Kisah ‘amok’ lelaki Banjar di Bangi yang mengorbankan nyawa pada 73 tahun lalu

(This article is translation. For the original, visit CILISOS)

Salah satu perkataan yang suatu masa dulu sinonim dengan orang Melayu adalah ‘amok’. Perkataan ni bukanlah satu perkataan indah, sebab ia membawa maksud keadaan seseorang yang tak dapat lagi mengawal perasaannya sehingga hilang pertimbangan sampai boleh membunuh. Disebabkan konsep ni selalu jadi kepada orang Melayu, perkataan ‘amok’ tu sendiri dah diambil dalam bahasa Inggeris.

Tapi, korang pernah dengar tak tentang kisah amok yang pernah jadi di atas sebuah kereta api? Kisahnya jadi selepas lelaki berkenaan…

Rasa kecewa sangat sebab tak dapat jumpa ayahnya di Sumatera

Kereta api di Singapura pada sekitar tahun 1906. Imej dari The Malayan Railway.

Lelaki itu adalah Mat Taram bin Saal, atau dikenali juga sebagai Utoh. Berketurunan Banjar, lelaki yang berasal dari Pulau Tunggal, Sumatera ni menjalankan perniagaan padi dan sawah di Teluk Anson (Teluk Intan), Perak. Puncanya jadi bila dia nak melawat ayahnya yang ada di Sumatera.

Tapi, nak pergi sana tu bukannya senang, sampaikan Utoh terpaksa jual rumah dan tanah sebab nak kumpul duit. Hasil dari buat semua tu, dapatlah dia $200 yang dia boleh guna untuk pergi ke Sumatera. Tak tungu lama, dia pun bawa isteri dan anak naik bas ke Bidor dan lepas tu ke Singapura. Rancangan Utoh, bila dah sampai di Singapura nanti – diorang akan naik kapal ke Sumatera.

Bagaimanapun, rancangannya tu gagal sama sekali bila Utoh dapat tahu yang dia tak cukup duit untuk teruskan perjalanan. Dengan perasaan cukup kecewa, dia buat keputusan untuk balik ke Teluk Anson dengan naik kereta api KL – Singapura.

Malangnya, Utoh kemudiannya alami tekanan perasaan, sampaikan dia tak tidur dua hari, jalan mundar mandir dan macam takde life sepanjang atas kereta api. Keadaan yang pada mulanya dilihat tak bawa sebarang kemudaratan ni seterusnya bertukar ganas bila…

Utoh secara tiba-tiba mengamuk dan membunuh 11 nyawa

Laporan The Straits Times pada 11 Oktober 1947. Imej dari National Archives of Singapore.

Itulah yang dilakukan oleh Utoh pada 9 Oktober 1947 – apabila dia bangun dari tempat duduknya, pergi ke bahagian restoran dan menikam empat orang Pegawai British. Kejadian itu berlaku sejurus selepas kereta api melewati Bangi dan menuju ke Kajang. Seorang pegawai British yang diserang, Sgt. Herbert Victor Marston – cuba melawan, malangnya dia terbunuh juga selepas itu.

Porter yang melihat kejadian itu menceritakan:

“Tepat ketika kereta api melewati stesen Bangi, dia melompat dan bergegas memasuki restoran dan menikam seorang tentera yang duduk di meja makan bersama tentera lain. Semasa dia sampai kepada saya, saya jatuh dan saya rasa disebabkan saya jatuh itulah nyawa saya terselamat.” – Poachi, katanya dipetik dari The Straits Times, 11 October 1947.

Utoh lepas tu terus mengamuk bila semua yang ada di depannya ditikam, sampaikan seorang lelaki Melayu, Mohamed Eusoff dan seorang Tamil, Malimalia turut menjadi mangsa. Akibat keadaan huru hara itu, seorang penumpang berjaya menarik kabel komunikasi sehingga memberhentikan kereta api.

