Seni & Budaya

Hikayat Tengkorak Kering: Manuskrip Jawi perbualan Nabi Isa dan tengkorak

Terdapat banyak lagi hikayat dalam manuskrip Melayu klasik yang jarang kita dengar. Tapi, sebenarnya sangat menarik untuk dikongsi. Ramai juga yang silap mengenai erti manuskrip Melayu tu sendiri. Manuskrip Melayu bermaksud hasil karya penulisan tangan, berskrip Jawi dengan menggunakan versi Melayu yang dihasilkan sekitar abad ke-16 hingga ke-19.

Di sebalik beribu-ribu manuskrip yang ada, manuskrip berkaitan bidang Islam agak kecil berbanding bidang-bidang lain macam sastera Melayu. Namun begitu, manuskrip Islam lebih banyak mendapat tempat dalam kalangan pengkaji manuskrip.

Salah satu manuskrip Melayu berkaitan Islam adalah Hikayat Tengkorak Kering. Jika baca sekali tajuknya, macam hikayat kisah seram.

Hikayat yang diterjemahkan ke dalam banyak bahasa di dunia

Imej dari Jantung Melayu

Sejumlah lebih 20,000 manuskrip Melayu kini sedang berada di Leiden, Belanda. Namun, hanya 145 buah sahaja yang berada dalam kategori manuskrip Islam. Ini termasuklah manuskrip bertajuk Hikayat Tengkorak Kering.

Mengikut sejarah, manuskrip ini mempunyai sekurang-kurangnya lebih dari 16 versi. Ini diakui sendiri oleh Richard Olaf  Winsted seorang ilmuwan mengenai dunia Melayu dari British. Walaupun tidak ditemukan naskhah awal dan tak ada maklumat mengenai asal-usul hikayat ni, ia tetap dah terkenal.

Ini kerana ia mempunyai versi bahasa Sunda, Acheh, Parsi, Hindustan dan Afghanistan. Apa yang menarik, hikayat ini juga dah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan dimuatkan ke dalam Asiatic Journal and Monthly Register pada tahun 1823.

“Di Alam Melayu umumnya, dan Kepulauan Riau-Lingga khususnya, hikayat ini popular melalui edisi cetak litografi (edisi cetak batu) menggunakan huruf Jawi atau Arab-Melayu yang dihasilkan oleh percetakan dan penerbit di Pulau Pinang serta Singapura.” – Petikan dari Jantung Melayu

Proses cetak batu. Imej dari Artfulhome

Betul-betul terkenal ya hikayat yang mengandungi 10 muka surat ini. Jadi apa sebenarnya yang diceritakan dalam hikayat ni?

Raja Syam yang telah mati, tengkoraknya dikatakan bercakap dengan seorang nabi

Sekadar lukisan. Imej dari Artstation

Hikayat ini bermula apabila di sebuah padang pasir di negeri Syam, Nabi Isa telah menemui tengkorak yang sudah kering. Maka, Nabi Isa pun menangis melihat tengkorak itu sambil mengangkatnya. Lalu, baginda berdoa kepada Allah.

“Ya Rab Ya Saiyidi Ya Maulaya Ya Rabbal Alamin dengan kebesaran dan kemulianmu jua aku pohonkan kepadamu berilah kiranya tengkorak ini berkata-kata supaya hambamu dapat bertanya kepadanya ia sudah merasai mati …” – Petikan dari Kajian Teks Manuskrip Tengkorak Kering

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Berkat mukjizat Nabi Isa, maka tengkorak itu pun boleh berkata-kata. Nabi Isa diseru agar bertanya dahulu kepada tengkorak itu.

“Nabi Isa telah bertanya bermacam-macam soalan kepada tengkorak kering ini, antaranya ialah berkenaan diri tengkorak itu iaitu sama ada tengkorak itu orang beriman atau sebaliknya, kaya atau miskin,hamba atau merdeka, raja atau rakyat biasa.” – Petikan dari Kajian Teks Manuskrip Tengkorak Kering

Daripada soalan-soalan yang ditanya, akhirnya terjawab beberapa hal penting mengenai siapakah tengkorak itu sewaktu masih hidup dulu. Statusnya bukan biasa-biasa sewaktu hidup dulu. Dia ialah seorang mukmin dan raja yang hebat serta wilayah kekuasaannya merangkumi seluruh Syam, Syria, Mesir dan kawasan sekitarnya selama 400 tahun.

“Ya nabi Allah tiadalah raja-raja yang lain daripada hamba di dalam alam ini demikianlah kebesaran hamba Ya nabi Allah dan sekalian raja-raja tiadalah dapat melawan hamba semuanya takluk kepada hamba tiap-tiap tahun memberi ufti sekaliannya kepada hamba empat puluh laksa isinya di dalam satu tahun dipersembahkan kepada hamba … ” – Petikan dari Kajian Teks Manuskrip Tengkorak Kering

Ufti bunga emas. Imej dari mStar

Dia juga memiliki segala kemewahan termasuk harta dan kekuatan yang ada. Sekalipun begitu, dia merupakan seorang yang pemurah serta sering melakukan kebajikan kepada rakyatnya. Namun, ketika Nabi Isa bertanya soalan mengenai mati, dia agak keberatan nak menjawab.

