Bencana

Kisah tragik pemandu bas INDIA selamatkan mangsa lemas Feri Sungai Kerian

Bila kita cakap pasal tragedi yang menyayat hati membabitkan pelajar sekolah, pasti ramai yang akan jawab tragedi Pondok Pak Ya dan tragedi pelajar tahfiz yang telah terkorban dalam kebakaran di asrama pada tahun lepas.

Tragedi yang menyayat hati mengenai Pondok Pak Ya. Imej dari Berita Harian.

Tapi korang tahu tak, sebenarnya pada 46 tahun yang lalu, telah berlaku satu kejadian tragis yang turut menyayat hati seluruh masyarakat Malaysia dimana ia telah mengorbankan banyak nyawa pelajar sekolah. Kejadian ni berlaku kat sempadan Kedah dan Perak pada tahun 70-an.

Mungkin ramai antara korang yang tak berapa familiar dengan tragedi ini. So dengan adanya artikel ni, mungkin ia akan tambah pengetahuan korang. Ok jom kita mulakan sekarang. Ceritanya bermula dimana….

Feri tarik menjadi pengangkutan utama

Oh ye, sebelum tu biar kitorang explain dulu, Daerah Kerian ni terletak di utara Negeri Perak, bersempadan dengan Negeri Pulau Pinang dan Negeri Kedah. Apa yang uniknya lagi, Sungai Kerian ni jugak merupakan garis sempadan bagi ketiga-tiga negeri tersebut.

Hulu sungai ni terletak di Selama, Perak manakala bahagian kualanya terletak di Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Imej dari orangperak.com

Dengan adanya Sungai Kerian ni, ia telah memisahkan bandar Parit Buntar, Perak dengan Bandar Baharu, Kedah. Pada tahun 70-an, takde jambatan yang menghubungkan kedua-dua pekan ni jadi, perhubungan hanya melalui sampan feri je. Itu pun feri tarik yang diikat dengan sistem pulley dan ditunda oleh bot kecil dari belakang.

Jadi kalau ada penduduk yang nak ke seberang, dorang kena menyeberang Sungai Kerian sejauh 100 meter dengan mengambil masa perjalanan lebih kurang 20 minit. 

Tragedi feri karam mengorbankan pelajar sekolah

Pada tanggal 13 September 1972, Sungai Kerian telah mencatat sejarah hitam yang menggemparkan negara dengan tragedi feri karam. Tragedi ni telah mengorbankan seramai 27 orang yang terdiri daripada 25 orang pelajar sekolah. Tapi kenapa ramai pelajar?

Ok sebenarnya tragedi tu berlaku sekitar jam 7 pagi jadi, memang waktu budak-budak pergi ke sekolah pun. Kebetulan pulak masa kejadian tu terdapat sebuah van sekolah turut berada kat atas feri tersebut untuk ke seberang jalan.

Gambaran keadaan feri tarik. Screenshot dari 913 The Returning.

Cuaca pulak dikatakan tak berapa elok. Hujan turun dengan lebat menyebabkan arus sungai bergerak laju. Ketika feri sedang merentasi sungai dari arah Bandar Baharu, salah satu daripada kabel feri tersebut telah terputus akibat dihentam oleh arus sungai. Feri pun mula tenggelam sedikit demi sedikit dan akhirnya tenggelam bersama bas sekolah yang dibawanya.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Keadaan bas sekolah yang berjaya ditarik keluar dari Sungai Kerian. Imej dari Sinar Harian.

“Masih jelas pekikan meminta tolong, tangan kanak-kanak di dalam van terkapai-kapai. Tetapi tiada apa yang mampu kami lakukan kerana masing-masing bergelut menyelamatkan diri.

Secara tiba-tiba saja feri yang berada di tengah sungai menye­nget ke kiri dan secara kebetulan, pintu van juga berada di sebelah sama.” – Anuar Ahmad, mangsa kejadian. Dipetik dari Utusan. 

Menurut Sinar Harian, majoriti yang terkorban adalah murid-murid sekolah yang terdiri dari pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina) Kerian dan Sekolah Rendah Methodist Parit Buntar. 