Dalam kucar kacir tu, Utoh jatuh dari kereta api dan menghilang diri ke hutan berhampiran. Kereta api pula terus menuju ke Kajang, untuk bawa mangsa dapatkan rawatan. Kejadian itu kemudiannya memaksa pihak polis menjalankan operasi mencari Utoh yang dah menghilangkan diri.

Dalam usaha pencarian tu, pihak polis terjumpa mayat seorang Cina yang mati ditikam ketika memasak. Mereka juga dengar satu teriakan dari sebuah pondok pengumpulan getah di Estet Sungai Tangkas, tapi bila dibalas -teriakan itu ia tak ada jawapan.

Tak lama lepas tu, muncul seorang budak lelaki yang berlari ke arah mereka sambil bawa cangkul dengan kata – ada seorang lelaki membunuh 6 orang di Kongsi (organisasi Cina), termasuk dua orang warga emas dan tiga orang kanak-kanak. Sembilan lagi pula cedera, termasuk empat kanak-kanak, manakala yang lain semuanya bersembunyi dan trauma.

Mereka yang terselamat dari amukan Utoh. Imej dari National Archives of Singapore.

Seorang wanita yang menjadi saksi kejadian menceritakan:

“Kami tidak pernah menyedari apa yang sedang terjadi, saya hanya terdengar seseorang menjerit, dan saya rangkul dua anak saya dan berlari dari rumah.” – Ng Tai (1947), dipetik dari The Straits Times, 11th October 1947.

Budak lelaki yang lari bawa cangkul tu memberitahu yang Utoh masuk ke dalam pondok dari belakang dan mula menyerang sesiapa saja yang dia nampak. Pihak polis pula hanya sampai ke tempat kejadian selepas satu jam Utoh meninggalkan tempat tu.

Hal ni membuatkan pihak polis meminta bantuan dari unit KL, dengan mengepung kawasan Kajang, Bangi dan Semenyih untuk mengesan suspek. Kes ini seterusnya mencatatkan korban nyawa seramai 11 orang, sedangkan Utoh masih lagi belum berjaya dijumpai. Sampailah…

Utoh akhirnya berjaya dijejak, sejauh lebih 200km dari tempat kejadian!

Apa yang mengejutkan adalah, Utoh rupa-rupanya dah berjalan kaki ke Sabak Bernam, sejauh 231km selama 36 jam, untuk pergi ke rumah lamanya di Parit Enam. Di sana, dia dah ditanya oleh seorang penduduk kampung apa yang dah jadi kepadanya, dan Utoh jawab yang dia dah dihalau dari kereta api lepas bergaduh dengan seorang budak Cina yang menumpahkan teh ke atasnya.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu tetapi saya berjalan ke sini.” – Utoh (1947), dipetik dari  The Straits Times, 13th October 1947.

Bukan main jauh dia jalan. 

Bila ditanya pasal anak dan isterinya, Utoh cuma kata yang dia kehilangan mereka. Orang kampung tu kemudiannya bagi cadangan supaya dapatkan bantuan polis, dan mereka pun pergi ke Balai Polis Sabak Bernam. Bila dengar cerita Utoh, pegawai polis tu teringat pasal kes amok yang dia baca dalam surat khabar. Utoh lepas tu ditahan, dan identitinya disahkan bila anak dan isterinya sampai ke balai.

Pegawai dari Hospital Mental Tanjung Rambutan dibawa untuk periksa keadaan Utoh

Walaupun lepas tu Utoh ni nampak tenang je, tapi memang wujud tanda-tanda yang mentalnya tak berapa stabil. Masa dalam perbicaraan atas tuduhan bunuh, Utoh dilaporkan berkata: Bunuh saya atau bebaskan saya.” Dalam masa sama, menghukum Utoh atas tuduhan bunuh tak la semudah yang disangka, sebab undang-undang British menetapkan seseorang itu mestilah ‘waras dan tahu’, dengan ‘niat untuk membunuh atau menyebabkan kemudaratan’.