Raja itu sakit selepas pulang berkelah bersama ahli istana dan rakyat jelata

Raja yang dimaksudkan dalam hikayat ini nama sebenarnya Raja Jumjumah. Dia menceritakan kepada Nabi Isa bahawa sewaktu kematiannya, dia telah menerima seksa yang dahsyat. Apa yang berlaku sebenarnya? Bukankah dia raja yang adil?

Pada suatu hari, sakit telah menimpa Raja Jumjumah setelah pulang berkelah bersama ahli istana dan rakyat jelata. Ingatkan sakit biasa, tapi semakin melarat. Jadinya, semua dayang dan hulubalang menterinya diarahkan mencari tabib di seluruh tempat bagi mengubati penyakitnya itu. Kehadiran tabib yang diharapkan dapat merawat penyakitnya menunjukkan tanda-tanda meleset. Sakit yang dihadapinya semakin kritikal.

Semua tabib tak boleh pakai. Imej dari VOX

Seminggu selepas itu, Raja Jumjumah terdengar bisikan bahawa malaikat maut datang ingin mencabut nyawanya.

” … kemudian datang ketujuh harinya sedang hamba terbaring di atas peraduan dengan mengidap kesakitan sekurang-kurang terperanjatlah hamba mendengar suara demikian katanya “hamba malik almaut keluarkanlah olehmu nyawa orang yang derhaka celaka ini”,

maka datanglah malaikat Izrail kepada hamba maka lontarnya hamba dengan besi panjang sepuluh depa maka keluarlah apinya bersamburan bernyala ke dada hamba … ” – Petikan dari Kajian Teks Manuskrip Tengkorak Kering

Pedang berapi menyala-nyala. Imej dari Popsugar

Seterusnya, Nabi Isa bertanya mengenai hal yang berlaku ketika nyawa dicabut dari badan raja itu. Jawabnya,

” … hamba lihat ada sepuluh malaikat sertanya memegang leher hamba dan kaki tangan hamba maka tiadalah dapat hamba bergerak dan tiada boleh berkata-kata Ya nabi Allah jikalau tiada hamba pengangi …

… nescaya hamba larilah kerana hamba sangat takut melihatnya dan ada lagi tiga puluh malaikat yang memegang tangan hamba ada yang memegang kaki hamba, maka dicucurkannya tembaga hancur kepada mulut hamba … ” – Petikan dari Kajian Teks Manuskrip Tengkorak Kering

Raja Jumjumah meminta kepada Nabi Isa memohon kepada Allah supaya dia dihidupkan semula

Setelah diceritakan segala seksa yang diterimanya, maka barulah diketahui bahawa kesalahannya adalah tidak menunaikan kewajipan solat. Semua seksaan yang diterima adalah kerana kesalahan tersebut walaupun dia seorang raja yang adil.

” … hai orang yang derhaka celaka tiadalah engkau tahu kepada aku mengapakah engkau tiada mengikut firman Allah taala dan sabda Rasulullah … dan mukaku yang di kanan ini akan mengambil nyawa segala orang yang tiada sembahyang bermula muka malik Almaut yang dibawah itu penuh berisi dengan api bernyala-nyala … ” – Petikan dari Kajian Teks Manuskrip Tengkorak Kering

Semua ada bagus ke tu?

Selepas perbualan yang berlaku di antara tengkorak Raja Jumjumah dan Nabi Isa, raja meminta Nabi Isa memohon kepada Allah untuk menghidupkannya semula. Ini kerana dia mahu melakukan amal saleh serta tidak mahu menjadi raja dan mahu sentiasa beribadat kepada Allah. Maka, terkejutlah

” … Maka berkata Jumjumah … hai menteriku dan rakyatku sekalian, sekarang aku tidak mahu menjadi raja lagi, dan aku tidak berkehendak kepada harta benda aku sekalian itu, dan aku hendak memberi nasihat kepada kamu sekalian supaya kamu menurut perintah [Allah]”. – Petikan dari Teks Manuskrip Tengkorak Kering

Diceritakan bahawa setelah itu, Raja Jumjumah tinggal di sebuah rumah dan sentiasa beribadat dan berpuasa siang dan malam sehinggalah dia meninggal.

Tiada hadith sahih mengenai kisah ini, hanya hikayat yang direka

Pengajaran utama daripada hikayat ini sangat jelas mengenai perihal mati, azab kubur dan perkaitan antara amalan dunia dan akhirat. Segala unsur di dalam hikayat ini mempunyai hubungkait yang banyak dengan kepercayaan seorang muslim.

Namun, kisah Nabi Isa dan raja Jumjumah ini tidak datang dari sumber Islam yang sebenar. Tiada dalam Al-Quran mahupun Hadith. Terbukti ia hanya cerita rekaan dengan memasukkan unsur Islam di dalamnya. Apa pendapat korang pasal hikayat ni?

 

 

 

 

 

 

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend