Kisah Shah Mohamed Reza, ‘raja’ terakhir Iran digulingkan Khomeini

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 24 November 2017*

Beberapa tahun lepas, Robert Mugabe, presiden Zimbabwe telah digulingkan lepas 37 tahun memerintah. Mungkin ramai yang tahu pasal Dollar Zimbabwe yang jatuh teruk semasa pemerintahannya. Bayangkan, nilai mata wang Zimbabwe yang dulunya lebih tinggi daripada US Dollar, sekarang ni jatuh menjunam  sampaikan nak beli barang pun kena bawak duit dalam troli!

Cukup ke nak beli roti sekeping? Imej dari www.wykop

Korang boleh baca lebih lanjut pasal penggulingan Mugabe di sini. Dalam artikel ni, SOSCILI nak ceritakan pasal pemimpin-pemimpin negara lain yang juga pernah digulingkan atas macam-macam sebab, bermula dengan…

1. Shah Mohammed Reza, ‘raja’ terakhir Iran

Shah Mohammed Reza Pahlavi. Imej dari britannica.com

Kerajaan Shah Iran runtuh disebabkan pemberontakan yang meluas pada tahun 1978 hingga 1979, dan menjadikan Iran sebagai sebuah Republik Islam seperti hari ini. Sebelum Iran dikuasai sebuah kerajaan moden sekarang ni, negara tersebut diperintah oleh Shah Mohammed Reza Pahlavi, raja Iran (1941-1979), dilahirkan di Tehran pada 26 Oktober 1919, anak sulung Reza Shah.

Masa kegawatan dan Perang Dingin yang berlangsung, Shah Iran meneguhkan pendiriannya sebagai sekutu Barat. Malah dia juga menganjurkan dasar-dasar pembaharuan yang memuncak dalam program 1963 yang dikenali sebagai Revolusi Putih, termasuk pembaharuan tanah, pelanjutan hak suara kepada wanita, dan penghapusan buta huruf. Dan masa 1967 pula, dia menabalkan diri sendiri sebagai Maharaja Iran.

Shah Iran juga merasakan dia sebagai pewaris kepada raja-raja Iran kuno, dan mengadakan perayaan mewah 2,500 tahun raja-raja Parsi. Pada tahun 1976 pula, dia menggantikan kalendar Islam dengan kalendar “imperial”, yang bermula dengan asas empayar Parsi lebih daripada 25 abad yang lalu.

Bukan tu je, perubahan sosioekonomi masa pemerintahan dia cuma bagi manfaat kat kelas-kelas tertentu je. Perkara ni  meningkatkan jurang antara golongan elit dengan golongan miskin. Kebanyakan perkara yang Shah Iran buat ni tak disenangi oleh kebanyakan rakyat dia yang rata-ratanya merasakan yang raja diorang ni anti-Islam.

Disebabkan perkara ni lah, ramai rakyat yang tak berpuas hati, dan masa ni la Ayatollah Khomeini yang pernah dibuang negara menyeru untuk menggulingkan Shah Iran, dan menerapkan ideologinya untuk menjadikan Iran sebagai negara berprinsipkan Islam.

Klik sini untuk baca artikel kami mengenai Ayatollah Khomeini.

Masa tu juga, Iran ada hubungan yang baik dengan Amerika Syarikat, di mana Presiden Amerika pada masa tu adalah Jimmy Carter. Khomeini janji kat Jimmy bahawa kalau dia dapat balik ke Iran, dia akan mudahkan urusan Amerika Syarikat, menghalang perang saudara, dan rejimnya takkan bermusuhan dengan Washington. Tapi, Jimmy tak tahu yang Khomeini sebenarnya bercadang untuk mencetuskan Revolusi Iran.

Khomeini, Jimmy Carter dan Shah Iran. Imej dari bbc.co

Duta Amerika di Iran dan Penasihat Carter pada masa tu kata,

“Khomeini pada masa tu juga dianggap tokoh macam Gandhi, dan bukannya mujahid yang ekstrimis. Dia seorang yang berintegriti dan sangat jujur”

Tapi bila Khomeini ambil alih Iran je, dia terus bertukar watak. Daripada sebuah sekutu Amerika, Iran tiba-tiba menjadi musuh paling mereka.

Demonstrasi Angkatan Tentera, di mana Tentera Iran menunjukkan solidariti bersama orang-orang di jalanan semasa revolusi Iran. Diorang bawa poster Ayatollah Khomeini, pemimpin agama dan politik Iran. Imej dari theblaze

Berbalik kepada Maharaja Iran tadi, Shah akhirnya terpaksa meninggalkan Iran pada Januari 1979 untuk memulakan kehidupan dalam buangan. Dia pernah tinggal di Mesir, Maghribi, Bahamas, dan Mexico sebelum ke Amerika Syarikat untuk rawatan kanser limfatik. Tapi ketibaan dia di New York City telah menyebabkan Kedutaan Amerika di Tehran kena hijack oleh “Students of Imam’s Line” yang menyebabkan lebih daripada 50 orang Amerika dijadikan tebusan selama 444 hari. Shah Iran kemudiannya meninggal di Kaherah, Mesir pada 27 Julai 1980.

Kejadian ini memberi kesan yang sangat mendalam dalam keluarga diraja Iran ni sampaikan anak perempuannya, Leila meninggal dunia disebabkan overdose dadah di London pada 2001, dan 10 tahun kemudian, abangnya Ali Reza yang dah lama mengalami depresi akhirnya bertindak mengambil nyawanya sendiri di Boston, Amerika Syarikat.

2. Soeharto, “Bapa Pembangunan Indonesia”

Haji Muhammad Soeharto merupakan Presiden Republik Indonesia ke-2, yang memerintah negara tu pada 1967 hingga 1998. Masa zaman dia memerintah dulu, banyak juga pembangunan yang dibuat, sehingga dia dikenali sebagai “Bapa Pembangunan Indonesia”.

Jenderal Besar TNI (Purn.) H. Muhammad Suharto. Imej dari boombastis.com

Selain tu, antara sumbangan dia yang diingati Tun Mahathir ialah bila dia memainkan peranan penting dalam menamatkan sengketa antara Malaysia dan Indonesia yang berkonfrontasi masa pemerintahan Soekarno pada awal tahun 1965.

Sumbangan lain terhadap rakyat Indonesia sendiri ialah bila Suharto mewajibkan persekolahan bagi anak-anak bangsanya tanpa perlu membayar yuran, melancarkan program merancang keluarga dan berusaha membebaskan kemiskinan rakyat melalui revolusi pertanian untuk makanan. Ekonomi Indonesia masa tu dikatakan agak baik, sampaikan tak ramai orang Indonesia yang datang ke Malaysia untuk bekerja macam sekarang ni.

Walaupun nampak lemah lembut dan suka senyum sampai digelar “The Smiling General”, dia tegas dan tak tolerate dengan fahaman komunis. Disebabkan Soeharto sangat benci kepada komunis, dia mengarahkan masyarakat Cina untuk tidak mempraktikkan bahasa dan juga tulisan Tionghua, dan sekaligus menutup organisasi orang Cina sebab khuatir yang diorang ni akan jadi symphatiser, atau simpatisan komunis yang masa tu masih berleluasa di Asia. Tapi dalam masa yang sama, dia ada hubungan baik dengan pemimpin Singapura yang juga berbangsa Cina, iaitu Lee Kuan Yew.

Imej dari nasional.kompas.com

Nak dijadikan cerita, perjalanan politik Soeharto selama lebih 30 tahun jatuh apabila Krisis Kewangan Asia menghentam rantau ni. Sehingga akhirnya Soeharto terpaksa menerima campur tangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam sistem kewangan dan ekonomi Indonesia.

Walaupun banyak yang menyanjung kebaikan Soeharto, tak kurang juga yang benci dia disebabkan rasuah yang diamalkannya. Sepanjang pemerintahannya, dia dikatakan berjaya mengumpul kekayaan yang mencecah AS$15 bilion hingga AS$30 bilion dolar. Jumlah tu diperoleh melalui projek pembangunan yang diserahkan kepada pemilik syarikat yang terdiri daripada ahli keluarga dan kawan rapatnya.

Soeharto juga terpaksa turun dari Istana Presiden apabila rakyat dan mahasiswa merusuh di seluruh negara sampai menawan Parlimen pada Mei 1998. Soeharto kemudian dituduh melakukan penyelewengan kuasa, rasuah dan melanggar hak asasi manusia. Bagaimanapun, hubungan Dr Mahathir dan Soeharto tetap kekal baik walaupun selepas persaraannya. Soeharto meninggal dunia pada 27 Januari 2008.

Kes tu tak terhenti kat situ je. Lepas tujuh tahun kematian Soeharto, Mahkamah Agung Indonesia memerintahkan keluarga bekas Presiden Suharto untuk pulangkan semula dana berjumlah AS$324 juta (RM1.29 billion) yang didakwa disalahgunakan pemimpin tu masa pemerintahannya.

Imej dari giphy

3. Benito Mussolini, seorang nasionalis dan fasis

Mussolini masa zaman kegemilangannya. Imej dari dailymail.co.uk

Sebelum menjadi seorang fasis (seorang yang bersifat nasionalisme yang melampau), Benito Mussolini giat memperjuangkan sosialis (kesamarataan) di negaranya. Ideologinya tu pernah disebar sampai ke Switzerland, dan siap pernah kena halau sebab mencadangkan mogok umum.

Fasism vs sosialism. Imej dari pinterest

Dia juga ada reputasi dan aura yang tersendiri untuk menarik orang sekeliling untuk mendengar ucapannya. Bila Mussolini balik semula ke Itali, dia jadi editor untuk sebuah akhbar organisasi, iaitu “Avanti”, yang bermaksud “Kehadapan” yang memberikan dia peluang untuk mengembangkan pengaruhnya.

Sebagai seorang sosialis, dia pada mulanya mengutuk keras negaranya yang terlibat dalam Perang Dunia Pertama. Tapi bila dia nampak yang Itali ni ada peluang untuk jadi kuasa besar, dia terus bertukar fikiran. Perubahan ketara Mussolini menyebabkan organisasi sosialisnya mengusirnya keluar.

Imej dari quarterly-review.org

Mussolini kemudiannya masuk tentera dan naik pangkat tahun demi tahun. Perjuangannya dari sosialis bertukar kepada fasism, di mana dia membentuk Parti Fasis, iaitu pergerakan yang dikatakan menentang diskriminasi kelas sosial, dan menyokong sentimen nasionalis, dengan harapan boleh menaikkan Itali macam kehebatan zaman Rom dulu.

Punyalah nak tunjuk kuat, dia pergi menjajah Ethiopia yang memang sedia miskin dan takde kelengkapan untuk berperang, lalu menjadikan negara Afrika tu sebagai Empayar Itali Baru. Selain tu juga, dia bagi bantuan sebagai sokongan kepada Fasis di Sepanyol masa Perang Saudara Sepanyol, dengan harapan untuk mengembangkan pengaruhnya.

Hitler sendiri kagum dengan Mussolini, jadi dia pun approach Mussolini untuk jadi sekutu, dan kemudiannya menandatangani satu pakatan tentera yang dikenali sebagai “Pact of Steel.” Terpengaruh dengan Hitler, Mussolini melancarkan dasar diskriminasi terhadap orang Yahudi di Itali.

Besfren forevahhhh. Imej dari livescience.com

Masa Perang Dunia Kedua sedang berlangsung, Winston Churchill dan Franklin D. Roosevelt yang ada dalam Persidangan Casablanca merancang untuk membawa Itali keluar dari peperangan.

Jadi Amerika masa tu berpakat suruh Jerman pindahkan tentera dia ke Eastern Front menentang Kesatuan Soviet. Diorang juga ada beberapa rancangan lain untuk menekan Mussolini untuk meletakkan jawatan, dan ditahan. Tapi disebabkan Mussolini bersekutu dengan Hitler, dia dapat bantuan daripada Komando Jerman. Mussolini kemudiannya memindahkan kerajaannya ke Itali utara, dengan harapan dapat mengembalikan pengaruhnya. Tapi, dua tahun lepas tu, Rom berjaya dimerdekakan Pasukan Bersekutu.

Pengaruh Mussolini semakin kurang, jadi dia pun cuba untuk melepaskan diri ke Switzerland dengan perempuan simpanannya. Tapi, ada sorang ahli perisik Itali berjaya mengecam dia. Diorang ditangkap dan kemudiannya dibunuh dengan tembakan machine gun. Rakyat Itali masa tu gembira menyambut kematian Mussolini. Mayatnya kemudian digantung terbalik bersama dengan perempuan simpanan dan 15 orang fasis yang lain di Milan Square.

Mayat Mussolini yang digantung bersama 16 orang yang lain. Imej dari oldpicz.com

4. Park Geun-hye, Presiden wanita pertama Korea Selatan

Presiden Korea Selatan Wanita Pertama. Imej dari bbc.com

Park Geun-hye merupakan Presiden wanita pertama Korea Selatan sejak 2013 sampai bulan Mac pada tahun ni. Park ni sebenarnya sorang wanita yang hebat, sebab dia pernah termasuk dalam majalah Forbes sebagai 100 Wanita Berkuasa, dan berada di tangga ke-12.

Dia datang daripada keluarga berpengaruh. Ayahnya adalah Park Chung-hee, diktator yang merampas kuasa secara kudeta selama 18 tahun, dan berjaya membasmi kemiskinan kat Korea. Tapi pada masa yang sama, dia abaikan hak asasi manusia.

Berlainan pula dengan ibunya, iaitu Yuk Young-soo yang pernah dikenali sebagai ibu kepada rakyat disebabkan penglibatannya dalam pelbagai kegiatan amal, termasuklah dengan mengunjungi pesakit-pesakit kusta.

Kisah hidup Park ni menyedihkan, sebab kedua-dua ibu bapa dia meninggal sebab dibunuh dalam serangan yang berlainan. Tapi, dia bangkit daripada kesedihan dan berjaya mendapatkan kepercayaan rakyat untuk memilih dia jadi Presiden Korea Selatan. Dia dikatakan banyak memperjuangkan nasib rakyat macam mak dia yang lemah lembut, berbanding ayah dia seorang diktator.

Keluarga Park. Geun-hye anak sulung dan ada dua adik. Imej dari japantimes

Empat tahun jadi Presiden Korea Selatan, dia akhirnya tersalah langkah dalam bidang politik. Park Geun-hye didakwa atas tuduhan terlibat dalam rasuah bernilai AS$52 juta (RM229 juta), di mana siasatan tu mengambil masa enam bulan. Kes tu juga melibatkan beberapa eksekutif di syarikat Samsung, Lotte, SK dan konglomerat besar lain. Rasuah tu diambil untuk diri sendiri dan untuk kawannya, sebagai balasan kepada bantuan politik. Jika sabit kesalahan, pemimpin wanita pertama itu boleh dikenakan hukuman penjara antara 10 tahun sehingga seumur hidup.

Selain rasuah, Geun-hye juga dituduh salah guna kuasa, memaksa dan membocorkan rahsia kerajaan dalam 18 kes jenayah, kebanyakannya melibatkan dia sendiri dan pembantunya, Choi Soon-sil. Ayah Choi Soon-sil ni dulunya pernah jadi pastor dan penasihat untuk mak presiden ni. Kira rapat sebab kenal lama la ni.

Choi Soon-sil, 60, didakwa mendesak company besar untuk bagi dana kat yayasan  Park. Imej dari dnaindia.com

Park Geun-hye akhirnya dipecat oleh Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan pada 10 Mac yang lepas. Kalau nak diikutkan, Park Geun-hye bukanlah satu-satunya ahli politik yang pernah ditahan. Sebab sebelumnya, ada dua lagi bekas presiden Korea Selatan yang ditahan atas dakwaan jenayah.

Walaupun Park tidak dikira sebagai ‘digulingkan’, namun kebanyakan rakyat Korea menganggap yang pemecatannya dari parlimen sebagai sesuatu yang wajar demi masa depan Korea Selatan. Manakala penyokongnya pula menganggap pemecatan Park sebagai satu “pembunuhan politik”.

Seramai 1.3 juta penunjuk perasaan berkumpul, menyeru peletakan jawatan Park Geun-Hye di dataran Gwanghwamun. Imej dari The Atlantic

Menurut pemangku ketua hakim mahkamah yang membacakan keputusan pemecatan Park,

“Penyingkirannya adalah untuk melindungi perlembagaan. Kami sebulat suara mencapai keputusan untuk menyingkirkan Presiden Park Geun-hye daripada jawatannya,” – Lee Jung-mi, dipetik dari Utusan

5. Tsar Nicholas II, raja terakhir Rusia

Wak Doyok OG. Imej dari pravmir.com

Sebelum dipimpin komunis, Rusia mengamalkan sistem monarki mereka diperitah oleh seorang raja, atau tsar. Tsar yang terakhir adalah Tsar Nicholas II yang digulingkan.

Antara sebab penggulingan kerajaan monarki ini adalah kerana terlalu banyak peperangan yang berlaku melibatkan negara Rusia. Keadaan masa tu teruk, sampaikan rakyat terpaksa berkorban harta dan nyawa. Diorang kemudiannya jatuh miskin, ditambah pula dengan masalah tanaman yang tak menjadi, menyebabkan berlakunya kebuluran. Tsar pula pada masa tu lebih pentingkan kemewahan keluarganya daripada ambil tahu kehidupan rakyat.

Gulinglah kamu sebelum kamu digulingkan. Imej dari giphy

Seramai 150,000 tentera dan rakyat membuat protes besar-besaran untuk menggulingkan dia. Penggulingan ni dipanggil Revolusi Rusia 1917, dan terjadi sebanyak dua kali. Kali pertama pada bulan Februari, dan kali kedua pada bulan Oktober tahun yang sama.

Rampasan kuasa kedua tu akhirnya mengubah Rusia buat selama-lamanya. Bukan setakat daripada pemerintahan beraja kepada komunis, tapi juga menjadikan Rusia kepada negara yang lebih kuat macam apa yang kita nampak sekarang.

Imej dari knowyourmeme.com

Adakah penggulingan kerajaan satu perkara yang baik?

Penggulingan sememangnya ada kesan baik dan buruk kepada sesebuah negara. Kesan buruknya, selepas satu penggulingan dilakukan, biasanya ia akan diulang lagi. Contohnya Iraq yang mengalami 3 kali rampasan kuasa dan keganasan politik dalam masa 10 tahun, selepas negara itu menggulingkan monarki pada tahun 1958.

Tapi contoh yang baik adalah apabila penyingkiran jawatan tu dapat dilakukan secara aman macam kes yang berlaku di Korea Selatan.

Dan dengan pelbagai permasalahan dan perebutan kuasa yang berlaku dalam pentadbiran Malaysia terutamanya pada musim pandemik hampir dua tahun ni, adakah suara rakyat akan didengari?