember 1981, Yang Dipertua Majlis Daerah Hilir Perak (MDHP) Encik Abdul Samat Haji Sabri telah menukarkan nama Teluk Anson kepada Teluk Intan melalui surat arahan. Semua jabatan-jabatan kerajaan, pihak swasta termasuk kilang-kilang, syarikat-syarikat persendirian serta kedai-kedai perniagaan perlu menggunakan nama Teluk Intan. Dalam surat arahan itu tertulis bahawa penukaran nama akan dilaksanakan pada 1 Januari 1982.

2. Pulau Pinang: Dinamakan Prince of Wales sebagai penghormatan pewaris takhta British

Sebuah lukisan di Penang Street Art. Imej dari Only Penang.

Sebut sahaja pasal Pulau Pinang, dalam fikiran korang mesti terifikir nasi kandar, rojak, pasemboq, mee goreng, roti canai dan sebagainya kerana Pulau Pinang merupakan syurga makanan di Malaysia. Orang di situ pula akan berkomunikasi dalam loghat utara serta populasi penduduknya majoriti dari bangsa cina dan mamak.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Sebelum nama Pulau Pinang menjadi terkenal, penduduk di Seberang Perai memanggil Pulau Pinang dengan nama Tanjong Penaga sempena nama pokok penaga yang tumbuh di sekitar kawasan Fort Cornwallis.

Pulau Pinang pada asalnya dikenali sebagai Pulau Ka Satu. Nama itu diilhamkan oleh seorang pelayar yang bernama Ragam menamakan “Ka Satu” kerana pulau ini terasing yang ditemui ketika beliau berulang-alik berdagang dari Lingga ke Kedah.

Dalam pada itu, korang tahu tak nama Pulau Pinang pernah ditukar kepada “Prince of Wales” sebagai penghormatan pewaris takhta British. Pulau Pinang pada mulanya merupakan sebahagian daripada Kesultanan Melayu Kedah. Pulau ini terkenal sebagai pelabuhan lanun pada masa itu. Pada tahun 1786, Francis Light menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat perdagangan Inggeris pertama di Timur Jauh.

Nama Pulau Pinang lagi surr dari Prince of Wales. Imej dari knowyourmeme.

Beliau telah memujuk Sultan Kedah untuk menyerahkan Pulau Pinang kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) sebagai pertukaran untuk perlindungan ketenteraan dari tentera Siam dan Burma yang mengancam Kedah.

Pada 11 Ogos 1786, Kapten Francis Light dikenali sebagai pengasas Pulau Pinang, dan apabila Pulau Pinang dijadikan pelabuhan bebas, sektor perdagangan pada ketika itu dikuasai oleh Francis Light dan rakannya James Scott.

Juruukur Tanah Pulau Pinang pernah menyatakan tentang peranan mereka dalam perdagangan iaitu:

“Gabungan Light-Scott telah menjadi hebat bagi semua syarikat bebas sehingga tidak ada rumah komersial atau peniaga yang pernah berusaha untuk membentuk sebuah syarikat.” – Kapten Kyd, Juruukur Tanah, dipetik dari Dua Imperialis dalam Perkembangan Dasar Perdagangan Bebas dan Pelabuhan Bebas di Negeri-Negeri Selat, 1726-1826.

Namun, nama Prince of Wales itu tidak kekal lama kerana nama tersebut digunakan semasa penjajahan British sahaja. Selepas itu, nama tersebut ditukar balik kepada Pulau Pinang iaitu nama yang diambil kerana banyak pokok pinang ditanam.

3. Jalan Dang Wangi: Pernah ditukar namanya kepada Campbell Road, sempena nama penasihat British

Kalau korang nak tahu inilah Kompleks Campbell zaman dulu. Imej dari Grand Campbell Hotel.

Jalan Dang Wangi adalah daerah di pusat bandar Kuala Lumpur, Malaysia, yang terletak di utara Dataran Merdeka, bersempadan dengan Bukit Nanas dan Medan Tuanku dan terletak di antara Sungai Gombak dan Klang. Nama Dang Wangi sebenarnya berasal dari nama isteri Hang Jebat.

Kalau korang nak tahu, Jalan Dang Wangi ini diberi nama sempena Douglas Campbell (1867-1918), penduduk Britain di Negeri Sembilan dan penasihat British pertama Johor semasa era penjajahan kita. Jalan tersebut ditukar kepada Campbell Road.

Bukan itu sahaja, nama Campbell juga digunakan pada emporium di Kuala Lumpur iaitu Kompleks Campbell. Sebelum adanya bangunan pencakar langit seperti KLCC, Menara Kuala Lumpur, Dayabumi,dan Menara Maybank, Kompleks Campbell menjadi bangunan mercu tanda Kuala Lumpur. Bangunan yang kini kelihatan lama itu pernah menjadi bangunan komersil tertinggi Kuala Lumpur. Namun, nama Campbell ini masih digunakan lagi di kompleks itu sehingga sekarang.

 

Nampak sedikit canggih berbanding sebelum ini. Imej dari Cukong Press.

4. Bukit Melaka (Bukit St. Paul): Istana yang ditukar menjadi gereja selepas kedatangan Portugis

Kalau tak naik bukit ni memang rugi. Imej dari Trip Advisor.

Kalau pergi ke Melaka, mesti korang akan pergi ke Kota A’ Famosa kerana menjadi tempat utama apabila bercuti ke Melaka. Di kawasan ini juga mempunyai satu tempat popular iaitu Bukit St. Paul yang merupakan istana yang ditukar menjadi gereja. Pada asalnya, gereja di situ merupakan Istana Melaka tetapi selepas kedatangan Portugis ke Melaka, pihak Portugis menukarkan istana tersebut menjadi gereja yang telah menjadi markas bagi mubaligh Kristian.

Selepas Portugis kalah dalam peperangan menentang Belanda pada tahun 1641, pihak Belanda mengambil alih gereja tersebut dan membangunkan kawasan Melaka dengan membina Bangunan Stadthuys yang merupakan tempat tinggal untuk Gabenor Belanda. Namun, semasa British menjajah negara kita, mereka menjadikan gereja tersebut sebagai gudang peluru.

Baru-baru ini, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) mengemukakan cadangan untuk menukarkan nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka. Namun, cadangan ini telah ditolak oleh Persatuan Cina Malaysia (MCA) atas alasan untuk mengekalkan identiti nama bukit tersebut.

“Tidak masuk akal untuk mengusulkan agar nama ikon sejarah itu diubah. Adakah kita akan menukar nama replika Galleon Portugis Flor de la Mar di Bandar Hilir juga?”- Datuk Ronald Gan, Naib Pengerusi MCA, dipetik dari The Star.

Walau bagaimanapun, pendapat Datuk Ronald Gan ini ditepis oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang menyatakan perasaan pelik apabila MCA sedaya upaya mempertahankan nama tersebut. Beliau menyifatkan parti itu seolah-olah memandang jelik dengan sejarah empayar Melayu Melaka pada ketika itu.

Harap-harap isu ini tidak dibesar-besarkan. Imej dari knowyourmeme.

Naib Yang Dipertua ISMA Melaka, Mohammad Alif Rahman memberi amaran kepada parti itu supaya menjaga tutur kata dan tidak melampaui batas, memandangkan kemenangan mereka disebabkan ihsan undian tempat majoriti Melayu.

“Namun sedikit mengecewakan saya dengan kenyataan MCA Kota Melaka yang mempertikaikan usul pertukaran nama Bukit Saint Paul kepada Bukit Melaka. Ibarat kaduk naik junjung, ibarat pemandu mabuk melantak arak. Ini perumpamaan yang boleh saya berikan kepada MCA.”- Mohammad Alif Rahman, Naib Yang Dipertua ISMA Melaka, dipetik dari ISMA.

Adakah wajar untuk kita menukarkan nama sesuatu tempat?

Kalau nak tukar nama perlu dengan alasan yang kukuh. Imej dari Reddit.

Sebenarnya jika nama tempat itu sudah menjadi identiti, maka proses penukaran nama tidak perlu dilaksanakan kerana semua orang di seluruh dunia sudah mengetahui tentang nama sesuatu tempat. Namun, jika nama tempat tersebut mempunyai unsur yang tidak elok atau lucah haruslah ditukar seperti Pantai Cinta Berahi ditukar kepada Pantai Cahaya Bulan dan Batang Berjuntai ditukar kepada Bestari Jaya.

Menurut Sasterawan Negara, Datuk Baharuddin Zainal, kita tidak boleh menukar nama sesuatu kawasan kepada nama Bahasa Inggeris atas alasan komersial, transformasi serta pembangunan yang dijalankan.

“Nama sahaja juga tidak perlu dijadikan alasan. Jika kegiatan di kawasan itu menarik, orang ramai pasti akan ke sana. Ambil Petaling Street sebagai contoh. Pelancong tetap akan ke sana kerana ia mempunyai produk-produk yang menarik. Jadi nama tempat berkenaan tidak menjadi keutamaan.”- Datuk Baharuddin Zainal, Sasterawan Negara, dipetik dari Astro Awani.

Oleh itu, jika tempat tersebut sudah menjadi identiti dan tarikan pelancong, maka kita tidak perlu tukar nama tempat tersebut. Walaupun secara rasminya ditukar nama tetapi masyarakat di tempat itu masih akan menggunakan nama lama kerana sudah terbiasa.

 

 

 

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend