Kaunseling di sekolah bukan untuk kerjaya je, tapi bantu mereka yang dibuli

Sekarang ni kehidupan kita dah dipenuhi dengan segala macam teknologi canggih dan kita boleh akses maklumat guna jari je. Ditambah lagi dengan adanya kemudahan media sosial yang banyak dan  memudahkan perhubungan orang sekeliling dunia. Macam orang selalu, “jauh jadi dekat, yang dekat jadi makin jauh”. Begitu lah kitarannya.

Tapi, sekarang ni kita banyak dengar orang salah gunakan media sosial sebagai platform untuk buat benda yang tak sepatutnya termasuklah mengancam seseorang. Contohnya, malukan orang lain, sebar fitnah dan body shaming terutamanya. Dan kita pun dapat tengok banyak kes orang bunuh diri sebab penangan kes media sosial ni lah.

Rupa-rupanya, kes buli siber Malaysia kedua paling teruk kat Asia

Statistik yang dilaporkan. Imej dari Twitter @zamirmohyedin

Sekarang ni, kita sendiri dapat perhatikan yang penggunaan Internet semakin berkembang dan ia menjadi keperluan dalam hidup seseorang. Malah kanak-kanak pun dah jadi taksub dengan penggunaan Internet.

Disebabkan kes buli siber ni semakin menjadi-jadi dan dianggap macam kebiasaan dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan belia terutamanya, kes buli siber kat Malaysia antara paling teruk kat Asia. Dan keenam paling teruk di dunia! Ia berikutan laporan kes buli siber yang kerap berlaku kat Malaysia. Walaupun kita selalu dengar kat Korea banyak kes bunuh diri sebab buli siber kat sana, tapi sebenarnya kes buli siber kat sana taklah selalu terjadi macam kat negara lain.

Kadar kesedaran mengenai buli siber kat Malaysia adalah tinggi iaitu dengan kadar 80% – 95% jika nak dibanding dengan Korea yang kesedaran pasal buli siber hanyalah 59%. Tapi, walaupun dah sedar pasal gejala tu, kes buli siber yang dilaporkan tetap jugak berlaku dan macam jadi satu kebiasaan.

Bila dapat komen orang tak suka kita. GIF dari Giphy

Walaupun pada asalnya kejadian buli secara fizikal ni memang selalu berlaku kat sekolah, tapi sekarang ni kes buli dah berevolusi dan susah nak diperhatikan secara fizikalnya sebab banyak insiden dan kes buli jadi melalui akses dalam talian dan Internet.

Kalau dulu, kita selalu report kat cikgu ada orang ejek takpun main nama mak ayah. Tapi sekarang ni bila kes macam ni jadi, ia susah nak dikenal pasti sebab buli siber ni boleh dihilangkan buktinya melainkan mangsa tu sendiri ambik tindakan dengan buat tangkapan skrin dan sebagainya.

Statistik yang direkodkan. Imej dari Berita Harian

Kes buli ni dah jadi masalah utama kat sekolah dan jugak pusat-pusat pengajian dengan situasi sekarang yang susah nak dibendung. Pembuli lebih cenderung nak membuli dengan cara halus yang susah nak diperhatikan. Dan ia susah nak dikawal sebab semua orang sekarang ni gunakan akses Internet.

“Buli siber memberi kesan besar kepada kanak-kanak dan remaja kerana kebanyakan mereka mempunyai akses internet di rumah, sekolah dan lain-lain premis,” – Prof Madya P Sundramoorthy, Pakar Kriminologi Universiti Sains Malaysia, sumber dari FMT. 

Kat sekolah dulu selalu ada macam ni kan. Imej dari funcrayons.blogspot

Umumnya, (untuk sesiapa yang mungkin keliru) buli siber ni buat penderaan secara mental dan emosi melalui dalam talian Internet terutamanya kat laman media sosial dengan menyebarkan maklumat peribadi, sebarkan maklumat palsu ataupun khabar angin yang boleh membuatkan mangsa rasa tertekan dan malu. Dengan adanya perkembangan media sosial ni, ia lagi memudahkan ramai orang terlibat dengan kegiatan buli siber ni. Buli siber ni boleh jadi dalam macam-macam bentuk dan ia adalah platform paling senang nak tersebar. 

Contoh paling senang nak sebarkan maklumat palsu adalah dengan sebarkan cerita pasal mangsa tu kat group sembang yang korang ada, macam whatsapp dan telegram. Kat situ pun kita dapat tengok ramai orang ada group ‘membawang’ diaorang sendiri. Lagi-lagi platform macam tu senang nak tambah (invite) ahli kumpulan dan ada sesetengahnya adalah group yang terbuka.

Berdasarkan satu kajian, daripada 50,000 orang pelajar daripada sekolah rendah hingga ke sekolah menengah yang pernah mengalami kejadian dan kes buli kat sekolah, 10.8% daripadanya terlibat dalam kes buli siber. Dan nisbahnya adalah lebih tinggi daripada pelajar lain yang dibuli secara fizikal, iaitu hanya 10% je.

Banyak kempen yang dah dibuat untuk tangani kes ni. Imej dari mStar

Kes buli siber selalu terjadi dalam kalangan kawan baik?

Sebenarnya, kebanyakan remaja lebih cenderung dan diaorang sendiri sokong aktiviti yang melibatkan buli siber ni sebab diaorang rasa ia merupakan perkara yang biasa. Diaorang berpendapat yang ianya bukanlah satu kesalahan dengan “menyukai” komen ataupun berkongsi sesuatu hantaran (posting) yang secara tak langsung mampu memalukan seseorang melalui saluran media sosial.

“Terdapat mereka yang sengaja membuli orang dalam talian sama ada mereka kejam atau tidak kejam, atau kerana mereka terlalu takut untuk melakukannya secara peribadi.” – Prof Madya P Sundramoorthy, Pakar Kriminologi Universiti Sains Malaysia, sumber dari FMT. 

Kadang-kadang diaorang sendiri tak perasan, apa yang diaorang buat tu merupakan salah satu aktiviti buli secara siber. Sebab diaorang rasa bebas untuk meluahkan sesuatu yang terpendam terutamanya mengenai seseorang tanpa rasa dihukum melalui media sosial. 

Mungkin korang ada kawan-kawan dalam meter warna kuning tu. Hati-hati ye. Imej dari Wanista

Banyak kajian yang dah dibuat menerusi aspek buli siber ni yang melibatkan remaja dan belia. Apa yang mengejutkan, buli siber lebih cenderung berlaku dalam kalangan rakan dan teman rapat berbanding dengan orang luar yang tak dikenali. Ia berikutan perasaan tak puas hati sesama sendiri yang selalu dipendam dan seterusnya menyebabkan kes macam ni berlaku dan semakin berkembang.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Digi pada tahun 2018 (artikel ni bukanlah disponsor ye), sebanyak 20.5% pelajar sekolah mengatakan diaorang pernah dibuli dalam talian. Manakala 42.1% pelajar mengaku yang diaorang tahu siapa dalam kalangan diaorang jadi mangsa buli. 

“Berbeza dengan kes buli siber di tahap peringkat awal yang sering dilakukan oleh orang tanpa nama di Internet, buli siber dalam telefon pintar biasanya dilakukan oleh kenalan sendiri,” – Lee Chang-ho, penyelidik kanan di National Youth Police Institute Korea (NYPI), sumber dari The Korea Times. 

Data buli siber kat Malaysia. Imej dari IPSOS

Ia berlaku kat serata dunia, contohnya, macam kat Korea, ramai pembuli menggunakan saluran KakaoTalk yang merupakan platform perbualan nasional dengan secara keseluruhannya ada 4 juta orang pengguna. Kebanyakan remaja buat kumpulan sembang diaorang tapi dengan secara sengaja keluarkan seseorang tu dari group tu untuk buat dia rasa tersisih.

Dan selalunya mangsa buli dimasukkan dalam group tu tanpa persetujuannya hanya bertujuan untuk membulinya secara lisan. Mangsa selalunya tak dapat larikan diri sebab setiap kali dia tinggalkan group tu, dia akan tetap dimasukkan dalam group yang sama berulang kali dan dianggap sebagai “penjara siber”. 

Macam kat Malaysia, rangkaian media sosial yang mudah diakses dan jadi platform utama untuk generasi sekarang ni jugak merupakan platform yang mempunyai saluran dan akses tertinggi dalam buli siber iaitu melalui Facebook, Instagram, Snapchap dan Twitter. 

Statistik penggunaan media sosial yang jadi platform buli siber. Imej dari Amanz.com

Statistik menunjukkan dalam kalangan pelajar Malaysia, sebanyak 9% pelajar mengaku yang diaorang secara aktif menggunakan teknologi dan media sosial sebagai platform untuk mengganggu atau membuli orang lain. Dan 65% pengguna internet ada terima mesej lucah ataupun makian dan 25% jadi mangsa gangguan seksual menerusi saluran Internet.