Insiden ngeri ni telah menyebabkan perkhidmatan feri yang menghubungkan Parit Buntar dan Bandar Baharu dihentikan serta-merta. Ia kemudian digantikan dengan pembinaan Jambatan Sultan Idris.

Keratan akhbar kejadian feri karam kat Sg Kerian. Imej dari orangperak

Selain kisah sedih kehilangnya 27 nyawa, tragedi ni turut menyingkap kisah keberanian seorang perwira yang…

Sanggup bergadai nyawa tanpa mengira bangsa

Salah seorang mangsa yang terkorban dalam tragedi ni ialah seorang individu yang diangkat sebagai wira iaitu pemandu feri tersebut, Mendiang S Annamalai kerana keberaniannya membantu menyelamatkan mangsa karam.

Mendiang telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana terlalu penat setelah berhempas pulas menyelamatkan seramai 7 orang pelajar berbangsa Cina yang lemas sewaktu feri sedang karam.

Ahli Parlimen Parit Buntar turut menyifatkan pengorbanan mendiang S Annamalai adalah contoh terbaik dalam menunjukkan keberanian rakyat negara ni.

 

Mendiang S Annamalai. Imej dari orangperak

Selain mendiang S Annamalai, terdapat jugak kisah keberanian seorang remaja Tionghua yang turut membantu menyelamatkan mangsa sehingga dikurniakan Pingat Hang Tuah.

Untuk pengetahuan korang, Pingat Hang Tuah ni adalah pingat yang dianugerahkan untuk kanak-kanak sebagai tanda mengenang jasa dan keberanian dorang kepada masyarakat. Ia mula diperkenalkan pada tahun 1960.

“Antara kriteria perlu dipenuhi calon termasuk kanak-kanak lelaki atau perempuan warga negara Malaysia di bawah usia 18 tahun, pernah melakukan tindakan yang mempunyai elemen keberanian luar biasa termasuk menyelamatkan nyawa manusia atau harta benda sewaktu kecemasan, bencana, kemalangan atau darurat.” – Norani Mohd Hashim, Ketua Pengarah JKM. Dipetik dari Harian Metro.

Malah, dorang yang dicalonkan jugak tak boleh memiliki rekod jenayah atau pernah terbabit dalam sebarang kes akhlak atau moral.

Imej dari FB 9.13

Semenjak peristiwa ni, banyak cerita-cerita seram tentang Sungai Kerian yang sering diperkatakan sehingga ia digelar sebagai….

Lubuk puaka yang dahagakan nyawa

Sebahagian penduduk tempatan menggelar Sungai Kerian sebagai Lubuk Puaka yang sering dahagakan nyawa. Seolah-olah satu sumpahan kerana setiap tahun pasti akan ada nyawa yang akan menjadi korban kat sungai tersebut.

Keratan akhbar Harian Metro tahun 2014. Imej dari dsuarang

Pada tahun 2017, ada kes di mana pelajar tingkatan tiga mati lemas waktu mandi di Sungai Kerian. Mayatnya dijumpai terapung oleh nelayan kat Sungai Tok Tung-Tung.

“Sebelum dilaporkan hilang, mangsa bersama tiga rakannya dikatakan mandi di Sungai Kerian kira-kira 11 pagi.” – Dipetk dari Astro Awani.

Untuk pengetahuan korang, Sungai Kerian ni jugak terkenal pada kaki pancing. Tapi, apa yang menyedihkan, pernah ada kes yang mana ada seorang lelaki maut sebab tergelincir waktu pancing ikan. Kalau itu cerita mati waktu memancing, ini pulak kes orang memancing dapat mayat.

“Bagaimanapun, tiba-tiba saya berasa pelik apabila mata kail yang digunakan tersangkut pada satu objek berat di bawah jambatan itu. Ketika cuba membuka mata kail itu saya terkejut apabila melihat mayat manusia tersangkut dan tanpa membuang masa saya terus menghubungi bomba untuk memaklumkan mengenai penemuan tersebut.”- Petikan dari Sinar Harian.