Hal itu jugalah yang dibangkitkan oleh peguam bela Dr. H.Y. Teh, yang berpendapat Utoh berada dalam keadaan ‘tak waras sampai membuatkannya mengamuk’. Saksi yang juga pegawai dari Hospital Mental Tanjung Rambutan, DR R.A McNab berkata…

“Pandangan saya adalah dia seorang yang mempunyai kecerdasan rendah dengan idea-idea yang mungkin primitif… yang akan memberi jalan keluar kepada dorongan mendadak.” – Dipetik dari The Straits Times, 5th May 1948.

Laporan The Straits Times pada 5 Mei 1948. Imej dari National Archives of Singapore.

Dr. McNab juga lepas tu kata yang dia pernah berdepan dengan kes-kes ‘amok’ sebelum ni, dan fenomena ni ‘khas terjadi kepada orang Melayu dan Banjar’:

“Ini biasanya disebabkan oleh masalah khayalan atau kurang akal. Serangan tersebut disifatkan oleh tindakan impulsif secara tiba-tiba yang nampaknya berada di luar kawalan individu.

____

Tindakan tersebut biasanya ditunjukkan oleh kekerasan dan sangat sering, malangnya, ia membawa kepada penggunaan senjata yang mematikan. Serangan dalam beberapa kes berlangsung selama beberapa jam. ” – Dr. McNab (1948), seperti yang dipetik dari The Straits Times, 5 Mei 1948.

Mahkamah juga dapati yang Utoh sebenarnya tak ingat apa yang berlaku dan kadang-kadang tu tak kenal siapa dirinya sendiri. Dr McNab turut berpandangan yang kemungkinan Utoh alami tekanan sebab tak dapat pergi ke Sumatera. Disebabkan semua masalah yang dihadapinya tu, Utoh lepas tu dihantar ke Tanjung Rambutan dan tak dihukum kerana alami masalah mental.

Apa yang pasti, peristiwa ini secara langsung dikaitkan dengan fenomena yang jadi kepada masyarakat Nusantara iaitu…

‘Amok’, fenomena Nusantara yang tercatat sejak sekian lama

Illustrasi amok pada pada abad ke-19. Imej dari The New York Times.

Seperti yang diceritakan di awal artikel tadi – amok atau mengamuk ni sangat sinonim dengan orang Melayu. Kita juga mungkin pernah mendengar peristiwa amok-nya Hang Jebat setelah mendapat tahu sahabatnya Hang Tuah ‘dibunuh’. Malah, banyak catatan British dan orang luar yang datang ke rantau ini menceritakan tentang amok.

“Pada tahun 1901, di wilayah Pahang, seorang lelaki Muslim berusia 23 tahun yang sebelumnya menjadi anggota pasukan polis mencuri pedang Melayu dan menyerang 5 individu ketika mereka sedang tidur atau menghisap candu. Dia membunuh 3, hampir memenggal 1 mangsa, dan dia mencederakan yang lain dengan teruk.” – Dipetik dari jurnal Running Amok: A Modern Perspective on a Culture-Bound Syndrome.

Namun begitu, dalam konteks sekarang ni, hal begini lebih dikaitkan dengan masalah mental dan tekanan. Isu sebegini juga bukan hanya jadi dalam masyarakat Melayu, sebab kita sendiri selalu dengar pasal serangan-serangan amok oleh bangsa lain, macam yang selalu jadi di Amerika Syarikat. Kes Utoh sebenarnya membuka mata kita tentang betapa pentingnya kesedaran terhadap masalah mental dan usaha mencegahnya.

Jika korang berdepan dengan simptom-simptom tekanan perasaan, cepat-cepatlah dapatkan rawatan sepatutnya supaya ia tidak bertambah parah. Semua itu bukanlah sia-sia, kerana setiap daripada kita pasti ada yang sayang dan disayangi.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.