Dengan tersebarnya maklumat yang boleh diakses secara meluas oleh pengguna Internet, kehadiran warga net (netizen) dan “keyboard warrior”, memudahkan seseorang itu menerima tekanan siber terutamanya menerusi komen yang diberikan daripada segenap masyarakat. 

Dan kadang-kadang, orang cenderung melakukan kes buli siber ni menerusi rakaman dan klip video yang diviralkan. Selalunya video yang diviralkan tu, mangsa tak tahu pun dia dirakam sehinggakan video tu tular. Ia bukan je dikategori sebagai buli siber malah ia menyalahi sempadan privasi seseorang yang perbuatan merakam dan menyebar video tu bukanlah dengan izin mangsa. Contohnya, awal tahun hari tu ada satu video ni tular sebab budak tu dapat aiskrim tapi si perakam tu kutuk-kutuk budak tu. ??

Pihak kaunseling sekolah bukan hanya untuk kerjaya, tapi mendengar masalah mereka

Sebenarnya, buli siber ni kesan dia lagi teruk daripada buli secara fizikal sebabnya ia boleh dilakukan oleh sesiapa je tanpa ada apa-apa kawalan daripada Internet. Dan jugak menerusi sistem siber yang boleh tersebar secara meluas.

Walaupun kesedaran buli siber kat Malaysia ni tinggi berbanding negara-negara lain, tapi hakikatnya mak ayah lagi risau kalau anak-anak diaorang dibuli secara fizikal kat sekolah. Sememangnya kes buli secara fizikal ni kerap berlaku, tapi kes buli siber jugak tak ketinggalan. Kedua-duanya jadi sama naik.

Dalam hal ni, pihak yang terdekat adalah pihak kaunseling sekolah yang bertanggungjawab untuk membendung masalah ni daripada terus berlaku. Selain daripada mak ayah sendiri yang kena peka terhadap perubahan emosi anak dia sendiri. Sebab kes buli siber ni tak dapat dikesan menerusi cara fizikal yang ketara, dan buli siber ni tinggalkan kesan yang kekal kat Internet. 

Bila orang kutuk-kutuk kita kat Internet… GIF dari Giphy

Dalam langkah untuk atasi dan membendung perkara macam ni daripada terus berlaku, pakar menyarankan supaya sekolah perlukan sistem kaunseling yang lebih baik dan lebih mesra bila pelajar meluahkan kegusaran diaorang. Dan daripada itu, pelajar boleh rasa selesa untuk bercakap dengan orang yang diaorang percaya berkenaan keadaan diaorang.

“Di Amerika Syarikat, sekolah mereka mempunyai tiga hingga empat kaunselor untuk pelajar berkongsi dan menceritakan masalah mereka. Tapi banyak di negara lain, pekerjaan kaunselor sekolah adalah terhad kepada kaunseling kerjaya,” – Lee Chang-ho, penyelidik kanan di National Youth Police Institute Korea (NYPI), sumber dari The Korea Times.

Walaupun adanya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di bawah Seksyen 233(1) yang memperuntukan mengenai kesalahan penyalahgunaan internet, pihak kaunseling jugak perlu mainkan peranan penting dan jangan terlalu bersikap lepas tangan.

Diaorang kenalah memperbetulkan sistem kaunseling yang diaorang praktikan supaya tak hanya tumpukan pada kaunseling berkenaan kerjaya je. Pendekatan pun kena lebih mesra supaya pelajar yang mengalami masalah macam ni senang nak mendampingi diaorang. 

Kat sekolah kena banyakkan lagi pendedahan pasal buli siber ni. Imej dari Sinar Harian

Pentingnya belajar etika Internet yang betul

Bila kita cakap pasal buli siber ni, banyak kes yang kita sendiri dapat ikuti dari semasa ke semasa dan ia kebanyakannya berakhir dengan sesebuah jenayah yang melibatkan kes bunuh diri terutamanya. Dan, apa yang perlu ditekankan daripada peringkat awal adalah orang ramai terutamanya mak ayah, kena beri tumpuan yang lebih mendalam untuk mendidik anak-anak diaorang terutamanya remaja tentang etika penggunaan Internet yang betul. 

Memandangkan sekarang ni kecik-kecik lagi dah guna smartphones, bimbingan dan pemantauan yang ketat daripada ibu bapa amat diperlukan supaya penggunaan Internet dapat dimanfaatkan selain ia dapat diakses dengan selamat.

 

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)