Mayat yang dijumpai tu adalah wanita. Selain tu, ada jugak berita lemas yang melibatkan anak-beranak. Pada tahun 2014, di mana seorang anggota polis dan anaknya yang berusia setahun 10 bulan turut meninggal dunia akibat lemas. Kejadian berlaku apabila bot yang dinaikinya bersama anggota keluarga tu dikatakan hilang kawalan menyebabkan dia terjatuh ke sungai.

Mayatnya ditemui selepas 24 jam operasi mencari dijalankan. Menurut Harian Metro, selain menggunakan helikopter dan unit anjing pengesan (K9), dorang jugak turut menggunakan khidmat secara tradisional dengan memanggil pawang bagi mengesan mangsa. Kes-kes yang banyak ni dah menyebabkan orang anggap tempat ni keras.

Mayat Koperal Halim dan anaknya berjaya ditemui. Imej dari Sinar Harian.

Selain dianggap ‘kawasan keras’, sungai tu jugak sering dikaitkan dengan penemuan buaya besar oleh pemancing dan penduduk setempat.

“Namun haiwan terbabit (buaya) setakat ini tidak pernah mengganggu sesiapa dan hanya muncul sesekali dan tidak semua dapat melihat kelibatnya.” – Azman, penduduk kampung. Dipetik dari Harian Metro melalui FB Bersama Perjuangan.

Kisah Sungai Kerian ni agak popular sehingga ia telah menarik seorang direktor Malaysia untuk memfilemkannya.

913 The Returning, filem seram Mandarin

Korang perasan tak, sebenarnya kita banyak jugak filem-filem yang diadaptasi dari kisah-kisah benar. Sebagai contoh, ‘Haunted Hotel’ yang diadaptasi dari kisah seram sebuah apartment kat Genting Highlands, Adiwiraku yang mengisahkan seorang guru dan pelajar di Kedah, filem Jengka yang berkonsepkan paranormal, berdasarkan rakaman sebenar di Felda Jengka, Pahang dan beberapa lagi filem yang lain.

Macam tu jugak dengan tragedi feri karam ni. Ia pun turut difilemkan sebagai filem seram yang bertajuk 913 The Returning dalam bahasa mandarin.

Kat dalam filem ni, Ah Han yang merupakan seorang pekerja nahkoda di feri tersebut telah dituduh sebagai individu yang bertanggungjawab atas kemalangan tersebut. Dia sering dipersalahkan oleh penduduk tempatan sehingga satu hari tu, dia ditemui mati terapung kat tepi sungai Kerian.

Terkejut dengan berita kematian Ah Han, anak perempuannya pun ambil keputusan untuk pulang ke kampung untuk mengetahui puncanya, namun dia pula kemudian dihantui oleh roh-roh tragedi tu.

Filem seram mengenai kejadian Sg Kerian. Imej dari Golden Screen Cinema.

Tragedi 46 tahun lalu telah mengajar kita tentang keberanian dan cintakan rakyat Malaysia

Walaupun tragedi feri karam ni dah 46 tahun berlalu dan mungkin ada antara korang pun belum lahir lagi, namun ia tetap merupakan salah satu sejarah penting buat kita semua terutama penduduk Parit Buntar.

Suasana sayu di tempat kejadian. Imej dari orangperak.

Kisah tentang pengorbanan S Annamalai sepatutnya dijadikan pendedahan berguna kepada golongan muda zaman kini. Ia jugak tidak seharusnya dilupakan dan ditelan arus zaman supaya kita dapat merasai semangat keberanian dan cintakan rakyat Malaysia tanpa mengenal agama, bangsa dan fahaman politik.

“Seharusnya kisah sejarah yang menaikkan semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda diabadikan melalui pembinaan satu monumen batu peringatan bagi memperingati peristiwa bersejarah itu.” – Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa. Dipetik dari Sinar Harian. 

Kami kat Soscili mendoakan semoga roh mangsa lemas Sungai Kerian berada dalam ketenangan.

Tragedi feri karam Sg Kerian turut diabdikan dalam nukilan puisi. Imej dari dsuarang.

 

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend